A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengendalian Kesakitan

Penilaian kesakitan kronik di kalangan warga emas merupakan satu cabaran yang sangat unik. Doktor yang menilai kesakitan pesakit perlu bergantung kepada kemahiran, dan anggapan diri di samping mengambil kira penyataan verbal dan tidak verbal pesakit dan penjaga untuk mendapatkan satu penilaian menyeluruh.

Penilaian kesakitan di kalangan warga emas adakalanya menjadi satu pengalaman yang sukar dan mengecewakan kerana:

  1. wujudnya kesakitan yang luar biasa.
  2. adanya pelbagai penyakit dan pelbagai sumber kesakitan.
  3. kurangnya keupayaaan sensori pesakit akibat masalah penglihatan dan pendengaran
  4. adanya halangan budaya di mana pesakit dan penjaga cenderung untuk tidak memaklumkan kesakitan yang dialami.
  5. kurangnya kebolehan kognitif contohnya pesakit nyanyuk (dementia) tidak mampu menjelaskan keadaan kesakitannya dengan baik.

Gejala dan Tanda

Satu cara mudah untuk menilai kesakitan pesakit secara menyeluruh ialah dengan menggunakan nemoniks “GOLD CARTS”. Penilaian ini melibatkan perkara-perkara berikut:

  • G : Goals
           – matlamat rawatan dan harapan pesakit serta penjaga.
  • O : Onset
           – permulaan kesakitan – sama ada secara tiba-tiba atau beransur-ansur.
  • L : Location
           – lokasi kesakitan, sama ada / tiada kesakitan cabang (radiation pain).
  • D : Duration
           – tempoh kesakitan dialami; sama ada kesakitan baru atau lama.
  • C : Characteristics
           – Ciri dan jenis kesakitan termasuk kesakitan sampingan yang berkaitan atau tidak berkaitan dengan kesakitan utama.
  • A : Aggravating factors
           – faktor penggalak kesakitan
  • R : Relieving factors
           – faktor pelega kesakitan
  • T : Treatments
           – rawatan yang pernah diterima dan perlu dinilai semula:
             – Tindak balas – apakah tindak balas rawatan terdahulu?
             – Berapa dos dan / atau tempoh rawatan pernah dilalui?
             – Mengapa rawatan dihentikan?
  • S: Severity Pain
           – tahap kesakitan mengikut skala : 0 – 10; biasanya dengan menggunakan
            Skala Analog Visual “Visual Analogue Scale (VAS) yang merupakan
            alat yang berguna untuk mengukur kesakitan secara objektif.

Peta Kesakitan atau Carta Kesakitan Anggota: Pain Maps or Body Pain Charts dibuat bersama, atau oleh pesakit sebagai alat komunikasi untuk memperlihat kesakitan yang dialami secara visual. Alat ini amat berguna semasa penilaian awal dan pemantauan perkembangan kesakitan.

Skala kesakitan (spt. VAS dan Carta Kesakitan Anggota) biasanya digunakan untuk mencatat tahap kesakitan dan perkembangannya.

Setelah penilaian terperinci dilakukan, para doktor akan mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai beberapa aspek berikut:

  1. Jenis kesakitan contoh, kesakitan tisu lembut, kesakitan tulang, kesakitan urat saraf dan sebagainya.
  2. Tahap kesakitan.
  3. Punca kesakitan.
  4. Pilihan untuk melegakan kesakitan.

Penilaian menggunakan nemonics GOLD CARTS dapat membantu menilai keperluan pesakit di samping memadankannya dengan jenis, tahap, penyebab dan mekanisme kesakitan kepada rawatan tanpa ubat dan ubat penahan sakit yang ada.

Rawatan

Prinsip rawatan kesakitan adalah seperti berikut:

Komunikasi dengan pesakit dan / atau penjaga mengenai matlamat dan keutamaan rawatan adalah perkara yang paling mustahak.

  1. Menjelaskan matlamat rawatan:
    – Meningkatkan kualiti hidup
    – Meningkatkan fungsi anggota
  2. Memberi pendidikan kesihatan kepada pesakit dan penjaga mengenai ubat penahan sakit yang paling sesuai dengan jenis dan tahap kesakitan.
  3. Para doktor mesti menimbangkan risiko kesan sampingan ubat penahan sakit dan faedah ketiadaan kesakitan. Kuncinya adalah penyesuaian dan kreativiti dalam membuat preskripsi pelbagai jenis ubat penahan sakit.
  4. Sentiasa mengkaji, menilai dan memantau rawatan di samping mengambil perhatian secara terperinci akan perkembangan dan pengurangan kesakitan. Ini merupakan satu aspek yang sangat mustahak.
  5. Jika fungsi kognitif pesakit diragui, penilaian yang lebih bersesuaian perlu dilakukan. Perlu di ingat bahawa diagnosis Penyakit Alzheimer’s tidak bermakna pesakit tidak boleh membuat keputusan dalam rawatan mereka.

Faktor yang memberi kesan ke atas pilihan ubat penahan sakit termasuk:

  1. Masalah kesihatan lain yang wujud bersama.
  2. Interaksi dengan ubat lain yang digunakan untuk merawat masalah tersebut.
  3. Kesesuaian ubat.
  4. Kos ubat.

Apabila membuat preskripsi ubat, perkara berikut perlu diberi perhatian:

  • Ubat makan penahan sakit diberi secara tetap (mengikut jam) dan menggunakan garis panduan Model 3 Mata Tangga WHO (WHO ladder of 3-step) sebagai panduan untuk pilihan ubat penahan sakit yang sesuai mengikut tahap kesakitan pesakit. Untuk kesakitan yang kurang kuat gunakan anti demam (cth paracetamol) ditambah dengan penggunaan ubat tambahan (cth steroids, amityptyline dsb); sementara kesakitan yang sederhana kuat, pertimbangkan untuk mengggunakan ubat opiat ringan dan ubat tambahan lain. Dengan kesakitan teruk gunakan opiat kuat (cth morfin) dan ubat tambahan lain.
  • Ubat untuk kesakitan ringan dan sederhana kuat adalah NSAIDs, acetaminophen dan tramadol. Jangkakan masaalah berkaitan dengan ubat NSAIDs (nonselective NSAIDS) dan gunakan secara berhati-hati terutama di kalangan warga emas kerana mereka mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kesan sampingan ubat NSAIDs.
  • Gunakan opiat untuk kesakitan sederhana dan kesakitan teruk. Morfin adalah satu prototaip. Jangkakan kesensitifan yang lebih di kalangan warga emas terhadap kesan opiat kerana perubahan farmakoinetiks ubat-ubat ini ada kaitan dengan umur.
  • Padankan tahap kesakitan dengan kekuatan ubat penahan sakit. Ubat penahan sakit lebih kuat adalah untuk kesakitan lebih teruk.
  • Selalu pertimbangkan ubat penahan sakit sampingan. Contohnya ubat anti kemurungan, anti sawan (anticonvulsants), bahan pelalian lokal (local anesthetics) dan steroids. Selain itu Bisphosphonates atau Calcitonin; dan rawatan penyakit tertentu seperti radiasi, kemoterapi dan pembedahan mungkin boleh dipertimbang juga.
  • Jangan gunakan “placebo” kerana ini tidak beretika dalam praktis klinikal dan tidak bermanfaat. Ia tidak membantu untuk mendiagnos malah yang lebih bahaya ia menghilangkan kepercayaan pesakit.

Pencegahan/Pendidikan

Pendidikan pesakit dan penjaga adalah sangat mustahak. Perkara berikut sepatutnya dapat dibincangkan bersama:

  1. Diagnosis, prognosis, sejarah perjalanan (natural history) penyakit yang dialami.
  2. Komunikasi dan penerangan mengenai keadaan dan mekanisma kesakitan diberi selepas penilaian kesakitan dilakukan.
  3. Menerangkan kesan sampingan ubat.
  4. Pengendalian kesan sampingan ubat.
  5. Penerangan mengenai kaedah perawatan kesakitan tanpa ubat
Semakan akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Yau Weng Keong
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Paru-Paru

Semasa proses penuaan, otot untuk proses pernafasan seperti diafragma akan menjadi lemah sebanyak 25%. Tambahan pula, kurang oksigen yang mampu diserap dari udara yang dihisap masuk.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,383

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia