A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Radioaktif Semulajadi Dalam Makanan

Radioaktif Semulajadi Dalam Makanan

Unsur Radioaktif

Unsur radioaktif (radionuklid) terdapat di sekeliling kita termasuklah dalam sebahagian makanan dan minuman harian. Unsur radioaktif akan menghasilkan radiasi semasa proses untuk mencapai kestabilan. Walaupun radiasi boleh menjejaskan kesihatan manusia, ia juga boleh digunakan untuk kebaikan khususnya dalam bidang perubatan. Sebagai contoh, radiasi digunakan untuk tujuan x-ray pergigian, x-ray dada,diagnosis tulang yang patah, serta rawatan kanser.

Terdapat dua punca yang menyumbang kepada kehadiran unsur radioaktif dalam makanan kita. Pertama, disebabkan oleh kewujudan unsur radioaktif semula jadi1 yang terdapat pada air, tanah, dan udara. Punca kedua pula adalah kontaminasi radioaktif akibat daripada aktiviti manusia seperti loji kuasa nuklear. Kandungan unsur radioaktif semula jadi dalam makanan bergantung kepada jenis makanan, cuaca dan keadaan geografi di sesuatu kawasan di mana makanan itu dihasilkan. Contohnya, makanan yang dihasilkan di negara yang menjanakan kuasa nuklear berkemungkinan mengandungi kandungan unsur radioaktif yang tinggi. Ini kerana apabila sejumlah besar unsur radioaktif dibebaskan ke persekitaran, secara tidak langsung akan mempengaruhi makanan dimana ia boleh diserap oleh tumbuhan, makanan laut atau dimakan oleh haiwan.

Di Malaysia, aktiviti yang melibatkan unsur radioaktif dikawal ketat oleh pihak berkuasa di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Justeru,aktiviti manusia tidak memberikan kesan yang ketara kepada persekitaran. Oleh itu, artikel ini akan memberi penekanan terhadap kehadiran unsur radioaktif semula jadi dalam makanan.

Radioaktiviti Semula Jadi

Kita perlu menerima hakikat kehadiran unsur radioaktif semula jadi di persekitaran kita. Semua manusia menyedut radon2, sejenis unsur radioaktif semula jadi yang terdapat di dalam udara dalam jumlah yang kecil, apabila mereka bernafas. Radon juga meresap ke dalam tanah dan rumah-rumah atau bangunan di sekeliling kita, sekaligus menyumbang kepada jumlah radiasi yang diterima oleh manusia. Di samping itu, badan kita mengandungi unsur radioaktifi semula jadi berpunca dari pengambilan makanan dan minuman harian. Badan kita juga sentiasa terdedah kepada radioaktiviti semula jadi yang berpunca dari sinaran kosmik3 . Carta di bawah menunjukkan anggaran peratusan sumber radiasi di United Kingdom (UK)4.

4Sumber: Health Protection Agency, United Kingdom.

1 Kejadian radionuklid semula jadi – unsur radioaktif semula jadi yang wujud di dalam persekitaran

2 Gas yang terbentuk dari penyepaian unsur uranium semulajdi dalam tanah

3 Radiasi/ sinar kosmik adalah radiasi yang berasal dari angkasa lepas

Apa Yang Anda Perlu Tahu?

1. Adakah terdapat unsur radioaktif semula jadi dalam makanan anda?

Ya. Terdapat unsur radioaktif semula jadi yang biasa terdapat dalam makanan kita.Dua unsur radioaktif yang sering terdapat dalam makanan kita ialah Kalium-40 (40K) dan Radium-226 (226Ra).

2. Apakah yang menyebabkan makanan mempunyai unsur radioaktif semula jadi?

Unsur radioaktif semula jadi kebiasaannya terdapat dalam tanah, air dan udara. Oleh itu, makanan yang ditanam di permukaan bumi akan menyerap unsur radioaktif dari dalam tanah dan udara. Ini adalah jalan unsur radioaktif semula jadi didapati dalam makanan seharian kita.

3. Apakah unsur radioaktif semula jadi yang sering terdapat dalam makanan dan apakah aras keradioaktifannya?

Kandungan Unsur Radioaktif Semula Jadi Di dalam Makanan, Kalium-40 & Radium-226
B il
Jenis Makanan
40K
pCi/kg (Bq/kg)
226Ra
pCi/kg (Bq/kg)
1. Pisang

radioaktiviti pisang

3,520 (130)
1 (0.037)
2. Kekacang Brazil

radioaktiviti-kacang brazil

5,600 (207.0)
1,000-7,000
(37-259)
3. Lobak Merah

radioaktiviti-lobak merah

3,400 (125.8)
0.6 – 2
(0.0222 – 0.074)
4. Kentang Putih

radioaktiviti -kentang putih

3,400 (125.8)
1 – 2.5
(0.037 – 0.0925)
5. Daging merah

radioaktiviti-daging merah

3,000 (111)
0.5 (0.0185)
6. Kacang Lima (mentah)

radioaktiviti-kacang lima

4,640 (171.68)
2 – 5
(0.074 – 0.185)
7. Air (minuman)

radioaktiviti-air suam

0.17 (0.00629)
8. Susu

radioaktiviti -susu

1350 (49.95)

*Bacaan dan unit yang ditunjukkan di atas adalah dalam unit ‘pCi’ iaitu ringkasan kepada ‘picoCurie’. Perkataan ‘pico’ menggambarkan bacaan yang sangat rendah iaitu dengan pemalar 1 pico bersamaan dengan 1.0E-12 (1.0×10-12). Unit ‘Curie’ atau ‘Ci’ pula menggambarkan yang unsur radioaktif semula jadi yang menyepai (disintegration) dalam sela masa satu saat (1Ci ~ 1 disintegration/ second) bagi sesuatu unsur radioaktif. 1 pCi bersamaan dengan 0.037 Bq (Becquerel).

4. Adakah aras unsur radioaktif semula jadi yang terkandung dalam makanan membahayakan kesihatan kita?

Pencemaran radiasi daripada sumber radioaktif semulajadi rendah dan boleh diabaikan. Manakala pencemaran radioaktif disebabkan aktiviti manusia adalah tertakluk kepada undang-undang ketat di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang mengawal penggunaan bahan radioaktif bagi tujuan perubatan/ bukan perubatan bagi memastikan keselamatan kepada orang awam.

5. Bagaimanakah untuk mengenal pasti unsur radioaktif semula jadi dalam makanan kita dan adakah terdapat cara untuk mengukur kuantiti unsur radioaktif tersebut?

Unsur radioaktif semula jadi yang terdapat dalam makanan boleh diukur dengan menggunakan peralatan khas yang direka untuk mengukur tahap radioaktiviti yang dipanggil High Purity Germanium Spectroscopy (HPGe). Alat ini terdapat di fasiliti-fasiliti penyelidikan/ universiti serta pusat yang diluluskan oleh pihak kerajaan.

6. Adakah makanan kita terhindar dari bahaya radiasi?

Ya. Di Malaysia, terdapat perundangan yang ketat dalam mengawal selia bahan radioaktif termasuklah dari aspek pembuangan sisa radioaktif. Oleh itu, pencemaran makanan dari unsur radioaktif dapat dielakkan.

Rujukan

  1. Sources and Effects of Ionizing Radiation; United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation (UNSCEAR) 2008 Report, United Nations (UN). 2010.
  2. Nuclear Accidents and Radioactive Contamination of Foods. World Health Organization (WHO). 2011
  3. Natural and Induced Radioactivity in Food. International Atomic Energy Agency (IAEA). IAEA-TECDOC-1287. 2002.
Semakan Akhir : 04 Mac 2016
Penulis : Syarul Iman bin Saufi
Akreditor : Dr. Bidi bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

RADIOTERAPI SECARA AM

Radioterapi ialah satu modaliti atau kaedah rawatan yang digunakan dalam pengurusan rawatan penyakit kanser. Kaedah ini menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser dengan memusnahkan DNA sel-sel tersebut.

Digigit Anjing : Rawatan Awal

Air liur anjing boleh mengandungi kuman-kuman yang berbahaya seperti tetanus, rabies dan lain-lain lagi. Jika seseorang dijangkiti tetanus, ia boleh menyebabkan mengsa mengalami kekejangan otot dan boleh membawa maut. Begitu juga dengan rabies (penyakit anjing gila), jika tidak dirawat awal, risiko kematian adalah amat tinggi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,468

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia