A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Tahap Penglihatan Yang Melayakkan...

Tahap Penglihatan Yang Melayakkan Seseorang Memohon Lesen Memandu Di Malaysia

Pengenalan

Memandu merupakan satu tugasan kompleks yang melibatkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran fizikal, sensori serta persepsi kognitif seperti pemerhatian, perhatian, kebolehan untuk membuat keputusan, masa untuk bertindak balas dan persepsi yang tepat.

Ketika seseorang pemandu memandu kenderaan, keseluruhan fungsi penglihatan harus berfungsi dengan normal. Ini bagi menjamin Refleks Okulomotor berfungsi dengan baik dan pantas terutamanya daripada segi ketajaman penglihatan, sensitiviti kontras, persepsi warna, keluasan medan penglihatan dan pandangan stereoskopik.

Kajian menguji tahap penglihatan pemandu di seluruh Malaysia mendapati lebih 8.37 peratus (statistik 2006) pemandu di Malaysia tidak memiliki tahap penglihatan lebih baik dari 6/12. Ini bermakna bagi setiap 100 kereta yang berada di jalan raya, terdapat lapan pemandu yang tidak lulus syarat minimum tahap penglihatan untuk pemanduan.

Apakah tahap penglihatan yang dibenarkan untuk memandu?

Tahap penglihatan adalah keupayaan untuk melihat sesuatu dengan jelas. Pada kebiasaannya, tahap penglihatan diukur menggunakan Carta Snellen pada jarak 6 meter. Tahap penglihatan yang normal adalah 6/6.

Apakah tahap penglihatan yang dibenarkan untuk memandu Berikut merupakan syarat-syarat kelayakan tahap penglihatan untuk melayakkan seseorang memohon lesen memandu di Malaysia (Ophthalmology Society of MMA)

Kelas & Jenis Kenderaan Tahap Penglihatan

Penglihatan bagi Kelas 1 :

Kenderaan awam besar seperti bas, kenderaan berat yang membawa barangan, jentera pengangkut dan lain-lain kenderaan profesional

6/12 pada kedua-dua mata

Penglihatan bagi Kelas 2 :

Kenderaan komersial seperti trak, van, teksi, kenderaan kecemasan. Majoriti kenderaan persendirian

6/12 pada salah satu mata, 6/60 pada mata sebelahnya

Penglihatan bagi Kelas 3 :

Pemandu yang menggunakan sebelah mata dengan efektif dan layak untuk pemanduan persendirian

6/12 pada salah satu mata yang baik

Apakah kepentingan tahap penglihatan yang baik ketika memandu?

1. Pemandu dapat menganggar jarak pemanduan dan kelajuan kenderaan dengan tepat terutama ketika hendak memotong kenderaan lain

Apakah kepentingan tahap penglihatan yang baik ketika memandu1

2. Pemandu dapat membaca papan tanda dengan jelas terutama di tempat-tempat yang sibuk dan di persimpangan jalan

Apakah kepentingan tahap penglihatan yang baik ketika memandu2

Apakah keluasan medan penglihatan yang dibenarkan untuk memandu?

Keluasan medan penglihatan yang normal adalah 60° ke arah nasal (hidung) pada setiap mata, 100° ke arah temporal (arah bertentangan hidung) pada setiap mata, 60° ke atas dan 75° ke bawah pada setiap mata.

Keluasan medan penglihatan yang normal adalah penting untuk penglihatan periferal atau sisi bagi pemandu menentukan kedudukan kenderaan dengan kenderaan lain terutamanya ketika memotong, menukar lorong dan mengambil selekoh.

Kelajuan kenderaan juga dicerap dengan menggunakan penglihatan periferal. Gangguan pada medan penglihatan akan menyebabkan pemandu tidak perasan objek yang berada di sebelah sisi kenderaan dan keadaan ini boleh berlaku dalam kes kerosakan pada retina seperti pada pesakit glaukoma dan kencing manis.

Berikut merupakan syarat-syarat kelayakan tahap penglihatan untuk melayakkan seseorang memohon lesen memandu di Malaysia (Ophthalmology Society of MMA)

Kelas & Jenis Kenderaan Medan Penglihatan

Penglihatan bagi Kelas 1 :

Kenderaan awam besar seperti bas, kenderaan berat yang membawa barangan, jentera pengangkut dan lain-lain kenderaan profesional

170° di medan penglihatan pada sudut horizontal

Penglihatan bagi Kelas 2 :

Kenderaan komersial seperti trak,van, teksi, kenderaan kecemasan. Majoriti kenderaan persendirian

130° dengan kedua-dua mata di medan penglihatan pada sudut horizontal

Penglihatan bagi Kelas 3 :

Pemandu yang menggunakan sebelah mata dengan efektif dan layak untuk pemanduan persendirian.

130° dengan satu mata atau kedua-duanya di medan penglihatan pada sudut horizontal

Gangguan medan penglihatan pada pesakit glaukoma

 Peringkat Akhir GlaukomaGlaukoma Teruk  Peringkat Kronik GlaukomaGlaukoma Peringkat Lanjutan
 Peringkat Awal GlaukomaGlaukoma Peringkat Awal  Penglihatan NormalPenglihatan Normal

Adakah individu dengan rabun warna tidak dibenarkan untuk memandu?

Ujian warna juga penting untuk memudahkan pemandu mengenal kod warna pada tanda jalan, misalnya warna merah menandakan kawasan bahaya, warna kuning untuk lebih berhati-hati dan hijau atau biru bagi kawasan yang selamat. Secara umumnya, status rabun warna masih melayakkan seseorang memohon lesen memandu di Malaysia bagi kenderaan persendirian.

Berikut merupakan syarat-syarat kelayakan penglihatan warna untuk melayakkan seseorang memohon lesen memandu di Malaysia (Ophthalmology Society of MMA)

Kelas & Jenis Kenderaan Penglihatan Warna

Penglihatan bagi Kelas 1 :

Kenderaan awam besar seperti bas, kenderaan berat yang membawa barangan, jentera pengangkut dan lain-lain kenderaan profesional

Kebolehan untuk mengesan lampu berwarna merah, hijau dan kuning

Penglihatan bagi Kelas 2 :

Kenderaan komersial seperti trak,van, teksi, kenderaan kecemasan. Majoriti kenderaan persendirian

Tidak diperlukan untuk diuji

Penglihatan bagi Kelas 3 :

Pemandu yang menggunakan sebelah mata dengan efektif dan layak untuk pemanduan persendirian.

Tidak diperlukan untuk diuji

Apakah perbezaan warna bagi pemandu yang mengalami masalah rabun warna?

  • Pemandu dengan masalah rabun warna jenis keturunan iaitu ‘Defek Merah Hijau’
Apakah perbezaan warna bagi pemandu yang mengalami masalah rabun warna1 Apakah perbezaan warna bagi pemandu yang mengalami masalah rabun warna2

 

  • Pemandu dengan masalah rabun warna jenis perolehan yang biasa disebabkan oleh penyakit seperti Optic Neuritis dan glaukoma
Apakah perbezaan warna bagi pemandu yang mengalami masalah rabun warna3 Apakah perbezaan warna bagi pemandu yang mengalami masalah rabun warna4

 

Apakah modifikasi yang dapat membantu pemandu dengan masalah rabun warna?

  • Penggunaan bentuk yang berbeza pada lampu isyarat untuk membezakan antara lampu berwarna merah, kuning dan hijau.

Apakah modifikasi yang dapat membantu pemandu dengan masalah rabun warna1

  • Penggunaan kiraan nombor pada lampu isyarat jadi pemandu tidak bergantung sepenuhnya kepada warna

Apakah modifikasi yang dapat membantu pemandu dengan masalah rabun warna2

Tips-tips pemanduan

  1. Pastikan anda telah menjalani pemeriksaan mata komprehensif sekurang-kurangnya setahun sekali oleh Optometris bertauliah.
  2. Mempunyai tahap penglihatan sekurang-kurangnya 6/12 bagi setiap mata ataupun 6/9 pada satu mata (jika buta atau penglihatan terhad pada sebelah mata lagi). Anda boleh mengetahui tahap penglihatan anda di mana-mana praktis Optometri.
  3. Lulus ujian rabun warna. Sekiranya gagal pastikan tahap kompetensi memandu dinilai semula.
  4. Mempunyai medan penglihatan sekurang-kurangnya 120 darjah bagi penglihatan binokular. Sekiranya anda mempunyai penyakit seperti glaukoma atau patologi okular lain, sila jalani ujian medan penglihatan di Klinik Optometri.
  5. Bagi pemakai kanta sentuh pastikan anda membawa sepasang cermin mata untuk kecemasan.
  6. Jangan halakan pendingin hawa kereta terus ke muka kerana ini akan mengakibatkan kekeringan mata yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kekaburan.
  7. Sekiranya anda seorang pemakai kanta sentuh, sila bawa bersama titis pelembap kanta dan gunakannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
  8. Sekiranya anda bukan pemakai kanta sentuh, gunakan titis pengganti air mata untuk menyegarkan mata yang letih dan kering.
  9. Elakkan daripada memakai kanta sentuh berwarna sewaktu memandu kerana kajian telah menunjukkan ia boleh menyebabkan penurunan kontras dan mengehadkan medan penglihatan. Ada kalanya penglihatan akan kelihatan seperti berjerebu dengan pemakaian kanta sentuh berwarna.
  10. Gunakan cermin mata gelap yang mempunyai lapisan penapis UV untuk menapis silau. Ini dapat merehatkan mata ketika panas terik. Pemakaian cermin mata gelap tanpa lapisan pelindung UV boleh merosakkan retina (bahagian dalam mata) dan menyebabkan kesan aberasi atau silau yang teruk. Sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk.
  11. Gunakan cermin mata berwarna amber (kekuningan) untuk meningkatkan kontras ketika hari mula gelap, hujan atau berjerebu. Kontras penglihatan boleh menjadi bertambah baik dengan warna amber.
  12. Pastikan cermin mata dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Penting untuk dipastikan bingkai cermin tidak terlalu uzur dan kanta diketatkan dengan baik pada bingkai pemegang. Kanta juga sepatutnya diganti jika terlalu bercalar ataupun telah kabur.

Rujukan

  1. Pacheco-Cutillas M, Edgar DF, Sahraie A (1999) Acquired colour vision defects in glaucoma-their detection and clinical significance. British Journal ofOphthalmology 83(12): 1396-1402.
  2. Catharine, C. 2008. Visual requirements for driving. http://www.optometry.co.uk (25 Januari 2018)
  3. Guidelines to Mdical Practioners for the certification fo drivers of motor vehicles. Dr Alias Dahalan, Secretary, Opthalmology Societry of MMA
Semakan Akhir : 17 Disember 2015
Penulis : Pn. Syarmilla Binti Che Shamsudin
Akreditor : Pn. Waheeda Azwa Binti Hussein

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,829

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia