A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Menangani Fobia Sosial Kanak-Kanak

Perkembangan sosial kanak-kanak bermula sejak bayi lagi. Ia merupakan satu proses kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang telah didedahkan oleh budaya dan masyarakat setempat.

Perkembangan sosial kanak-kanak bermula sejak bayi lagi. Ia merupakan satu proses kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang telah didedahkan oleh budaya dan masyarakat setempat.

Perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada kemahiran berinteraksi dengan orang lain, pembentukan identiti kendiri, penghargaan kendiri dan kawalan kendiri.

Menurut Erikson (1965), perkembangan psikososial manusia boleh dikategorikan kepada 8 tahap. 4 daripada tahap
 tersebut wujud pada zaman kanak-kanak iaitu tahap :

Sumber : http://www.worrywisekids.org/node/29
  1. Basic Trust vs Mistrust – Kepercayaan vs ketidakpercayaan (0-1 tahun):

    Pada tahap ini bayi menghadapi konflik di antara mempercayai atau tidak alam di sekelilingnya iaitu penjaga, ibu, bapa atau orang lain. Keperluan asas yang diperlukan pada masa ini ialah makanan, perhatian, kasih sayang dan lain-lain simulasi. Sekiranya semua keperluan ini dipenuhi bayi akan membesar dengan mempunyai harapan dan kepercayaan terhadap orang di sekelilingnya.

  2. Autonomy vs Shame and Doubt – Autonomi vs keraguan (1-3 tahun):

    Pada tahap ini kanak-kanak menghadapi konflik sosial iaitu di antara menunjukkan sikap autonomi atau berasa ragu dalam menghadapi dunia ini. Interaksi sosial yang kritikal pada tahap ini ialah dengan ibu bapa, di mana jika ibu bapa terlalu menggunakan kuasa autonomi kanak-kanak akan merasa sangsi terhadap kebolehan  mereka sendiri. Kegagalan memenuhi tahap ini boleh menyebabkan rasa rendah diri dan  rasa sangsi terhadap kebolehan sendiri.

  3. Initiative vs Guilt – Inisiatif vs rasa bersalah (4-5 tahun):

    Pada tahap ini kanak-kanak cuba untuk berdikari, ingin memilih sendiri perkara yang disukai. Sekiranya tidak mendapat sokongan boleh menyebabkan mereka rasa bersalah.

  4. Industry vs Inferiority – Industri vs rasa rendah diri (6-11 tahun):

    Pada tahap ini kanak-kanak boleh berfikir secara deduktif, cenderung untuk tahu bagaimana sesuatu proses berlaku. Mereka sudah boleh membaca, menulis, mengira, melukis dan lain-lain. Rasa rendah diri berlaku bila menyedari mereka tidak dapat melakukan banyak perkara. Sekiranya tahap ini tidak diatasi dengan baik boleh mengakibatkan anak rasa diri sebagai seorang yang gagal dan tidak berguna.

Kajian Kes

 “Jammy seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan sudah 9 bulan memasuki darjah 2. Menurut ibunya, cikgu-cikgu memberitahu bahawa Jammy seorang yang sangat pendiam di dalam kelas dan tidak bergaul dengan rakan-rakannya.

Dia pernah berkata kepada ibunya bahawa dia takut sekiranya kawan-kawan mengacau dan memalukannya. Apabila waktu rehat, Jammy akan makan bersendirian dan duduk jauh dari meja orang lain kerana dia takut rakan-rakan memerhati dirinya.

Ibunya juga memberitahu bahawa pencapaian akademiknya menurun berbanding semasa dia di darjah 1. Guru kelasnya juga memberitahu bahawa Jammy selalu kelihatan resah dan termenung. Apabila ditegur, mukanya akan kelihatan merah dan berpeluh. Jammy juga sering meminta kepada ibunya untuk tidak hadir ke sekolah sekiranya ada aktiviti yang memerlukan dia berhadapan dengan rakan-rakan dari kelas lain.
Dia juga mengalami masalah untuk bercakap dengan guru dan rakan-rakan, mempunyai kontak mata yang lemah apabila bercakap dan bercakap dengan nada yang sangat perlahan sehingga tidak dapat difahami sebutannya. Keaadaan ini sebenarnya telah berlarutan sejak Jammy berada di tahun 1 lagi.”

Apa Itu Fobia Sosial?

Kisah Jammy adalah antara kisah kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami fobia sosial. Fobia sosial boleh berlaku sekiranya tahap psikososial tidak dicapai dengan baik sejak bayi. Ianya adalah keengganan kanak-kanak untuk terlibat dengan aktiviti yang melibatkan orang lain serta ketakutan untuk berhadapan dengan situasi sosial.

Kanak-kanak yang berhadapan dengan fobia sosial akan menunjukkan simptom-simptom seperti berikut :

Sumber : http://www.shutterstock.com/pic-332782166/stock-vector-vector-illustration-drawing-social-phobia-get-away-from-all-
  1. Simptom Pemikiran:
    • “Kawan-kawan tak suka saya”
    • “Saya tak pandai”
  2. Simptom Fizikal:
    • Tangan mudah sejuk dan berpeluh
    • Menggeletar
    • Sakit Perut/ Pening
    • Muka merah
  3. Simptom Emosi:
    • Risau/ Bimbang
    • Malu yang teramat sangat
    • Sedih/ Marah
    • Takut dengan pelbagai perkara (Takut orang lain menilai diri, takut dimalukan, takut diri bertindak bodoh)
  4. Simptom Tingkahlaku :
    • Takut dan tidak berminat untuk ke sekolah
    • Mengelak dari terlibat dengan aktiviti bersama rakan
    • Sentiasa mengharapkan kehadiran ibu bapa di sisi
    • Kurang kontak mata apabila berkomunikasi
    • Perasaan malu yang teramat sangat untuk berhadapan dengan orang lain
    • Takut untuk bergaul dengan orang baru dalam hidup selain keluarga
    • Rasa sangat takut sekiranya dikritik atau dimalukan
    • Pendiam dan tidak banyak bergaul dengan kawan-kawan
    • Tantrum atau mengamuk apabila kemahuan tidak dipenuhi

Bagaimana ibu bapa boleh membantu?

Sumber :http://www.mommyedition.com/how-to-help-children-under-10-cope-with-anxiety
  1. Jangan memarahi anak di hadapan orang ramai kerana ini akan meningkatkan tahap fobia sosial mereka
  2. Sentiasa dedahkan anak dengan keadaan persekitaran yang sibuk supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran
  3. Galakkan anak untuk berborak bersama dan selami perasaan mereka
  4. Beri kata-kata positif, pujian dan penghargaan kepada anak untuk meningkatkan rasa harga diri
  5. Sentiasa peluk dan belai anak sekiranya dalam keadaan takut supaya dia berasa selamat dan selesa
  6. Ajar anak untuk bertenang dan merasai perasaan selesa bagi menghilangkan ketakutan
  7. Berjumpa dengan pakar kanak-kanak/ ahli psikologi atau kaunselor bagi khidmat nasihat dan kaunseling

Rujukan:

  1. Division of Family Health Development & Department of Psychiatry Kuala Lumpur Hospital. (2003). Child and Adolescent Mental Health Training Module for Specialists.
  2. Lew, M. M., Norliza, N., & Norulazilah, N., (2014). Perkembangan Kanak-kanak. Kuala Lumpur. Freemind Horizons Sdn Bhd.
  3. Melinda, S., Jeanne, S., & Jennifer, S. Social Anxiety Disorder and Social Phobia. Retrieved September 5, 2016, from “http://www.helpguide.org/articles/anxiety/social-anxiety-disorder-and-social-phobia.htm”>http://www.helpguide.org/articles/anxiety/social-anxiety-disorder-and-social-phobia.htm
  4. Natty., How To Help Children Under 10 Cope With Anxiety. Retrieved September 5, 2016 from “http://www.mommyedition.com/how-to-help-children-under-10-cope-with-anxiety”>http://www.mommyedition.com/how-to-help-children-under-10-cope-with-anxiety
  5. Rohani, A., (2001). Perkembangan Kanak-kanak: Penilaian Secara Portfolio. Selangor. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
  6. Social Anxiety. Retrieved September 5, 2016, from https://www.anxietybc.com/parenting/social-anxiety-disorder
  7. http://www.shutterstock.com/pic-332782166/stock-vector-vector-illustration-drawing-social-phobia-get-away-from-all-
  8. http://www.worrywisekids.org/node/29
Semakan Akhir : 2 Mei 2017
Penulis : Pn. Athirah Bt. Mustaffar Kamar
Akreditor : Pn. Ruhana Bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

Disleksia

Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus.

Tantrum @Panas Baran

Tantrum bermaksud luahan ketidakpuasan hati kanak-kanak atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung lagi. Ia merupakan luahan kemarahan kanak-kanak dan ada kalanya bercampur dengan rasa takut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,590

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia