A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kemorosotan Kognitif Ringan

Kemerosotan kognitif ringan adalah kemerosotan sama ada dari segi ingatan, bahasa, pemikiran atau pertimbangan yang lebih serius daripada masalah sukar mengingat atau lupa yang biasa berlaku dalam proses penuaan

Pengenalan

Kemerosotan kognitif ringan adalah kemerosotan sama ada dari segi ingatan, bahasa, pemikiran atau pertimbangan yang lebih serius daripada masalah sukar mengingat atau lupa yang biasa berlaku dalam proses penuaan namun tidak menjejaskan aktiviti kehidupan harian warga emas tanpa perlu pergantungan pada orang lain.

Faktor risiko

Faktor-faktor risiko utama bagi kemerosotan kognitif ringan adalah seperti berikut:

  1. Umur yang meningkat
  2. Tahap pendidikan yang rendah

Walau bagaimanapun, faktor-faktor risiko lain yang berkaitan dengan demensia atau nyanyuk tidak dapat dibuktikan menyumbang kepada risiko untuk mengalami kemerosotan kognitif ringan.

Gejala dan tanda

Antara tanda-tanda dan gejala kemerosotan kognitif ringan adalah:

  1. Mengulang soalan atau pernyataan yang sama
  2. Masalah mencari perkataan
  3. Masalah dengan aktiviti yang berkaitan nombor- seperti membayar bil
  4. Kesukaran untuk merancang
  5. Ketidakupayaan untuk mengikut arahan pelbagai langkah
  6. Kekurangan inisiatif dalam aktiviti walaupun tidak mengalami kemurungan
  7. Kurang tumpuan semasa melakukan aktiviti atau perbualan

Walau bagaimanapun, tanda-tanda dan gejala-gejala di atas adalah dalam bentuk yang lebih ringan dan individu yang masih boleh melakukan aktiviti harian tanpa perlu bergantung pada orang lain.

Diagnosa

Diagnosis kemerosotan nilai kognitif ringan dibuat jika orang yang memenuhi kriteria berikut:

  1. Individu itu sendiri atau orang lain yang mengadu mengalami masalah kognitif
  2. Kemerosotan kognitif terbukti secara objektif melalui ujian neuropsikologikal
  3. Tidak mengganggu fungsi harian individu
  4. Tidak mengalami demensia

Ujian darah dan pengimejan otak boleh dijalankan untuk menentukan kemerosotan kognitif ringan bukan disebabkan oleh kecederaan otak atau penyakit perubatan.

Implikasi diagnosa kemerosotan kognitif ringan

Individu yang didiagnosa dengan kemerosotan kognitif ringan mempunyai peningkatan risiko untuk mengalami Penyakit Alzheimer pada kadar 10% hingga 15% setahun.

Bagi sesetengah individu, kemerosotan kognitif ringan mungkin tidak menjadi demensia kerana ia boleh pulih kembali atau kekal stabil.

Rawatan

Rawatan untuk kemerosotan kognitif ringan adalah lebih menjurus kepada intervensi tanpa ubatan. Intervensi yang dimaksudkan adalah:

  • Aktiviti yang merangsang fungsi kognitif seperti membaca, bermain Sudoku, catur atau mahjong serta interaksi dengan orang lain
  • Senaman fizikal yang bersesuaian dengan umur individu

Buat masa ini, masih belum ada lagi ubatan yang disyorkan untuk merawat kemerosotan kognitif ringan.

Langkah Pencegahan

Walaupun bukti mengenai pencegahan kemerosotan kognitif ringan tidak dapat memberi kesimpulan, gaya hidup sihat akan menggalakkan kesihatan kognitif yang lebih baik dan harus digalakkan untuk warga emas. Contoh gaya hidup sihat yang boleh menggalakkan kesihatan kognitif yang baik adalah:

  • Senaman fizikal yang bersesuaian dengan umur
  • Diet yang sihat iaitu rendah lemak, makanan seimbang dan banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Aktiviti yang merangsang fungsi kognitif
  • Penglibatan sosial

Strategi untuk individu bagi membantu menampung masalah kemorosotan kognitif ringan

Ini adalah sebahagian strategi untuk membantu individu yang menghadapi kemerosotan kognitif yang sederhana:

  1. Temujanji dan tugas harian
    • Buat senarai yang perlu dilakukan dan simpan di tempat yang mudah dilihat
    • Tandakan pada kalendar atau gunakan peringatan dalam telefon mudah alih untuk merekodkan temu janji dan tarikh-tarikh penting atau aktiviti yang perlu dilakukan
  2. Pengurusan Ubatan
    • Urus dan simpan ubat-ubatan di lokasi yang mudah dilihat
    • Labelkan ubatan
    • Gunakan kotak pil untuk menguruskan ubatan mengikut hari dan masa
    • Letakkan kotak pil yang di sebelah katil untuk mudah didapati dan diingat
  3. Tanggungjawab rumah
    • Pastikan bil dan dokumen-dokumen penting diletakkan di tempat yang mudah dilihat
    • Menulis peringatan pada buku nota atau telefon mudah alih dan letakkan di tempat yang sering anda duduk
  4. Komunikaasi
    • Gunakan telefon mudah alih yang sama dan elakkan dari membeli yang baru
    • Letakkan nombor yang kerap digunakan dalam aplikasi dail pantas
    • Gunakan perakam untuk menyimpan perkara-perkara penting

 

Apa yang ahli keluarga perlu lakukan jika seseorang dalam keluarga mengalami masalahkemerosotan kognitif ringan?

Individu yang mengalami kemerosotan kognitif ringan masih mampu untuk melakukan aktiviti harian dengan sendiri tanpa pergantungan sungguhpun mereka ada mengalami masalah kognitf ringan. 

Ahli-ahli keluarga perlu memberi galakan, sokongan dan membantu individu yang mengalami kemerosotan kognitif ringan untuk kekal berfungsi tanpa perlu bergantung dengan orang lain.

Jika ada ahli keluarga anda yang mengalami masalah kemerosotan kognitif ringan, anda perlu:

    1. Menerima bahawa kemerosotan kognitif ringan adalah benar-benar berlaku
    2. Belajar untuk mengenali tanda-tanda dan gejala kemerosotan kognitif ringan
    3. Memberi peluang kepada individu dengan kemerosotan kognitif ringan untuk melengkapkan aktiviti kehidupan harian mereka mengikut kemampuan mereka sendiri
    4. Memberi peluang bagi individu yang mengalami kemerosotan kognitif ringan berasa yang mereka diperlukan dengan mencadangkan tugasan di rumah atau tanggungjawab yang sesuai bagi individu untuk menyiapkannya
    5. Mengelakkan daripada menjadi terlalu melindungi sehingga membataskan aktiviti individu yang mengalami kemerosotan kognitif ringan
    6. Melibatkan individu dengan kemerosotan kognitif ringan dalam acara-acara sosial dan aktiviti kemasyarakatan
    7. Memberi arahan mudah dan tidak terlalu banyak pada satu masa
    8. Memudahkan gaya percakapan jika orang yang dengan kemerosotan kognitif ringan menghadapi kesukaran untuk memahaminya

 

Rujukan:

  1. Alzheimer Society of Canada. Mild Cognitive Impairment. Diambil pada Mac 13, 2017 daripada http://www.alzheimer.ca/~/media/Files/national/Other%20dementias/other_dementias_MCI_e.pdf”>http://www.alzheimer.ca/~/media/Files/national/Other dementias/other_dementias_MCI_e.pdf
  2. Center for Gerantology. Mild Cognitive Impairment: What Do We Do Now? Diambil pada Mac 13,2017 daripada http://www.gerontology.vt.edu/docs/Gerontology_MCI_final.pdf”>http://www.gerontology.vt.edu/docs/Gerontology_MCI_final.pdf
  3. Cognitive Neurology and Alzheimer’s Disease Center of Northwestern University Feinberg School of Medicine. Mild Cognitive Impairment. Diambil pada Mac 13, 2017 daripada http://www.brain.northwestern.edu/pdfs/Disease%20Summaries/mci.pdf”>http://www.brain.northwestern.edu/pdfs/Disease%20Summaries/mci.pdf
  4. Mayo Clinic. Mild Cognitive Impairment. Diambil pada Mac 14, 2017 daripada http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/mild-cognitive-impairment/manage/ptc20206212″>http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/mild-cognitive-impairment/manage/ptc20206212
  5. Petersen, R.C., Smith, G.E., Waring, S.C., Ivnik, R.J., et al.(1999). Mild Cognitive Impairment: Clinical Characterization and Outcome. Archive Neurology, 56, 303- 308.
  6. Petersen, R.C.(2004). Mild Cognitive Impairment as a Diagnostic Entity. Journal of Internal Medicine, 256, 183-194.
  7. Petersen, R.C., Caracciolo, B., Brayne, C., Gauthier, S.et al(2014). Journal of Internal Medicine, 275, 214-228.
Semakan Akhir : 29 Mei 2017
Penulis : Dr. Layuza bt. Aliasad
Akreditor : Dr. Chin Loi Fei

Artikel Berkaitan

Keperluan Lain

Terdapat beberapa keperluan lain yang juga penting bagi memastikan warga

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,624

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia