Pengenalan
- Semasa proses penuaan, warga emas mungkin mengalami masalah pendengaran dan sukar mengekalkan keseimbangan badan.
- Perubahan ini berlaku kerana sebahagian daripada struktur di dalam telinga yang membantu pendengaran dan keseimbangan badan merosot dengan umur.
- Tambahan pula, tahi telinga biasanya lebih mudah terkumpul di kalangan warga emas dan ini boleh mengganggu proses pendengaran.
- Kepentingan mendengar bukan sahaja perlu untuk memahami maksud percakapan, ia juga boleh mempengaruhi interaksi, pemikiran dan kemahiran seseorang warga emas.
Tanda dan gejala
- Tahi telinga mungkin menjadi lebih pekat dan perlu dikeluarkan dengan bantuan di kalangan warga emas.
- Kehilangan pendengaran bunyi dengan frekuensi tinggi atau nada tinggi (presbycusis) boleh berlaku. Semasa proses penuaan, warga emas mula menyedari bahawa sesetengah bunyi peralatan muzik menjadi kurang jelas. Warga emas juga menghadapi masalah memahami percakapan wanita dan kanak-kanak kerana nada suara mereka lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Mungkin yang paling mengganggu untuk warga emas ialah orang di sekitarnya sentiasa kelihatan bercakap dengan suara yang lembut dan sukar difahami.
- Sukar mendengar apabila terdapat kebisingan pada latar belakang (recruitment). Sebagai contoh, warga emas menghadapi masalah pendengaran terutamanya di tempat yang bising atau di tempat orang ramai.
Komplikasi
- Masalah pendengaran mungkin mengakibatkan pengasingan sosial, peningkatan risiko sakit jiwa terutamanya syak-wasangka (paranoia) dan menjejaskan kesihatan warga emas.
- Ia juga boleh mengakibatkan bunyi bising di telinga (tinnitus), pening dan ketidakseimbangan pada warga emas.
- Ia juga boleh meningkatkan risiko kemalangan kerana kurang amaran dari segi pendengaran.
Rawatan
- Warga emas yang mengalami masalah pendengaran perlu digalakkan untuk memakai alat bantuan-dengar.
- Alat tersebut boleh membantu warga emas dengan masalah pendengaran mendengar dengan lebih jelas lagi.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis/Penyemak | : | Dr. Ho Bee Kiau |