A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Pembelian dan pembekalan ubat...

Pembelian dan pembekalan ubat terkawal

Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh pengguna untuk membuat pembelian ubat terkawal tanpa preskripsi seperti pembelian secara haram melalui internet, penjualan haram di klinik atau farmasi dan ubat tradisional yang dicampur bahan ubat terkawal.

Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh pengguna untuk membuat pembelian ubat terkawal tanpa preskripsi seperti pembelian secara haram melalui internet, penjualan haram di klinik atau farmasi dan ubat tradisional yang dicampur bahan ubat terkawal.

Maksud Ubat Terkawal

Ubat terkawal adalah ubat yang dikawal melalui peruntukan-peruntukan bawah Akta Racun 1952. Ubat-ubat ini dikelaskan sebagai Ubat Kumpulan B dan Ubat Kumpulan C di bawah akta tersebut.

Ubat Kumpulan B di bawah Akta Racun 1952 ini hanya boleh dijual atau dibekal untuk tujuan rawatan oleh pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar untuk pesakit mereka sahaja. Penjualan atau pembekalan oleh ahli farmasi berlesen pula hanya boleh dibuat dengan adanya preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar.

Contoh Ubat Kumpulan B adalah seperti ubat darah tinggi dan kencing manis.

Ubat Kumpulan C hanya boleh dijual atau dibekalkan untuk tujuan rawatan perubatan, pergigian atau haiwan, oleh pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar atau dijual dan dibekalkan oleh ahli farmasi berlesen di premis seperti yang dinyatakan dalam lesennya.

Contoh Ubat Kumpulan C adalah seperti antasid dan dekongestan.

Senarai bahan-bahan dalam ubat yang dikawal sebagai racun dan pengkelasannya boleh disemak bawah Senarai Racun, Jadual Pertama, Akta Racun 1952.

Pengkelasan ubat dibuat berdasarkan risiko ubat terhadap pengguna. Ubat Kumpulan B mempunyai risiko lebih tinggi berbanding ubat Kumpulan C.

Bagi maksud artikel ini, perbincangan berkenaan ubat terkawal adalah lebih menjurus kepada Ubat Kumpulan B.

Keperluan Preskripsi Menurut Undang-Undang

Preskripsi bermaksud arahan yang dibuat oleh doktor yang mengarahkan pemberian ubat bagi tujuan rawatan kepada pesakit.

Seksyen 21, Akta Racun 1952 menyatakan keperluan preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar bagi urusan pembelian/penjualan dan pembekalan ubat terkawal Kumpulan B.

Setiap preskripsi mestilah mematuhi peraturan dengan mengandungi butir-butir seperti berikut:

  1. tandatangan doktor dan tarikh
  2. alamat doktor
  3. nama dan alamat pesakit
  4. jumlah ubat untuk dibekalkan dan dos
  5. berapa kali ubat dibekalkan dan kekerapan

Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang dan disabitkan kesalahan bawah Akta Racun 1952, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 3,000.00 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesan Pembelian Ubat Terkawal Tanpa Preskripsi

Pembelian dan pengambilan ubat terkawal tanpa preskripsi boleh membawa pelbagai kesan buruk kepada pengguna.

Sekiranya pengguna membeli ubat terkawal tanpa preskripsi, keadaan pesakit mungkin tidak dirawat dengan baik. Dalam kes ubat darah tinggi misalnya, doktor perlu pantau tekanan darah seseorang dan mempreskrib ubat dan dos yang bersesuaian. Sekiranya dos terlalu tinggi pula, terdapat risiko tinggi kesan sampingan terutamanya pengambilan ubat berlebihan dos.

Bagi pesakit diabetes misalnya, diabetes yang tidak dikawal dengan dengan baik boleh membawa kepada kesan seperti kerosakan mata.

Terdapat sesetengah ubat yang mempunyai indeks terapeutik yang rendah. Ubat jenis ini perlu dipantau dengan rapi. Justeru itu, sangat penting supaya pengguna dapatkan nasihat yang betul berkenaan penggunaan ubat terbabit.

Antibiotik adalah antara contoh ubat Kumpulan B yang dikawal bawah Akta Racun 1952. Pembelian ubat terkawal seperti antibiotik tanpa preskripsi boleh membawa kepada rintangan antibiotik. Rintangan antibiotik adalah keadaan yang berlaku apabila bakteria resistan kepada ubat antibiotik tertentu. Ini membawa kepada jangkitan semula yang lebih teruk. Apabila ini berlaku, antibiotik yang telah digunakan tidak berkesan lagi dan memerlukan antibiotik yang lebih kuat kesannya. Pengambilan antibiotik pada dos yang lebih tinggi juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih teruk kepada pesakit.

Bagi ibu hamil, pengambilan ubat terkawal tanpa rujukan orang yang bertauliah boleh memberi kesan terhadap kehamilan.

Sekiranya membeli pil perancang kehamilan tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi ianya boleh memberi kesan buruk contohnya kepada pesakit darah tinggi sehingga boleh menyebabkan strok.

Membeli ubat terkawal tanpa preskripsi secara haram juga boleh membawa kepada penyalahgunaan ubat. Contohnya adalah seperti penyalahgunaan ubat tidur sehingga ketagihan.

Kesan interaksi ubat dengan ubat dan interaksi ubat dengan makanan boleh membawa kesan buruk kepada pengguna.

Pembelian ubat terkawal tanpa merujuk kepada pegawai yang bertauliah juga boleh menyebabkan polypharmacy.

Peranan Pengguna

  • Pengguna perlu memastikan doktor membekalkan preskripsi bagi ubat terkawal.
  • Pengguna perlu memastikan preskripsi mengandungi semua yang diperlukan dalam sebuah preskripsi untuk menjadikannya sah.
  • Pengguna perlu melaporkan sebarang penjualan ubat terkawal tanpa preskripsi kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.
  • Pengguna perlu menggunakan ubat dengan betul mengikut arahan yang diberikan.
  • Pengguna perlu berbincang dengan ahli farmasi atau doktor sekiranya terdapat persoalan mengenai ubat-ubatan yang diambil.
  • Pengguna perlu memahami bahawa pembelian ubat terkawal tanpa preskripsi adalah salah di sisi undang-undang.

Rujukan

  1. Akta Racun 1952
Semakan Akhir : 01 Jun 2015
Penulis : Nurhafizah bt. Hasan
Akreditor : Mazlan bin Ismail

 

Artikel Berkaitan

Pengambilan Ubat-ubatan Secara Teratur

Mengapa penting untuk mengambil ubat dengan betul? Ubat hanya berfungsi jika anda mengambilnya. Oleh itu memastikan pengambilan ubat-ubatan anda adalah sangat penting. Ini bagi membolehkan keadaan atau penyakit yang dihidapi dirawat atau diuruskan secara optimum.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,226

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia