A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Rekod Perubatan
  6. /
  7. Perundangan Dan Pengurusan Laporan...

Perundangan Dan Pengurusan Laporan Perubatan

Pengenalan

Hubungan simbiotik yang telah lama wujud di antara sistem perundangan dan bidang perubatan adalah sangat unik dan menarik, malah sering menjadi perdebatan sehingga ke hari ini. Kedua-dua bidang tersebut saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dalam memastikan proses sistem pentadbiran keadilan sesebuah negara sentiasa terpelihara.

Kepentingan keterangan pengamal perubatan di mahkamah adalah sebahagian dari penentuan kepada keputusan penghakiman sama ada melibatkan kes-kes jenayah seperti bunuh dan rogol ataupun kes-kes tuntutan sivil yang diakibatkan oleh kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh faktor bukan jenayah.

Selain dari keterangan pengamal perubatan di mahkamah, pengurusan penyediaan laporan perubatan merupakan salah satu medium komunikasi di antara pengamal perubatan dan sistem undang-undang. Dalam keadaan ini, seseorang pengamal perubatan harus memahami akan asas undang-undang yang berkaitan dengannya.

Peranan Perundangan Dalam Pengurusan Laporan Perubatan

Laporan perubatan adalah dokumen yang disediakan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pengamal pergigian berdaftar yang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia (Akta Fi 1951–Perintah Fi (Perubatan) 1982 mengenai masalah kesihatan dan rawatan yang diperolehi oleh seseorang pesakit di hospital atau mana-mana kemudahan kesihatan berdasarkan rekod perubatan pesakit tersebut (Dipetik dari Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.16/2010 – Garispanduan Penyediaan Laporan Perubatan di Hospital-hospital dan Institusi Perubatan).

Tujuan laporan perubatan disediakan adalah untuk tuntutan insuran, pampasan, perundangan, pemeriksaan lembaga perubatan, siasatan, kajian dan lain-lain. Oleh itu, pengamal perubatan adalah bertanggung jawab untuk menyediakan laporan perubatan yang komprehensif apabila dipohon oleh pesakit atau waris, ibu/bapa/penjaga yang sah bagi pesakit di bawah umur atau majikan, pihak insuran, peguam dan lain-lain yang telah diberi kebenaran khusus dari pesakit.

Kod etika pengamal perubatan telah menetapkan bahawa sesuatu laporan perubatan boleh dimulakan dengan satu kenyataan ringkas pengamal perubatan yang dilantik dan khusus, pengamal perubatan yang diberi kuasa untuk menulis laporan perubatan, laporan yang ditulis berdasarkan kandungan rekod perubatan dan apa-apa keadaan khas yang diperlukan olehnya.

Menurut Simon & Davis (1995), persetujuan untuk melepaskan maklumat perubatan kepada pihak ketiga perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum sesuatu proses laporan perubatan dikeluarkan kepada pemohon. Pesakit atau pemohon perlu berupaya untuk memberi keizinan, manakala di pihak hospital atau pengamal perubatan pula memerlukan kefahaman yang jelas tentang implikasi pelepasan maklumat perubatan tersebut. Mereka turut menambah, bahawa pelepasan maklumat perubatan yang berpotensi sebagai kes medico-legal tanpa kebenaran yang sah adalah sesuatu yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang. Walaupun akan berlaku dalam keadaan tertentu pihak hospital enggan melepaskan maklumat perubatan yang diperlukan, pemohon sama ada pesakit atau wakilnya iaitu peguam boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk melepaskannya. 

Definisi Perundangan Dan Hubung Kait

Dalam masyarakat moden sekarang, undang-undang mempunyai pengertian yang semakin kompleks kerana fahaman undang-undang memang tidak statik. Undang-undang bermaksud satu set peraturan, sama ada disetujui umum atau dibuat melalui badan perundangan (badan statut – akta, enakmen, ordinan) untuk melindungi, mengatur dan memelihara hak seseorang serta untuk mewujudkan keharmonian sosial.

Manakala laporan perubatan merupakan satu maklumat berbentuk laporan yang diambil secara keseluruhan atau sebahagian darinya maklumat yang terkandung dalam Rekod Perubatan Pesakit (RPP). Maklumat yang perlu ada di dalam sesuatu laporan perubatan adalah seperti berikut:

  • Data pengenalan pesakit
  • Tarikh dan masa kemasukan atau rawatan, sejarah ringkas
  • Penemuan pemeriksaan
  • Hasil siasatan yang berkaitan
  • Diagnosis
  • Rawatan
  • Pelan pengurusan – discaj, temujanji dan sebagainya

Sekiranya sesuatu pendapat yang diminta adalah berkaitan dengan perihal pekerjaan, tahap hilang upaya, pengurusan dan lain-lain, hal tersebut harus dipisahkan dari fakta-fakta dalam laporan dan dikenal pasti sebagai pendapat atau cadangan dari pengamal perubatan.

Dari sudut perhubungan perundangan dan pengurusan laporan perubatan, terdapat beberapa perkara yang telah dinyatakan dengan jelas bagi mengaitkan hubungan kedua-duanya iaitu:

  1. Tatacara/prosedur laporan perubatan disedia dan dikeluarkan kepada pemohon secara sah walaupun dalam situasi tertentu akan wujudnya beberapa implikasi di luar jangka.
  2. Surat kebenaran dari pesakit/waris yang membolehkan pelepasan kepada pihak hospital dari sebarang tindakan perundangan yang berkaitan dengannya.
  3. Hak pesakit ke atas RPP yang merangkumi maklumat rawatan serta lain-lain penyiasatan yang dijalankan ke atasnya hanya dikeluarkan oleh pihak hospital dalam bentuk laporan perubatan sahaja.
  4. Bayaran yang telah ditetapkan oleh Akta Fi 1951 – Perintah Fi (Perubatan) 1982.
  5. Laporan perubatan yang disediakan boleh digunakan sebagai bukti keterangan bagi dalam prosiding jenayah atau sivil yang mana secara langsung akan melibatkan pesakit, pengamal perubatan, pihak ketiga dan badan kehakiman itu sendiri.

Perundangan Dalam Pengurusan Laporan Perubatan

Menurut etika perubatan, sesuatu Rekod Perubatan Pesakit (RPP) dikategorikan sebagai ”SULIT” baik sama ada dari segi kerahsiaan atau keselamatan kandungan maklumat di dalamnya. Oleh itu, setiap kompilasi maklumat yang berkaitan dengan sejarah perawatan pesakit hendaklah direkodkan di dalam RPP dengan lengkap, dijaga dan disimpan di bawah tanggungjawab pengurusan hospital. Manakala dari aspek perundangan, hal ini disokong dengan merujuk kepada keterangan Perenggan 9 Garis Panduan Pengendalian dan Pengurusan Rekod Perubatan melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.17/2010 yang menyatakan bahawa:

”RPP secara fizikalnya adalah hak milik hospital manakala maklumat dalam adalah hak milik pesakit. Sebarang kes yang melibatkan atau berpotensi menjadi kes medico-legal hendaklah disimpan berasingan di tempat yang selamat. RPP berkenaan tidak boleh diserahkan kepada mana-mana pihak tanpa kelulusan Pengarah Hospital. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perintah mahkamah untuk pihak hospital menyerahkan salinan RPP kepada mana-mana orang, pihak hospital hendaklah mematuhi perintah mahkamah tersebut”.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa RPP bukanlah sesuatu yang boleh diakses oleh mana-mana pihak melainkan melalui perintah mahkamah atau kebenaran daripada Pengarah Hospital sendiri.

Namun, dari aspek perundangan dalam pengurusan laporan perubatan, sekiranya terdapat permohonan dari peguam bagi mendapatkan apa-apa maklumat yang berkaitan dengan perawatan pesakit termasuklah RPP, Internal Inquiry Reports dan Notes of the Internal Query Proceedings tanpa mengemukakan secara rasmi permohonan laporan perubatan atau pihak peguam menyatakan bahawa pihak hospital enggan mengemukakan dokumen-dokumen yang diminta, isu dan pandangan perundangan bagi kes berikut adalah tertakluk kepada Perenggan 11 Garis Panduan Pengendalian dan Pengurusan Rekod Perubatan melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.17/2010 yang menyatakan bahawa:

“Maklumat rawatan serta lain-lain penyiasatan yang dijalankan ke atas pesakit hanya dikeluarkan oleh pihak hospital dalam bentuk laporan sahaja iaitu laporan perubatan, dan bukannya salinan RPP sebenar. Proses permohonan laporan perubatan adalah seperti dalam Garispanduan Laporan Perubatan Bagi Hospital-hospital dan Institusi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.”

Oleh demikian, pihak hospital boleh mengemukakan laporan perubatan pesakit kepada pihak peguam melalui permohonan atau keizinan ahli keluarga pesakit sendiri. Pandangan perundangan turut menekankan bahawa maklumat rawatan pesakit hanya boleh dikeluarkan kepada pesakit dalam bentuk laporan sahaja iaitu melalui suatu laporan perubatan dan bukannya rekod perubatan sebenar. Laporan perubatan tersebut mestilah mengandungi nama pegawai perubatan yang merawat pesakit di mana, pegawai perubatan ini akan dipanggil untuk mengesahkan kandungan sesuatu laporan perubatan yang ditandatangani di hadapan mahkamah.

Oleh itu, dari sudut perundangan bagi pengurusan kes-kes medico-legal sehingga perintah mahkamah diperolehi, pihak hospital tidak wajar mengemukakan apa-apa dokumen kepada pemohon dan isu-isu yang berkaitan dengan kos yang akan ditanggung oleh pihak Kerajaan atau sebaliknya adalah bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk menentukannya. Oleh itu, dari perspektif perundangan, pihak hospital adalah terikat kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Rumusan

Perundangan dan bidang perubatan pada abad ini sering meletakkan seseorang pengamal perubatan dalam keadaan serba salah iaitu antara melanggar etika atau mematuhi peraturan undang-undang. Sebagai contoh, seorang pengamal perubatan adalah terikat dalam menjaga hubungan kerahsiaan pesakitnya iaitu dengan merujuk kepada Kod Amalan Profesional Majlis Perubatan Malaysia. Namun, dalam keadaan tertentu, konsep etika terpaksa diketepikan akibat keperluan proses perundangan. Merujuk kepada kes W lwn Egdell (1990) di sebuah mahkamah di England, seorang pegawai perubatan psikiatri terpaksa melanggar prinsip kerahsiaan dengan pesakitnya yang didapati mempunyai kecenderungan untuk membunuh. Dalam kes tersebut, walaupun tidak mendapat keizinan pesakit, mahkamah memutuskan bahawa pendedahan itu adalah munasabah demi menjaga kepentingan awam.

Secara umumnya, laporan perubatan yang disediakan boleh digunakan sebagai bukti keterangan bagi dalam prosiding jenayah atau sivil yang mana secara langsung akan melibatkan pesakit, pengamal perubatan, pihak ketiga dan badan kehakiman itu sendiri. Dalam keadaan ini, seseorang pengamal perubatan harus bersedia dan perlu memahami akan asas undang-undang yang berkaitan dengannya dalam menghadapi cabaran dan masalah yang dihadapi dalam sistem perundangan dan bidang perubatan pada hari ini.

Rujukan

  1. Noor, S. A. (2000). Utusan Malaysia. Retrieved 9 3, 2016, from Perundangan & Perubatan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0328&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4KiNgij4D
  2. Yang & Wells (1995). Emergency Medicine, The Royal Children, Melbourne Hospital. Retrieved 9 15, 2016, from Writing a Good Medical Report: http://www.rch.org.au/clinicalguide/guideline_index/Writing_a_good_medical_report/
  3. Garispanduan Pengendalian dan Pengurusan Rekod Perubatan Pesakit bagi Hospital-Hospital dan Institusi Perubatan. Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.17/2010. Jun 2010. Kementerian Kesihatan Malaysia
  4. Garispanduan Penyediaan Laporan Perubatan di Hospital-Hospital dan Institusi Perubatan. Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.16/2010. Jun 2010. Kementerian Kesihatan Malaysia 
  5. Guideline of The Malaysian Medical Council, MMC Guideline 002/2006, Medical Records and Medical Reports, Malaysian Medical Council
  6. Rencana: Pengertian Undang-Undang bertarikh 13 April 2014. Utusan Malaysia; http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0413&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4KlTKoqtf
Semakan Akhir : 27 Mac 2017
Penulis : En. Harishardy Bin Ishak
Akreditor : En. Mior Zakuan Bin Ahmad

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,538

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia