A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Ubat-ubatan dalam rawatan gout

Ubat-ubatan dalam rawatan gout

Fakta Gout

  • Gout adalah sejenis arthritis yang menyebabkan keradangan, biasanya berlaku dalam satu sendisecara tiba-tiba seperti sendi besar di ibu jari kaki. Ia disebabkan oleh pemendapan kristal asid urik di dalam sendi.
  • Kristal asid urik ini merengsakan tisu di dalam sendi yang menyebabkan keradangan,bengkak dan kesakitan. Walau bagaimanapun, kadang-kala gout yang teruk boleh menjejaskan banyak sendi pada satu-satu masa. Ini dikenali sebagai gout polyarticular. Kesakitan ini mungkin berlarutan untuk tempoh 12 hingga 24 jam selepas ia bermula.
  • Pencetus untuk serangan gout ialah termasuk pembedahan, dehidrasi, minuman manis dengan gula atau sirap tinggi fruktosa, minuman keras, daging merah dan makanan laut.
  • Gout kronik dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan yang merendahkan tahap asid urik di dalam badan. Jika tidak dirawat, gout boleh menyebabkan kerosakan kekal dengan masalah buah pinggang dan pemendapan asid urik dalam tisu.
  • Lelaki lebih mudah mendapat gout berbanding wanita tetapi wanita menjadi semakin mudah terdedah kepada gout selepas menopaus.

Rawatan Gout

Apabila kesakitan gout yang dialami adalah sederhana, tidak kerap dan tidak serius, ia boleh dirawat dengan diet dan perubahan gaya hidup. Walau bagaimanapun, apabila serangan menjadi kerap, tahap asid urik adalah sangat tinggi, penghasilan batu karang, pembentukan tophi atau terdapat bukti keradangan sendi, ubat-ubatan adalah diperlukan untuk merawat penyakit ini.

Ubat yang dipilih adalah berdasarkan kepada kesihatan semasa dan tahap keseriusan gout yang dialami. Ubat gout boleh digunakan untuk merawat serangan secara tiba-tiba,ubat-ubatan untuk merendahkan paras asid urik dalam darah, ubat-ubatan profilaktik yang digunakan untuk mengurangkan risiko serangan gout berulang dalam tempoh enam bulan pertama rawatan dan juga ubat-ubatan untuk mengurangkan risiko komplikasi gout, seperti pembentukan tophi (bonjolan kecil yang terbentuk di bawah kulit) akibat pemendapan kristal asid urik.

Jenis-Jenis Ubat

  1. Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID). Contoh : ibuprofen, naproxen dan indomethacin

    NSAID boleh mengawal keradangan dan kesakitan pada sendi yang terlibat.Doktor boleh menetapkan dos yang lebih tinggi untuk menghentikan serangan akut , diikuti dengan dos harian yang lebih rendah untuk mengelakkan serangan berulang di masa depan.Iadapat melegakan serangan gout dengan cepat (dalam masa 12-24 jam). Walau bagaimanapun, NSAID hanya digunakan dalam tempoh yang singkat sahaja.

  2. Colchicine

    Jika seseorang tidak boleh mengambil NSAID, doktor boleh mencadangkan colchicine, iaitu sejenis ubat -yang berkesan mengurangkan kesakitan gout terutamanya apabila diberikan semasa serangan akut. Doktor boleh menetapkan dos harian colchicine yang rendah untuk menghalang serangan berulang di masa depan.

  3. Kortikosteroid

    Ubat kortikosteroid seperti prednisoneboleh mengawal keradangan dan kesakitan gout. Namun, kortikosteroid dikhaskan untuk orang-orang yang tidak boleh mengambil sama ada NSAID atau colchicine.

Ubat untuk mengurangkan risiko komplikasi yang berkaitan dengan gout. Pilihan yang ada termasuk :

  1. Ubat-ubatan yang menghalang pengeluaran asid urik.

    Ubat-ubatan yang menghalang pengeluaran asid urik. Ubat yang dipanggil perencat xanthine oxidase, contohnya allopurinol. Ubat ini menghadkan jumlah asid urik dalam darah. Allopurinol adalah ubat yang biasa digunakan untuk mencegah serangan gout. Allopurinol tidak mempunyai apa-apa kesan semasa serangan gout dan ia bukan ubat penahan sakit. Allopurinoltidak boleh dimulakan semasa awal mendapat serangan gout. Kebiasaannya, allopurinol akan dimulakan 1 hingga 2 minggu selepas serangan. Ia berfungsi dengan mengurangkan tahap asid urik dalam darah. Ia mengambil masa 2-3 bulan untuk berkesan sepenuhnya. Ia perlu diambil setiap hari untuk mengekalkan tahap asid urik yang normal untuk mencegah serangan gout. Kebiasaaannya allopurinol akan diberikan kepada:

    • Pesakit yang mempunyai dua atau lebih serangan gout dalam masa setahun.
    • Mempunyai satu atau lebih tophi (bonjolan kecil yang terbentuk di bawah kulit)
    • Berlaku kerosakan sendi atau buah pinggang kerana penyakit gout.
    • Terdapat satu atau lebih batu karang yang dibentuk daripada asid urik.
  2. Ubat yang meningkatkan penyingkiran asid urikseperti Probenecid

    Kebiasaannya ubat ini diberikan kepada mereka yang tidak menunjukkan kesan dengan pengambilan allopurinol.Ia meningkatkan keupayaan buah pinggang untuk mengeluarkan asid urik dari badan. Ini boleh menurunkan paras asid urik dan mengurangkan risiko gout, tetapi tahap asid urik dalam air kencing mungkin akan bertambah.

Kesan Sampingan Ubat

Untuk mengurangkan risiko kesan sampingan yang serius, doktor akan cuba mencari dos terendah yang dapat mengawal gejala-gejala gout dan memberikan steroid untuk masa yang paling singkat.

Jenis ubat
Kesan sampingan
Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) sakit perut, pendarahan dan ulser
Colchicine loya, muntah-muntah dan cirit-birit
Kortikosteroid keupayaan untuk melawan jangkitan menurun
Allopurinol ruam dan jumlah darah yang rendah
Probenecid ruam, sakit perut dan pembentukan batu karang

Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi dan maklumkan sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan agar rawatan yang paling sesuai boleh diberikan bagi mengawal penyakit yang dialami.

Tips Mengawal Kesakitan Akibat Gout

  • Minum air dengan banyak. Sekurang-kurangnya 8 hingga 16 gelas (kira-kira 2 hingga 4 liter) cecairsetiap hari. Hadkan pengambilan minuman manis dan bergas.
  • Hadkan atau elakkan pengambilan alkohol. Pengambilan alkohol terlalu banyak boleh menyebabkan peningkatan asid urik.
  • Makan makanan yang seimbang dengan melebihkan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan rendah lemak.
  • Dapatkan protein dari produk tenusu rendah lemak. Elakkan diet dengan pengambilan protein yang tinggi dan makanan yang kaya dengan purin, contohnya hati dan makanan laut.
  • Senaman yang kerap dan berhenti merokok sangat digalakkan.
  • Kekalkan berat badan yang diingini. Penurunan berat badan boleh mengurangkan paras asid urik dalam badan.

Rujukan:

  1. Mayoclinic.org. Gout Definition-Diseases and Conditions. Retrieve fromhttp://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gout/basics/definition/con-20019400
  2. Mayoclinic.org. Gout Definition-Diseases and Conditions. Retrieve fromhttp://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gout/basics/treatment/con-20019400
  3. Medicinenet.com.Gout (Gouty arthritis). Retrieve from http://www.medicinenet.com/gout_gouty_arthritis/article.htm
  4. Patient.co.uk.Gout.Retrieve from http://www.patient.co.uk/health/gout-leaflet
Semakan Akhir : 05 Januari 2015
Penulis : Atika Mahfuza bt. Mahbub
Akreditor : Norhayati bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

Antihistamin

Pendahuluan Antihistamin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat alahan/alergi.

Ubat Ketuat

Ketuat ialah ketumbuhan kecil pada kulit yang disebabkan oleh virus

Hydroquinone dalam sediaan kosmetik

Hydroquinone hanya dibenarkan untuk produk kosmetik sediaan kuku palsu bagi kegunaan professional sahaja. Hydroquinone atau campuran bersama p-hydroxyanisole berfungsi sebagai penstabil di dalam produk sediaan kuku palsu dan had kepekatan maksimum yang dibenarkan adalah sehingga 0.02% selepas dicampur. Di samping itu, produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone perlu dielakkan daripada terkena kulit dan amaran tersebut perlu dinyatakan dengan jelas pada label.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,647

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia