A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Iklan Haram : Jangan...

Iklan Haram : Jangan Terpedaya

Pengenalan

Iklan haram adalah iklan yang tiada kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Iklan sebegini boleh ditemui samada di media cetak, elektronik, laman-laman web, blog, facebook, tiang lampu trafik dan tempat tumpuan awam. Kaedah ini telah menjadi satu strategi pemasaran yang popular bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempromosikan produk mereka.

Iklan-iklan ini kebanyakkannya memuatkan kenyataan superlatif seperti ‘Dijamin’, ‘Berkesan’, ‘Tiada Kesan Sampingan’, ‘Ajaib’, ‘No. 1’ dan sebagainya. Tidak terkecuali kebanyakkannya menawarkan janji-janji manis yang diragui kesahihannya. Selain itu iklan haram sering memuatkan kenyataan yang tidak bermoral terutamanya berunsur lucah. Contohnya peningkatan prestasi seksual samada secara terang atau tersirat semata-mata untuk menarik perhatian pengguna. Lebih membahayakan terdapat pula pelbagai testimoni dari pengguna-pengguna yang diragui kesahihannya.

Waspada Iklan Haram

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan haram yang mengelirukan dan berhenti menggunakan produk-produk tersebut. Mereka juga diingatkan agar menjauhkan diri dari membeli produk-produk kesihatan dari sumber yang tidak boleh dipercayai seperti di kaki-kaki lima, gerai-gerai, pasar-pasar dan internet. Orang awam juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh khususnya iklan-iklan di laman sosial seperti facebook. Anda dinasihatkan agar mendapat nasihat kesihatan dari pengamal perubatan yang bertauliah dan bukannya dari sumber-sumber iklan yang diragui kesahihannya. Produk-produk yang tidak berdaftar, dicampurpalsu atau kosmetik tidak bernotifikasi adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan.

Antara rantaian iklan haram yang boleh ditemui di internet adalah:

  • Iklan dari facebook menghubungkan kepada website/blog
  • Iklan dari emel berantai menghubungkan kepada website/blog/laman sosial
  • Iklan dari TV atau radio menghubungkan kepada website/blog/laman sosial
  • Iklan dari media bercetak contohnya surat khabar atau majalah menghubungkan kepada to website/blog/laman sosial
  • Dan sebagainya

Walau apapun kaedah rantaian iklan haram tersebut, pengguna dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tuntutan-tuntutan perubatan yang dibuat.

Bagi iklan kosmetik pula, penggunaan tuntutan perubatan adalah dilarang kerana takrifan kosmetik seharusnya hanya meliputi produk untuk kegunaan luaran sahaja contohnya sebagai menyegarkan, mencuci dan mewangi.

Kawalan Iklan Perubatan

KKM mengawal pengiklanan produk dan perkhidmatan kesihatan melalui Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Hanya produk berdaftar sahaja dibenarkan untuk diiklankan. Kelulusan iklan ubat diberikan berdasarkan kepada Garis Panduan Pengiklanan Produk yang boleh didapati di laman web www.pharmacy.gov.my

Produk-produk berdaftar adalah dijamin selamat untuk dimakan dan digunakan. Produk-produk tersebut telah melalui fasa pendaftaran yang ketat sebelum diletakkan di dalam pasaran. Tuntutan-tuntutan perubatan pada iklan yang diluluskan oleh LIU adalah diakui sahih. Hanya indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM sahaja dibenarkan untuk dimuatkan dalam iklan tersebut.

Bagaimana Kenalpasti Iklan Yang Telah Diluluskan?

Pengguna diminta agar tidak terkeliru di antara nombor pendaftaran MAL dengan nombor siri kelulusan iklan KKLIU.

NO. PENDAFTARAN MAL NO. SIRI KELULUSAN KKLIU
CONTOH MAL12345678X KKLIU/1234/2013
WAJIB Pada produk Pada Iklan
PIHAK BERKUASA Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Lembaga Iklan Ubat

Ini melibatkan kelulusan iklan bagi produk kategori:

  • Suplemen;
  • Ubat-ubatan tradisional dan
  • Produk over-the-counter yang berdaftar dengan PBKD, KKM

Pengiklanan produk kesihatan dan kecantikan adalah dilarang sama sekali untuk membuat tuntutan perubatan terhadap:

  • 20 jenis penyakit bagi tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis. Antaranya penyakit darah tinggi, kencing manis, kanser, kemandulan, dan lain-lain penyakit
  • peningkatan fungsi buah pinggang atau jantung
  • peningkatan performan seksual
  • pengguguran

Pengawalan ini adalah bertujuan untuk memastikan integriti iklan; maklumat yang sampai kepada pengguna tidak mengelirukan, tepat dan disokong dengan bukti-bukti yang sahih.

Kesalahan

Mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam penyiaran iklan yang melibatkan larangan penyakit dan tanpa kelulusan daripada LIU boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Kesalahan pertama denda RM3000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya dan kesalahan susulan denda RM5000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya.

Semakan Lanjut

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk/kosmetik dengan melayari laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my. Portal ini menyediakan maklumat yang lengkap seperti status pendaftaran produk, keterangan produk, alamat pengilang, bungkusan luaran dan label. Selain itu orang awam boleh menyemak produk yang telah ditarik balik dari pasaran.

Rujukan

Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Disemak 1983)

Semakan Akhir : 02 September 2013
Penulis : Normawati bt. Mohamed Noor
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Ubat dan Asma

Bagaimanakah penyakit asma dirawat? Secara umumnya, matlamat rawatan asma adalah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,902

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia