A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Dermatitis Sentuh Alergik

Dermatitis sentuh alergik adalah alahan pada kulit akibat bersentuhan dengan bahan-bahan penyebab alahan (alergen).

Dermatitis sentuh alergik adalah alahan pada kulit akibat bersentuhan dengan bahan-bahan penyebab alahan (alergen). Ia adalah sejenis alahan kulit eksogen atau berlaku dari faktor luaran. Biasanya kulit menjadi gatal dan mengalami tindak balas alahan akibat terdedah kepada alergen tertentu. Selain itu, kulit boleh menjadi kemerah-kemerahan, bengkak (edema) dan melepuh. Penyakit ini tidak berjangkit atau mengancam nyawa tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan dengan rasa gatal yang teruk.  Antara alergen termasuklah logam nikel, minyak wangi, alat solek/bahan kosmetik, pewarna rambut dan tumbuh-tumbuhan. Sesetengah alergen menyebabkan tindak balas apabila terdedah kepada cahaya matahari selepas diguna/dipakai. Ia dikenali sebagai alahan dermatitis sentuhan cahaya. Ia biasanya berpunca dari produk pelindung matahari yang mengandungi oxybenzone dan cinnamates.

Dermatitis sentuh alergik adalah berbeza daripada irritant contact dermatitis. Irritant contact dermatitis menpunyai tindak balas kulit yang serupa tetapi ia berlaku akibat sentuhan yang keterlaluan dengan perengsa (irritant) sehingga boleh merosakkan kulit. Contoh perengsa termasuklah air, sabun, bahan pencuci, bahan pelarut, serta bahan yang berasid dan alkali. Irritant contact dermatitis boleh memberi kesan kepada individu yang kerap terdedah dengan perengsa terutamanya individu yang mempunyai penyakit kulit di mana lapisan permukaan kulit terjejas contohnya individu dengan ekzema atopik. Irrittant contact dermatitis adalah lebih kerap berlaku daripada dermatitis sentuh alergik.

Tanda dan Gejala

Tanda dan gejala termasuk kulit gatal, radang, kemerah-merahan atau lebam merah, melepuh, berkerak, merekah dan berair. Secara klinikal, ekzema berlaku pada kawasan  alahan tetapi bagi kes yang teruk, ia boleh merebak ke bahagian tubuh  yang lain walaupun  bahagian tersebut  tidak mengalami alahan.

Di bawah adalah beberapa contoh dermatitis sentuh alergik:

Ekzema di cuping telinga akibat dermatitis sentuh alergik dengan anting-anting yang mengandungi nikel.
Ekzema leher akibat dermatitis sentuh alergik terhadap minyak wangi.
Mata gatal dan merah akibat dermatitis sentuh alergik dengan kloramfenikol yang terdapat dalam ubat mata.

Komplikasi

  • Keradangan kulit boleh menyebabkan jangkitan kulit akibat bakteria dan kulat .
  • Menggaru secara berterusan menyebabkan kulit menjadi tebal, keras dan pigmentasi kulit. Ini dikenali sebagai neurodermatitis atau liken simpleks kronik.

Diagnosa

  • Tiada ujian yang spesifik. Sejarah latar belakang penting bagi mengenalpasti sebarang alergen di tempat kerja atau di rumah. Individu disyaki mengalami alahan dermatitis sentuh ini apabila terdapat hubungan yang jelas dengan alergen dan ekzema. Contohnya individu semakin sembuh apabila tidak terdedah atau bersentuhan dengan alergen. Corak ekzema adalah tidak simetri atau linear. Ia kerap berlaku pada kulit di bahagian kelopak mata, telinga, tangan, kaki, atau kelengkang.
  • Ujian tampalan boleh dijalankan oleh pakar dermatologi bagi mengesan alergen yang menyebabkan ekzema. Ujian ini di lakukan dengan menampal bahan yang berpotensi menyebabkan alahan di bahagian belakang badan pesakit. Selepas 2 hari, doktor akan membuka tampalan dan membuat pemeriksaan serta menilai tindak balas  yang berlaku.

Rawatan

  • Setelah mengenalpasti alergen melalui ujian tampalan, doktor akan mengenalpasti punca pesakit terdedah kepada alergen dan memberi nasihat bagi mengelakkan pendedahan kepada alergen.
  • Bagi merawat ekzema yang teruk, rendam bahagian yang terjejas dengan air garam atau kalium permanganat dan kemudian sapukan kortikosteroid topikal yang telah doktor preskripsikan.
  • Bagi kes yang kronik, rawatan biasanya terdiri daripada pelembap dan kortikosteroid topikal.
  • Bagi kes tertentu, ubat steroid telan mungkin diperlukan. Jika jangkitan bakteria berlaku, antibiotik akan diberikan kepada pesakit.

Pencegahan

  • Ketahui persekitaran anda bagi mengelakkan diri dari terdedah kepada alergen.
  • Gunakan sarung tangan sebagai pelindung ketika menjalankan kerja-kerja rumah.
  • Gunakan pelembap dengan kerap untuk melindungi kulit.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Akreditor : Dr. Noor Zalmy Azizah bt. Mohd Ali Azizan
Penterjemah : Norrahimah bt. Kassim
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Dermatitis Sentuh

Dermatitis sentuh adalah sejenis ekzema yang disebabkan oleh faktor luaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,925

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia