A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penggunaan Ubat
  6. /
  7. Semulajadi tidak semestinya selamat

Semulajadi tidak semestinya selamat

Emilya baru sahaja pulang ke rumah dari kelas di fakulti. Hatinya resah. Di kelas tadi kawan-kawan banyak menegur tentang kewujudan satu biji jerawat di dagunya. Teman baiknya juga mengejek yang kulitnya kini nampak kusam dan berminyak. Emilya mula mencari-cari di internet produk yang boleh membantu menghilangkan jerawat dan mencantikkan kulit. Matanya terpaut pada satu iklan.

“Produk ini dibuat 100% daripada produk semulajadi, tiada kesan sampingan”

Situasi begini sering berlaku dalam kehidupan seharian. Dalam kehidupan moden yang serba pantas, maklumat berkaitan kesihatan amat mudah diperolehi di hujung jari. Penjual-penjual juga amat kreatif dalam menggunakan kemajuan teknologi ini untuk menjual produk mereka.

Terma produk atau ubat-ubatan semulajadi seringkali digunakan oleh penjual untuk mempromosikan produk mereka. Persepsi umum, tidak mungkin satu produk yang datangnya dari sumber semulajadi boleh mendatangkan mudarat kepada mereka. Oleh itu, ramai orang yang cuba mencari alternatif dalam mengubati penyakit akan terpengaruh dengan produk-produk seperti ini.

Definisi Ubat

Ubat adalah apa-apa bahan yang digunakan untuk merawat, mencegah dan juga mendiagnos penyakit, samaada ia bahan semulajadi atau bahan komersial yang dibuat di makmal. Apabila ubat dimakan, ia akan memberikan perubahan fisiologi kepada sistem badan. Oleh itu, sekiranya seseorang minum air rebusan tongkat ali untuk menguatkan tubuh, air tersebut juga boleh dikategorikan sebagai ubat.

Tidak semua ubat dihasilkan di makmal. Sejak ribuan tahun yang lalu, bahan-bahan semulajadi terutamanya dari tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai ubat untuk merawat penyakit. Apabila teknologi perubatan semakin berkembang, kajian-kajian mendalam telah dilakukan ke atas tumbuhan yang digunakan sebagai ubat.

Kemajuan Kajian Berkaitan Ubat

Dengan alat dan kelengkapan yang sesuai, bahan aktif dalam tumbuhan tersebut, yang mendatangkan perubahan fisiologi kepada sistem badan telah dapat dikenalpasti. Bahan aktif tersebut kemudiannya diekstrak dan dikaji dengan lebih lanjut. Sekiranya sesuai, bahan ini kemudiannya akan ditiru dan dicipta semula dimakmal. Struktur kimia bahan tersebut boleh diubah bagi meningkatkan keberkesanannya ataupun mengurangkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Perkara ini mungkin susah untuk kita bayangkan kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Untuk membuatkan kita lebih faham, kita boleh bayangkan tumbuhan tadi sebagai sebiji buah durian. Untuk memakan buah durian, kita perlu kupas kulitnya kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada kita. Bijinya juga perlu dibuang walaupun kecil bagi mengelakkan kita tercekik. Apa yang kita makan cuma isi durian sahaja. Begitu juga dengan proses penghasilan ubat-ubatan.

Semenjak tahun 1980 hingga 2000, 28% dari ubat-ubatan yang baru dijumpai dan didaftarkan di pasaran dunia adalah berasal dari alam semulajadi. Selain itu, di kalangan ubatan yang baru didaftarkan tersebut, 24% adalah bahan kimia sintetik yang dihasilkan dengan meniru struktur kimia dari sumber alam semulajadi. Oleh yang demikian, kita tidak dapat nafikan terdapat banyak ubatan moden di pasaran yang berasaskan ataupun berasal dari tumbuh-tumbuhan dan sumber alam semulajadi.

Contoh Ubatan Moden dari Sumber Semulajadi

Ubat-ubatan yang dijual di farmasi dan digunapakai di hospital adalah tidak terlalu berbeza dengan ubatan dari alam semulajadi. Ini kerana pada asalnya banyak dari ubatan tersebut berasal dari alam semulajadi.

Contohnya, ubat aspirin yang digunakan untuk rawatan strok di hospital adalah berasal dari pokok willow. Ekstrak pokok willow dahulunya digunakan untuk merawat kesakitan dan inflamasi akibat kecederaan. Namun begitu, ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pendarahan. Selari dengan perkembangan teknologi dan perubatan, esktrak tersebut telah diuji dengan terperinci sehinggakan para pengkaji dapat mengetahui cara penggunaan bahan aktifnya dengan selamat dan mengurangkan kesan sampingannya.

Bawang putih yang sering digunakan secara tradisional untuk tujuan kesihatan, namun boleh mendatangkan masalah gastrointestinal dan juga meningkatkan risiko pendarahan. Bunga chamomile yang digunakan sebagai ubat penenang atau dimasukkan ke dalam minuman boleh menyebabkan beberapa kes alergi yang serius. Ginkgo biloba yang sering digunakan untuk melancarkan aliran darah dan meningkatkan daya memori pula berisiko mendatangkan rasa loya, muntah, pening dan pendarahan kepada pengguna. Berdasarkan pada contoh-contoh tersebut, kita tidak dapat nafikan penggunaan produk natural berasaskan dari sumber alam semulajadi juga boleh mendatangkan kesan sampingan sepertimana ubat-ubatan moden.

Tipu Helah Penjual

Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, tiada ubat yang benar-benar selamat dari kesan sampingan. Tidak kira ubat dari bahan semulajadi atau ubatan moden, keselamatan pengguna hanya akan terjamin sekiranya maklumat berkenaan ubat tersebut telah diketahui dengan lengkap. Masalah tarikh luput, dos, tempat simpanan, interaksi dengan ubat lain, interaksi dengan makanan dan berbagai isu lagi tidak boleh dipandang mudah.

Risiko kesan sampingan produk-produk tersebut akan menjadi lebih tinggi sekiranya ia diproses dan dijadikan dalam bentuk kapsul atau tablet dengan tidak mengikuti standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kontaminasi bahan kimia lain yang lebih berbahaya mudah untuk berlaku sekiranya proses tersebut dilakukan oleh pengilang atau penjual yang tidak berkelayakan. Selain itu, banyak juga penjual yang sengaja mencampurkan produk mereka dengan bahan terlarang untuk meningkatkan kesan produk mereka.

Salah faham berkaitan keselamatan ubat-ubatan dari sumber semulajadi bakal mendatangkan mudarat yang lebih teruk kepada ibu-ibu yang sedang hamil dan sedang menyusukan bayi. Kebanyakan dari produk-produk ini tidak mempunyai kajian tentang kesan penggunannya kepada kandungan dan bayi yang menyusu. Tidak berbaloi bagi seorang ibu mempertaruhkan kesihatan anak atau kandungan hanya kerana ingin mencuba ubat atau produk yang tidak diketahui tahap keselamatannya.

Nasihat Kepada Orang Awam

Apabila terlihat sesuatu iklan berkaitan ubat, terutamanya iklan-iklan yang mempromosikan ubatan tanpa kesan sampingan, kita perlu bersikap kritis. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menyemak samaada produk tersebut telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia atau tidak.

Utarakan juga soalan kepada penjual. Tanyakan tentang dos yang selamat, kesesuaian ubat mengikut peringkat umur, cara simpanan, tarikh luput, kesan sampingan, interaksi dengan ubat lain dan sebagainya.

Seterusnya rujuklah kepada ahli farmasi untuk bertanya mengenai produk tersebut. Ahli farmasi samaada di fasiliti kerajaan atau swasta akan sentiasa terbuka untuk memberikan maklumat-maklumat yang telus dan profesional berkaitan ubat-ubatan dan produk kesihatan. Jangan malu untuk bertanya kerana ahli farmasi adalah rakan ubat anda.

Selain dari itu, soalan berkaitan ubat-ubatan juga boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1 800 88 67 22. Pegawai farmasi yang bertugas akan sentiasa memberikan maklumat berkaitan ubat-ubatan kepada orang awam. Ingatlah semulajadi tidak bermakna selamat.

Semakan Akhir : 28 Februari 2017
Penulis : Fahmi bin Hassan
Akreditor : Nor Aida bt. Sanusi

Artikel Berkaitan

Kenali kosmetik anda

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai “bahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik ”.

Ubat Antidiabetik Dan Kehamilan

Bagi wanita yang mengalami diabetes semasa kehamilan, plasenta menghasilkan hormon yang boleh menganggu tindakan insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah. Maka, ia menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan boleh menjejaskan kesihatan bayi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,212

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia