A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Nafsu Makan: Antara Keperluan...

Nafsu Makan: Antara Keperluan dan Kehendak

Pengenalan

Teori Hierarchy of Needs menjelaskan bahawa makanan merupakan satu keperluan fisiologi yang perlu dipenuhi bagi meneruskan kelangsungan hidup seseorang manusia. Makanan merupakan suatu keperluan asas yang amat penting kepada tubuh badan manusia.

Setiap individu mempunyai pelbagai keinginan dan nafsu. Tidak ketinggalan setiap manusia juga mempunyai nafsu makan. Menjadi salah satu kenikmatan hidup bagi seseorang individu sekiranya nafsu makan ini dapat dipenuhi dan ditunaikan. Walaubagaimanapun, perhatian harus diberikan sekiranya nafsu makan ini dituruti dan dipenuhi  tanpa batasan yang sewajarnya kerana ini boleh memberi kemudaratan kesihatan diri seperti obesiti.

Mengikut kajian, Malaysia merupakan negara nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar obesiti yang tinggi. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati prevalen obesiti telah meningkat daripada 4.4% (NHMS 1996) dan14.0% (NHMS 2006) kepada 15.1% pada tahun 2011. Penekanan terhadap pemakanan yang sihat dan seimbang amat penting kepada rakyat Malaysia bagi mengurangkan risiko obesiti dan pelbagai penyakit tidak berjangkit yang lain seperti diabetes dan hipertensi.

Keperluan Dan Nafsu Makan

Makan merupakan salah satu aktiviti yang penting dalam kehidupan seharian seorang individu. Makan perlu bagi seseorang indivdu untuk meneruskan kehidupan dengan penuh bermakna dan bertenaga. Oleh itu, makanan perlu dalam kehidupan seseorang manusia untuk :

  1. Menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal

  2. Sentiasa cergas

  3. Mengekalkan tahap kesihatan yang baik

  4. Membekalkan tenaga dan nutrisi bagi melakukan aktiviti fizikal harian

Setiap individu memerlukan jumlah makanan yang berbeza mengikut jantina, umur serta aktiviti yang dilakukan. Justeru itu, sekiranya seseorang indvidu itu makan dengan kuantiti yang lebih daripada sepatutnya iaitu tidak bersesuaian dengan jantina, umur dan aktiviti seharian akan membawa kepada kemudaratan kesihatan diri seseorang. Cara makan ini lebih merujuk kepada makan menurut kehendak atau keinginan dan bukan lagi mengikut keperluan yang sewajarnya.

Gejala Makan Berlebihan

Contoh gejala makan berlebihan yang perlu diberi perhatian adalah:

  1. Makan Tidak Ikut Waktu

    • Makan ketika tidak rasa lapar. Individu ini selalu akan makan walaupun perut tidak lapar dan tidak mengikut waktu yang sepatutnya. Individu ini makan kerana ingin memuaskan nafsu makan sahaja dan tidak dapat menerapkan dalam diri dan mendisiplinkan diri berkaitan waktu makan yang betul dan sesuai.

  1. Pengambilan Lemak Terlalu Banyak

    • Individu ini mengambil makanan yang banyak mengandungi lemak dalam pemakanan seharian. Antara makanan yang mengandungi lemak yang banyak seperti mayonis, kekacang, mentega kacang, kerepek kentang, keju dan daging merah.

  1. Makan Tidak Ikut Keperluan Badan

    • Individu yang tidak dapat mengawal nafsu makan seringkali akan terus mengunyah makanan walaupun tubuh badannya telah memberikan tanda kekenyangan. Tanda kekenyangan tersebut sering diabaikan kerana keinginan terhadap makanan yang amat tinggi dan tidak dapat dibendung lagi.

  1. Menghadapi Tekanan Dengan Cara Makan

    • Terdapat pelbagai kaedah bagi mengendalikan atau menguruskan tekanan dalam hidup. Bagaimanapan terdapat individu yang memilih untuk makan sebagai kaedah atau cara untuk menguruskan dan mengendalikan tekanan yang dihadapi. Ini boleh membawa kepada makan secara berlebihan kerana ia tidak lagi mengikut waktu makan dan jumlah makanan yang sesuai bagi setiap individu.

  1. Melewatkan Waktu Makan

    • Melewatkan waktu makan adalah salah satu ciri orang yang suka makan berlebihan. Individu ini kebiasaannya akan melewatkan waktu makan yang penting seperti  pengambilan sarapan pagi. Pengambilaan makanan yang berlebihan ini menyebabkan perut anda yang tadinya kosong akan dipenuhi dengan makanan yang banyak pada satu masa yang singkat dan ini akan membebankan sistem pencernaan perut.

Akibat Tidak Mengawal Nafsu Makan

  1. Berat Badan Berlebihan

    • Pemakanan yang sihat amat penting untuk tubuh manusia. Diet pemakanan yang sihat membantu tubuh kita untuk mendapat tenaga dan melakukan aktiviti fizikal dengan selesa. Bagaimanapun pengambilan makanan secara tidak sihat dan berlebihan boleh menyebabkan pengumpulan lemak berlebihan dalam tubuh kita. Ini membawa kepada berat badan berlebihan atau obesiti.

  1. Mudah Mendapat Penyakit Tidak Berjangkit

    • Gagal mengawal nafsu makan boleh menyebabkan seseorang individu mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah kesihatan yang serius. Antara masalah kesihatan tersebut ialah diabetes mellitus (kencing manis), tekanan darah tinggi, strok (angin ahmar), penyakit kardioviskular (berkaitan dengan jantung), paras kolesterol yang tinggi, sukar bernafas dan penyakit hati.

  1. Masalah Kewangan

    • Bagi individu yang mengamalkan makan mengikut nafsu, dia tidak pernah mendapat  kepuasan hakiki kerana lebih banyak dimakan, perasaan puas semakin tidak dirasai. Oleh itu, nafsu makan jika semakin dituruti, lebih banyak keburukan yang timbul. Hakikatnya, makan berlebihan bukan saja mendatangkan masalah kepada kesihatan, tetapi juga kewangan.

Cara Mengawal Nafsu Makan

  1. Minum Air

    • Minum air sentiasa dapat membantu bagi memudahkan penghadaman dan pembuangan air kecil dan besar. Setiap individu digalakkan unuk minum air sebelum mengambil makanan berat. Kekerapan minum air akan membuatkan anda sentiasa kenyang dan  membantu anda untuk mengurangkan pengambilan makanan dan minuman manis.

  1. Makan Buah sebelum Makan Makanan Berat

    • Buah-buahan amat baik untuk kesihatan kerana di dalam buah-buahan terdapat serat yang membantu proses penghadaman dan membantu mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan berat. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang kaya dengan kandungan serat dan tinggi kandungan airnya boleh dijadikan sebagai snek sehari-hari terutamanya ketika perut anda terasa lapar.

  1. Kurangkan Makanan dan Minuman Manis

    • Makanan dan minuman manis berpotensi untuk menaikkan kadar insulin dalam tubuh anda. Kenaikan kadar insulin ini boleh menyebabkan anda cenderung untuk makan berlebihan. Makanan dan minuman manis juga selalunya mempunyai kalori yang tinggi dan menjadikan anda lebih bernafsu untuk makan lebih.

  1. Mengunyah Berulang Kali

    • Amalan mengunyah makanan berulang kali adalah baik untuk membantu proses penghadaman makanan tersebut. Sebenarnya apabila kita mengunyah sehingga lumat, barulah nikmat makanan tersebut dirasai. Orang gemuk mengunyah dengan bilangan yang paling sedikit manakala orang yang badannya normal mengunyah lebih lama. Mengunyah berulang kali membuatkan perut menjadi cepat kenyang dan membantu mengurangkan berat badan.

  1. Uruskan dan Kendalikan Tekanan Dengan Lebih Bijak

    • Tekanan merupakan salah satu dugaan dalam kehidupan setiap manusia. Terdapat pelbagai kaedah dan cara bagi menghadapi tekanan ini. Tindakan mengambil makanan secara berlebihan sebagai satu kaedah untuk menghadapi tekanan adalah satu tindakan yang kurang bijak dan sebaliknya membawa kepada lebih banyak tekanan dan masalah. Bertindak secara positif bagi menghadapi tekanan seperti beriadah, berfikir positif, berkongsi perasaan dan belajar cara penyelesaian masalah.

  1. Makan Makanan Bersumberkan Protein

    • Pengambilan makanan yang mengandungi protein adalah lebih mengenyangkan. Ia boleh membantu dalam pengawalan nafsu makan kerana protein juga terdiri daripada makanan yang enak. Anda disarankan untuk mengambil makanan yang mempunyai sumber protein yang asli seperti daging ayam, agar dapat mengelak daripada pengambilan kalori berlebihan dan lemak tepu.

  1. Makan Sebelum Lapar dan Berhenti Sebelum Kenyang

    • Rasa lapar yang keterlaluan menyebabkan anda cenderung untuk makan melebihi kuantiti yang sepatutnya. Nafsu makan juga akan melonjak pada ketika ini dan mendorong anda untuk membuat pilihan yang salah dalam diet pemakanan anda. Anda dinasihatkan makan sebelum perut benar-benar lapar. dan berhenti sebelum perut benar-benar kenyang dan penuh sehingga menyukarkan pergerakan.

Sokongan Psikologi Dalam Mengurus Nafsu Makan

  1. Tegas Diri

    • Tegas diri merupakan satu elemen yang penting bagi membantu seseorang individu untuk mengurus nafsu makan. Elemen ini juga perlu bagi pematuhan terhadap disiplin yang telah ditetapkan dalam pengawalan nafsu makan. Individu yang mempunyai masalah untuk mengawal nafsu makan perlu tegas dengan dirinya sendiri kerana dia berurusan dengan nafsu atau keinginan yang melonjak di mana nafsu makan ini jika dipenuhi akan menyumbang kepada kenikmatan tetapi jika tidak diuruskan dan dikawal secara tegas oleh individu tersebut ia akan menyumbang kepada kemudaratan dan permasalahan.

  1. Sokongan Ahli Keluarga

    • Ahli keluarga merupakan individu yang rapat dengan seseorang individu dan ahli keluarga juga mengenali dan memahami individu ini. Sokongan dari ahli keluarga bagi membantu individu ini untuk mengawal dan menguruskan nafsu makan adalah sangat penting.

  1. Kumpulan Sokongan

    • Kesukaran mengawal nafsu makan bukanlah satu masalah yang asing di Malaysia. Masalah ini dihadapi oleh kebanyakan rakyat di Malaysia. Individu yang mempunyai masalah untuk mengawal nafsu makan ini boleh mewujudkan kumpulan sokongan yang mana ianya terdiri daripada individu yang mempunyai masalah yang sama. Individu- individu ini boleh berkongsi masalah mereka di dalam kumpulan sokongan ini. Ahli kumpulan ini dapat memahami di antara satu sama lain dan dapat berkongsi tip berguna yang dapat membantu ahli yang lain. Ahli kumpulan akan menyokong di antara satu sama lain dan saling memberi semangat untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Semakan Akhir : 24 Februrari 2014
Penulis : Husna bt Zainal

Artikel Berkaitan

Warga Emas

PENUAAN SECARA SIHAT MASALAH KESIHATAN WARGA EMAS

Sakit Tengkuk

Sakit tengkuk adalah perasaan sakit yang dialami pada mana-mana bahagian leher dan boleh melibatkan bahagian bahu, kepala dan muka.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,866

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia