A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Cara Hidup Sihat
  6. /
  7. Derma Darah
  8. /
  9. Pemprosesan Dan Penyediaan Komponen...

Pemprosesan Dan Penyediaan Komponen Darah

Tahukah anda bahawa satu unit darah yang didermakan boleh diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen darah yang berlainan? Darah terdiri daripada sel darah merah (erythrocytes), sel darah putih (leukocytes), platelet (thrombocytes) dan plasma.

Tahukah anda bahawa satu unit darah yang didermakan boleh diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen darah yang berlainan? Darah terdiri daripada sel darah merah (erythrocytes), sel darah putih (leukocytes), platelet (thrombocytes) dan plasma.

Setiap jenis sel darah, platelet dan plasma boleh diasingkan untuk membentuk komponen darah yang spesifik untuk memenuhi keperluan rawatan penyakit tertentu. Berbagai kajian telah dijalankan dan terbukti bahawa penggunaan komponen darah dalam rawatan berupaya memulihkan pesakit dengan lebih cepat dan berkesan.

Penyediaan komponen darah

Penyediaan komponen darah dilakukan ke atas pendermaan whole blood.

Unit darah (whole blood) perlu mematuhi setiap kriteria seperti berikut sebelum diproses sebagai komponen darah yang berkualiti tinggi.

  • Beg yang mengandungi darah dalam keadaan baik, iaitu tidak tanda kebocoran.
  • Beg darah mesti dilekatkan label yang mengandungi maklumat pendermaan seperti nombor pendermaan, kumpulan darah, tarikh dan masa darah didermakan.
  • Isipadu darah berada dalam julat yang ditetapkan. Contohnya, untuk beg darah bersaiz 450ml julat isipadu darah dalam lingkungan 405 ml – 495 ml darah sahaja akan diproses dan disediakan komponen darah.
  • Suhu penyimpanan darah mesti berada di antara 20°C – 24°C dari pendermaan sehinggalah diterima di makmal pemprosesan komponen darah.
  • Tempoh pungutan darah mesti kurang daripada 12 minit. Tempoh pungutan bermula dari darah dialirkan dari penderma darah memasuki beg darah sehinggalah beg darah penuh.

Terdapat juga darah yang tidak diproses dan dikekalkan di dalam bentuk asalnya, iaitu whole blood. Ia digunakan untuk pesakit yang kehilangan banyak darah atau bayi yang memerlukan pertukaran darah (exchange transfusion).

Setiap unit darah yang diderma akan didaftarkan ke dalam sistem maklumat makmal. Maklumat pendermaan dan pemprosesan seperti tarikh penyediaan komponen darah, tarikh luput setiap komponen yang dihasilkan, berat dan isipadu komponen akan direkodkan.

Kuantiti setiap komponen yang diproses bergantung kepada keperluan semasa. Contohnya, bilangan platelet yang disediakan meningkat semasa wabak denggi menular.

Beg darah diletak dalam mesin pengempar menggunakan kelajuan tinggi bagi mengasingkan darah kepada komponen-komponennya. Darah akan terpisah kepada tiga bahagian utama, iaitu cecair plasma yang berwarna kuning muda berada di atas lapisan nipis sebatian platelet dan sel darah putih manakala sel darah merah mendap di bahagian bawah.

Cecair plasma bersama sebatian platelet dan sel darah putih akan disalurkan ke beg lain. Lapisan sel darah merah dikekalkan dalam beg asal. Lapisan sel darah merah ini agak pekat dan padat dan dikenali sebagai packed red cells. Beg yang mengandungi cecair plasma dan sebatian platelet akan diempar semula bagi memisahkan platelet daripada plasma. Platelet akan dikekalkan di dalam beg manakala plasma disalurkan keluar ke beg lain.

Seterusnya, beg darah yang mengandungi komponen darah akan disimpan dalam suhu yang terkawal. Sel darah merah disimpan dalam peti sejuk pada suhu 2 – 6oC manakala platelet diletak dalam inkubator yang diputar dari sisi ke sisi pada suhu 20 – 24oC dengan jangkahayat 5 hari.

Cecair plasma pula disimpan dalam suhu sejukbeku, iaitu -25oC atau ke atas dengan jangkahayat 1 tahun. Disebabkan suhu simpanan yang sejukbeku, cecair plasma menjadi pepejal dan dikenali sebagai fresh frozen plasma.

Darah yang didermakan boleh juga diproses kepada komponen-komponen lain seperti sel darah merah (Packed Red Cells), cryoprecipitate (mengandungi faktor pembekuan darah yang tinggi) dan cryosupernatant (cecair plasma). Proses penyediaan komponen-komponen ini adalah serupa dengan penyediaan platelet dan fresh frozen plasma. Perbezaan hanya pada kelajuan pengemparan dan suhu semasa pemprosesan.

Pemprosesan darah yang diderma lazimnya akan menggunakan sistem set 3 beg darah bagi menyimpan berbagai jenis komponen yang dihasilkan, iaitu packed red cells, platelet dan fresh frozen plasma atau packed red cells, cryoprecipitate dengan cryosupernatant.

Komponen Sel Darah Merah

Darah dari penderma darah yang berkumpulan darah dari kategori jarang (rare) adalah seperti Rh(D) dan Bombay. Pusat perkhidmatan darah perlu memastikan bekalan darah kumpulan jarang dijumpai dalam masyarakat tempatan disediakan untuk memenuhi keperluan kecemasan.

Jangkahayat untuk satu unit sel darah merah adalah 28 – 42 hari dari tarikh pendermaan. Maka, jangkahayat untuk kumpulan darah jarang boleh dilanjutkan dengan proses pembekuan dan disimpan sehingga 10 tahun. Langkah ini adalah untuk memastikan darah yang diderma tidak luput tarikh sebelum ia sempat digunakan. Darah akan dinyahbekukan sebelum digunakan oleh pesakit.

Selain daripada itu, sel darah putih yang wujud dalam kuantiti kecil dalam packed red cells boleh menyebabkan reaksi sampingan kepada sebilangan pesakit semasa pemindahan darah. Oleh itu, pusat darah akan membuang sel darah putih dari packed red cells melalui proses penapisan (Gambar 1).

Proses penapisan darahGambar 1: Proses penapisan darah

Kualiti Dalam Pemprosesan Darah

Pemprosesan dan penyediaan komponen darah hendaklah sentiasa mematuhi Amalan Pengilangan yang Baik (Good Manufacturing Practice). Ini adalah kerana komponen darah yang dihasilkan adalah seperti ubat yang digunakan untuk rawatan pesakit. Maka, darah yang disediakan mestilah menepati kualiti yang ditetapkan. Kualiti tersebut bermula dari pemilihan penderma darah yang memenuhi kriteria pendermaan sehinggalah penghasilan perlu dipantau dan dipelihara.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Ainul Liza bt. Ahmat
Akreditor : Katheleen Ng Li Fong
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Kelayakan Pendermaan Darah

Seseorang individu yang berhasrat untuk mendermakan darah mereka tetapi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai penderma darah, tidak akan dibenarkan untuk mendermakan darah mereka.

Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah

Derma darah merupakan satu amalan mulia kerana darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukannya. Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial.

Derma Darah

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,886

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia