Pengenalan
Bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif sehingga berumur enam bulan akan membesar dengan sihat dan tidak memerlukan makanan lain. Pakar dalam pemakanan bayi mengesyorkan agar penyusuan susu ibu secara eksklusif diteruskan sehingga bayi berumur enam bulan kerana susu ibu sahaja sudah cukup untuk membekalkan tenaga dan kesemua nutrien yang diperlukan oleh bayi. Di samping itu, penyusuan susu ibu secara eksklusif juga dapat mengurangkan kematian bayi yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang biasa dihidapi oleh kanak-kanak seperti cirit-birit atau diarea dan radang paru-paru. Penyusuan susu ibu secara eksklusif juga boleh mempercepat proses penyembuhan semasa kanak-kanak sakit dan membantu ibu menjarakkan kehamilan.
Sejak dari lahir sehingga berumur enam bulan, bayi yang menyusu susu ibu tidak memerlukan air tambahan, walaupun ketika cuaca panas.
Mengapa pemberian air bahaya kepada bayi berumur di bawah enam bulan yang menyusu susu ibu?
Memberi air kepada bayi berumur di bawah enam bulan yang menyusu susu ibu boleh membawa kemudaratan kepada mereka.
- Air mengenyangkan bayi tanpa membekalkan sebarang kalori dan boleh menyebabkan bayi mengalami penurunan berat badan atau berat badan tidak meningkat dengan mencukupi. Pengambilan air atau minuman lain, walaupun sedikit, boleh memenuhkan perut bayi dan mengurangkan selera bayi untuk menyusu susu ibu yang padat dengan nutrien.
- Pengambilan air boleh mengganggu penghasilan susu ibu. Ini kerana, bayi yang diberi air akan kurang berminat untuk menyusu. Jika bayi tidak disusukan dengan kerap, susu ibu akan mengambil masa yang lebih lama untuk dihasilkan dan ini boleh melambatkan atau mencegah pengaliran susu. Selain itu, sekiranya bayi diberi air menggunakan botol dan puting susu, bayi akan menjadi keliru dan berkemungkinan tidak mahu menyusu terus daripada payu dara ibu.
- Air meningkatkan risiko penyakit kerana ia boleh menjadi pembawa kuman. Bayi yang diberi air lebih mudah terdedah kepada organisme yang menyebabkan cirit-birit, terutama dalam persekitaran yang kurang bersih.
- Air dikaitkan dengan peningkatan paras bilirubin dan keseriusan jaundis di kalangan bayi baru lahir. Bayi yang menyusu susu ibu dengan baik kurang menghadapi masalah jaundis.
- Air boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil oral water intoxication. Di kalangan bayi yang berumur kurang dari lima minggu, air yang berlebihan boleh mencairkan natrium di dalam darah dan ini menyumbang kepada simptom-simptom seperti suhu badan yang rendah, kembung dan kekejangan.
Bagaimana bayi yang menyusu susu ibu mendapat air yang secukupnya?
Susu ibu mengandungi 88% air dan berupaya membekalkan kesemua cecair yang diperlukan oleh bayi yang menyusu susu ibu. Bayi yang sihat dilahirkan dengan cukup air dan keadaan ini akan terus kekal jika bayi disusukan dengan susu ibu secara eksklusif, siang dan malam, dengan kerap dan tanpa had. Pada beberapa hari pertama selepas dilahirkan, kolostrum sahaja sudah mencukupi untuk membekalkan air kepada bayi.
Bagaimana dengan bayi yang tinggal di dalam iklim yang panas dan kering?
Beberapa kajian yang dijalankan di pelbagai lokasi (lembap dan kering) pada julat suhu antara 22°C – 41°C (71.6°F – 105.8°F) dan kelembapan relatif antara 9% – 96%, mengesahkan bahawa bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif tidak memerlukan air tambahan. Bayi akan mendapat semua cecair yang diperlukan melalui susu ibu, sekiranya dibenarkan menyusu susu ibu mengikut keperluannya.
Haruskah bayi yang mengalami cirit-birit atau diarea diberi air?
Dalam keadaan cirit-birit atau diarea yang tidak teruk, adalah dicadangkan supaya ibu-ibu meningkatkan kekerapan penyusuan susu ibu. Walau bagaimanapun, bagi cirit-birit atau diarea yang sederhana atau teruk, ibu-ibu perlu membawa bayi berjumpa doktor dengan serta – merta, di samping meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa.
Haruskah air diberi kepada bayi yang berumur enam bulan ke atas?
Pada umur enam bulan, selain daripada susu ibu, bayi harus diberi makanan pelengkap. Ini penting untuk memenuhi keperluan nutrien bayi yang semakin meningkat.
Jenis makanan yang dimakan oleh bayi mempengaruhi keperluan airnya. Secara amnya, keperluan air bagi bayi yang berumur 6 hingga 11 bulan boleh dipenuhi melalui susu ibu. Walau bagaimanapun, air yang telah dimasak boleh diberi kepada bayi selepas makan. Perlu diingatkan bahawa memberi air kosong kepada bayi adalah lebih baik berbanding jus buah-buahan. Ini kerana air kosong adalah minuman yang terbaik untuk menghilangkan dahaga dan tidak mengandungi gula, sebagaimana jus buah-buahan. Bayi juga patut diberi air menggunakan cawan dan bukannya botol. Ini kerana pemberian air menggunakan botol mendorong bayi untuk minum air secara berlebihan yang melebihi keperluannya.
Apabila memberi bayi air atau sebarang cecair lain, pastikan yang ia tidak menggantikan susu ibu. Air yang ditambah ke dalam makanan pelengkap juga boleh menggantikan atau mencairkan kandungan di dalam nutrien makanan tersebut. Oleh itu, kurangkan penambahan air ke dalam makanan pelengkap seperti bubur dan sup untuk meningkatkan kepekatan nutrien dalam makanan tersebut, yang seterusnya akan membantu meningkatkan status pemakanan bayi.
Rujukan
- Almroth S, Bidinger PD. No need for water supplementation for exclusively breast-fed infants under hot and arid conditions. Trans R Soc Trop Med Hyg. 1990;84:602-604.
- American Academy of Pediatrics Section on Breastfeeding. Breastfeeding and the Use of Human Milk. Pediatrics. 2005 Feb;115(2):496-506.
- Exclusive Breastfeeding: The Only Water Source Young Infants Need
- FAQ Sheet No. 5 from the Linkages Project
Semakan akhir | : | 18 April 2012 |
Penulis | : | Fatimah binti Salim |
Penyemak | : | Prof. Dr. Norimah A. Karim |