A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Persediaan Mental Menghadapi Peperiksaan

Persediaan Mental Menghadapi Peperiksaan

Pengenalan

‘Alamak , esok periksa lah…’, ‘aduhai…aku tak sempat nak baca bab akhir tu…mesti tak dapat jawab nanti…’ ‘buku dah baca, tapi setiap kali periksa, mesti sakit perut’…

Inilah antara kata-kata yang sering kita dengar dari mereka yang bakal menduduki peperiksaan. Jarang ada antara kita yang mengatakan seronok nya ada ujian atau peperiksaan. Seolah-olah peperiksaan itu hanyalah membawa perkara yang negatif sahaja. Tidakkah kita terfikir yang peperiksaan yang membuatkan kita belajar sesuatu dan membantu kita membuat pelan tindakan untuk masa hadapan. Sekiranya kita cemerlang dalam satu peperiksaan, ia bukan sahaja menunjukkan tahap pengetahuan kita malah ia juga memberi gambaran pemahaman yang tinggi terhadap soalan yang diajukan serta kaedah pembelajaran yang betul telah dipraktikkan. Gagal pula boleh dijadikan satu loncatan untuk kita kaji diri dan memperbetulkan kesilapan kita. Jadi, peperiksaan bukan suatu yang negatif sahaja.

Apakah sebenarnya peperiksaan?  Mengikut Kamus Dewan edisi 4, peperiksaan membawa maksud ujian yang diadakan untuk menguji pengetahuan atau kebolehan atau lain-lain perkara mengenai seseorang. Dengan erti kata lain, peperiksaan adalah satu mekanisme yang digunakan oleh sistem pendidikan bagi mengetahui sama ada objektif pembelajaran tercapai atau tidak. Sekiranya tidak tercapai, satu kaedah baru akan diperkenalkan pula bagi meningkatkan pemahaman. Ini bermakna, dengan keputusan peperiksaan banyak perkara dapat kita analisa dan ia akan memberi faedah tidak hanya kepada pelajar, tetapi juga kepada para pendidik.

Gangguan Emosi Dan Mental Sewaktu Tiba Peperiksaan

Sudah menjadi lumrah semakin hampir dengan hari peperiksaan, kita akan berasa susah hati, resah dan mula menjangkakan keputusan yang bakal keluar dengan persediaan yang di buat. Semua mainan minda ini sedikit sebanyak akan menganggu konsentrasi kita dalam menelaah pelajaran khususnya kepada mereka yang gemar membaca buku pada saat-saat akhir. Kurang penumpuan adalah penyebab utama mengapa pemahaman sesuatu perkara agak lambat dan seterusnya merugikan sisa-sisa masa yang boleh dimanfaatkan untuk menelaah dan membuat ulangkaji

Perasaan takut, cemas dan resah boleh mengakibatkan seseorang lebih sensitif terhadap perkara yang remeh temeh di sekeliling mereka. Jika situasi ini berterusan, pelajar tersebut akhirnya akan gagal memberi tumpuan dan mempraktikkan perancangan yang betul semasa menelaah pelajaran mereka. Ada juga sebahagian lain, akan mengalami sakit perut, sakit kepala dan segala macam reaksi psikosomatik; penyakit fizikal yang diakibatkan oleh ketidakstabilan emosi yang akhirnya menyebabkan pelajar gagal bersedia untuk peperiksaan tersebut.

Ingatlah bahawa kunci kepada kejayaan adalah ketenangan. Beri ruang kepada diri sendiri untuk tenang. Sentiasa ingat yang cemas dan gelisah tidak membawa apa-apa kebaikan. Ia hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tidak membantu menyelesaikan sebarang masalah. Hanya apabila kita tenang, kita dapat memproses maklumat yang di baca dengan baik . Sistem memori kita juga akan lebih peka dan bertindak balas dengan baik apabila kita tidak cemas dan kelam kabut.

Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Seringkali kita dengar “Gagal Bersedia Bererti Kita Perlu Sedia untuk Gagal”. Ini adalah elemen penting dalam pembelajaran. Perancangan dan persediaan sebelum menghadapi peperiksaan perlulah dilakukan terlebih dahulu. Berikut adalah beberapa cadangan persediaan menghadapi peperiksaan:-

  1. Pastikan anda telah menyemak jadual peperiksaan. Ini penting kerana minda kita akan menyusun maklumat yang telah di baca tadi mengikut ketetapan yang kita fikirkan. Pastikan kita tidak terkeliru dengan maklumat yang telah dibaca.

  2. Jawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas dan skema jawapan yang diberikan bagi mendapatkan gambaran mengenai soalan yang bakal ditanya. Cara ini juga dapat mengurangkan perasaan cemas yang tidak berkenaan serta meningkatkan keyakinan diri.

  3. Makanlah makanan yang sihat. Elakkan makan di tepi-tepi jalan dan di tempat yang kotor sepanjang minggi peperiksaan bagi mengelakkan sebarang perkara luar jangka seperti cirit birit, keracunan makanan dan sakit perut.

  4. Pastikan alat tulis dan semua barang yang perlu di bawa semasa hari peperiksaan telah pun tersedia. Sekiranya anda tidak tahu apa yang perlu di bawa, tanyalah kepada guru atau pihak penganjur peperiksaan tersebut.

  5. Setelah berusaha sebaik mungkin, adalah lebih baik jika kita turut memanjatkan doa kepada pencipta agar segala urusan peperiksaan tersebut dipermudahkan dan kita mendapat keputusan yang cemerlang sesuai dengan usaha kita.

  6. Mohon maaf daripada ibu bapa, guru dan orang di sekeliling juga adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk mendapatkan ketenangan lebih-lebih lagi jika kita ada kesalahan dengan mereka.

  7. Tidur dan rehat secukupnya. Tidur merupakan waktu rehat yang paling baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Ramai antara kita membawa masalah pelajaran ke tempat tidur dan memikirkan pelbagai perkara tentang masalah ini. Akibatnya mereka mengalami gangguan tidur dan ada yang tidak dapat tidur langsung. Pada keesokan harinya, pelbagai perkara akan berlaku seperti berasa pening, tidak selesa dan tidak tenteram kerana ketegangan fikiran dan kelesuan tubuh badan. Ini boleh menjejaskan prestasi mereka pada hari peperiksaan. Sekiranya mereka terpaksa menghadapi peperiksaan pada hari itu, mungkin mereka tidak dapat berfikir dengan tenang seterusnya akan menjejaskan ketepatan jawapan yang diberikan.

Pemikiran Positif

Jika kau fikirkan kau boleh, Kau hampir boleh melakukan,Jika kau fikirkan ragu-ragu, Usahamu tidak menentu…..’

‘Engkaulah apa kau fikirkan, Terkandung dalam pemikiran, Kau fikir boleh melakukan,Fikirkan boleh’

‘Percaya apa kau lakukan, Tabah apa kau usahakan..Bertindak atas kemampuan, Engkau boleh’

                                                                        Lirik Lagu Lagu: Fikirkan Boleh

Lirik lagu dia atas membawa seribu pengertian. Ia membawa mesej bahawa kita adalah apa yang kita fikirkan. Kemampuan kita melakukan dan menghadapi cabaran bergantung kepada motivasi diri kita.

Dalam menghadapi peperiksaan adalah penting bagi kita untuk berfikiran positif dan yakin yang kita boleh melakukannya. Pemikiran yang positif akan melahirkan tindakan positif yang akhirnya akan memberi keputusan yang positif juga. Pemikiran kita adalah magnet besar yang mampu menarik kita ke arah kejayaan dan boleh juga mengecewakan sekiranya kita tidak menggunakan ia sebaiknya.

Justeru itu, positifkan minda kita dan fikirkan yang kita mampu mengharungi peperiksaan ini dengan baik.

Persediaan Awal

Cara yang terbaik untuk memastikan kita tenang, berfikiran positif dan boleh senyum selepas peperiksaan di jalankan adalah persediaan yang awal. Persediaan awal membantu 90% daripada proses untuk berjaya. Ini kerana susunan maklumat kita telah pun berada di memori jangka masa panjang  yang membolehkan kita mengingat hampir keseluruhan yang di ulangkaji.

Menyediakan diri dari awal juga bermakna, kita akan meningkatkan tahap pemahaman yang akhirnya dapat membantu kita dalam mengamalkan perkara yang dipelajari dalam alam nyata dan bukan hanya sekadar hafalan yang bersifat sementara. Ini sebenarnya penting dalam sistem pembelajaran.

Sokongan Keluarga

Perkara yang paling penting bagi setiap individu selain persediaan dan ulangkaji adalah sokongan sosial khususnya daripada keluarga. Pelajar yang cemerlang lahir dari keluarga yang mementingkan pembelajaran dan pendidikan. Sekiranya sebuah keluarga merasakan  pendidikan anak-anak  hanyalah sekadar untuk melepaskan tanggungjawab atau mengurangkan belanja kerana tidak perlu menghantar anak ke kelas tambahan, maka konsep ini adalah salah dan sekaligus akan mempengaruhi persepsi dan tingkah laku anak tersebut terhadap pembelajaran dan pendidikan di sekolah.

Keluarga yang memberi galakan dan tumpuan terhadap pendidikan anak-anak di sekolah pastinya akan sedar tarikh-tarikh peperiksaan yang perlu anak-anak mereka duduki. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat hal-hal tersebut. Ini sudah tentu akan memberi sedikit ‘booster’ kepada anak-anak untuk menelaah dan mengulangkaji bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Semakan Akhir : 21 Mei 2014
Penulis : Masyitah bt Minhad

Artikel Berkaitan

Adaptasi Peralatan Makan & Minum

Adaptasi peralatan makan dan minum mestilah boleh digunakan di rumah, sekolah mahupun komuniti. Adaptasi yang dilakukan hendaklah mengikut kesesuaian individu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,085

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia