A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Deruan Jantung

Mengapakah deruan jantung (“murmur”) boleh terjadi?

Deruan jantung (“murmur”) ialah bunyi bising yang dapat didengar apabila darah mengalir melalui jantung. Kebanyakan deruan jantung ini dikatakan “innocent” (tidak merbahaya) atau “functional”, yang bermaksud jantung anak anda tidak bermasalah.

Bunyi jantung ini boleh wujud sekali sekala sepanjang zaman kanak-kanak, dan boleh bertambah kuat atau perlahan bergantung kepada denyutan jantung anak anda. Kebanyakannya akan semakin sukar untuk didengar apabila anak anda semakin membesar dan lama-kelamaan akan hilang dengan sendirinya.

Kadang-kala bunyi jantung (“murmur”) ini boleh menjadi tanda penyakit jantung contohnya:

  • Jantung berlubang.
  • Pembuluh jantung yang tidak normal.
  • Injap jantung yang bocor.
  • Injap jantung yang sempit.

Sekurang-kurangnya 30% kanak-kanak akan ada deruan jantung ini pada satu masa yang tertentu dalam hidup mereka.

Bagaimanakah ia dikesan?

  • Jika tiada tanda-tanda atau gejala yang lain, deruan jantung (“murmur”) ini biasanya dikesan apabila kanak-kanak datang berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan atau imunisasi. Deruan jantung ini mungkin adalah “innocent” (tidak merbahaya) atau mungkin boleh dikaitkan dengan penyakit jantung.
  • Jika ada masalah sakit jantung, anak anda mungkin akan mengalami:
    1. Sesak nafas ketika bermain atau menyusu.
    2. Denyutan jantung yang laju.
    3. Warna lidah dan kuku yang kebiruan.
    4. Pembesaran terbantut.

Perlukah saya risau jika anak saya mempunyai masalah ini?

Anak anda tidak akan bermasalah jika deruan jantung (“murmur”) ini adalah “innocent” (tidak merbahaya).

Jika ada masalah sakit jantung yang lain, ia bergantung kepada jenis masalahnya. Sila dapatkan nasihat doktor.

Adakah ia perlukan rawatan?

  • Tiada rawatan diperlukan untuk deruan jantung (“murmur”) yang “innocent” (tidak merbahaya).
  • Jika anak anda mempunyai penyakit jantung, rujukan perlu dibuat ke hospital pakar. Ubat-ubatan atau prosedur tertentu mungkin diperlukan (contohnya cabut gigi) sekiranya anak anda mempunyai masalah jantung atau mengalami kegagalan jantung.
  • Pembedahan kadang-kala diperlukan untuk merawat penyakit jantung yang tertentu.

Bolehkah penyakit jantung dikesan pada peringkat awal?

Beberapa penyakit jantung boleh dikesan semasa bayi berada dalam kandungan melalui imbasan ultrasound yang terperinci. Ini seterusnya akan menentukan sama ada bayi anda perlu dilahirkan di hospital yang menyediakan kepakaran jantung supaya rawatan kecemasan dapat diberikan jika perlu.

Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Lynster Liaw Chiew Tungq
Penyemak : Dr. Sharifah Ainon bt. ismail Mokhtar

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,675

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia