A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kenali Struktur Mata Anda

Kenali Struktur Mata Anda

Kenali Struktur Mata Anda1 Kenali Struktur Mata Anda2

Pengenalan

Mata adalah organ yang penting bagi manusia kerana ia berfungsi mengesan rangsangan cahaya. Manusia mempunyai dua mata berbentuk sfera dan sedikit menonjol yang terletak dalam soket tengkorak. Diameter bola mata lebih kurang 24mm.

Lapisan Mata Manusia

Struktur mata manusia terdiri daripada tiga lapisan tisu di dalam dinding mata. Lapisan paling luar ialah sklera dan kornea. Lapisan tengah yang bersifat vaskular terdiri daripada koroid, jasad siliari dan iris. Manakala lapisan paling dalam ialah retina.

Sklera adalah bahagian putih mata iaitu tisu yang membentuk lapisan luar mata di bahagian posterior dan tepi bola mata. Ia bersambung ke arah anterior dengan kornea. Struktur ini berfungsi untuk melindungi kandungan mata. Sklera juga merupakan lapisan tisu yang kuat dan dapat memegang bentuk mata serta memberi lekatan kepada otot ekstrinsik. Struktur ini kelihatan kebiruan pada mata bayi kerana kenipisan lapisannya dan kelihatan kekuningan pada mata warga tua akibat pengumpulan pigmen.

Koroid adalah lapisan tengah yang kaya dengan salur darah serta terletak di antara sklera dan retina. Lapisan ini berfungsi untuk membekalkan nutrien kepada retina.

Jasad siliari adalah struktur sambungan daripada koroid di bahagian anterior. Ia terdiri daripada otot-otot berserat (otot siliari) dan sel epitelium yang bersekresi. Kontraksi dan relaksasi otot siliari akan mengubah ketebalan kanta untuk membias cahaya. Sel-sel epitelium bersekresi pula akan merembeskan cecair akueus (gelemair) ke kamar anterior.

Iris bersambung dari jasad siliari ke arah anterior dan terletak di belakang kornea dan di depan kanta. Struktur ini mempunyai tisu berpigmen bulat yang mempunyai satu bukaan iaitu pupil di mana saiznya berbeza tertakluk kepada rangsangan cahaya. Dua jenis ototnya iaitu sfinkter dan dilator papillae berfungsi mengawal jumlah cahaya yang memasuki mata dengan mengembang dan mengkonstriksi. Warna iris juga berbeza mengikut jumlah kehadiran sel pigmen. Mata berwarna biru mengandungi kurang sel pigmen berbanding manusia bermata coklat. Iris membahagikan segmen anterior mata kepada kamar anterior dan kamar posterior yang mengandungi cecair akeus (gelemair).

Kamar Di Dalam Mata

  • Kamar anterior: ruang antara kornea dan iris
  • Kamar posterior: ruang antara iris dan kanta
  • Kamar vitreus: ruang antara kanta dan retina

Komponen Optik Mata

Komponen optik mata merupakan bahagian lutsinar yang menerima, membias dan memfokus cahaya ke arah sel retina untuk membentuk imej. Bahagian tersebut ialah kornea, gelemair, kanta kristalin dan jasad vitreus.

Kornea merupakan satu membran jernih dan lut cahaya yang terdiri daripada lima lapisan iaitu epitelium, membran Bowman, stroma, membran Descemet dan endotelium. Struktur ini tidak mengandungi pigmen dan juga salur darah tetapi kaya dengan saraf menyebabkan ia amat sensitif. Bahagian depan kornea memerlukan lapisan air mata untuk mengekalkan strukturnya. Bentuk kornea yang cembung di depan berfungsi untuk memfokuskan cahaya yang melaluinya untuk sampai ke retina di mana maklumat cahaya diterjemahkan kepada maklumat pemandangan.

Iris memisahkan bahagian anterior mata kepada kamar anterior dan kamar posterior. Kedua- dua kamar ini mengandungi cecair jernih yang dikenali sebagai gelemair iaitu cecair akeus yang dihasilkan oleh jasad siliari. Gelemair melalui pupil ke kamar anterior dan mengalir keluar dari mata melalui jaringan Trabecula dan masuk ke saluran Schlemn. Pengaliran yang berterusan ini penting untuk mengekalkan tekanan mata sentiasa tetap antara 10-20 mmHg. Gelemair ini juga mengandungi Oksigen, air elektrolit, glukos, vitamin C dan bahan lain untuk membekalkan nutrien kepada kornea dan kanta kristalin yang avaskular. Selain itu, gelemair juga berfungsi untuk mengekalkan bentuk bola mata.

Kanta kristalin dipegang oleh otot siliari dan terletak betul-betul di belakang iris. Kanta ini berbentuk cembung dan lut cahaya. Struktur ini berkembang sepanjang hayat manusia dan akhirnya membentuk katarak yang menyebabkan kabur penglihatan. Fungsi kanta adalah memfokuskan cahaya ke atas retina. Ini adalah satu-satunya struktur mata yang boleh mengubah kuasa refraksi. Apabila otot siliari mengecut, ia akan bergerak ke depan dan melepaskan ketegangan terhadap kanta seterusnya menyebabkan penebalan bentuk kanta. Semakin dekat sesuatu objek dilihat, maka kanta bertambah tebal dan membolehkan mata memfokus terhadap objek dekat. Proses ini dinamakan akomodasi. Semasa akomodasi, pupil mata akan mengecil dan kedua-dua mata mengalami konvergen. Kebolehan berakomodasi akan merosot dengan pertambahan usia dan dinamakan presbiopia.

Jasad vitreus mengandungi komponen cecair yang disebut gelemaca. Gelemaca (vitreus) merupakan gel yang tidak berwarna dan lut cahaya yang mengisi bahagian posterior mata. Struktur ini membentuk hampir 4/5 daripada bahagian mata manusia. 98 peratus komposisinya terdiri daripada air. Fungsi struktur ini ialah menyokong retina dan mengekalkan bentuk sfera bola mata. Ia juga berperanan mentransmisi cahaya.

Komponen Neural Mata

Pupil merupakan bukaan pada iris. Sekiranya cahaya terang, otot sirkular mengecut menyebabkan pupil mengecil (konstrik). Jika cahaya kurang terang atau mendung, otot menjalar akan kontraksi menyebabkan pupil mengembang (besar/dilat).

Retina iaitu lapisan terdalam dinding mata merupakan struktur yang nipis dan lut cahaya. Ia terdiri daripada sepuluh lapisan saraf dan lapisan sel berserat yang terletak di atas satu lapisan sel-sel epithelium berpigmen yang melekat pada koroid. Lapisan yang sensitif pada cahaya di bahagian ini dikenali sebagai lapisan rod dan kon. Makula ialah titik pada retina yang mengandungi jumlah kon paling tinggi. Fovea pula ialah lekuk kecil pada makula yang hanya mengandungi sel-sel kon. Inilah kawasan penglihatan paling tajam. Di bahagian anterior retina, sel-sel kon semakin berkurangan tetapi sel-sel rod bertambah banyak. Sel kon berfungsi untuk penglihatan siang dan penglihatan warna. Sel rod pula berperanan untuk penglihatan dalam keadaan malap. Secara umumnya, retina penting untuk menukarkan tenaga cahaya yang memasuki mata kepada impuls untuk dihantar ke otak.

Saraf optik terdiri daripada kumpulan serat saraf yang menghubungkan mata ke otak. Ini adalah sebahagian daripada jalur visual (visual pathway). Struktur ini penting untuk membawa impuls dari retina ke bahagian otak yang dinamakan korteks visual.

Struktur Aksesori Mata

Struktur Aksesori Mata1 Struktur Aksesori Mata2

Struktur Aksesori Mata

Di bahagian luar mata terdapat organ-organ aksesori mata yang mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza iaitu bulu kening, kelopak mata, bulu mata, konjunktiva, alat lakrima dan otot ekstraokular.

Bulu kening berperanan mencegah peluh dari dahi dan kepala daripada memasuki mata. Struktur ini terdiri daripada kulit dan otot jalur membolehkan bulu kening digerakkan.

Kelopak mata terbahagi kepada kelopak mata atas dan kelopak mata bawah. Struktur ini dibentuk oleh kulit, otot, plat tarsal, kalenjar Meibomian, kalenjar peluh dan bulu mata. Terdapat pelbagai fungsi penting kelopak mata. Antaranya melindungi mata daripada kecederaan luar. Selain itu, bahagian ini berfungsi melindungi mata daripada cahaya berlebihan dan membantu dalam penyebaran air mata.

Bulu mata merupakan satu barisan bulu pendek yang tebal, tumbuh di pinggir luar kelopak mata atas dan kelopak mata bawah. Tugas bulu mata ialah melindungi mata daripada habuk dan bendasing. Struktur ini bersifat sensitif terhadap sentuhan. Di belakangnya terdapat lubang halus yang terbentuk daripada kilang minyak khas iaitu kilang Meibomian.

Konjunktiva merupakan membrane mucus nipis dan lut cahaya yang melapisi permukaan dalam kelopak mata (konjunktiva palpebral) dan permukaan anterior bola mata (konjunktiva bulbar) kecuali kornea. Bahagian pertemuan antara konjunktiva dan kornea dikenali sebagai limbus. Struktur konjunktiva ini mengandungi kalenjar yang menghasilkan air mata. Fungsi struktur ini ialah merembeskan bahagian mucin air mata dan membekalkan nutrien kepada kornea.

Alat lakrima bertanggungjawab terhadap penghasilan air mata dan alirannya. Ia terdiri daripada kalenjar lakrima, kanalikuli lakrima, pundi lakrima dan duktus nasolakrima. Kalenjar lakrima berada di sudut bahagian atas dalam soket mata. Air mata yang terhasil mengalir dari sini ke bawah melalui beberapa salur kecil. Di sudut dalam kelopak mata terdapat dua salur air mata, iaitu di bahagian atas dan bawah yang dikenali sebagai kanalikulus atas dan bawah. Air mata mengalir ke dalam salur ini dan sampai ke pundi lakrima. Karunkel iaitu satu tompok merah yang membahagi salur air mata atas dan bawah. Pundi lakrima ialah bahagian yang mengembang, terletak di atas duktus nasolakrima. Dari pundi ini, duktus nasolakrima turun ke bawah dan berakhir di rongga hidung.

Air mata merupakan bendalir jernih bersifat alkali lemah kerana mengandungi sedikit natrium klorida. Struktur ini terdiri daripda tiga lapisan iaitu lipid, akueus dan mucin. Penghasilan air mata secukupnya penting untuk membasahi kornea dan konjunktiva supaya bebas daripada debu. Jika dihasilkan berlebihan, duktus nasolakrima tidak dapat mengalirkan semuanya ke rongga hidung menyebabkan lelehan air mata. Fungsi air mata ialah membersihkan habuk dan melicinkan permukaan kornea bagi membolehkan mata berkedip dengan mudah. Struktur ini juga penting untuk membekalkan nutrien dan oksigen kepada kornea. Selain itu, kandungan enzim lisozim dan antibodi dalam air mata membentuk satu sistem imun penting yang bertindak mencegah kuman daripada membiak.

Terdapat enam otot ekstraokular yang melekat pada mata. Otot ini membenarkan mata bergerak dalam lingkungan orbitnya. Tindakan koordinasi otot-otot ini pada kedua-dua mata membolehkan mata bergerak secara simetri (pada arah yang sama dan pada masa yang sama).

Rujukan

  1. Richard S. Snell & Michael A. Lemp. (1998). Clinical Anatomy of the Eye. USA. Blackwell Science
  2. Jack J. Kanski. (2000). Clinical Ophthalmology Fourth Edition. Butterworth-Heinemann
  3. https://ms.wikipedia.org/wiki/Mata
Semakan Akhir : 17 Disember 2015
Penulis : Pn. Nor Bahiyah Binti Tahar
Akreditor : Pn. Noor Zahirah Binti Husain

Artikel Berkaitan

Pendarahan Telinga

Pendarahan telinga adalah lelehan yang keluar dari telinga yang mengandungi darah akibat daripada kecederaan ataupun jangkitan kuman.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,765

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia