A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penderaan Fizikal

Berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang bertanggungjawab

Penderaan fizikal kanak-kanak, juga dikenali sebagai kecederaan tidak sengaja atau dipukul/dera. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak.

Di bawah undang-undang Malaysia, seperti mana terdapat di dalam akta kanak-kanak 2001, seorang kanak-kanak dikira sebagai mengalami kecederaan fizikal jika terdapat tanda-tanda kecederaan yang boleh dilihat di tubuh kanak-kanak dan kecederaan ini bukan disebabkan oleh kemalangan dan terdapat bukti seperti luka, calar, melecet, berparut, patah atau kecederaan tulang, terseliuh, pendarahan, luka di kulit, kebakaran, melecur, hilang kewarasan atau hilang fungsi psiko logikal atau kehilangan rambut dan gigi. (Akta kanak-kanak 2001 seksyen 17 (2)(a) )

Dalam definisi ini, memukul kanak-kanak tidak dikira sebagai penderaan fizikal kecuali terdapat kecederaan. Walau bagaimanapun, menggunakan disiplin fizikal tanpa penjelasan dan garis panduan tingkah laku akan mengakibatkan peningkatan kanak-kanak yang hiperaktif dan agresif. Beberapa negara di Eropah telah meluluskan undang-undang melarang hukuman fizikal oleh ibu bapa ke atas kanak-kanak. Di Malaysia, hukuman sebat masih dibenarkan di sekolah.

Hukuman fizikal (rotan)

Kebanyakan ibu bapa merasakan anak mereka perlu dirotan atau merasa kesakitan bagi tujuan mendisiplinkan mereka. ‘Simpan rotan dan manjakan anak’ adalah pepatah yang biasa digunakan oleh ibu bapa atau pengasuh kanak-kanak. Kajian terus menunjukkan memukul kanak-kanak masih diamalkan oleh ibu bapa di semua peringkat sosial, melibatkan kanak-kanak di semua peringkat umur (Newson & Newson 1986, SCAN Data). Kebanyakan kanak-kanak menerima hukuman yang ringan bagi tujuan disiplin fizikal seperti tamparan atau ditarik telinga. Walau bagaimanapun, kebanyakan tamparan atau pukulan adalah disebabkan ibu bapa atau penjaga merasa sakit hati atau kemarahan yang tidak terkawal. Walaupun terdapat perbezaan di antara hukuman fizikal dan penderaan fizikal, kebanyakan ibu bapa yang mendera anak mereka bermula dengan niat untuk menjalankan hukuman fizikal. Bagaimanapun, kecederaan adalah disebabkan oleh kehilangan kawalan ibu bapa.

Cara mengenal pasti penderaan fizikal

Aduan terus
Aduan dari kanak-kanak itu sendiri, ibu bapa atau orang yang prihatin

Kecederaan yang boleh dilihat
Kesan dari kecederaan tersebut, ibu bapa biasanya akan membawa anak-anak mereka ke hospital, klinik kesihatan atau pengamal perubatan am.

Kecederaan yang dilihat secara kebetulan
Kecederaan seperti bengkak, benjol atau lebam di kesan oleh guru atau pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak. Biasanya ibu bapa akan menafikan kecederaan, menunjukkan rasa tidak puas hati atau memberi penjelasan yang tidak jelas. Guru-guru dan pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak dimestikan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika mengesyaki penderaan fizikal.

Apabila seorang kanak-kanak diperiksa untuk kecederaan yang berlaku, kadang-kala tidak terdapat tanda kecederaan fizikal yang jelas, terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah umur kerana mereka tidak boleh bercakap atau takut untuk bersuara.

Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika:

  • Terdapat kesan bakar, bengkak, patah atau lebam di mata
  • Terdapat kesan bengkak atau tanda yang kelihatan terutama selepas tidak hadir sekolah
  • Takut kepada ibu bapa dan memberontak atau menangis apabila tiba masa pulang ke rumah
  • Merasa takut bila dirapati oleh golongan dewasa
  • Laporan kecederaan oleh ibu bapa atau penjaga

Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika ibu bapa atau penjaga:

  • Memberi penjelasan yang berbeza, tidak meyakinkan atau tiada penjelasan mengenai kecederaan anak mereka
  • Menjelaskan bahawa anak mereka nakal atau sukar dikawal
  • Mengamalkan disiplin fizikal yang tegas/ keras
  • Mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol dan keganasan rumah tangga
  • Sering mendapat rawatan di hospital atau klinik kesihatan
  • Kurang rasa tanggungjawab terhadap keperluan emosi kanak-kanak

Kecederaan Penderaan Fizikal

Kesan lebam

Bengkak, benjol atau lebam adalah tanda utama yang kelihatan jika kanak-kanak didera. Corak yang tipikal dalam kes penderaan adalah tanda lebam yang dapat dilihat di beberapa bahagian tubuh kanak-kanak, selalunya berbeza-beza saiz dan bentuk serta tempoh. Terjatuh dari tangga tidak akan menunjukkan tanda-tanda seperti ini. Penderaan fizikal perlu diambil kira jika terdapat bengkak dikalangan bayi yang masih tidak boleh bergerak aktif.

Kesan bengkak, benjol atau lebam di bahagian muka, telinga, paha, punggung dan di belakang selalunya berkaitan dengan penderaan fizikal.

Bagi kanak-kanak yang sering mengalami bengkak selepas terhantuk, doktor biasanya akan membuat pemeriksaan bagi mengesan masalah pembekuan darah jika mereka tidak mempunyai rekod penderaan fizikal. Kadang-kala tanda lebam menyerupai peralatan yang digunakan seperti tali pinggang dan rotan dalam kes sebegini, kecederaan bukan disebabkan kemalangan (non-accidental injury).

Patah tulang

Patah tulang biasanya melibatkan penderaan yang lebih teruk dan merupakan kecederaan yang serius. Patah tulang boleh berlaku di semua bahagian badan, mungkin hanya satu atau lebih daripada satu tulang yang patah dengan umur kecederaan yang berbeza-beza. Mungkin juga tidak terdapat tanda luaran semasa patah dan hanya dapat dikesan melalui imbasan X-ray jika patah itu telah lama berlaku.

Bagi kes penderaan kanak-kanak, kebanyakan patah tulang berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah tiga tahun. Untuk kanak-kanak yang tidak mengalami penderaan, kajian telah menunjukkan bahawa 85% daripada yang mengalami patah tulang berlaku selepas umur 5 tahun.

Bagi penderaan fizikal, patah tulang biasanya berlaku di bahagian tulang rusuk dan tulang selangka, di kalangan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun, biasanya di tulang panjang.

Keretakan di tempurung kepala di kalangan kanak-kanak boleh terjadi akibat terjatuh jarang berlaku dan mereka biasanya sihat/tidak sakit. Ini dibandingkan dengan kes penderaan di mana terdapat pendarahan di dalam otak, kanak-kanak tidak sihat dan boleh mengakibatkan kematian. Ini adalah kerana penderaan melibatkan hentakan yang lebih kuat berbanding dengan kes kecederaan yang tidak disengajakan.

Terbakar dan melecur

Kecederaan akibat terbakar dan melecur biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan disebabkan kecuaian ibu bapa di mana kanak-kanak diberi perhatian yang kurang atau diabaikan. Kesan lecur yang dilakukan oleh orang dewasa ke atas kanak-kanak biasanya telah dirancang terlebih dahulu contohnya lecuran dalam bentuk seperti seterika. Kanak-kanak yang telah di dera dengan cara begini biasanya akan mengalami ketakutan dan mempunyai masalah untuk menceritakan apa yang telah berlaku ke atas mereka.

Kesan bakar perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan jangkitan dan parut. Kanak-kanak yang mengalami kecederaan sebegini perlu diberi perlindungan. Ahli keluarga juga mungkin perlu diberi pertolongan.

Terdapat pelbagai jenis kecederaan akibat terbakar ataupun melecur seperti ‘contact burns’ (kecederaan yang sama bentuk dengan objek yang diguna seperti seterika), terbakar akibat puntung rokok, terbakar akibat tercelup dalam air panas dan kecederaan akibat terbakar dengan api (pemetik api).

‘Shaken Baby Syndrome’

Kecederaan abdomen

Sesetengah kanak-kanak di tumbuk di bahagian abdomen seperti di perut. Ini boleh menyebabkan kecederaan organ dalaman yang penting seperti hati, pankreas dan usus. Biasanya tiada tanda luaran di bahagian abdomen. Kanak-kanak ini mungkin akan muntah dan bahagian abdomen akan kelihatan kembung serta kelihatan tidak sihat. Kanak-kanak ini perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan segara. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa.

Kesan/akibat

Antara akibat penderaan fizikal atau emosi ialah:

  • Sikap hiperaktif, agresif, panas baran dan mudah terangsang menjadi perbuatan ganas/kasar.
  • Tidak boleh faham perasaan orang lain.
  • Masalah emosi seperti buli atau ponteng sekolah.
  • Menyalahkan orang lain.
  • Lemah dalam perhubungan sesama sendiri, akademik dan juga pekerjaan.

Jawatankuasa Pengurusan dan rehabilitasi

Tujuan utama jawatankuasa ini adalah:

  • Untuk mengujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak
  • Untuk menyediakan keperluan masa depan
  • Untuk mengelakkan penderaan dari terus berlaku
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Irene Cheah
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Buli

Buli adalah sesuatu tindakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang. Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya (peer abuse)

Faktor Risiko Penderaan

Tiada satu faktor pun yang dapat menerangkan kenapa sebahagian individu bersikap ganas terhadap kanak-kanak atau kenapa penderaan berlaku dalam sesuatu masyarakat lebih kerap berbanding dengan sesetengah masyarakat yang lain. Risiko penderaan meningkat jika terdapat faktor-faktor tertentu dikalangan ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.

Shaken Baby Syndrome

Pendarahan subdural berserta dengan keretakan tulang dada (ribs) dan pendarahan dalam mata dipanggil ‘Shaken Baby Syndrome’.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,487

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia