A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penyalahgunaan Ubat
  6. /
  7. Penyalahgunaan daun ketum

Penyalahgunaan daun ketum

Apa Itu Daun Ketum?

Pokok ketum

Pokok ketum atau pokok biak atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.

Batang pokok ketum berkayu keras dan bercabang. Ketinggian pokok ketum boleh mencapai sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok boleh mencapai sehingga 1 meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya.

Daun ketum

Penggunaan Daun Ketum Secara Tradisional

Daun ketum telah digunakan secara tradisional untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Malahan, air daun ketum juga dikatakan telah digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat penyakit tertentu seperti merawat sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta sebagai penawar diabetes, darah tinggi dan lain-lain.

Penyalahgunaan Daun Ketum

Air daun ketum telah disalahgunakan oleh penagih dadah kerana ianya mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.

Merebus daun ketum

Air daun ketum dihasilkan dengan merebus daun ketum dan air rebusan daun ketum ini dibungkus dalam paket kecil untuk dijual kepada penagih dadah.

Paket air ketum

Tempat pemprosesan daun ketum

Bahan Kimia Dalam Ketum

Daun ketum mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoaktif. Bahan ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 dibawah peraturan kawalan psikotropik. Terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.

Kesan Ketum

Kesan pengambilan mitragynine yang berlebihan:

  • Rasa khayal (euforia)
  • Rasa pening
  • Mengantuk
  • Muntah

Kesan buruk pengambilan ketum secara berterusan:

  • Mengakibatkan ketagihan
  • Bibir dan kulit jadi kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar terutama di pipi
  • Kulit menjadi kering
  • Sembelit
  • Insomnia

Undang-Undang Yang Mengawal Ketum

Mitragynine iaitu bahan aktif dalam air daun ketum adalah bahan psikotropik yang dikawal di Malaysia. Mitragynine disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersebut.

Hukuman Kesalahan menggunakan Ketum

Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952, iaitu denda tidak melebihi RM 10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Rujukan

  1. Poisons Act 1952
  2. Poisons (Psychotropic Substances) Regulations 1989
Semakan Akhir : 20 Januari 2014
Penulis : Nurhafizah bt. Hasan
Akreditor : Mazlan bin Ismail

 

Artikel Berkaitan

Hydroquinone dalam sediaan kosmetik

Hydroquinone hanya dibenarkan untuk produk kosmetik sediaan kuku palsu bagi kegunaan professional sahaja. Hydroquinone atau campuran bersama p-hydroxyanisole berfungsi sebagai penstabil di dalam produk sediaan kuku palsu dan had kepekatan maksimum yang dibenarkan adalah sehingga 0.02% selepas dicampur. Di samping itu, produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone perlu dielakkan daripada terkena kulit dan amaran tersebut perlu dinyatakan dengan jelas pada label.

Tip Pengendalian Ubat Semasa Perjalanan

Maklumat ini digunapakai bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan dan perlu meneruskan pengambilan ubat tersebut sepanjang pengembaraan atau perjalanan mereka. Ia dapat membantu untuk merancang dengan lebih awal pengambilan ubat disepanjang pengembaraan anda. Ia juga membantu untuk mendapatkan maklumat berkenaan ubat-ubatan yang boleh dibawa keluar dan masuk ke dalam sesebuah negara.

Bolehkah ubat dihancurkan?

Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,930

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia