A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kandidiasis Mulut

Kandidiasis mulut terjadi apabila organisma ini menyebabkan penyakit atau lesi di dalam rongga mulut.

Apakah Kandidiasis Mulut?

Kira-kira separuh populasi normal membawa organisma kulat daripada spesis candida di dalam mulut mereka tanpa menyebabkan penyakit. Kandidiasis mulut terjadi apabila organisma ini menyebabkan penyakit atau lesi di dalam rongga mulut. Ia adalah jangkitan kulat mulut yang paling kerap ditemui. Kandidiasis biasanya berlaku apabila terdapat sama ada masalah sistem pertahanan badan (sistem imun) atau apabila ekologi mulut diubah / diganggu. Ini bermakna bahawa organisma ini biasanya memerlukan peluang untuk menyebabkan jangkitan (opportunistic infection).

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kandidiasis mulut boleh dibahagikan kepada faktor setempat atau faktor sistemik.

Faktor setempat

  • Mulut kering
  • Merokok
  • Kortikosteroid
  • Gigi palsu
  • Antimikrobial spektrum-luas
  • Radioterapi

Faktor Sistemik

  • Malnutrisi
  • Masalah sistem pertahanan (sistem imun) badan seperti:
    • Diabetes mellitus
    • Jangkitan HIV
    • Ubat yang menggangu / merencat sistem imun badan
  • Kemoterapi sitotoksik
  • Anemia

Apakah Tanda & Gejala Kandidiasis Mulut?

Di dalam mulut, kandidiasis boleh kelihatan sama ada seperti lesi putih, lesi merah atau lesi campuran merah dan putih. Ia boleh menyebabkan rasa pedih dan sakit tetapi dalam keadaan tertentu, ia langsung tidak menyakitkan. Oleh itu, kandidiasis mulut boleh wujud dalam pelbagai bentuk di dalam mulut. Ia biasanya diklasifikasikan mengikut persembahan klinikal (penampilan dan penglibatan kawasan badan yang lain.) Berikut adalah beberapa bentuk klinikal kandidiasis mulut:

  • Kandidiasis Pseudomembran Akut (Bila berlaku di kalangan bayi, juga disebut kulat susu)


     

  • Kandidiasis Eritema Akut
  • Kandidiasis Hyperplastik Kronik *


     

  • Kandidiasis Eritema Kronik
  • Lesi lain yang berkaitan jangkitan Candida:

* Daripada semua persembahan klinikal yang berbeza, kandidiasis hyperplastik kronik mempunyai potensi untuk berubah menjadi kanser mulut.

Diagnosis

Diagnosis biasanya melalui penemuan klinikal. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, swab atau calitan perlu dilakukan untuk mengenal pasti organisma yang terlibat secara tepat. Dalam kes-kes kandidiasis hyperplastik kronik, biopsi tisu selalunya disyorkan kerana mempunyai potensi untuk berubah menjadi kanser mulut.

Oleh kerana kandidiasis mulut sering dikaitkan dengan masalah sistemik seperti kencing manis, kekurangan zat makanan dan jangkitan HIV, ujian darah untuk menyiasat kewujudan penyakit tersebut mungkin akan dilakukan oleh pakar yang merawat.

Rawatan

Rawatan untuk kandidiasis mulut bergantung kepada penemuan klinikal dan juga faktor lain yang cenderung untuk menyebabkan jangkitan ini. Mengenalpasti dan menguruskan faktor yang meningkatkan risiko jangkitan ini adalah amat penting kerana ia akan membantu mencegah jangkitan itu dari berulang.

Dalam kebanyakan kes biasa (tanpa faktor lain yang meningkatkan risiko jangkitan kulat ini), agen antikulat topikal sama ada dalam bentuk lozenge, cecair, ubat kumur atau gel akan diberi oleh pakar anda. Bagi kes tertentu, rawatan antikulat topikal yang berpanjangan mungkin diperlukan terutamanya apabila terdapat faktor penyebab yang tidak dapat dielakkan / dirawat. Dan dalam kes yang melibatkan kawasan badan yang lain, ubatan anti kulat yang sistemik mungkin diberi.

Peningkatan dalam langkah penjagaan kebersihan mulut juga diperlukan terutama bagi mereka yang menggunakan gigi palsu. Penambahbaikan langkah kebersihan mulut boleh mengurangkan jumlah organisma kulat di dalam mulut secara drastik.

Rujukan

  1. Samaranayake LP, Holmstrup P. Oral candidiasis and human immunodeficiency virus infection. J Oral Pathol Med 1989
  2. Samaranayake LP, Keung Leung W, Jin L. Oral mucosal fungal infections. Periodontol 2000 2009
  3. Scully C. (2008). Oral and maxillofacial medicine- The basis of diagnosis and treatment. (2nd ed.) Elsevier.
  4. Vazquez JA, Sobel JD. Mucosal candidiasis. Infect Dis Clin North Am 2002

 

Semakan Akhir : 11 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam
Akreditor : Dr. Lau Shin Hin

 

 

Artikel Berkaitan

Gigi Palsu Fleksibel

Gigi palsu fleksibel ialah gigi palsu yang diperbuat daripada bahan yang melentur (flexible) iaitu sejenis bahan plastik yang dinamakan nylon.

Korona dan Jambatan Pergigian : Jenis-Jenis Bahan

Jenis-jenis bahan yang disyorkan untuk pembuatan korona atau jambatan anda, akan bergantung kepada beberapa faktor tertentu iaitu kedudukan gigi (hadapan atau belakang) dimana korona atau jambatan akan diletakkan, sama ada anda mempunyai tabiat mengisar gigi dan sekiranya anda mempunyai alahan kepada logam tertentu.

Liken Planus Mulut

Liken planus adalah suatu keadaan keradangan kronik pada kulit tetapi juga boleh melibatkan mulut (liken planus mulut) dan membran mukus yang lain seperti kawasan kemaluan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,419

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia