A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Kesan advers vs...

Kesan advers vs kesan sampingan ubat

Pengenalan

Gambar 1: Ruam yang disebabkan produk supplemen kesihatan yang dicemar palsu dengan steroid

Gambar 2: Bengkak mata setelah menggunakan ubat titis mata1 “Habis bengkak muka saya lepas makan ubat tahan sakit tu!” “Buah pinggang jiran saya rosak sebab dia ambil ubat darah tinggi.”

Kita semua pernah dengar tentang kes kesan mudarat selepas pengambilan ubat-ubatan. Ya, memang benar: semua ubat mempunyai risiko mengakibatkan kesan yang tidak diingini atau kesan advers. Perkara yang penting adalah untuk memastikan pengambilan sesuatu ubat melebihi risiko kesan advers.

Kesan Advers Ubat atau Kesan Sampingan?

Apakah sebenarnya perbezaan antara istilah-istilah ini? Biasanya, istilah-istilah ini digunakan secara saling bertukar, dengan ‘kesan sampingan’ digunakan oleh orang awam.

Terdapat perbezaan kecil antara kesan advers ubat (ADR) dengan kesan sampingan, seperti diterangkan dalam jadual di bawah. Bagi tujuan artikel ini, istilah ‘ADR’ akan digunakan untuk merujuk kepada semua jenis kesan advers ubat.

Jadual 1: Perbandingan antara Kesan Sampingan dan Kesan Advers Ubat2

Kesan Sampingan
Kesan Advers Ubat (ADR)
Kesan ubat yang tidak diingini
Berlaku pada dos yang biasa digunakan
Berkaitan dengan cara ubat berfungsi Tidak berkaitan dengan cara ubat berfungsi
Mungkin membawa faedah atau kemudaratan Membawa kemudaratan (berbahaya)
Boleh dijangka Mungkin tidak dijangka dan tidak dapat diterangkan
cth.: Aspirin (ubat cair darah) mungkin menyebabkan hidung berdarah atau lebam-lebam cth.: Allopurinol (ubat untuk gout) boleh menyebabkan reaksi kulit yang serius

Adakah Ubat Berbahaya?

Tidak. Fikirkan begini… Sekiranya anda mesti memilih satu, manakah yang akan anda pilih untuk mengalami:

  1. bengkak buku lali, atau
  2. angin ahmar yang teruk?

Kebanyakan orang pasti memilih (a).

Inilah contoh keputusan yang doktor dan ahli farmasi anda perlu lakukan apabila memilih ubat untuk anda. Ini dipanggil analisis faedah-risiko.

Anda mungkin mengalami kesan bengkak buku lali setelah mengambil ubat darah tinggi amlodipine. Namun, tekanan darah anda akan terkawal dan mencegah anda daripada mengalami angin ahmar yang teruk. Jelaslah, faedahnya melebihi risiko dan doktor anda mungkin memulakan ubat amlodipine untuk anda.

Ubat-ubatan berdaftar sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa seperti Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di Malaysia, United States Food and Drugs Administration (US FDA), dan Therapeutic Goods Administration (TGA) di Australia. Usaha diambil untuk memastikan produk ubat-ubatan yang terdapat di pasaran adalah selamat, dengan faedahnya melebihi risiko.

‘Semulajadi’ Tidak Semestinya Selamat

Ubat tradisional dan komplementari seperti produk herba juga boleh menyebabkan ADR. Ini mungkin disebabkan bahan herba/semulajadi itu sendiri, ataupun bahan kandungan lain dalam produk tersebut.

Pada tahun 2012 sahaja, sebanyak 151 laporan ADR yang melibatkan produk tradisional telah diterima di Malaysia. Lebih daripada 70% melibatkan produk tidak berdaftar. Kebanyakan produk ini didapati dicemar palsu dengan ubat preskripsi, yang mungkin membahayakan pengguna.

Inilah sebabnya sangat penting untuk memastikan sebarang produk yang digunakan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Malaysia (Laman sesawang: www.bpfk.gov.my). Rujuk dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum mengambil sebarang produk atau penokok diet.

Kenapa Doktor Tidak Memberitahu Saya ADR Ini Mungkin Berlaku?

Cuba lihat di dalam bungkusan ubat anda. Nampak sekeping kertas bertulis? Itu dipanggil sisipan bungkusan. Ia mengandungi maklumat terperinci berkenaan ubat anda, untuk pengamal perubatan.Jika anda semak di bawah tajuk “Undesirable Effects” (kesan yang tidak diingini), kemungkinan besar anda akan melihat satu senarai panjang istilah perubatan. Setiap jenis ubat mungkin menyebabkan pelbagai ADR, daripada kesan yang sangat biasa kepada kesan yang sangat jarang berlaku.

Doktor anda selalunya akan memaklumkan ADR biasa yang anda mungkin alami. Namun, adalah hampir mustahil untuk memaklumkan semua ADR yang mungkin berlaku dengan sesuatu ubat. Malah terdapat ADR yang begitu jarang sehingga ia tidak disenaraikan dalam sisipan bungkusan.

Terdapat juga doktor atau ahli farmasi yang enggan memberitahu pesakit berkenaan ADR yang mungkin dialami kerana bimbang mereka akan mengalami ADR khayalan. Ini dipanggil kesan ‘nocebo’. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pesakit mengadu mengalami ADR seperti rasa sakit, gatal, atau sakit perut, walaupun hanya diberi pil gula (placebo) dan bukan ubat sebenar.

Tindakan yang paling baik adalah untuk berjaga-jaga, dan merujuk kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengalami ADR yang membimbangkan.

Anda perlu berhati-hati terutamanya apabila:

  • anda mula mengambil ubat baru (termasuk vitamin atau produk herba)
  • terdapat perubahan jenama/ warna ubat anda
  • dos ubat dinaikkan
  • anda sedang mengambil banyak jenis ubat pada masa yang sama

Patutkah Saya Tahan Sahaja atau Jumpa Doktor?

Peraturan pertama adalah JANGAN berhenti mengambil ubat anda tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi. Dalam sesetengah kes, menghentikan ubat secara tiba-tiba mungkin lebih berbahaya berbanding ADR itu sendiri.

ADR boleh jadi reaksi yang ringan ataupun serius, contohnya gatal-gatal atau loya, sehingga kegagalan organ hati atau Toxic Epidermal Necrolysis (di mana kulit mengupas daripada lebih 30% luas permukaan badan).

Dapatkan nasihat professional kesihatan jika:

  • Anda mendapati ADR itu menyusahkan atau membimbangkan
  • ADR itu mengganggu aktiviti seharian
  • Anda mahu menghentikan ubat anda disebabkan ADR

Ahli farmasi atau doktor boleh memberitahu anda sekiranya reaksi yang dialami adalah disebabkan ubat ataupun punca lain. Mereka akan menasihati anda berkenaan tindakan yang perlu diambil. Ini mungkin melibatkan penukaran ubat, pengurangan dos ubat, ataupun merawat ADR sementara pengambilan ubat diteruskan.

Sesetengah ADR akan sembuh sendiri walaupun pengambilan ubat diteruskan. Contohnya, ramai yang mengalami perut kembung atau cirit apabila mula mengambil ubat kencing manis, acarbose. Namun, kesan ini biasanya pulih dalam masa dua minggu apabila ubat terus diambil.

Pastikan anda mendapatkan nama ubat yang menyebabkan ADR itu daripada doktor atau ahli farmasi anda. Mereka mungkin memberi anda ‘Kad Alahan Ubat’ untuk dibawa bersama dan ditunjukkan kepada pengamal perubatan setiap kali sebelum mengambil sebarang ubat baru.

Gambar 3: Contoh Kad Alahan Ubat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

Mengalami ADR? Lapor Sekarang!

Sila laporkan kepada BPFK sekiranya anda mengalami ADR yang membimbangkan anda. Ini akan membantu mengenal pasti kesan advers baru sesuatu ubat dan meningkatkan keselamatan penggunaan ubat.

Apa yang perlu dilaporkan?

Laporkan sebarang simptom yang membimbangkan anda, walaupun anda tidak pasti ia disebabkan ubat. Ini sangat penting, terutamanya bagi kesan advers yang:

  1. tidak tersenarai dalam sisipan bungkusan
  2. serius atau mengganggu aktiviti harian

Kenapa penting untuk melapor?

Setiap laporan yang diterima membantu meningkatkan pengetahuan berkenaan ubat terlibat. Maklumat dalam laporan anda akan dimasukkan ke dalam pangkalan data ADR Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Semua laporan akan dianalisis untuk mengenal pasti sebarang masalah keselamatan ubat. Lebih banyak laporan diterima, lebih besar kemungkinan ADR yang baru atau jarang akan dikesan dengan cepat. Sekiranya terdapat banyak laporan berkenaan sesuatu ubat, pemantauan keselamatan yang terperinci akan dilaksanakan.

Bagaimana untuk melapor?

Gambar 4: Borang Laporan Aduan Ubat-Ubatan untuk Pengguna

Dapatkan borang pelaporan dari laman sesawang BPFK atau dari ahli farmasi anda. Pilih salah satu cara dibawah untuk menghantar laporan anda:

Sumber Rujukan

  1. Sumber Gambar 1 dan 2: Ridzwan R, Nik Sulaiman NM, et al. Problem Orientated Atlas of Dermatology for Primary Care Providers. Selayang Hospital, 2004.
  2. WHO. International monitoring of adverse reactions to drugs: adverse reaction terminology. WHO Collaborating Centre for International Drug Monitoring, Uppsala, Sweden, 1992.
  3. Pangkalan data Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan Malaysia [diakses pada March 2014].
  4. Mitsikostas DD1, Mantonakis L2, Chalarakis N2. Nocebo in clinical trials for depression: a meta-analysis.Psychiatry Res. 2014 Jan 30;215(1):82-6.
  5. Martina Amanzio, Luca Latini Corazzini, Lene Vase, Fabrizio Benedetti. A systematic review of adverse events in placebo groups of anti-migraine clinical trials. Pain. 2009 Dec;146(3):261-9.
Semakan Akhir : 10 Jun 2014
Penulis : Rema Panickar a/p Sugunan@Vasanthan
Akreditor : Rokiah bt. Isahak

 

Artikel Berkaitan

Ubat Antidiarea

Apa itu ubat antidiarea? Ubat antidiarea adalah ubat yang digunakan

Tip Pengendalian Ubat Semasa Perjalanan

Maklumat ini digunapakai bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan dan perlu meneruskan pengambilan ubat tersebut sepanjang pengembaraan atau perjalanan mereka. Ia dapat membantu untuk merancang dengan lebih awal pengambilan ubat disepanjang pengembaraan anda. Ia juga membantu untuk mendapatkan maklumat berkenaan ubat-ubatan yang boleh dibawa keluar dan masuk ke dalam sesebuah negara.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,462

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia