A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Gaya Hidup
  6. /
  7. Penjagaan Mata
  8. /
  9. Kanta Sentuh Untuk Kanak-kanak

Kanta Sentuh Untuk Kanak-kanak

Kanak-kanak, Kanta Sentuh, dan Bersukan

Pertanyaan yang sering bermain di minda ibubapa jika anak-anak mereka memakai kanta sentuh ialah: “Adakah umur anak saya sudah cukup untuk memakai kanta sentuh ?”

Sebenarnya, tiada satu pun jawapan yang pasti untuk soalan di atas. Secara fizikalnya, mata boleh bertoleransi kepada kanta sentuh pada sejak bayi lagi. Terdapat bayi yang dipakaikan kanta sentuh kerana defek pada mata sejak mereka lahir lagi. Dalam kajian yang dijalankan di Kolej Optometri, Universiti Ohio yang melibatkan pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak rabun jauh yang berumur 8 hingga 11 tahun, didapati bahawa 90 peratus kanak-kanak tersebut tidak menghadapi masalah dalam memasang dan membuka kanta sentuh tanpa bantuan ibubapa mereka.

Oleh itu, yang sepatutnya menjadi persoalan ibubapa ialah: “Adakah anak saya cukup matang untuk memakai kanta sentuh ?”

Hanya ibubapa sahajalah yang boleh menjawab soalan tersebut. Jika mempertimbangkan pemakaian kanta sentuh untuk anak anda, maka lihatlah bagaimana anak anda mampu memikul tanggungjawab yang lain. Adakah anak anda menjaga kebersihan bilik tidurnya dengan baik, memberi makan-minum kucingnya dengan teratur, dan mampu menurut peraturan di sekolah serta teliti dalam segala tugasan projek yang diberikan oleh guru.

Jika kanak-kanak tersebut selalu sahaja diingatkan bagi sebarang aktiviti hampir setiap hari, maka dia mungkin tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab memakai dan menjaga kanta sentuh dengan baik. Tetapi jika kanak-kanak tersebut mampu menjalankan tugasan hariannya dengan baik, maka dia mungkin merupakan calon yang sesuai untuk memakai kanta sentuh.

Secara semulajadinya, kanak-kanak boleh menjadi pemakai kanta sentuh yang baik jika mereka boleh menerima tanggungjawab tersebut. Mereka boleh beradapatasi dengan cepat apabila memakai kanta sentuh berbanding golongan dewasa.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan optometris yang mengkhusus dalam bidang kepakaran kanta sentuh di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kanak-kanak mengalami komplikasi pemakaian kanta sentuh yang rendah berbanding dewasa, kerana mereka cepat sembuh dan mempunyai sistem imun yang kuat.

Tambahan pula, kanak-kanak lazimnya akan mengikut peraturan dalam penggunaan kanta sentuh berbanding dewasa. Oleh itu, mereka jarang mempunyai masalah seperti memakai kanta sentuh terlebih masa atau menggunakan larutan kanta sentuh yang salah.

Penggunaaan Kanta Sentuh Adalah Sesuai dalam Aktiviti Bersukan

Penggunaan kanta sentuh dalam aktiviti bersukan menggantikan kaca mata merupakan langkah yang terbaik bagi para atlit yang mempunyai masalah rabun, termasuk atlit kanak-kanak. Jika kanak-kanak tersebut masih juga memakai kaca mata apabila bersukan, dia mestilah menggunakan kanta polikarbonat bagi menggantikan kanta plastik atau kaca. Namun begitu, semasa bersukan, bingkai kaca mata pun tidak mustahil untuk patah.

Menurut kajian yang dijalankan di Sekolah Otometri, Universiti Indiana, kebanyakan kanta sentuh terutamanya kanta sentuh telap udara (gas permeable, GP) mempunyai kualiti optik yang lebih baik dari kaca mata. Ini memberikan penglihatan yang lebih jelas dan boleh meningkatkan pencapaian sukan. Sebagai contoh, seorang pemain tenis akan melihat bola yang datang lebih milisaat cepat dengan penglihatan yang tajam apabila memakai kanta sentuh.

Berbanding kacamata, kanta sentuh memberikan penglihatan periferi (tepi) yang boleh meningkatkan lagi pencapaian sukan kerana medan penglihatan seseorang tidak dihalang oleh bingkai akibat pemakaian kacamata.

Mengekang Peningkatan Rabun Jauh

Mengekang peningkatan miopia (rabun jauh) merupakan faktor utama dalam pemakaian kanta sentuh. Jika kanak-kanak tersebut adalah rabun jauh, kanta GP merupakan pilihan yang terbaik. Kajian yang diterbitkan di jurnal Archives of Ophthalmologytelah membuktikan bahawa kanta GP boleh melambatkan peningkatan miopia pada kebanyakan kanak-kanak.

Walaupun konsep ini masih lagi kontroversi, kebanyakan optometris percaya bahawa kanak-kanak yang dipakaikan kanta GP mempunyai peningkatan miopia yang kurang berbanding mereka yang memakai kanta sentuh lembut.

Membina Keyakinan Diri dengan Kanta Sentuh

Pemakaian kanta sentuh boleh membina keyakinan diri pada anak anda. Kebanyakan kanak-kanak tidak suka tampil dengan memakai kacamata. Memakai kanta sentuh boleh merubah penampilan mereka, serta boleh meningkatkan lagi keyakinan diri. Kemajuan kendiri dan mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah akan bertambah apabila bertukar kepada kanta sentuh. Agak menakjubkan bagaimana dua keping ‘plastik’ yang nipis ini boleh memberi harapan baru dalam kehidupan kepada seorang anak yang kebolehannya selama ini agak terpendam.

Meskipun begitu, harus diingatkan bahawa menukar kaca mata anak anda kepada kanta sentuh bukanlah suatu keputusan yang kekal. Jika anak anda tidak boleh beradaptasi dengan kanta sentuh, kurang mahir dalam mengendalikan kanta sentuh seperti memasang dan menjaganya, optometris anda tidak akan teragak-agak untuk menukarkan semula kepada kaca mata sebagai alternatif pembetulan penglihatan. Kanta sentuh mungkin boleh dicuba kembali pada masa akan datang.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Shah Farez Othman
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Kaca Mata Hitam

Pengenalan Kaca mata hitam adalah alat pelindung mata yang digunakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,732

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia