A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Pendarahan Darah Haid yang...

Pendarahan Darah Haid yang Berlebihan

Menorrhagia bermaksud pendarahan darah haid yang lebih dari 80ml setiap kitaran haid. Agak sukar untuk menentukan pendarahan berlebihan secara objektif, akan tetapi kalau pendarahan haid itu menyebabkan kualiti hidup seseorang wanita itu terjejas, ia boleh diklasifikasikan sebagai menorrhagia. Ini termasuk terpaksa menggunakan dua tuala wanita sekali gus, atau pendarahan yang hingga melimpah mengotori kain atau tilam.

Sebab-Sebab

Kebanyakkan kes tidak mempunyai sebab-sebab tertentu. Di antara sebab-sebab yang boleh dikenalpasti adalah:

  • Gangguan hormon menyebabkan pendarahan rahim
  • Polip pangkal rahim atau rahim (ketumbuhan bukn kanser dari selaput rahim atau serviks)
  • Endometriosis (selaput dalam rahim yang terdapat di luar rahim secara tidak normal)
  • Fibroid (ketumbuhan dari otot rahim)
  • Kekurangan atau berlebihan rembesan hormon tiroid dari kelenjar tiroid

Sebab-sebab lain:

  • Akil baligh atau permulaan haid
  • IUCD (Alat mencegah kehamilan di dalam rahim)
  • Cystic glandular hyperplasia (masalah selaput rahim yang tebal)
  • Penyakit radang pelvis (PID) yang kronik
  • Sindrom Polycystik Ovari (PCOS)

Sebab-sebab yang jarang:

  • Masalah kelenjar pituitari.
  • Penyakit hati atau ginjal
  • Penyakit darah
  • Kanser Endometrium (kanser selaput rahim)
  • T.B. endometrium (T.B. selaput rahim)

Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak seperti ubat yang boleh mencairkan darah atau kimoterapi (untuk kanser).

Diagnosa

Sejarah pesakit perlu ditanya oleh doktor supaya dapat mencari sebab-sebab pendarahan haid (seperti di atas). Anda akan ditanya berapa tuala wanita (pad) yang digunakan sehari termasuk simptom-simptom lain (seperti kekurangan darah dsb). Anda mungkin diminta mengisi satu borang carta yang boleh menolong memberi gambaran ringkas kadar darah haid yang anda alami.

Ujian darah boleh mengesan anaemia (kurang darah), yang boleh disebabkan oleh pendarahan yang banyak dan berlebihan. Ujian Ultrasound rahim boleh mengesan fibroid, polip atau kanser.

Jikalau doktor anda tidak dapat mengesan sebab-sebab pendarahan, anda akan dirujuk kepada pakar ginekologi untuk rawatan lanjutan.

Rawatan

Rawatan termasuk ubat-ubatan dan pembedahan.

Asid Tranexamic adalah ubat yang paling mujarab. Ia boleh mengurangkan pendarahan haid dan diambil pada hari-hari haid sahaja. Ia tidak mengurangkan masa pendarahan tetapi lebih mengurangkan kuantiti pendarahan. Ubat-ubat lain seperti anti-radang (Mefenamic acid – Ponstan) juga boleh digunakan. Ia mungkin kurang efektif berbanding asid tranexamic tetapi boleh mengurangkan sakit senggugut.

Pil perancang boleh mengurangkan pendarahan haid berlebihan, sakit sengugut dan pada masa sama menghindar mengandung.

Penggunaan IUCD berjenama (Mirena) yang mengandungi hormon. Levonogestrel juga boleh mengurangkan pendarahan haid yang berlebihan.

Pembedahan pula termasuk pembedahan membuang rahim (hysterectomy) atau membuang selaput rahim (endometrium). Prosedur membuang selaput rahim ini dipanggil ablasi atau reseksi endometrium. Ablasi ini merangkumi pembakaran dengan tenaga elektrik atau gelombang mikro. Mereka yang menjalani pembedahan hysterectomy tidak akan mengalami pendarahan haid lagi, akan tetapi keperluan membuat pembedahan ini perlu diimbang kosnya yang mahal dan kesan sampingan lain.

Ablasi atau reseksi endometrium adalah pilihan yang baik jikalau pesakit tidak mahu menjalani pembedahan histerektomi. Rawatan reseksi endometrium boleh dibuat di kebanyakkan hospital besar di Malaysia.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,374

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia