A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Pengurusan Jenazah / Mayat...

Pengurusan Jenazah / Mayat : Upacara Terakhir

Last rites adalah berbeza mengikut agama dan budaya si mati. Di Malaysia, agama Islam dan agama lain iaitu Kristian, Buddha juga mempunyai upacara terakhir yang tersendiri.

Pengenalan

Pengurusan jenazah/mayat merupakan satu kewajipan bagi orang yang hidup terhadap orang telah meninggal dunia. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam agama lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah mati. Salah satu perkara yang termasuk dalam pengurusan jenazah ini adalah upacara terakhir atau last rites.

Last rites adalah berbeza mengikut agama dan budaya si mati. Di Malaysia, agama Islam dan agama lain iaitu Kristian, Buddha juga mempunyai upacara terakhir yang tersendiri.

Sebagai satu penghormatan terakhir untuk orang yang telah mati, bagi si mati yang beragama Islam, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang hidup melakukan empat perkara fardhu terhadap si mati. Kefardhuan tersebut adalah memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, solat jenazah, dan mengebumikan jenazah. Kefardhuan ini dilakukan mengikut urutan dari memandikan jenazah hinggalah kepada proses pengebumian.

Bagi si mati yang bukan Islam, upacara terakhir adalah mengikut agama dan kepercayaan masing-masing namun penghormatan terakhir kepada si mati masih harus dilakukan dengan penuh rasa hormat.

Upacara terakhir di Wad

Upacara terakhir yang dijalankan di wad bagi pesakit yang nazak dilakukan di katil masing-masing tetapi haruslah dilakukan dengan mengurangkan sentuhan secara lansung dengan pesakit. Contohnya, bagi pesakit yang nazak yang merupakan penganut Kristian, pesakit yang nazak ini akan disuap dengan roti atau wafer yang lembut yang direndam dalam wain dan dimasukkan ke dalam mulut pesakit sama ada melalui sentuhan langsung atau tidak langsung (menggunakan tiub). Bagi penganut Hindu pula, susu akan disuap menggunakan sudu dan bagi penganut Buddha, mereka akan melaungkan ayat suci kepada orang yang sedang nazak.

Bagi orang Islam, orang yang sedang nazak akan dibaringkan di atas lambung kanan/sisi kanan dan diajar mengucap dua kalimah syahadah dengan lemah lembut dan perlahan-lahan di samping dibacakan surah Yasin.

Upacara Terakhir di Mortuari

Selepas pesakit meninggal di wad, mereka akan dibawa ke mortuari dan beberapa prosedur akan dijalankan juga mengikut anutan dan budaya masing-masing. Bagi penganut Kristian, Buddha dan Hindu, si mati akan dimandikan oleh mereka yang telah arif dalam pengurusan mayat agama masing-masing. Ketika di mortuari, satu atau dua waris/saudara terdekat pada si mati dibenarkan untuk menyaksikan proses ini. Selepas proses memandikan selesai, tiada lagi proses pemandian yang kedua selepas dibawa pulang ke rumah dan sebaliknya.

Bagi orang Islam, selepas seseorang itu meninggal, adalah sunat untuk memejamkan mata dan mengikat rahang, melembutkan sendi-sendinya, meletakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perut, menanggalkan pakaian dan menutupnya dengan kain yang nipis dan diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan dihadapkan ke arah kiblat. Sebelum jenazah dimandikan, dagunya diikat dan disimpul atas ubunnya untuk memastikan mulutnya tertutup. Antara perkara lain yang perlu dilakukan sebelum jenazah dimandikan ialah rapatkan mulut, letakkan tangan seperti dalam solat, luruskan kaki, rapatkan kedua-dua belah mata dan mengikat kedua ibu jari kaki untuk merapatkan kedua-dua kaki. Setelah beberapa perkara ini dilaksanakan, kemudian jenazah akan dimandikan mengikut syariat Islam.

Pengendalian Jenazah / Mayat Mengikut Agama

Bagi penganut Kristian dan Buddha, selepas si mati dimandikan, mereka akan dipakaikan pakaian mengikut keutamaan dan seterusnya akan diletakkan dalam body bag dan dizipkan ke atas hingga aras atas dada dan bahagian tepi body bag itu dilipat dengan kemas atau ditempatkan d idalam keranda.

Bagi si mati yang merupakan penganut Hindu, jari kaki akan diikat bersama dan tangan akan diletakkan pada kedudukan yang telah ditetapkan jika berupaya. Si mati seterusnya akan dibalut dengan kain dan diletakkan dalam body bag dan dizipkan hingga ke aras atas dada dan bahagian tepi bag dilipat dengan kemas sekeliling kepala.

Bagi jenazah Islam, selepas dimandikan, jenazah akan dikafankan dengan kain yang berwarna putih yang boleh menutup dan membalut jenazah dari kepala hingga ke hujung kaki. Kadar kafan adalah mengikut syariat Islam. Apabila jenazah sudah sedia untuk diusung atau disolatkan, bahagian leher dan kepala diikatkan dan disapu minyak wangi dan direnjis air mawar.

Pengebumian Jenazah / Mayat  

Selepas si mati dimandikan dan dipersiapkan mengikut agama masing-masing, si mati akan dipindahkan ke dalam keranda. Sekiranya tidak terdapat keranda, body bag boleh digunakan. Seterusnya, untuk proses pengebumian, si mati akan dibawa ke tanah perkuburan atau krematorium. Body bag atau keranda tidak boleh sama sekali dipindahkan atau diubah semasa dalam proses pengangkutan dan pengendalian dan harus dikebumikan atau dibakar bersama.

Proses pengebumian atau pembakaran haruslah dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguhkan pengebumian, mestilah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa dan jabatan kesihatan yang terlibat.

Bagi jenazah Islam, jenazah dikebumikan dalam satu lubang yang kedalamannya tidak boleh digali oleh haiwan dan hilang segala bauan yang kurang menyenangkan. Jenazah juga dikebumikan menghadap kiblat. Kedalaman lubang kubur adalah sebaik-baiknya lebih kurang 6 kaki. Proses pengebumian jenazah Islam hendaklah mengikut syariat Islam dengan melaksanakan perkara yang sunat dan wajib.

Upacara Terakhir bagi Kes Berisiko Tinggi

Bagi kes yang berisiko tinggi seperti HIV/AIDS yang merupakan penyakit yang berjangkit melalui cecair badan seperti darah, semen dan rembesan vagina melalui perkongsian jarum dan juga hubungan seks, pengendalian jenazah yang dijangkiti oleh penyakit ini cenderung kepada transmisi kepada jangkitan ini. Oleh itu, pihak yang mengendalikan pengurusan jenazah ini haruslah mengambil kira segala faktor pencegahan bagi mengelakkan darah atau cecair badan daripada berhubung secara terus dengan kulit dan membran mukus.

Antara garis panduan yang harus dipatuhi dalam mengendalikan jenazah yang berisiko tinggi adalah:

  1. Meminimumkan bilangan orang yang terlibat dalam pengendalian jenazah (tidak lebih daripada empat (4) orang, keutamaan kepada waris terdekat).
  2. Orang perseorangan yang mengendalikan jenazah hendaklah tidak mempunyai luka. Jika ada, hendaklah menggunakan plaster kalis air.
  3. Memakai peralatan perlindungan seperti but getah, apron, topeng muka, dan 2 lapis sarung tangan.
  4. Semua pakaian yang dipakai oleh si mati hendaklah ditanggalkan dan direndam selama 20 minit dalam larutan sodium hypochlorite ( 1:9 v/v, bleach: air)
  5. Letakkan si mati dalam tab mandi atau bekas yang cukup untuk diletakkan air basuhan.
  6. Basuh badan si mati dengan sodium hipoklorit (nisbah 1:9) dan proses pemandian dipantau oleh Inspektor Kesihatan.
  7. Jika perlu mencuci bahagian kaviti dan bahagian terbuka lain, hendaklah menggunakan forsep dengan span.
  8. Tutupkan bahagian yang terbuka dengan kapas yang direndam dalam sodium hipoklorit diikuti kapas yang kering dan bersih sebagai lapisan kedua.
  9. Balutkan badan si mati dengan lapisan plastik sebelum dipakaikan dengan pakaian atau kain kafan.
  10. Selepas dibalut dengan plastik, barulah dipakaikan pakaian atau kain kafan dan dimasukkan dalam keranda yang dilapisi lapisan plastik yang mempunyai ketebalan yang cukup (e.g. 0.26 mm).
  11. Sedia untuk dibawa ke tempat pengebumian untuk pengebumian atau pembakaran.

Bagi proses pengebumian, amat disarankan agar si mati dikebumikan atau dibakar dalam tempoh 24 jam.

Proses Membawa Balik atau Keluar Jenazah dari/ke Luar Negara

Bagi jenazah yang akan dibawa balik atau keluar jenazah dari/ke luar negara, beberapa prosedur haruslah dipatuhi bagi memastikan proses membawa pulang atau keluar jenazah berjalan dengan lancar. Pengendalian jenazah ke luar negara membabitkan pihak kedutaan di mana pihak kedutaan hendaklah dimaklumkan pengesahan status kerakyatan sebelum jenazah diserahkan kepada pihak yang menuntut. Pihak yang menuntut akan berurusan dengan Pegawai yang Diberi Kuasa berdasarkan Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Kedua.

Penghantaran jenazah/mayat ke negara lain akan diuruskan mengikut Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Kedua tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342, yang menyatakan sesiapa yang hendak mengimport dan mengeksport apa-apa jenazah/mayat, tisu manusia atau mana-mana bahagiannya sama ada masuk atau keluar dari Malaysia memerlukan kebenaran Pegawai Diberi Kuasa.

Pegawai Diberi Kuasa adalah mana-mana Pegawai Kesihatan, Inspektor Kesihatan atau pegawai yang dilantik oleh Menteri di bawah Seksyen 3; Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Waris/wakil bagi pihak waris yang sah dikehendaki untuk membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran dari Pegawai yang Diberi Kuasa untuk menghantar jenazah/mayat ke lokasi yang dikehendaki. Permohonan pengimportan atau pengeksportan jenazah/mayat hendaklah mematuhi peraturan, panduan, dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh garis panduan tersebut.

Permohonan Permit Mengimport/Mengeksport Mayat boleh dibuat secara atas talian melalui sistem BLESS (www.bless.gov.my). Permit kebenaran hanya akan dikeluarkan sekiranya dokumen-dokumen seperti berikut adalah lengkap:

  1. Maklumat Pemohon: Salinan Kad Pengenalan atau dokumen perjalanan.
  2. Sijil/Surat kematian.
    1. Butir-butir seperti nama, tarikh kematian dan sebab kematian (Nama dan tandatangan Pegawai Perubatan/Forensik).
    2. Bagi kematian bukan disebabkan oleh penyakit berjangkit perlu dinyatakan dengan jelas bahawa sebab kematian bukan disebabkan penyakit berjangkit.
  3. Sijil kebenaran pengkebumian.
  4. Surat Kebenaran Eksport dari kedutaan negara asal.
  5. Sijil Embalmen
  6. Lain-lain dokumen (jika perlu), contoh : laporan polis

Setiap permohonan permit adalah terhad untuk urusan satu (1) mayat yang diimport atau dieksport sahaja. Permit ini hanya akan dikeluarkan untuk jenazah/mayat warganegara Malaysia sahaja.

Jenazah/mayat akan dimasukkan dan diletakkan ke keranda keranda khusus mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Untuk tujuan pengangkutan, keranda yang digunakan adalah keranda kayu yang mengandungi kotak yang diperbuat daripada zink di dalamnya.


Gambar 1: Kotak yang diperbuat dari zink dalam keranda kayu
Sumber: Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Kedua.

Jenazah/mayat seterusnya akan diletakkan di dalam kotak zink. Penutup kotak zink akan ditutup dengan rapat supaya kedap udara dengan menggunakan sealant dan rivet atau skru di sekeliling penutup. Proses ini bertujuan untuk memastikan bahawa kotak zink kekal utuh dan tidak bocor.

Setelah kotak zink disahkan betul-betul tertutup dan tiada kebocoran, keranda kayu ditutup dan dipakukan. Pengangkutan keranda yang dibawa menggunakan kapal terbang haruslah mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Oleh itu, keranda haruslah dibalut dengan kain atau guni seperti yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Bagi memastikan integriti keranda dan kandungannya, keranda haruslah diikat dan dimeterai dengan menggunakan cap rasmi jabatan ataupun sealing wax.

Namun begitu, adalah penting untuk melakukan prosedur kontainmen jika terdapat masalah dengan keranda atau kotak zink. Jika keranda tidak ditutup dengan rapat atau kotak zink tidak kedap udara, tindakan kontainmen segera perlu diambil. Jika terdapat kebocoran, keranda atau kotak zink harus segera ditampal dengan menggunakan sealant untuk mencegah sebarang tumpahan.

Sekiranya terdapat tumpahan, prosedur dekontaminasi haruslah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pemilihan dan penggunaan keranda yang sesuai dan sepadan dengan saiz jenazah/mayat adalah penting semasa pengurusan jenazah/mayat berisiko tinggi. Dengan menggunakan keranda yang betul dan melaksanakan prosedur kawalan yang diperlukan, kita dapat mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pengendalian jenazah berisiko tinggi dan melindungi semua individu yang terlibat.

Jenazah/mayat perlu dikebumikan atau dibakar secepat mungkin setelah tiba di destinasi yang dikehendaki.

Polisi dan Perkhidmatan Kereta Jenazah

Secara umumnya adalah menjadi polisi Kementerian Kesihatan setakat ini untuk tidak menyediakan perkhidmatan jenazah sebagai salah satu perkhidmatan yang terdapat di semua hospital. Sebaliknya, pihak hospital lebih bertindak sebagai fasilitator dalam memberi pertolongan kepada keluarga si mati untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah dari syarikat keranda/kereta jenazah, atau Jabatan Agama Islam, masjid, dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) mengikut kemudahan yang terdapat di sesebuah lokaliti.

Polisi penghantaran pulang jenazah oleh pihak hospital dinyatakan pada perenggan 8.4 Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 8/94 bertarikh 25 Oktober 1994 serta Pindaan (Lampiran 1). Merujuk kepada Pekeliling tersebut, terdapat empat jenis keadaan/kes iaitu : Kes Rujukan Kerajaan; Kes Bukan Rujukan Kerajaan, Kakitangan Kerajaan Yang Meninggal di Hospital dan Kes-kes Kematian Yang Tidak Dibawa Ke Hospital.

  1. Kes Rujukan Kerajaan

    Adalah menjadi tanggungjawab hospital berkenaan menghantar balik jenazah ke hospital yang merujuk dengan menggunakan kereta jenazah/mayat hospital tanpa mengenakan apa-apa bayaran, mengikut peruntukan di para Perintah Fee (Perubatan) 1982.  

  2. Kes Bukan Rujukan Kerajaan

    Bagi pesakit yang meninggal dunia yang bukan dirujuk, pihak hospital diminta membantu keluarga simati dalam mendapatkan perkhidmatan kereta jenazah/mayat dari Jabatan Agama Islam, Persatuan Agama dan lain-lain badan yang berkenaan. Walau bagaimanapun, di dalam lokaliti setempat, kereta jenazah/mayat hospital boleh digunakan berdasarkan kepada budi bicara Pengarah Hospital, ‘availability’ kereta mayat dan kakitangan serta lain-lain aspek yang berkaitan. 

  3. Anggota Perkhidmatan Awam yang Meninggal Di Hospital

    Bagi anggota perkhidmatan awam (tidak termasuk keluarga), tatacara seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia WP 6.4 Bantuan Mengurus Jenazah Dan Bayaran Pengangkutan Jenazah Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam (Pindaan Tahun 2021) hendaklah diikuti.

  4. Kes-kes Kematian Yang Tidak Dibawa Ke Hospital

    Kes-kes kematian yang tidak dibawa ke hospital adalah di luar tanggungjawab pihak hospital. Penggunaan kereta jenazah/mayat hospital bagi kes yang sedemikian adalah tidak digalakkan.

    Harga yang dikenakan bagi perjalanan kereta jenazah pula adalah seperti yang terdapat di dalam Akta Fee 1951 iaitu Perintah Fee (Perubatan) 1982 (Pindaan 1994), Jadual H, Bahagian 2 (ii).

Rujukan

  1. Garis Panduan Pengimportan dan Pengeksportan Mayat atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Pertama (2006)
  2. Garis Panduan Pengurusan Perkhidmatan Kereta Jenazah, Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 14/2001, 8 Jan 2001.
  3. Guidelines for the Management of Non-Muslim Dead Bodies form Health Aspects, AIDS/STD  Section, Ministry Of Health, Malaysia, (2006)
  4. Laws of Malaysia Act 342, Prevention and Control of Infectious Disease Act, 1988.
  5. Panduan Pengurusan & Solat Jenazah, Wholesale Mart Business Sdn. Bhd, (2007)
  6. Pekeliling Perbendaharaan Malaysia  WP 6.4  Bantuan Mengurus Jenazah Dan Bayaran Pengangkutan Jenazah Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam (Pindaan Tahun 2021)
  7. Standard Operating Procedures of Forensic Medicine Services, Ministry of Health, 2012
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis / Penterjemah : Ismazarni bt. Ismail
Penyemak : Nurazira binti Azizan

Artikel Berkaitan

PERANAN JTMP DALAM PROSEDUR PENGAMBILAN SUM-SUM TULANG

Prosedur pengambilan sum-sum tulang merupakan pintu gerbang diagnosis kepada penyakit yang berkaitan dengan kanser darah seperti leukemia dan anemia. Pengambilan sum-sum tulang adalah pembedahan kecil yang mempunyai peratus kematian sedikit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,119

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia