A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Vaskulitis

Vaskulitis adalah radang pada saluran darah

Vaskulitis adalah radang pada saluran darah. Ia boleh menyebabkan penebalan dan penyempitan saluran darah dan mengakibatkan sekatan aliran darah sehingga akhirnya terjadi kerosakan tisu dan organ yang terlibat. Vaskulitis boleh melibatkan semua jenis saluran darah pada badan. Ini termasuk arteri besar dan saluran darah halus. Kerosakan yang lebih serius akan berlaku sekiranya saluran darah yang lebih besar terlibat dalam vaskulitis.

Punca

Vaskulitis boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, ubat-ubatan, kanser, penyakit darah atau penyakit autoimun seperti sistemik lupus eritematosus. Walau bagaimanapun, separuh daripada kes vaskulitis tidak dapat dikenalpasti puncanya. Jangkitan kuman seperti virus atau bakteria boleh menyebabkan vaskulitis. Ubat-ubatan yang boleh dikaitkan dengan vaskulitis termasuk antibiotik, antisawan, diuretik dan ubat tahan sakit.

Kanser dan penyakit darah tertentu boleh meningkatkan kepekatan darah yang juga boleh menyebabkan vaskulitis. Terdapat satu lagi kumpulan vaskulitis yang dikenali sebagai Primary Systemic Vasculitis yang biasanya lebih serius dan boleh melibatkan pelbagai organ. Contoh Primary Systemic Vasculitis  adalah: Wegener Granulomatosis, Penyakit Churg Strauss, Polyarteritis Nodosa, Mikroskopik Polyangitis.

Tanda-tanda dan Gejala

Vaskulitis boleh melibatkan mana-mana organ seperti kulit, buah pinggang, paru-paru, usus dan otak serta boleh menghasilkan pelbagai gejala bergantung kepada organ yang terlibat. Masalah kulit biasanya merupakan tanda pertama penyakit vaskulitis. Tanda-tanda vaskulitis kulit termasuk ruam merah yang tidak hilang apabila ditekan atau ruam seperti lebam pada kulit. Ruam ini biasanya berlaku pada kaki dan tangan serta kadang-kadang boleh terasa kesakitan. Sekiranya saluran darah bersaiz sederhana yang terlibat, ini akan menyebabkan ulser kulit atau ruam bengkak yang besar terjadi. Gejala-gejala lain boleh juga berlaku akibat daripada penglibatan organ-organ lain dan ini termasuk demam, loya, muntah, sakit sendi dan otot, kebas tangan / kaki, sesak nafas, kencing berdarah, sakit perut dan najis berdarah.


Vaskulitis pada kulit boleh membentuk ruam merah yang tidak hilang apabila ditekan atau ruam seperti lebam. A) Kaki B) Tangan

Diagnosa

Biopsi tisu seperti kulit, buah pinggang, paru-paru dan saraf adalah diperlukan untuk memastikan diagnosa vaskulitis. Doktor anda juga akan melakukan ujian darah yang berkaitan untuk memastikan tahap peringkat penyakit dan punca yang menyebabkan vaskulitis.

Rawatan

Rawatan vaskulitis biasanya bergantung kepada tahap penyakit dan organ yang terlibat. Rawatan biasanya diperlukan untuk mengurangkan keradangan dan mengawal sistem imun yang menyebabkan vaskulitis. Ubat yang terlibat harus diberhentikan sekiranya vaskulitis berpunca daripada ubat-ubatan. Vaskulitis yang berkaitan dengan jangkitan kuman biasanya akan hilang setelah jangkitan kuman tersebut dirawat. Krim steroid boleh digunakan untuk merawat kes-kes vaskulitis yang ringan dan melibatkan kulit sahaja. Walau bagaimanapun ubat makan seperti steroid, colchicine, indomethacin, dapsone mungkin diperlukan dalam kes vaskulitis kulit yang lebih serius khasnya apabila organ lain juga turut terlibat. Ubat mengawal system imun seperti cyclophosphamide mungkin diperlukan dalam kes vaskulitis yang berkaitan dengan Primary Systemic Vasculitis.

Rujukan

  1. British Association of Dermatologists Patient Information Leaflet. Cutaneous Vasculitis. November 2013
  2. Merk Manual Professional Version. Overview of Vasculitis. April 2013
  3. Dermatology. Third edition June 2012. Jean Bolognia, Josephy Jorizzo, Julie V Schaffer
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Tang Jyh Jong
Akreditor : Dr. Noor Zalmy bt. Mohd Ali Azizan
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Psoriasis

Psoriasis adalah penyakit kulit yang kronik di mana kulit penghidap menebal lebih cepat dari kulit yang normal

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,736

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia