A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Mengapa Perlu Menggunakan Ubat...

Mengapa Perlu Menggunakan Ubat Berdaftar?

Semua ubat-ubatan sama ada ubat farmaseutikal mahupun ubat tradisional perlu terlebih dahulu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ianya boleh diimport, dikilangkan atau dijual di Malaysia.

Pengenalan

Semua ubat-ubatan sama ada ubat farmaseutikal mahupun ubat tradisional perlu terlebih dahulu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ianya boleh diimport, dikilangkan atau dijual di Malaysia. Objektif pendaftaran produk adalah bagi memastikan semua produk farmaseutikal yang didaftarkan telah dinilai dari aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti, manakala produk tradisional dinilai dan diuji dari aspek keselamatan dan kualiti dengan tujuan utama bagi melindungi dan menjamin kesihatan rakyat.

Kebaikan

Pelbagai langkah telah diambil dalam usaha untuk memastikan produk yang dapat dicapai dan digunakan oleh masyarakat umum adalah selamat dan berkualiti. Ubat-ubatan Terkawal yang mengandungi bahan racun berjadual dan ubat tanpa racun (Ubat Am) adalah dipastikan selamat,berkualiti dan berkesan sebagaimana untuk kegunaan yang dikehendaki. Manakala ubat-ubatan tradisional dipastikan berkualiti dan selamat di mana paras bahan mikrob, logam berat, merkuri dan plumbum adalah pada tahap yang dibenarkan. Sebelum suatu produk diluluskan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui pelbagai tahap penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keberkesanan dan juga keselamatan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selaku sekretariat kepada PBKD. Selain itu, NPRA turut memantau produk yang telah berdaftar melalui aktiviti pengawasan (surveillance) dan juga farmakovigilans (pemantauan kesan advers ubat) bagi memastikan mutu ubat-ubatan yang dipasarkan di Malaysia kekal berkualiti, selamat dan berkesan serta mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh PBKD.

Perbezaan Ubat Berdaftar & Ubat Tidak Berdaftar

Ubat berdaftar adalah ubat yang telah diluluskan oleh PBKD untuk dijual atau digunakan oleh pengguna di Malaysia. Ubat ini telah dinilai, diuji serta terbukti dari segi kualiti, keberkesanan serta keselamatannya.

Ubat-ubatan yang tidak berdaftar sebaliknya tidak melalui proses penilaian dan pengujian sepertimana yang dinyatakan di atas. Dengan itu, penggunaan ubat-ubatan tersebut tidak terjamin dari aspek keselamatannya. Selain itu, ubat-ubatan tidak berdaftar juga mungkin mengandungi bahan-bahan terlarang yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan menyebabkan kesan sampingan yang serius jika digunakan dalam jangka masa yang panjang.

Tips Kepada Pengguna

  • Dapatkan ubat anda daripada sumber yang boleh dipercayai seperti farmasi, klinik dan juga hospital.

  • Semak ketulenan nombor pendaftaran ubat dan label hologram meditag pada kotak ubat yang dibeli.

  • Semak label terlebih dahulu sebelum membeli atau menggunakan sebarang ubat.

  • Pastikan ubat-ubatan yang digunakan telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia.Berhati-hati dengan produk-produk kesihatan yang mempunyai tuntutan yang berlebihan seperti kencing manis, strok dan sebagainya.

  • Dapatkan nasihat dan maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan daripada doktor atau ahli farmasi anda.

Semakan Pendaftaran Produk

Para pengguna boleh menyemak sama ada sesuatu produk itu berdaftar dengan PBKD melalui perkhidmatan Registered Products Search menerusi laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) seperti yang ditunjukkan pada gambar rajah di bawah. Semakan melalui pangkalan data ini boleh dilakukan dengan menggunakan nama produk, nombor pendaftaran produk, nama pemegang pendaftaran produk, nama bahan aktif ataupun nama pengilang produk.

Layari laman sesawang npra.moh.my

Klik pada menu QUEST3 dan pilih products search

Semak pangkalan data dengan menggunakan sama ada nama produk, nombor pendaftaran produk, nama pemegang pendaftaran produk, nama bahan aktif ataupun nama pengilang produk
   

Semakan Status Produk Yang Mengandungi Bahan Terlarang

Pengguna boleh melayari laman sesawang www.pharmacy.gov.my untuk menyemak produk berdaftar dan tidak berdaftar yang telah dikenal pasti mengandungi bahan terlarang.

Nombor Pendaftaran Produk (Nombor ‘MAL’)

Ubat-ubat yang telah didaftarkan akan diberikan nombor pendaftaran yang wajib dicetak pada label dan pembungkusan ubat tersebut. Nombor pendaftaran ini bermula dengan MAL (akronim untuk Malaysia) diikuti dengan lapan angka dan pada penghujungnya terdapat abjad/huruf yang menggambarkan kategori ubat tersebut. Contoh nombor pendaftaran adalah seperti yang diterangkan di bawah:-

Label Hologram

Bagi memudahkan pengenalan ubat berdaftar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan pelekat label Hologram MeditagTM mulai 1 Mei 2005, selain daripada nombor pendaftaran produk pada setiap ubat berdaftar. Langkah ini merupakan satu lagi usaha proaktif pihak kementerian bagi meningkatkan keselamatan dan identiti produk serta dalam usaha mengesan dan membanteras ubat palsu, imitasi (counterfeit) dan juga produk tidak berdaftar. Pengguna boleh membuat pengesahan ketulenan pelekat hologram bagi produk yang dibeli dengan menggunakan alat dekoder yang telah dibekalkan dan terdapat di farmasi utama di seluruh negara. Alat ini diletakkan pada kaunter di premis farmasi tersebut agar senang digunakan oleh orang ramai untuk membuat pengesahan ketulenan produk yang dibeli seperti yang ditunjukkan dalam gambar.

alt

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Azlina bt. Ismail
Akreditor : Norhayati bt. Musa
Penyemak : Mazlan bin Ismail
Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin

 

Artikel Berkaitan

Paracetamol

Pengenalan Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya

Methylphenidate

Pengenalan Methylphenidate ialah sejenis perangsang yang mengaktifkan atau meningkatkan aktiviti

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,249

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia