A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Aktiviti Seks Untuk Pesakit Kardiak

Bagi pesakit jantung sama ada mereka telah melakukan pembedahan pintasan jantung atau tidak, kerisauan jelas terlihat semasa melakukan aktiviti seksual ini.

Pengenalan

Penyakit jantung adalah penyebab kematian nombor satu di Malaysia. Setiap tahun statistik penghidap jantung meningkat di sebabkan kurangnya penjagaan kesihatan seperti tidak mengamalkan senaman, pengambilan makanan tidak sihat serta beban kerja tinggi yang menyebabkan tekanan. Ini boleh dilihat melalui statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana anggaran penyakit jantung koronari adalah 40 000 kes baru setiap tahun bagi 28 juta penduduk dan kematian dianggarkan 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kanser di kalangan wanita.

Antara tanda serangan penyakit Jantung adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang kebas tangan kiri hingga sebahagian tengkuk, sakit pada bahagian tengah dada, sesak nafas, pening kepala, berpeluh dingin, jantung berdebar, letih lesu, rasa pitam dan pengsan.

Komplikasi utama yang akan dihadapi oleh pesakit kardiak selepas serangan jantung adalah limitasi dalam aktiviti harian, kesukaran dalam kembali bekerja, kurang daya tumpuan, mudah letih semasa melakukan aktiviti, sukar untuk bertenang serta masalah utama adalah dalam perhubungan seksualiti.

Program Pemulihan Jantung (CRP)

Perhubungan seksualiti amat penting bagi kehidupan pasangan yang telah berkahwin. Bagi pesakit jantung sama ada mereka telah melakukan pembedahan pintasan jantung atau tidak, kerisauan jelas terlihat semasa melakukan aktiviti seksual ini. Kajian juga menunjukkan penyebab utama permasalahan perhubungan seksualiti adalah perasaan ‘takut’.

Oleh yang demikian, proses pemulihan adalah sangat penting bagi pesakit jantung dalam meningkatkan kualiti kehidupan seharian mereka. Proses pemulihan jantung dibahagikan kepada 4 Fasa:

 

FASA 1 PROGRAM PESAKIT DALAM
FASA 2 PROGRAM PESAKIT LUAR
FASA 3 PROGRAM DALAM KOMUNITI
FASA 4 PENJAGAAN JANGKA MASA PANJANG

Fasa 1 – Perkongsian maklumat diberikan oleh bekas peserta CRP kepada pesakit baru tentang pengalaman mereka dalam program ini dalam meningkatkan mutu kehidupan mereka

 

Fasa 2 – Penerangan dan pendidikan aktiviti harian selepas serangan jantung dalam kehidupan seharian. Antara topik yang dibincangkan adalah berkaitan cara penggunaan tenaga, egornomik dalam pekerjaan, maksima dan kadar denyutan jantung mengikut fasa terhadap kesesuaian aktiviti termasuk hubungan seksual. Sesi ini dikendalikan oleh Pegawai Pemulihan Carakerja.

 

 Berikut adalah contoh program pemulihan jantung yang dijalankan iaitu rawatan kembali bekerja dan pengurusan aktiviti harian oleh pesakit jantung.

 

Fasa 3 – Penilaian di tempat kerja merupakan merupakan komponen penting  dalam melihat ketahanan pesakit melakukan kerja hariannya. Perbincangan dengan majikan turut diadakan untuk memberi gambaran sebenar tentang tahap kebolehan pesakit dalam menjalankan tugas. Dalam fasa ini pesakit kebanyakannya telah pulih dan telah dibenarkan melakukan aktiviti melibatkan komuniti.

 

Permulaan Hubungan Seksual

Langkah 1: Ketahui Maksimum Kadar degupan Jantung (MHR)

Sebelum pesakit memulakan hubungan seksual bersama pasangan, perkara yang paling penting untuk diketahui ialah maksimum kadar degupan jantung (MHR) yang tertinggi yang boleh dipam oleh jantung mengikut umur. Kepentingan mengetahui MHR adalah untuk mengelakan jantung berkerja melebihi had yang sepatutnya.

Fomular :

Maksimum Kadar degupan Jantung         =             220 – umur

(MHR)

Langkah 2: Ketahui Metabolic Equivalent of Task (MET) yang bersesuaian

Metabolic Equivalent of Task (MET) ialah kadar penggunaan tenaga semasa menjalankan aktiviti fizikal yang merujuk kepada nisbah kadar metabolic iaitu 3.5ml O2. Kg-1. Min-1. Kesesuaian aktiviti seksual sangat berkait rapat dengan kadar degupan jantung (HR) dan MET seseorang pesakit. Selain itu posisi seksualiti juga sering diperkatakan mempengaruhi bilangan dan kepuasan seksual. Melalui kajian oleh Pollock et al. Heart Disease and Rehabilitation, pada 1995, menyatakan posisi seksual tidak banyak mempengaruhi tekanan darah dan HR sama ada posisi lelaki berada di sebelah atas atau di sebelah bawah.

MET yang sesuai untuk melakukan aktiviti seksual bersama pasangan adalah 2 – 3 MET, manakala aktiviti seksual yang menerujakan bersama pasangan lain memerlukan 5 – 6 MET. Selain itu kebanyakan kajian menunjukan purata masa yang diambil ketika melakukan hubungan seksual adalah 10 – 15 minit dan mencapai orgasma 3 hingga 5 minit. HR juga akan mencapai 120bpm sehingga 130bpm dan sistolik BP 150mmHg hingga 180mmHg.

Untuk memulakan hubungan seksual pesakit mestilah mencapai 3 – 4 MET  bersamaan dengan berjalan 1 batu dalam masa 20 minit di jalan yang rata atau boleh menaiki 2 aras anak tangga iaitu 13 mata anak tangga dalam masa 20 saat. Bagi hubungan seksual yang agak menerujakan bersama pasangan, MET yang diperlukan adalah 4 – 5 MET bersamaan dengan bermain golf. Manakala hubungan seksual bersama bukan pasangan atau orang lain peningkatan HR akan berlaku sehingga 200bpm dan BP sistolik mencapai 210mmHg. Kajian juga mendapati 80% pesakit mati mengejut selepas hubungan seksual dijalankan disebabkan oleh jantung yang bekerja melebihi had. Hanya 1% sahaja serangan jantung berlaku selepas hubungan seks bagi pasangan yang biasa yang telah berkahwin. 

Langkah 3: Posisi Seksualiti

Pesakit Kardiak lebih digalakkan memilih untuk menggunakan posisi seksual yang mereka biasa lakukan bersama pasangan, akan tetapi, bagi pesakit yang telah melakukan pintasan jantung, posisi yang sebaik- baiknya adalah tidak menekan tulang sternum serta dalam keadaan rehat. Pasangan digalakkan memainkan peranan sebagai pasangan yang aktif untuk kepuasan bersama.

Cadangan bagi pesakit Kardiak untuk melakukan hubungan seksual adalah  2 – 3 minggu selepas serangan jantung yang tidak rumit. 2 – 3 hari selepas intervensi koronari ( Contoh: Menjalani Angiogram atau PCI) dan 4 – 6 minggu selepas pembedahan. (Peringatan: Posisi seksual selepas pembedahan mestilah tidak memberi tekanan kepada sternum).

Tips Semasa Bersama Pasangan

  • Pastikan tempat tidur adalah selesa bagi anda dan pasangan sebelum melakukan hubungan seksual.
  • Mempunyai pengudaraan yang baik contohnya tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
  • Pencahayaan yang baik, tidak terlalu gelap dan tidak terang yang boleh mengganggu privasi anda dan pasangan.
  • Tidak digalakan melakukan hubungan seksual selepas makan.  Cadangan waktu adalah melebihi 1 jam selepas makan.
  • Cadangan waktu adalah di waktu awal pagi atau selepas bangun dari tidur ini kerana aktiviti seksual memerlukan tenaga yang sangat banyak.
  • Hentikan segala aktiviti seksual dengan segera jika anda merasa sakit dada, berpeluh sejuk, rasa menekan di bahagian dada serta sesak nafas. Anda digalakkan mengambil ubat glyceryl trinitrate (GTN) 1 biji dan rehat selama beberapa minit sehingga sakit dada berkurangan. Sekiranya sakit dada anda berterusan, ambil glyceryl trinitrate (GTN)  1 biji buat kali kedua. Anda perlu menghubungi doktor peribadi anda dengan segera atau dapatkan ahli keluarga mahupun jiran untuk menghantar anda ke hospital yang berdekatan.

Pendekatan Pemulihan

Oleh yang demikian, Program Pemulihan Jantung adalah sangat penting bagi meningkatkan kefungsian dan kepuasan seksual. Pendidikan tentang seksual adalah sangat penting dalam meningkatkan keyakinan diri. Peranan Pegawai Pemulihan Carakerja adalah sangat penting bagi membentuk keyakinan diri dan kefahaman tentang proses penyembuhan selepas serangan jantung serta proses pemulihan yang perlu mereka jalani. Interaksi serta perbincangan individual antara Pakar Perubatan Kardiologi atau Pakar Perubatan Kardiotarasik serta Pegawai Pemulihan Carakerja akan diadakan dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit kardiak dalam melibatkan kefungsian seksual.

Di Malaysia, khidmat nasihat dan rujukan berkaitan Program Pemulihan Jantung yang melibatkan cadangan, rawatan atau kaunseling aktiviti harian, aktiviti masa lapang, seksual, pemanduan, pengurusan tekanan dan kembali bekerja boleh merujuk kepada Pakar Perubatan Kardiologi, Pakar Perubatan Kardiotarasik dan Pegawai Pemulihan Carakerja

Rujukan

Jaarsma, T.(2002). Sexual problems in heart failure patients. European Journal of Cardiovascular Nursing, 1, 61- 67. From the World Wide Web: http://www.elsevier.com/locate/ejcnurse.

Xiaojun, C., Qingying, Z. & Xuerui, T. (2009). Cardiovascular effects of sexual activity. Indian J Med Res, 130, 681-688

Doherty, S., et.al (2010). Cardiac rehabilitation staff views about discussing sexsual issues with coronary heart disease patients: A national survey in Ireland. Eur J Cardiovase Nurs. Form the World Wide Web: http:// www.elsevier.com/locate/ejcnurse

Glenn, N., et.al (2012). Sexual activity and cardiovascular disease: A scientific statement from the American Heart Association. American Heart Association, 2012:125, 1058-1072. From the World Wide Web : http://circ.ahajournals.org

Elaine, E., et.al(2013). Sexual counselling for Individual with Cardiovascular Disease and Their Partners: A consensus Document from the American Heart Association and the ESC Council on Cardiovascular Nursing and Allied Professions (CKNAP). American Heart Association, 2013: 128, 2078-2096. From the world wide web : http://circ.ahajournals.org

Steinke, E.E., et.al (2013). Sexual Counselling from individuals with cardiovascular disease and their partners. European Heart Journal, 34, 3217-3235

Fridlund, B.(2009). Healthy sexual life after a cardiac Event: What do we know and what do we do now?. European Journal of Cardiovascular Nursing, 8,459. From the World Wide Web: http://cnu.sagepub.com

Arenhall, E., et.al (2011). The male partners Experiences of the Intimate Relationships after a first myocardial Infarction. European Journal of Cardiovascular Nursing, 10,108. From the World Wide Web: http://cnu.sagepub.com

Abramsohn, E.M., et.al (2013). I’m Not Just a Heart, I’m a whole person here: A qualitative study to improve sexual outcome in women with myocardial Infarction. Journal of the American Heart Association, 2, e000199. . From the World Wide Web: http://jaha.ahajournals.org

Steinke, E.E. (2008), Everything you want to try in Cardiac Rehabilitation: Sexual Satisfaction. In the European society of congress 2008. Munich: Germany

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurulhuda Binti Mohamad
Akreditor : Premalatha A/P Sundram
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,940

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia