A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Abses Periodontium

Abses periodontium/gusi terjadi hasil daripada bakteria yang berkembang biak dalam poket periodontium/gusi.

Poket periodontlum terjadi dengan adanya penyakit periodontium, di mana tisu  gusi  dijangkiti bakteria  dan menjadi renggang dari permukaan gigi. Ini menyebabkan sulkus gusi (ruang antara gigi dan gusi) menjadi lebih dalam iaitu melebihi tiga milimeter. Sulkus gusi yang dalam ini dipanggil poket periodontium.

Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku?

Abses periodontium terjadi apabila bakteria plak, karang gigi atau makanan terperangkap di dalam poket gusi yang dalam. Sistem pertahanan badan tidak dapat melawan  jangkitan bakteria tersebut.  Pembengkakan  besar terjadi pada gusi akibat  daripada pertumbuhan bakteria  yang tidak terkawal dan juga produk bakteria yang dihasilkan. Hasilnya, apa yang berlaku adalah kemusnahan tisu penyokong dan tulang alveolar yang mengelilingi gigi.

Abses periodontium banyak terjadi  dalam kes-kes penyakit periodontium pada tahap lanjut .Pada keadaan ini berlaku kehilangan tulang akibat daripada jangkitan bakteria yang seterusnya membentuk kedalaman poket melebihi lima milimeter yang akan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembentukan nanah .

Apakah gejala-gejala yang  boleh berlaku?

Gejala yang paling biasa  adalah bengkak pada gusi. Bengkak  gusi boleh berbeza dari segi saiz, dan mungkin timbul agak cepat. Bengkak gusi biasanya berwarna merah gelap , permukaannya berkilat dan mempunyai ‘mata’ putih. Bengkak ini akan menjadi lembut pada sentuhan (fluktuan). Kadang-kadang ia diiringi rasa sakit yang mungkin menjadi lebih teruk.


Abses Periodontium

Gejala-gejala lain yang boleh berlaku termasuk :

  • Nafas berbau.
  • Pendarahan dari kawasan setempat
  • Gigi yang  terjejas boleh menjadi lebih longgar yang menyebabkan ruang antara gigi bertambah besar

Tanda-tanda klinikal

  • Kehadiran penyakit periodontium umum dengan poket dan kehilangan tulang.
  • Gigi biasanya masih vital / hidup
  • Gigi goyang
  • Tisu gusi berwarna merah , lembut  dan membengkak.
  • Rasa tidak selesa sehingga sakit yang kuat
  • Nanah keluar melalui poket periodontium atau pembukaan sinus


Pus @ nanah yang terbentuk

Punca-punca penyakit periodontal (yang boleh membawa kepada abses) termasuk:

  • Kebersihan mulut yang tidak memuaskan
  • Menghisap rokok
  • Penyakit sistemik seperti penyakit diabetis yang tidak terkawal

Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat dari penyakit seperti diabetes mellitus atau akibat dari kesan sampingan rawatan seperti ubat steroid (kortikosteroid) atau kemoterapi akan menghadapi  risiko yang lebih tinggi untuk abses.

Terdapat tiga jenis abses yang berkaitan dengan tisu periodontium :

  1. Abses gingiva
  2. Abses periodontal
  3. Abses Pericoronal

Abses  gingiva

Infeksi bernanah yang hanya melibatkan tisu gusi lembut setempat berhampiran gingiva pinggir atau papilla gingiva yang terletak di antara gigi .

Abses periodontal

Infeksi bernanah yang melibatkan satu kawasan yang lebih besar tisu penyokong gigi , yang mengakibatkan kepada kemusnahan ligamen periodontal dan tulang alveolar.

Abses Pericoronal

Infeksi bernanah wujud dalam tisu gusi yang mengelilingi korona gigi yang tumbuh sebahagian atau sepenuhnya . Ini juga dirujuk sebagai pericoronitis dan banyak terjadi pada gigi geraham bongsu.


Abses Pericoronal

Rawatan Abses periodontium

Jika anda mempunyai mana-mana gejala di atas, terutamanya jika bengkak merebak dengan cepat (selulitis), dapatkan segera nasihat segera daripada doktor gigi anda. Rawatan akan berbeza bergantung kepada berapa serius keadaan abses periodontium itu .

Berikut adalah langkah-langkah umum yang diambil:

  1. Penyaluran keluar nanah melalui poket gusi  atau pun insisi pada permukaan gusi yang bengkak
  2. Antibiotik mungkin diperlukan jika ia melibatkan keadaan sistemik pesakit
  3. Penskaleran untuk membantu penyembuhan gusi
  4. Pembedahan periodontal mungkin diperlukan dalam keadaan tertentu
  5. Rawatan kanal akar mungkin diperlukan dalam kes  perio – endo. Cabutan gigi yang terlibat akan dilakukan jika ianya adalah satu-satunya pilihan untuk merawat  abses ini.

Adalah lebih baik untuk mendapatkan rawatan awal, bukan sahaja atas sebab-sebab kesihatan, tetapi juga untuk prognosis yang lebih baik. Abses periodontium dengan cepat boleh memusnahkan tisu gusi yang menyokong gigi. Jika dibiarkan merebak , maka gigi tersebut mungkin tidak boleh diselamatkan.

 

Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Noordin b. Kasan
Akreditor : Dr. Uma Subramaniam

 

Artikel Berkaitan

Dentur – Pemakaian & Penjagaan

Dentur tidak sepatutnya dipakai semasa tidur, untuk merehatkan tisu. Dentur perlu disimpan di dalam bekas bertutup yang berisi air untuk mengelakkan berlakunya pengeringan dan perubahan dimensi berlaku.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,817

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia