A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Masalah Pergigian
  6. /
  7. Keabnormalan – Keabnormalan Lidah

Keabnormalan – Keabnormalan Lidah

Lidah adalah satu organ penting yang terlibat dalam fungsi bercakap, mengunyah dan menelan. Ia juga mempunyai organ deria rasa pada permukaan atas lidah.

Pelbagai keabnormalan dan penyakit yang boleh melibatkan lidah, termasuk

  • Keabnormalan kongenital (sejak lahir)
  • Penyakit-penyakit jangkitan
  • Iritasi yang kronik
  • Ketumbuhan

Keabnormalan Kongenital

Kebanyakan keabnormalan kongenital lidah berkaitan dengan saiz dan bentuk, walau bagaimanapun keabnormalan pada struktur lidah boleh juga berlaku.

Antara keabnormalan kongenital yang biasa ditemui termasuk

  • Mikroglosia (lidah bersaiz agak kecil daripada biasa)
  • Makroglosia (lidah bersaiz agak besar daripada biasa)
  • Ankiloglosia (lidah terikat/pendek)
  • Lidah berfisur (beralur)

Mikroglosia

Mikroglosia adalah merupakan keganjilan lidah yang jarang ditemui. Keadaan ini merujuk kepada saiz lidah yang kecil berbanding lidah normal. Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran di dalam fungsi pertuturan dan menelan. Tiada rawatan khusus untuk keadaan ini.

Makroglosia

Makroglosia adalah keadaan di mana lidah adalah bersaiz agak besar dari kebiasaan. Keadaan ini adalah lebih kerap ditemui berbanding mikroglosia.

Makroglosia boleh disebabkan oleh

  • Keabnormalan bawaan atau
  • Berkait dengan keadaan-keadaan seperti ketumbuhan di lidah, haemangioma, acromegaly atau amyloidosis.

Makroglosia boleh mengakibatkan gigi menjadi renggang disebabkan oleh tekanan berpanjangan daripada lidah yang besar. Rawatan untuk makroglosia adalah dengan merawat penyakit atau penyebab makroglosia tersebut. Bagi kes makroglosia kongenital, pembedahan bagi mengurangkan saiz lidah boleh dipertimbangkan.

Ankiloglosia

Ankiloglosia adalah keabnormalan kongenital lidah yang lebih dikenali sebagai lidah pendek / terikat. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh cantuman antara frenum lidah dengan lantai mulut. Keadaan ini selalunya akan menyebabkan masalah pertuturan.

Tongue Tie
Ankiloglosia (lidah terikat/pendek)

Rawatan perlu diberi sekiranya keadaan ini memberi masalah kepada pesakit. Sekiranya pesakit tidak mengalami sebarang gejala, hanya pengawasan sahaja diperlukan. Sekiranya memerlukan rawatan, maka rawatan pembedahan untuk melepaskan cantuman di antara frenum dan lantai mulut boleh dilakukan.

Lidah berfisur (beralur)

Lidah berfisur merupakan keabnormalan bawaan yang agak biasa ditemui. Keadaan ini juga dikenali sebagai scrotal tongue. Keganjilan ini boleh juga ditemui di kalangan pesakit Sindrom Down atau Sindrom Melkersson-Rosenthal. Secara klinikal, beberapa fisur (alur) dapat dilihat pada permukaan atas lidah.

Fissured Tongue
Lidah berfisur

Lidah berfisur selalunya tidak menimbulkan sebarang kesakitan dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Walau  bagaimanapun, memberus secara lembut pada permukaan lidah adalah digalakkan bagi membersihkan lidah daripada sisa makanan dan bakteria.

Glositis Romboid Median

Glositis romboid median merupakan lesi pada bahagian belakang tengah lidah yang disebabkan oleh jangkitan kulat (candida albicans). Keadaan ini dilaporkan lebih kerap terjadi di kalangan kaum lelaki. Antara faktor-faktor penyumbang kepada keadaan ini termasuklah

  • Merokok
  • Pemakaian gigi palsu
  • Penggunaan ubat corticosteroid sprays / inhalers
  • Jangkitan HIV

Lesi ini boleh mempunyai permukaan yang rata atau benjolan dan selalunya berbentuk romboid. Secara klinikal, lesi ini memiliki ciri-ciri seperti :

  • Licin
  • Kemerahan dan ;
  • Tompokan

Median Rhomboid Glossitis
Glositis romboid median

Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala. Sesetengah kes sembuh selepas rawatan anti kulat, namun kebanyakan kes hanya menunjukkan sedikit perubahan. Individu yang merokok adalah dinasihatkan untuk berhenti.

Lidah Berpeta

Keadaan ini juga dikenali sebagai glositis migratori benigna. Penyebab kepada keadaan ini adalah tidak diketahui. Secara klinikal, lesi ini kelihatan sebagai tompokan merah dikelilingi oleh garisan tepi kekuningan yang sedikit timbul dan berbengkang-bengkok. Tompokan merah boleh sembuh dengan sendiri dalam sesetengah keadaan, akan tetapi boleh berulang di masa hadapan.

Lesi ini boleh berubah dari satu tempat ke tempat yang lain dan boleh berubah saiz serta bentuk yang kadangkala kelihatan seakan-akan peta. Bahagian-bahagian lain mulut selain daripada lidah boleh juga terlibat. Lidah berpeta kerap kali ditemui secara kebetulan semasa pemeriksaan gigi dilakukan.

Geographic Tongue
Lidah berpeta

Kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Lidah berpeta selalunya tidak memerlukan sebarang rawatan kecuali penerangan/penjelasan kepada pesakit. Kadang-kadang terdapat juga pesakit yang mengalami pedih atau sedikit sakit apabila memakan makanan yang panas atau pedas. Bagi pesakit seperti ini, gel sapuan steroid dan ubat kumuran antiseptik boleh diberikan.

Lidah Berselaput / Berbulu

Keadan lidah yang seakan-akan berselaput/berbulu adalah disebabkan oleh pengumpulan lebihan keratin di atas filiform papillae lidah. Perbezaan di antara lidah berselaput dan lidah berbulu hanyalah pada jumlah keratin yang terkumpul. Bagi lidah berselaput, pengumpulan keratin adalah sedikit dan hanya kelihatan sebagai tompokan putih. Bagi lidah berbulu pula, jumlah keratin yang terkumpul adalah lebih banyak dan akan kelihatan sebagai rerambut halus pada permukaan lidah.

Lidah berselaput/berbulu ini boleh mempunyai warna hitam atau keperangan disebabkan oleh kotoran tembakau (perokok) atau kesan warna daripada minuman kopi atau teh. Lidah juga boleh kelihatan kekuningan atau keputihan sekiranya sisa-sisa makanan dan bakteria terperangkap di antara papillae.

Lidah berselaput Lidah berbulu

Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala, akan tetapi terdapat juga pesakit-pesakit yang mengalami masalah mulut berbau. Tiada rawatan khusus diperlukan kecuali pesakit adalah dinasihatkan untuk memberus lidah dengan lembut menggunakan pemberus lidah ataupun berus gigi yang lembut bagi membuang lebihan ‘keratin’.

Lain-lain Keabnormalan Lidah

Lain-lain keabnormalan lidah termasuklah kebengkakan yang boleh disebabkan oleh:

  • Penyakit-penyakit salur darah
  • Ketumbuhan
  • Infeksi
  • Lain-lain penyakit yang jarang berlaku seperti amyloidosis

Dan rekahan/ulser pada lidah yang boleh disebabkan oleh:

  • Ulser yang berulang-ulang (recurrent aphthous stomatitis)
  • Jangkitan virus (virus herpes simplex) atau bakteria (tuberkulosis & sifilis)
  • Penyakit-penyakit vesiculo-bullous seperti pemphigus, pemphigoid dan lichen planus
  • Ketumbuhan

Rujukan

  1. Gonsalves WC, Chi AC, Neville BW. Common oral lesions: Part 1. Superficial mucosal lesions. Am Fam Physician. 2007; 75(4): 501-7.
  2. Reamy BV et al. Common tongue conditions in primary care. Am Fam Physician. 2010; 81(5): 627-34.
  3. Scully C. Oral and Maxillofacial Medicine. Elsevier; 2001: 276.
  4. Scully C, Porter S. Orofacial Disease: Update for Dental Clinical Team: 6. Complaints affecting particularly the lips or tongue. Dent Update. 1999; 26: 254-9.
Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Sumairi b. Ismail
Akreditor : Dr. Nurshaline Pauline bt. Hj. Kipli
Penyemak : Dr. Ajura bt. Abdul Jalil

Artikel Berkaitan

Rawatan Salur Akar

Latar belakang Rawatan kanal akar (rawatan endodontik) merupakan rawatan alternatif

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,551

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia