A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kumpulan Kultus

Kultus atau cult adalah kumpulan atau gerakan yang mempercayai dan mengamalkan ajaran pelik, sesat atau mistik. Cult sangat taksub kepada seseorang atau sesuatu idea.

Kumpulan kultus sering memanipulasi pengikutnya melalui pujukan, desakan dan kongkongan. Kumpulan kultus menjauhkan ahli mereka daripada kawan dan keluarga, menyalahgunakan maklumat, melarang ahli daripada menunjukkan keunikan diri sendiri, menjadikan ahli terlalu bergantung kepada kumpulan sehingga berasa takut untuk meninggalkan kumpulan.

Kumpulan kultus bahaya kerana pengaruh pemimpin kultus, ketaksuban ahli serta pemikiran sempit. Mereka tidak menerima pendapat yang berlainan dengan mereka.

Remaja, sama ada dari segi intelek mahupun rohani, mudah dipengaruhi oleh idea baru. Malangnya, remaja kurang berpengalaman dan kurang matang dalam menilai falsafah yang kompleks secara kritikal.

Perwatakan yang naif dan rasa ingin tahu boleh menjerat remaja menyertai kumpulan kultus yang taksub serta menjanjikan matlamat hidup yang sempurna.


Sumber: www.toplessrobot .com

Ciri-ciri kultus

  • Ahli kumpulan kultus taksub kepada pemimpin mereka yang berkuasa. Sebarang keputusan pemimpin kultus tidak boleh dipersoalkan atau dibangkang. Ahlinya tidak digalakkan berfikir secara rasional.

  • Pemimpin kumpulan kultus memaksa ahli untuk memutuskan hubungan dengan keluarga, rakan serta media.

  • Minda ahli dijajah dengan kepercayaan bahawa dunia luar adalah kejam dan hanya kumpulan kultus sahaja yang baik.

  • Setiap tindakan ahli kumpulan diputuskan oleh pemimpin kumpulan kultus, termasuklah sama ada ahli perlu ke sekolah, bekerja, boleh berkahwin atau melahirkan anak.

  • Kumpulan kultus mengawal aktiviti dan bagaimana ahli mengisi masa mereka.

  • Ahli kumpulan kultus diarahkan bekerja untuk menampung keperluan kumpulan.

  • Pengikut kumpulan kultus, terutama wanita dan kanak-kanak, menjadi mangsa penderaan psikologi, fizikal atau seksual.

  • Pemimpin kumpulan kultus menuduh dunia luar sebagai musuh mereka. Kumpulan kultus mengutuk masyarakat dan undang-undang lain kerana mereka percaya kumpulan mereka tidak seperti orang lain dan apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan dunia.

Apa yang perlu ibu bapa lakukan?

Pelbagai perkara boleh dilakukan untuk mencegah anak-anak daripada terjebak dengan kumpulan kultus.

  • Bersikap terbuka apabila berkomunikasi dengan anak-anak. Ketahui apa yang berlaku dalam hidup anak-anak sepanjang tempoh peralihan dari alam kanak-kanak ke alam remaja dan ke alam dewasa.

  • Berikan kasih sayang sepenuhnya agar anak-anak tidak berasa terpinggir. Remaja yang terpinggir cenderung menyertai kumpulan kultus kerana kekurangan kasih sayang dan perhatian keluarga.

  • Tingkatkan harga diri anak-anak. Kumpulan kultus mensasarkan remaja yang mempunyai kurang harga diri.

  • Bantu anak-anak menghadapi cabaran hidup. Kumpulan kultus sering memberi jawapan dan kebahagiaan segera kepada remaja. Didik anak-anak tentang hakikat kehidupan. Didik anak-anak cara untuk menghadapi perubahan dan tekanan.

  • Bantulah anak-anak mencari makna kehidupan dan ketenangan rohani. Ramai remaja terjebak dalam kumpulan kultus kerana mencari makna kehidupan dan ketenangan rohani.

  • Bantu anak-anak mencari teman dan aktiviti berkumpulan. Kumpulan kultus mengajak remaja menyertai kegiatan secara berkumpulan. Galakkan anak-anak menyertai aktiviti kumpulan yang membina.

  • Jangan terlalu memaksa anak-anak untuk berjaya. Bantu anak-anak menangani tekanan hidup. Remaja sering dibebani dengan kehendak ibu bapa dan pihak sekolah. Manakala kumpulan kultus menawarkan jalan keluar yang mudah.

  • Beritahu anak-anak betapa mereka amat disayangi. Yakinkan anak-anak tentang kasih sayang ibu bapa. Ibu bapa sering memandang remeh tentang perkara ini. Remaja sering berasa sepi dan kumpulan kultus memberikan perhatian, kasih sayang dan persahabatan kepada mereka.

  • Tonjolkan peranan ibu bapa. Ramai remaja terlibat dengan kultus kerana  ahli kultus memberi panduan, nasihat dan perlindungan yang membuatkan remaja rasa selamat.

  • Galakkan pemikiran kritikal agar anak-anak berfikir secara rasional.

  • Perhatikan perubahan tingkah laku anak-anak seperti pencapaian akademik yang semakin merosot, perubahan cara belajar, perubahan tingkah laku yang mendadak, memencil diri, perubahan penampilan fizikal atau kesihatan, menghindari aktiviti sosial, gaya berpakaian yang luar biasa, semakin berahsia, dan perubahan pergaulan dengan rakan-rakan.

  • Dapatkan bantuan jika perlu.

Sumber: en.wikipedia.org

Rujukan:

  1. Eagan Hunter, Professor of Education, St. Edward’s University, Austin, Texas; Adolescent Attraction to Cult. The Free Online Library.

  2. Marcia R. Rudin. What parents need to know about cults. PTA Today, November 1989.

Last Reviewed : 23 June 2015
Writer : Dr. Norharlina binti Bahar
Translator : Pn. Noorhayati binti Kassim
Accreditor : Dr. Norharlina binti Bahar

 

Artikel Berkaitan

Kepintaran & IQ

Apakah Kepintaran? Kepintaran bermakna seseorang boleh hidup dengan : Menyesuaikan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,695

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia