A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Pemulihan Perubatan (Carakerja)
  6. /
  7. Sembahyang Untuk Orang Sakit/Orang...

Sembahyang Untuk Orang Sakit/Orang Kurang Upaya (Oku)

Pengenalan

Sembahyang menurut istilah syarak ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan Takbiratul Ihram dan disudahi dengan salam serta dengan syarat-syarat yang ditentukan.

Sembahyang lima waktu sehari semalam diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang mukallaf. Kewajipan sembahyang ini tidak gugur meskipun bergelar OKU atau sedang dalam sakit. Malah Islam telah memberi beberapa kemudahan perlaksanaan bersembahyang mengikut kemampuan setiap individu.

Hukum Sembahyang Untuk Orang Sakit/Oku

Kemudahan (Rukhsah)

Orang Kelainan Upaya (OKU) mahupun orang sakit dikehendaki mengerjakan sembahyang mengikut beberapa  kaedah yang telah digariskan secara umum oleh ahli-ahli feqah.  Sekiranya tidak mampu berdiri bolehlah sembahyang sambil duduk sama ada duduk di atas lantai, duduk di atas kerusi atau duduk di atas kerusi roda.

Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah mengiring di atas rusuk kanan/kiri  serta menghadapkan dada dan mukanya ke arah kiblat. Jika tidak boleh mengiring maka hendaklah baring terlentang dengan kaki  menghadap arah kiblat dan kepala ditinggikan sedikit.

Sekiranya tidak mampu berbuat  ruku’ dan sujud maka sembahyanglah dengan isyarat kepala sahaja. Seandainya dengan pergerakan kepala pun tidak berdaya, maka memadai dengan kelopak mata. Akhirnya jikalau dengan gerakan kelopak mata juga tidak berdaya, maka sembahyanglah dengan menggunakan hati.

 Dalil Rukhsah Solat

 Maksud Hadis :

 Dari Imran bin Hashin (r.a) telah berkata, Adalah aku menghidap buasir maka aku bertanya Rasulullah s.a.w. dari hal solat, maka berkata Rasulullah s.a.w. “Solatlah dalam keadaan berdiri, maka jika kamu tidak mampu, hendaklah kamu duduk, jika kamu tidak mampu maka hendaklah kamu mengiring.”.

 ( Riwayat al Bukhari )

Cara Bertayammum

Apabila menerangkan kaedah sembahyang untuk OKU atau pesakit, maka perlu juga dibincangkan kaedah untuk menyucikan diri iaitu berwuduk dan tayammum.

  1. Menepuk dua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka.

2. Berniat : Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala .

    Masa niat : Ketika mula memindahkan debu dan sehingga menyentuh sebahagian muka.

 

  3. Menyapu muka.

 

 4. Selesai menyapu muka.

 

5. Menepuk dua tangan ke atas debu pada kali kedua untuk menyapu tangan.(Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu daripada debu tanah yang telah digunakan).

 

6. Menyapu tangan kanan dari belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jari tangan kiri dari hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku. 

 

7. Menyapu tangan kanan dari siku hingga kehujung ibu jari.

 

8. Menyapu tangan kiri dari belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku. 

 

9. Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.

Rukun Tayammum

  1. Niat

Hendaklah seseorang yang akan melakukan tayammum berniat kerana hendak mengerjakan sembahyang dan sebagainya.

 Contoh lafaz niat tayammum :

                “Sahaja aku bertayammum untuk membolehkan sembahyang kerana Allah Taala”

2. Menyapu muka dengan debu tanah

3. Menyapu kedua-dua tangan hingga ke siku dengan debu tanah.

4. Tertib.

Perkara Yang Membatalkan Tayammum

Setiap perkara yang membatalkan wuduk juga membatalkan tayammum.

Hadir air. Jika hadir air sebelim memulakan sembahyang, maka batallah tayammum bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air.

Kaedah Wuduk/Tayammum Ketika Sakit

Kaedah / Cara Tayammum / Berwudu’ Bagi Pesakit Untuk Melakukan Solat

Mana-mana pesakit atau OKU yang tidak boleh bergerak sama ada disebabkan oleh sakit yang keterlaluan, sedang dalam rawatan atau mengalami kelumpuhan sedangkan pada ketika itu tiada orang yang boleh membantunya untuk berwuduk/tayammum, maka mereka tetap dikehendaki untuk melakukan sembahyang menghormati waktu tanpa berwuduk/tayammum, tanpa mengikut arah kiblat serta pergerakan sembahyang mengikut kemampuan.

Sembahyang menghormati waktu wajib dilakukan semula (Qada’) sebaik sahaja telah sembuh atau terdapat pembantu yang boleh membantu melakukan sembahyang mengikut sebagaimana disyaratkan.

Sekiranya pesakit/OKU tersebut meninggal dunia sebelum mendapat peluang mengqada’ sembahyang , maka ia dikira telah menunaikan kewajipan  serta tidak berdosa.

Bagi pesakit/OKU yang mampu bergerak atau mempunyai peluang untuk berwuduk/tayammum, mereka hendaklah berusaha untuk berwuduk/tayammum .

Berikut adalah beberapa situasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit/OKU

Bagi pesakit/OKU  yang  sebahagian muka yang tidak boleh kena air

Kaedah Pertama :

  1. Berniat mengambil wuduk.
  2. Membasuh pada kawasan muka  yang boleh kena air manakala kawasan yang bertampal atau berbalut perlulah disapukan air di atasnya .
  3. Melakukan tayammum untuk menggantikan kawasan muka  yang tidak boleh kena air.
  4. Membasuh kedua-dua  tangan hingga ke siku, menyapu kepala dan membasuh kedua-dua kaki  hingga ke buku lali dengan air.

Kaedah kedua :

  1. Bertayammum dahulu.
  2. Berwuduk seperti biasa pada anggota yang boleh kena air manakala kawasan yang bertampal atau berbalut perlulah disapukan air di atasnya

Bagi pesakit/OKU yang keseluruhan mukanya tidak boleh kena air dan debu.

Kaedah Pertama :

  1. Niat melakukan tayammum semasa mengangkat tangan untuk menyapu debu ke anggota tangan.
  2. Menyapu debu ke anggota tangan sehingga selesai

Kaedah Kedua :

  1. Niat melakukan wuduk ketika membasuh tangan
  2. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku, menyapu kepala serta membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali

Bagi pesakit/OKU yang tangannya tidak boleh kena air.

Kaedah pertama:

  1. Niat mengambil wuduk ketika  membasuh muka.
  2. Membasuh kawasan tangan yang boleh kena air manakala kawasan tangan yang berbalut atau bertampal perlulah disapu air diatasnya
  3.  Melakukan tayammum
  4. Menyambung semula  wuduk dengan menyapukan air ke kepala.
  5. Membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali

 Kaedah kedua:

  1. Niat  berwuduk ketika membasuh muka.
  2. Melakukan tayammum dengan menyapu debu ke muka dan menyapu debu ke kedua-dua tangan hingga selesai.
  3. Menyambung semula wuduk dengan membasuh kawasan  tangan yang boleh kena air manakala kawasan tangan yang bertampal atau berbalut hendaklah di sapu air diatasnya.
  4. Menyapu air ke kepala
  5. Membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali.

 Bagi pesakit/OKU yang kepalanya berbalut

 

  1. Berniat wuduk terlebih dahulu ketika membasuh muka.
  2. Membasuh muka.
  3. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.
  4. Jika tiada sedikit pun ruang di kawasan kepala yang boleh disapu air, maka hendaklah dilakukan tayammum.
  5. Menyambung semula wuduk dengan menyapu air di atas pembalut kepala.
  6. Membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali.

Bagi pesakit/OKU  yang kakinya berbalut atau tidak boleh kena air

Kaedah pertama :

  1. Berniat wuduk  ketika membasuh muka.
  2. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.
  3. Menyapu kepala.
  4. Melakukan tayammum.
  5. Menyambung semula  wuduk dengan membasuh kawasan kaki  tidak berbalut/boleh kena air manakala kawasan kaki yang berbalut hendaklah disapukan air di atasnya.

Kaedah kedua :

  1. Berniat wuduk  ketika membasuh muka.
  2. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku
  3. Menyapu kepala
  4. Membasuh kawasan kaki yang tidak berbalut/boleh kena air manakala kawasan kaki yang berbalut hendaklah disapukan air diatasnya.
  5. Melakukan tayammum.

Perhatian:

Bagi pesakit/OKU  yang mukanya tidak boleh kena air

Sembahyang  wajib diqada’kan kerana muka adalah anggota tayammum yang tidak dapat disempurnakan.

Bagi pesakit/OKU yang tangannya tidak boleh kena  air

Sembahyang wajib diqada’ kerana tangan adalah anggota wuduk dan tayammum yang tidak dapat disempurnakan.

Bagi pesakit/OKU  yang kepalanya tidak boleh kena  air

Sembahyang  tidak wajib diqada’ jika pembalutnya tidak meliputi had kepala yang memadai sapu.

Bagi pesakit/OKU  yang kakinya berbalut atau tidak boleh kena air

Sembahyang  tidak wajib diqada’ jika pembalut itu tidak melebihi had yang diperlukan.

Kaedah Sembahyang Duduk Di Lantai

  • Duduk dengan menghadap kiblat mengikut keselesaan. Sebaik-baiknya kaedah sembahyang duduk ialah dengan duduk iftirash.

  • Takbiratul Ihram seperti dalam gambar di bawah. 

  • Membaca Surah al Fatihah.

  • Ketika rukuk hendaklah menundukkan kepala hingga sampai paras lutut setentang dahi dengan tempat sujud. Sekiranya tidak mampu, hendaklah tunduk yang dapat membezakan dengan perbuatan duduk tegak dan membongkok sujud.

  • Ketika I’tidal, hendaklah diangkatkan kepala semula sambil mengangkat tangan seperti takbiratul  ihram, kemudian meluruskan kedua-dua tangan. 

  • Membaca Doa Qunut bagi Sembahyang Subuh. 

  • Melakukan sujud seperti biasa. Sekiranya  tidak dapat melakukan sujud seperti biasa, hendaklah menundukkan kepala lebih sedikit daripada had rukuk. Sekiranya masih tidak mampu, memadai  dapat dibezakan antara rukuk dan sujud.

 

  • Duduk antara dua sujud. 

  • Membaca tahiyyat awal/ akhir.

  • Mengucapkan salam (berpaling muka ke kanan/ke kiri). 

Kaedah Sembahyang Mengiring

  • Sebaik-baik kaedah sembahyang mengiring ialah dengan mengiring di atas rusuk sebelah kanan manakala dada dan muka menghadap ke arah kiblat.

 

  • Berniat ketika takbiratul Ihram. Sunat mengangkat tangan sekiranya mampu. Kemudian membaca Surah al- Fatihah.

 

  • Rukuk dengan menundukkan  kepala sedikit (mengikut kemampuan).

 

  • I’tidal dengan mengangkat kepala semula.

          Catatan: Bacaan doa Qunut bagi sembahyang  subuh.

  

  • Sujud dengan menundukkan kepala lebih daripada kadar rukuk jika ia mampu. Sekiranya tidak berdaya, lakukanlah setakat mana  termampu

  •  Duduk antara dua sujud dengan keadaan mengiring seperti kedudukan asal.

  • Membaca Tahiyyat  awal/akhir dan memberi salam.

 Kaedah Sembahyang Terlentang

Orang yang bersembahyang terlentang dikehendaki meluruskan kedua-dua kakinya ke arah kiblat.  Kepalanya juga perlu ditinggikan sedikit (biasanya menggunakan  2 biji bantal) serta  menghadap kiblat. Segala pergerakan sembahyang dilakukan dengan gerakan dan isyarat kepala. Gerakan dan isyarat kepala hendaklah dapat membezakan antara satu rukun dengan rukun yang lain. Contohnya menundukkan kepala untuk sujud hendaklah lebih tinggi berbanding menundukkan kepala untuk rukuk.

Sekiranya tidak mampu dengan gerakan dan isyarat kepala, maka gunakan gerakan dan isyarat kelopak mata. Manakala org yang tidak berdaya langsung, hendaklah ia ingat kelakuan pergerakan rukun sembahyang  dalam hatinya mengikut tertib. (Sila perhatikan gambar-gambar di bawah).

  

  

Kaedah Sembahyang Duduk Di Atas Kerusi Atau Kerusi Roda

  • Duduk secara tegak mengikut kemampuan pesakit dengan meluruskan badan dan tangan.

  •  Niat sembahyang ketika mengucapkan Takbiratul ihram (Mengangkat tangan adalah sunat).

 

  • Mambaca Surah Al Fatihah dalam keadaan duduk .(Membaca surah selepas al-Fatihah dan tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri adalah sunat).

 

  • Rukuk dengan menundukkan kepala sehingga dahinya berbetulan hadapan lututnya atau sekadar yang termampu.

 

  • I’tidal dengan mengangkat kepala dan meluruskan badan serta tangan (kembali ke posisi duduk yang betul atas kerusi ).

 

  • Bagi Sembahyang  Subuh, bacaan Doa Qunut dilakukan dengan mengangkat tangan berdoa sekiranya mampu dan keadaan mengizinkan. (Adapun doa qunut merupakan sunat ab’at jua).

  • Sujud dengan menundukkan kepala dan badan seboleh-bolehnya dahi sedikit  di bawah paras lutut sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu,hendaklah  gerakkan  sujud dan rukuk dapat dibezakan.

 

  • Duduk  antara dua sujud dengan meletakkan tangan di atas paha.

 

  • Membaca Tahiyat awal/akhir dengan meletakkan tangan di atas paha.

 

  • Mengucapkan  salam dengan memalingkan muka ke kanan dan ke kiri.

 

Rujukan

Panduan Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit Oleh: JAKIM

Panduan Ibadah Ketika Sakit Oleh: Muhammad Isa Selamat.

Pengajian Ilmu Fardhu AinOleh: Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Rosli Bin Rahim
Akreditor : Rosli Bin Ngah
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,968

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia