A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Remaja
  8. /
  9. Seks Siber Di Kalangan...

Seks Siber Di Kalangan Remaja

Definisi Masalah

seks siber

Kemajuan teknologi moden dan media pada masa kini seperti televisyen, CD, video, sistem audio dan internet mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat. Internet adalah salah satu daripada media canggih yang mana semakin ramai orang menggunakannya. Melalui kemudahan tersebut juga, pengguna lebih mudah terlibat dengan tindakan salah laku terutamanya golongan remaja. Pada zaman kini, golongan remaja seawal usia 13 tahun sudah memiliki teknologi moden ini seperti telefon pintar dan sebagainya. Di samping itu, faktor kecanggihan alat komunikasi seperti telefon berkamera juga menjadi salah satu penyebab ketagihan seks siber boleh berlaku.

Perkataan ‘seks’ adalah merupakan salah satu daripada topik yang paling digemari untuk dilayari di internet (Internet Surveys, 2001). Seks telah menjadi ‘produk’ utama di internet semenjak 2003 mengatasi jualan komputer dan perisiannya. Di Barat jika dilihat, seks ini telah dikomersialkan sehingga menjadi satu industri yang menjadi sumber kewangan. Para golongan remaja yang gemar kepada seks, lebih mudah untuk melayari laman sesawang lucah kerana terdapat banyak pilihan, murah dan identiti pengguna dirahsiakan. Mereka juga boleh mencari pasangan, gambar, klip video dan pelbagai alternatif untuk menghidupkan dunia khayalan lucah mereka. Seks siber merupakan salah laku yang terdedah kepada semua golongan usia termasuk remaja yang mana menggunakan kemudahan komputer dan internet bagi mendapatkan sumber-sumber lucah atau pornografi untuk menghidupkan dunia khayalan mereka.

Punca-punca

Seks siber ini bukan hanya terdedah kepada golongan remaja sahaja, namun ia terdedah kepada semua golongan usia, tahap pendidikan dan jantina. Jika dilihat, pelbagai punca menjadikan seks siber ini menular dikalangan remaja di Malaysia. Antara punca utama berlakunya seks siber ini adalah faktor dunia tanpa sempadan. Manusia tanpa sempadan adalah ungkapan yang sesuai digunakan pada masa kini kerana sudah tidak wujud lagi batasan kepada mana-mana golongan individu untuk melayari sesebuah laman sesawang. Penggunaan telefon bimbit yang meluas iaitu kira-kira 14.2 juta pengguna di negara ini pada tahun lalu dengan 30 peratus daripadanya remaja bawah 15 tahun, merumitkan lagi usaha membendung gejala pornografi (Utusan Malaysia,1999). Fenomena ini sudah berlaku pada 10 hingga 15 tahun yang lalu dengan bilangan pengguna remaja pada tahap yang membimbangkan.

Faktor keluarga juga menjadi punca kepada seks siber ini. Jika dilihat, ibu bapa pada zaman kini kebanyakannya mempunyai tahap pendidikan dan sumber kewangan yang tinggi. Maka, kebanyakan keluarga mempunyai kemudahan jalur lebar atau ‘broadband’ di rumah yang membolehkan mereka melayari internet. Penggunaan ‘mobile internet’ juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi digunakan oleh golongan remaja untuk melayari laman sesawang lucah ini kerana ia boleh diakses di mana sahaja melalui telefon bimbit. Kadar pakej yang murah ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi membolehkan golongan remaja ini untuk mengaktifkan pakej tersebut dan melayari apa sahaja laman yang digemarinya. Melalui kaedah ini, ibu bapa tidak dapat mengesan laman sesawang yang dilawati oleh anak-anak mereka. Berkemungkinan ini merupakan salah satu punca bagi golongan remaja terlibat dengan seks siber ini.

Kesan dan Akibat

kesanSeksSiber

Seks siber ini ternyata memberikan kesan yang mendalam terhadap keluarga dan pasangan yang terbabit. Ketagihan seks siber ini berkemungkinan memberikan kesan negatif terhadap remaja itu sendiri dan orang di sekelilingnya. Ini termasuklah kesan hubungan interpersonal iaitu kurangnya komunikasi dalam keluarga dan perhubungan sosial dengan orang lain. Kesan terhadap emosi pula akan timbul rasa kesunyian dan rasa keseorangan, mengalami stress dan tidak sensitif dengan perasaan orang lain.

Kaedah Penyelesaian

Rancangan Pemulihan Klien boleh dijadikan sebagai panduan yang akan menggerakkan sesi kaunseling dengan berkesan. Remaja atau klien yang terlibat perlu dinilai terlebih dahulu bagi mendapatkan diagnosis dan pendekatan rawatan yang sesuai berdasarkan keperluan bagi membantu klien tersebut. Jenis rawatan yang kebiasaannya digunakan adalah kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling keluarga, modifikasi tingkah laku dan rawatan ketagihan siber. Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga perlu bagi membantu para remaja yang terlibat dengan seks siber ini. Rawatan Psikospiritual juga boleh dijalankan bagi membantu remaja terbabit kembali kepada ajaran berteraskan agama. Antara rawatan lain yang boleh digunakan adalah:-

  • Memberi didikan tentang bahayanya ketagihan seks siber.
  • Menamatkan langganan internet.
  • Elakkan diri daripada komputer yang mempunyai akses kelajuan jalur lebar yang tinggi.
  • Tetapkan had masa melayari internet.
  • Penuhkan masa bersama kawan-kawan atau keluarga dengan aktiviti sihat.
  • Sentiasa ingat tuhan ada memerhati dan mencatat amalan kita.

Kesimpulan

Gejala seks siber ini merupakan satu fenomena yang sedang berkembang di negara kita. Sekiranya perkara ini tidak dibendung oleh semua pihak ia akan mengakibatkan kemudaratan bukan sahaja pada diri remaja itu sendiri, malahan juga kepada keluarga, masyarakat dan negara. Hal ini kerana, remaja merupakan tunggak masa hadapan negara. Pelbagai langkah untuk membendung gejala ini perlu dilakukan agar gejala ini tidak terus menular di masa hadapan.

Rujukan

  1. Dr. Christopher L. Heffner (2003). Internet Addiction Disorder Maria Garcia Duran. Internet Addiction Disorder. Diambil pada September 10, 2015, daripada http://allpsych.com/journal/internetaddiction/#.VfEJh9WwrFI
  2. Eric W. Owens, Richard J. Behun, Jill C. Manning & Rory C. Reid (2012). The Impact Of Internet Pornography On Adolescents : A Review Of The Research. Diambil pada September 8, 2015, daripada http://www.psych.utoronto.ca/users/tafarodi/psy427/articles/Owens%20et%20al.%20(2012).pdf
  3. Johari Hassan & Raja Shahrina Raja Abdul Rashid (2012). Ketagihan Penggunaan Internet Di Kalangan Remaja Sekolah Tingkatan 4 Di Bandaraya Johor Bahru. Diambil pada September 10, 2015, daripada http://eprints.utm.my/26348/1/JTVEE-06-2012-003.pdf
  4. Mark Griffiths (2004). Sex Addiction On The Internet. Diambil pada September 9, 2015, daripada http://www.janushead.org/7-1/griffiths.pdf
  5. Mohd. Zaliridzal bin Zakaria & Dini Farhana binti Baharuddin (2009). Rawatan Ketagihan Seks Siber : Keperluan Latihan Kaunselor Perspektif Malaysia. Diambil pada Julai 31, 2015, daripada
  6. Mohd. Zaliridzal bin Zakaria & Dini Farhana binti Baharuddin (2011). Ketagihan Seks Siber : Pengalaman Kaunselor Di Malaysia. Diambil pada September 10, 2015, daripada http://documents.tips/documents/3-ketagihan-seks-siber-pengalaman-kaunselor-di-malaysia.html
  7. Syamsul Anuar bin Ismail (2003). Pengaruh Dan Kesan Aktiviti Seks Siber Di Kalangan Pengguna Internet Di Malaysia. Diambil pada Julai 31, 2015, daripada http://psasir.upm.edu.my/10251/1/FBMK_2003_6_A.pdf

 

Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis : Mohd Azlan Shah bin Jaafar
Akreditor : Hjh Hashimah binti Abd Razak

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,351

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia