A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Auditory Neuropathy di Kalangan...

Auditory Neuropathy di Kalangan Kanak-kanak

Auditory neuropathy adalah keadaan di mana bunyi yang sampai ke organ pendengaran (koklea) adalah normal tetapi penghantaran bunyi ke saraf pendengaran dan otak adalah terganggu. Selain itu, Auditory neuropathy juga dikenali sebagai ketidak seragaman penghantaran bunyi ke otak.

Menurut kajian, Auditory neuropathy boleh didapati pada mereka yang mengalami masalah pendengaran dari tahap sedikit ke sangat teruk dan juga pada mereka yang mempunyai pendengaran yang normal. Bagi mereka yang mempunyai pendengaran normal, tetapi didiagnos mempunyai masalah auditory neuropathy, mereka dapat mendengar dengan baik tetapi bermasalah dalam mengenalpasti dan memahami bunyi pertuturan.

Faktor risiko bagi auditory neuropathy

Terdapat pelbagai faktor risiko yang dikatakan boleh menyebabkan auditory neuropathy. Walau bagaimanapun masih belum ada kajian yang membuktikan punca sebenar kepada masalah auditory neuropathy.

Di antara faktor risikoyang menjurus kepada masalah auditory neuropathy adalah

  • Demam kuning (jaundis)

  • Anoxia – ketiadaan oksigen yang dibekalkan ke organ dan tisu badan

  • Jangkitan – contohnya Mumps

  • Bayi yang tidak cukup bulan

  • Faktor genetik

  • Sindrom-sindrom yang berkaitan contohnya, Charcoat-Marie-Tooth sindrom dan Ehrles-Danlos sindrom

Diagnosa auditory neurophaty

Saringan pendengaran bayi adalah salah satu program yang giat dijalankan di hospital-hospital bagi pengesanan awal masalah pendengaran. Ianya juga adalah salah satu usaha yang dilakukan bagi mengenalpasti masalah auditory neuropathy dikalangan bayi.

Penilaian auditory neuropathy dibuat menggunakan ujian auditory brainstem response (ABR) dan ujian otoacoustic emission (OAE).

Auditory Brainstem Response (ABR) adalah ujian objektif yang digunakan untuk mengenalpasti masalah saraf dan sensitiviti pendengaran. Ujian ini dilakukan dengan memakaikan fon kepala di telinga untuk menghasilkan bunyi dan melekatkan elektrod di kepala bagi merekodkan tindakbalas bunyi pada saraf pendengaran.

 

Otoacoustic emission(OAE) adalah ujian yang dilakukan untuk mengenalpasti keadaan sel rerambut pada koklea (organ pendengaran manusia). Ianya dapat memberi gambaran samada sel rerambut adalah normal atau tidak.

Daripada kajian menunjukkan mereka yang mengalami auditory neuropathy akan lulus ujian OAE manakala tindakbalas saraf pendengaran dalam ujian ABR adalah tidak normal. Ini menunjukkan sel rerambut pada koklea masih berfungsi secara normal, tetapi saraf pendengaran ke otak yang terganggu.

Rawatan dan pemulihan bagi auditory neuropathy

Terdapat p elbagai pilihan rawatan dan intervensi yang dicadangkan bagi individual yang mempunyai masalah auditory neuropathy. Walau bagaimanapun, keberkesanan intervensi adalah berbeza untuk setiap individu.

Sistem Frekuensi Modulasi (FM)

Bagi kes auditory neuropathy yang mempunyai pendengaran normal, pemakaian sistem frekuensi modulasi (FM) adalah dicadangkan. Sistem frekuensi modulasi (FM) adalah sistem yang digunakan untuk menghantar bunyi ke telinga pendengar secara terus melalui suatu gelombang bunyi. Ini membolehkan mereka dapat memberi tumpuan kepada bunyi pertuturan yang didengar dengan lebih baik dan amat berguna dalam persekitaran yang bising.

Alat bantu pendengaran

Manakala, bagi individu yang mengalami masalah pendengaran dari tahap sedikit ke teruk pemakaian alat pendengaran adalah sangat dicadangkan bagi membolehkan mereka mendapat ransangan bunyi yang lebih baik.

Implan koklea

Selain itu, implan koklea adalah dicadangkan bagi kes auditory neuropathy yang mempunyai pendengaran tahap teruk ke sangat teruk. Implan koklea adalah suatu pembedahan untuk memasukkan alat elektronik bagi menggantikan fungsi koklea kepada seseorang yang mengalami masalah pendengaran yang teruk hingga sangat teruk. Walau bagaimanapun, ada diantara mereka yang dipakaikan dengan alat pendengaran dan implan koklea masih sukar memahami pertuturan dan tidak mendapat faedah daripada alat tersebut.

Kebanyakan para professional bersetuju bahawa kombinasi kemahiran mendengar dan penggunaan alat bantu mendengar (alat pendengaran dan koklea implant) adalah satu pendekatan yang dapat memberi manfaat yang lebih baik dalam memahami bunyi pertuturan.

Siapa yang boleh dihubungi untuk maklumat lanjut

Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada

  • Audiologis

  • Doktor dan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT)

  • Terapi pertuturan

Rujukan

  1. Yvonne Sininger, & Arnold Starr (2001). Auditory Neuropathy; A new perspective on hearing disorders. Canada: Singular.

  2. National Institute on Deafness and Other Communication Disorders. 2011. Auditory Neuropathy. Retrieved July 4, 2013 from http://www.nidcd.nih.gov/health/hearing/pages/neuropathy.aspx

  3. National Institute on Deafness and Other Communication Disorders. 2011. Cochlear Implant. Retrieved July 4, 2013 from http://www.nidcd.nih.gov/health/hearing/pages/coch.aspx

  4. Roush, P(2008) Auditory Neuropathy Spectrum Disorder, Evaluation and Management. The Hearing Journal61 (11): 36–41.

  5. C. Dunkley, A. Farnsworth, S. Mason, M. Dodd, K. Gibbin (2003). Screening and follow up assessment in three cases of auditory neuropathy. Retrieved from http://adc.bmj.com

Semakan akhir : 05 Februari 2014
Penulis : Noor Izyani bt Othman
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Siapakah Audiologis?

Pengenalan Audiologis adalah individu yang berkelayakan dari segi akademik sekurang-kurangnya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,437,653

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia