A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Golongan yang Berisiko Tinggi

Pengenalan

Jatuh biasa berlaku di kalangan warga emas. Ia merupakan punca utama kecederaan kepada warga emas. Jatuh boleh mengakibatkan morbiditi dan kematian kepada warga emas. Oleh itu, ia boleh menjejaskan kualiti hidup warga emas. Kesan buruk jatuh seperti patah tulang boleh mengakibatkan kemerosotan fungsi kepada warga emas. Walau bagaimanapun, kebanyakan jatuh dan kecederaan boleh dicegah dan kesan buruknya boleh dikurangkan. Oleh itu, saringan untuk risiko jatuh adalah penting untuk warga emas terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi. Ia boleh mencegah kejatuhan pada masa depan dan mengurangkan kesan buruk akibat jatuh.

Faktor risiko untuk jatuh

Bagi warga emas, jatuh biasanya disebabkan oleh interaksi kompleks antara beberapa faktor risiko:

  • Faktor dalaman (penyakit akut atau kronik pada individu)

  • Faktor luaran (bahaya persekitaran) dan

  • Faktor situasi (berkaitan dengan aktiviti kehidupan seharian yang dilakukan)

Jatuh jarang disebabkan oleh hanya satu faktor risiko. Ia biasanya disebabkan oleh gabungan beberapa faktor dalaman dan luaran. Warga emas dengan banyak faktor risiko mempunyai lebih risiko untuk jatuh:

  • 27% risiko jatuh dengan satu faktor risiko

  • 78% risiko jatuh dengan empat faktor risiko

Risiko jatuh

Bagi warga emas, risiko jatuh biasanya disebabkan oleh interaksi kompleks antara faktor dalaman, luaran dan faktor situasi. Sebagai contoh, seorang warga emas yang mengalami sakit sendi lutut (faktor dalaman) mungkin tertiarap disebabkan oleh pengesat kaki (faktor luaran) semasa berjalan ke tandas pada waktu malam (faktor situasi). Penyumbang utama untuk risiko jatuh ialah faktor dalaman.

Faktor dalaman

Faktor dalaman termasuklah perubahan disebabkan oleh proses penuaan dan penyakit yang boleh menjejaskan fungsi untuk mengekalkan keseimbangan badan.. Fungsi-fungsi ini termasuklah fungsi keseimbangan, penglihatan, kognitif (fungsi otak), fungsi otot dan tulang, contohnya:

  • Penurunan fungsi badan disebabkan oleh umur

  • Kurang penglihatan

  • Tekanan darah rendah disebabkan oleh posisi badan mengakibatkan pening kepala (hipotensi postur- hyperlink)

  • Kelemahan pada anggota bawah

  • Kurang kekuatan memegang

  • Penyakit kronik seperti:

    • Sakit sendi lutut (dengan kesakitan sendi, pergerakan terhad dan kekuatan berkurang)

    • Penyakit Parkinson (dengan badan menggeletar dan kaku)

    • Angin ahmar (dengan kelemahan badan)

    • Kelemahan kognitif/ demensia (dengan kurang pertimbangan, kurang perhatian dan kekeliruan)

    • Diabetes tidak terkawal (dengan kerap berkencing terutamanya berkencing malam) meningkatkan risiko jatuh kerana warga emas menghadapi kesukaran untuk bangun dan berjalan ke tandas dengan cepat pada waktu malam

    • Kurang darah (dengan pening kepala)

    • Penyakit jantung (contohnya lemah jantung terutamanya dengan gejala sesak nafas)

  • Penyakit akut seperti:

    • Jangkitan saluran kencing

    • Jangkitan paru-paru

    • Kekontangan kandungn air badan (dihidrasi)

  • Ubatan (jenis tertentu):

    • Ubat psikiatrik (paling biasa dilaporkan meningkatkan risiko jatuh)

    • Ubat mengeluarkan kencing dari badan

    • Ubat darah tinggi

    • Ubat diabetes

  • Perubahan dos ubat yang baru

  • Penggunaan banyak jenis ubat – risiko jatuh meningkat dengan peningkatan bilangan ubat(samada dengan atau tanpa preskripsi doktor)

Faktor luaran/persekitaran

Faktor luaran biasanya menyumbang kepada 50% daripada kes jatuh. Warga emas hidup dalam komuniti lebih terdedah kepada cabaran persekitaran berbanding dengan kelemahan fizikal. Oleh itu, faktor luaran menjadi penyumbang utama kepada risiko jatuh dan kecederaan. Sebagai contoh:

  • Pencahayaan yang kurang terang

  • Karpet yang longgar

  • Kekurangan peralatan keselamatan di tandas

  • Halangan

  • Tiada pemegang

  • Ketinggian anak tangga dan perabot yang tidak sesuai

Faktor situasi

Faktor situasi juga mempengaruhi tahap kecederaan akibat jatuh. Sebagai contoh:

  • Warga emas lebih senang mendapat kecederaan parah apabila jatuh dari posisi berdiri tegak. Jatuh pada sebelah badan pula, boleh menyebabkan kecederaan secara langsung ke atas sendi pinggul

  • Apabila bertukar posisi (seperti berpindah tempat, berpusing)

  • Apabila warga emas mengambil risiko (seperti berjalan dengan kaki berstoking)

  • Apabila warga emas ditempatkan di rumah penjagaan warga emas

Kesimpulan

Risiko jatuh adalah berkaitan dengan interaksi kompleks antara faktor dalaman, luaran, situasi dan kebanyakannya boleh dicegah. Oleh itu, saringan boleh mengenal pasti warga emas dengan risiko jatuh dan mencegah jatuh pada masa depan dan akibatnya.. Oleh kerana jatuh biasanya disebabkan oleh pelbagai faktor risiko, intervensi yang berkesan mestilah meliputi semua faktor yang terlibat untuk mencegah warga emas daripada terjatuh.

Rujukan

  1. Ayse O, Hulya D, Nihal G, Mehtap O, Didem K. The relationship between risk factors for falling and the quality of life in older adults. BMC Public Health 2005, 5:90 doi:10.1186/1471-2458-5-90.

  2. Connelv BR, Wolf SL. Environmental and behavioural circumstances associated with falls at home among healthy elderly individuals. Atlanta FICSIT group. Arch Phys Med Rehabil.1997;78:179-86.

  3. National Institute for Health and clinical Excellence. Falls. The assessment and Prevention of falls in Older People. London: National Institute for Health and Clinical Excellence 2004.

 

Semakan Akhir : 29 November 2013
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,749

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia