A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kenali Kapsul Suplemen Anda

Kenali Kapsul Suplemen Anda

Sebanyak 30% produk berkapsul menggunakan kapsul daripada gelatin babi? Adakah anda sedar akan situasi ini? Kita akan kupas isu ini secara ringkas dan berkenalan dengan kapsul yang anda ambil.

 

Pengenalan

Masyarakat moden kini telah lebih terdidik untuk mendapatkan sumber makanan berkhasiat bagi kekal sihat, tinggi daya tahan penyakit dan cantik. Oleh itu, jalan mudah untuk mendapatkan zat makanan yang mencukupi adalah dengan mengambil suplemen atau makanan kesihatan.

Suplemen adalah produk yang bertujuan untuk menambah diet yang diambil melalui mulut dalam bentuk seperti pil, kapsul, tablet, cecair atau serbuk.

Dalam artikel ini, ia akan lebih memfokuskan kepada kapsul.

Contoh kapsulGambar 1 : Contoh kapsul

 

Apa itu kapsul?

Kapsul ialah sejenis bentuk sediaan ubat yang bersalut lembut dan berbentuk bujur. Kapsul dikategorikan sebagai satu lapisan pertama pembungkusan dos ubat.

Kapsul biasanya digunakan untuk pelepasan pantas kerana :

  • kapsul dapat cair dan terurai bentuknya dalam badan dengan lebih cepat
  • membebaskan kandungan bahan aktif yang terkandung di dalam kapsul dengan lebih cepat berbanding tablet atau kaplet.

 

Fungsi Kapsul

Kebanyakan ubat biasanya mempunyai rasa kurang sedap, pahit dan bau yang tidak menyelerakan. Oleh itu, salah satu cara alternatif untuk mengatasinya adalah dengan penghasilan ubat-ubatan dalam bentuk kapsul. Untuk menjadikan ubat-ubatan itu lebih menarik untuk dimakan, kapsul ditambah dengan pewarna yang menarik dan perasa yang lebih manis bagi menutup rasa ubat yang kurang sedap.

 

Tujuan Pengkapsulan

  • Menutup bau dan rasa kandungan bahan aktif.
  • Memberi perlindungan terhadap isi kapsul daripada kelembapan, cahaya dan udara bagi membolehkan ubat tahan lama.
  • Untuk menarik minat pengguna untuk mengambil suplemen dengan lebih mudah
    mengawal ubat dalam dos-dos tertentu.
  • Mengawal masa pelepasan sesuatu ubat dalam badan.
  • Melindungi bahan aktif dalam kapsul daripada enzim, sinaran ultraviolet (UV), cahaya lampu dan mengelakkan bahan aktif yang berasaskan minyak daripada berbau tengik.
  • Meningkatkan kestabilan suplemen.
  • Mengurangkan penghasilan radikal bebas.

 

Bahan Ramuan Dalam Penghasilan Kapsul

Bahan ramuan Contoh
Bahan aktif Gelatin, tumbuhan
Pengawet Methyparaben, propylparaben
Surfactant Sodium lauryl sulphate
Pewarna Titanium dioxide, ponceau blue, sunset yellow
Perisa Gula, pemanis
Chelating agent Iron
Plasticizer Glycerin, sorbitol
Bahan pelarut Air

 

Cara-Cara Pembuatan Kapsul

Cara-Cara Pembuatan Kapsul
  • Gelatin dan air panas dicampurkan dalam keadaan vakum dalam Gelatin Melting System.
  • Bahan tambah lain seperti pewarna dan pengawet turut dicampurkan.
  • Pin bar dicelup dalam larutan gel bagi menghasilkan bentuk kapsul maka terbentuklah ‘cap’ dan ‘body’.
  • Kadar suhu yang digunakan adalah dalam lingkungan 220C hingga 500C.
Salah satu proses membuat kapsul

Gambar 2 : Salah satu proses membuat kapsul

  • Pin bar tersebut akan diputar beberapa kali bagi mencegah bintik-bintik pada kapsul.
  • Proses pengeringan dilakukan menggunakan aliran udara bagi mendapatkan bentuk kapsul nipis yang tahan rintangan mekanikal.
  • Pada peringkat ini, pengawalan suhu dan kelembapan udara amat dititik.
  • Proses ini adalah bagi mengeluarkan kapsul dari pin bar.
  • Dilakukan bagi mendapatkan kapsul yang mempunyai saiz yang seragam.
  • Penggabungan antara body dan cap.
Kapsul - body dan cap

Rajah 1 : Kapsul – body dan cap

 

Kategori kapsul

Kapsul gelatin kerasGambar 3 : Kapsul gelatin keras
  • Diperbuat daripada gelatin.
  • Kegunaannya adalah untuk mengisi bahan kandungan dalam bentuk serbuk.
Kapsul gelatin lembutGambar 4 : Kapsul gelatin lembut
  • Diperbuat daripada gelatin.
  • Kegunaannya adalah untuk mengisi bahan kandungan dalam bentuk cecair.
Kapsul sayuranGambar 5 : Kapsul sayuran
  • Kapsul sayuran merupakan alternatif selain daripada kapsul gelatin.
  • Dihasilkan daripada kanji (hypromellose dan pullulan), gula, jagung, soya, gandum, yis, produk tenusu, pewarna dan pengawet.
  • Bahan asas penghasilan kapsul sayuran adalah daripada selulosa iaitu sejenis serat tumbuhan. Oleh itu, kapsul ini lebih mudah larut air dan stabil pada julat suhu yang besar.
  • Contoh : kapsul HPMC.


Kenapa Gelatin Dipilih Sebagai Bahan Utama?

Gelatin dikenal pasti sebagai penstabil dan pengemulsi terbaik terutama sekali bagi jenis vitamin yang larut lemak.

Walau bagaimanapun, gelatin diperbuat daripada bahagian haiwan (kulit, tulang dan sendi-sendinya) seperti khinzir, lembu dan kerbau yang mana gelatin adalah hasilan daripada kolagen.

 

Isu-Isu Berkaitan HALAL

Apakah sumber gelatin kapsul yang anda makan?

Pengguna-pengguna Islam sering disogokkan dengan isu-isu panas berkaitan ubat-ubatan halal terutamanya sumber kapsul gelatin yang datangnya daripada sumber porcine (khinzir), tulang-temulang dan kulit haiwan tidak kira sama ada di media massa ataupun penulisan di internet. Bukan sekadar penduduk Islam yang bimbang akan situasi ini, bahkan turut memberi kesan kepada orang-orang Yahudi, Vegetarian dan Buddha.

  • Adakah sumber-sumber bahan itu daripada sumber yang halal?
  • Adakah gelatin itu datang daripada sumber khinzir atau lembu?
  • Jika lembu, adakah lembu itu disembelih menurut syarak dan prosesnya tidak dicampurkan dengan sumber lain yang tidak halal?

Keratan akhbar berkenaan isu ubat dan kehalalannyaGambar 6 : Keratan akhbar berkenaan isu ubat dan kehalalannya.

 

Benar seperti apa yang dikatakan oleh Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman, Dekan Pengajian Sains Farmasi USM. Pokoknya, bukan gelatin itu sahaja yang menjadi isu dalam bahan halal tetapi banyak lagi aspek yang yang perlu dititik beratkan. Sebagai contoh, bagaimana dengan bahan ramuan lain dan cara pemprosesannya? Jika dilihat dalam senarai bahan yang digunakan dalam penghasilan kapsul itu sendiri, terdapat banyak lagi bahan ramuan kritikal dan boleh diragui. Antaranya gliserin, pewarna dan perisa.

Lebih membimbangkan, di dunia ini hanya terdapat 2 buah loji pemprosesan gelatin yang mempunyai pengesahan halal yang diiktiraf oleh JAKIM dan Jabatan Veterinar Malaysia.

Sehingga kini, di Malaysia hanya terdapat 2 buah syarikat pengeluar kapsul yang memperoleh pengesahan halal Malaysia.

Cuba anda fikirkan secara logik, bagaimanakah 2 buah loji ini mampu untuk menampung penghasilan gelatin kapsul untuk kegunaan berjuta-juta pengguna Islam di Malaysia?

Merujuk kepada laporan pasaran tahun 2008, 44% gelatin yang terhasil di dunia adalah daripada sumber kulit babi yang mana jauh lebih tinggi berbanding sumber haiwan lain. Ini kerana daripada segi pemprosesan gelatin babi, ia adalah lebih mudah dan murah berbanding gelatin yang dihasilkan daripada lembu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-8 pada 24-25 September 1984 telah membuat kajian dan membincangkan yang mana pada masa ini kapsul yang terdapat di pasaran atau di hospital dan klinik-klinik kerajaan adalah diperbuat daripada campuran bahan gelatin yang diimport dari luar negara yang digunakan sebagai bahan untuk menahan ubat daripada rosak.

Dengan itu, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan gelatin dalam ubat masa sekarang adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat daripada cepat rosak, maka penggunaan gelatin babi tidak lagi diharuskan.

Bagaimana pula dengan kapsul daripada sumber tumbuhan? Lazimnya pengguna akan mengganggap kapsul sayuran itu adalah halal untuk dimakan kerana bahan asasnya adalah tumbuhan. Persoalannya, adakah bahan lain yang ditambah dalam penghasilan kapsul tumbuhan juga halal?

Meskipun kandungan produk yang dihasilkan halal, ia mungkin diproses menggunakan peralatan memproses bahan-bahan tidak halal pada sebelumnya.

Pada dasarnya untuk sesuatu produk itu dikelaskan sebagai halal, bukan sahaja sumber-sumber bahan mentah yang digunakan adalah halal dan suci daripada najis mengikut hukum syarak serta digunakan untuk tujuan perubatan yang sah, malah aspek halal adalah meluas dan merangkumi proses keseluruhan iaitu daripada penerimaan bahan mentah hingga ke pengedaran produk siap.

Oleh itu, renung-renungkanlah.

 

Kesimpulannya

Cara yang terbaik bagi pengguna mengenal pasti sumber ubat-ubatan yang diambil itu datang daripada sumber yang halal adalah dengan mencari ubat yang mempunyai pengesahan halal dan logo halal pada produk dan yang mempunyai nombor MAL dan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah, Biro Pengawalan Farmaseutikal Malaysia telah mengeluarkan garis panduan ‘Drug Registration Guidance Document (Malaysia)yang mewajibkan pengeluar produk menyatakan secara spesifik mengenai sumber bahan mengandungi unsur haiwan pada label produk. Dengan adanya logo halal, bukan sahaja produk itu adalah halal, malah dijamin selamat, kualiti dan berkesan.

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga kehalalan apa yang kita makan. Jadilah pengguna yang bijak!

Kenali Kapsul Suplemen Anda2

Rujukan

  1. Abd Rahman (2012). Halalkah Ubat Anda.
  2. Amin Rahman Shah (27 April 2011). 30 Peratus Guna Gelatin Babi. Utusan Malaysia.
  3. Control of Drugs and Cosmetics Regulation 1984, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.
  4. Drug Registration Guidance Document, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.
  5. Hard Gelatin Capsule Shell: Composition, Formula and Preparation. http://formulaiton. vinensia.com (2013).
  6. Mience Ubyaan (7 Jun 2012) Dunia Farmasi. http://mienceubyaan.blogspot.com.
  7. Portal Halal Malaysia. www.halal.gov.my
  8. Prof. Dr. Alina Abd Rahim (2012). Persembahan Multimedia PowerPoint, Gelatine and Capsule. Universiti Sains Islam Malaysia.
  9. Soft Gelatin Capsule Shell : Composition, Formula and Preparation. http://formulaiton. vinensia.com (2013)
  10. U.S Pharmacopeia.

 

Semakan akhir : 31 Mei 2015
Penulis : Pn. Khairunnisa binti Che Omar
Akreditor : En. Kamarudzaman bin Ahmad

Artikel Berkaitan

Ketahui Keperluan Kalori Anda

Setiap makanan yang kita makan akan menghasilkan tenaga. Tenaga yang terhasil daripada proses pembakaran makanan dalam tubuh ini dikenali sebagai kalori dan ia boleh diukur dengan unit kilokalori atau Kcal.

Diet Bagi Penyakit Hati Berlemak

Pengurusan diet bagi pesakit hati berlemak bergantung kepada punca penyakit tersebut (obesiti, tinggi kolesterol, sindrom metabolik atau pengambilan alkohol berlebihan). Pesakit perlulah mematuhi diet yang ditetapkan untuk mengurangkan lemak dalam tisu hati.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,487

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia