A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Remaja
  8. /
  9. Kemahiran Hidup
  10. /
  11. Pergaulan Bebas Dalam Kalangan...

Pergaulan Bebas Dalam Kalangan Remaja Bandar

Definisi Remaja

Dalam membicarakan persoalan berkaitan dengan permasalahan pergaulan bebas dalam kalangan remaja yang tinggal di bandar, adalah sangat penting bagi kita untuk memahami siapakah golongan remaja ini sebenarnya.

Para pemimpin negara ini sering menyatakan bahawa golongan remaja merupakan aset penting dalam menjamin perkembangan dan pembangunan negara di masa depan. Menurut World Health Organisations (WHO) remaja adalah mereka yang berada pada tahap transisi antara zaman kanak-kanak dan dewasa yang berusia di antara 12 hingga 24 tahun.

Walaubagaimanapun, dalam melalui fasa ini G. Stanley Hall dalam Santrock (2005) mengatakan remaja akan melalui satu zaman yang penuh dengan gelora. Remaja akan melalui peringkat “storm and stress” iaitu masa yang penuh kekeliruan, kesedihan dan konflik.  Pada peringkat ini, remaja mula mencari identiti dan mula membina konsep kendiri. Oleh itu, kajian Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan (2011) menyarankan agar para ibu-bapa, orang dewasa, pendidik dan semua masyarakat perlu mengambil perhatian terhadap perkembangan remaja serta mengikuti perkembangan  mereka untuk membantu membimbing mereka daripada terjebak dengan gejala sosial negatif yang akan membentuk remaja yang tidak produktif.

Perubahan yang boleh mempengaruhi remaja adalah seperti berikut:

remaja-pergaulanbebas copy

Fenomena Masalah

Peningkatan taraf hidup dan kepadatan penduduk di kawasan bandar  telah membawa kepada perubahan dan kemajuan sesebuah wilayah atau negara. Proses Migrasi penduduk dari kawasan pinggir bandar dan luar bandar bagi mencari pekerjaan telah menyebabkan kawasan bandar menjadi padat. Kepadatan penduduk di kawasan bandar ini telah menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar menjadi semakin meningkat sekaligus membebankan masyarakat bandar.

Keadaan ini memaksa ibu-bapa yang tinggal di bandar terpaksa keluar bekerja bagi menampung kos perbelanjaan yang tinggi. Ketiadaan ibu-bapa di rumah kerana keluar bekerja telah menjadikan remaja di bandar ini bebas daripada pengawasan. Natijahnya, hal ini telah memberi impak terhadap kemerosotan taraf sosial keluarga apabila berlaku pengabaian terhadap anak-anak yang dibiarkan bebas tanpa perhatian dan pengawasan yang sewajarnya daripada ibu bapa. Perubahan peranan ibu dan kesibukan mereka keluar bekerja mencari nafkah untuk menyara keluarga telah memberi kesan kepada institusi kekeluargaan secara keseluruhannya. Perubahan gaya hidup ini juga telah menjadikan hubungan ibu bapa dan anak-anak kurang mesra dan berlaku pengabaian kepada anak-anak.

Ruang sosial di bandar akan mula menghimpit remaja kita dengan nilai dan gaya hidup baru yang menjanjikan gaya hidup kontemporari dan lebih canggih. Tambahan pula, faktor kawalan sosial yang agak longgar di kawasan bandar ini sedikit sebanyak memudahkan proses asimilasi gaya hidup baru itu. Berbeza dengan cara hidup remaja di luar bandar, mereka dituntut berada di rumah pada hujung minggu untuk membantu keluarga. Berlainan dengan cara hidup di bandar, di mana nilai baru menuntut remaja mengisi masa lapangnya keluar berhibur dengan teman-temannya di pusat membeli belah dan tempat awam yang lain.

pergaulan bebas1
Pergaulan bebas dan hiburan melalaikan remaja yang membawa kepada gejala negatif (Gambar sekadar hiasan)

Selain itu, fenomena ledakan teknologi pada masa kini juga telah banyak mengubah landskap sosial masyarakat terutamanya dalam memberikan pengaruh yang besar kepada pembentukan remaja pada masa kini. Fenomena ini bukan sahaja memberikan impak positif malah boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat khususnya golongan remaja terutamanya remaja bandar yang mudah terdedah kepada perlakuan tidak bermoral dan jenayah.

Mohd Dahlan A. Malek & Ida Shafinaz Mohamed Kamil (2005) menyatakan masalah sosial yang sering berlaku dalam kalangan remaja di bandar adalah seperti pergaulan bebas, aktiviti pemerdagangan manusia, jenayah siber, penyalahgunaan dadah, ketagihan alkohol, aktiviti seks bebas, pembuangan bayi, lumba haram, jenayah ragut dan sebagainya. Masalah sosial dalam kalangan remaja di bandar pada masa kini menuntut perhatian dan kerjasama semua pihak bagi membendung masalah ini terus berleluasa.

Faktor Dan Penyebab Pergaulan Bebas Dalam Kalangan Remaja Bandar

Gambarajah di bawah menunjukkan beberapa faktor dan penyebab yang mempengaruhi remaja terjebak dalam pergaulan bebas

faktor dan penyebab-gaya asuhan copy

Dalam melalui fasa ini, remaja seringkali mengalami isu pertumbuhan fizikal yang pesat, ketidakstabilan emosi, krisis autonomi dan kebergantungan, krisis identiti, krisis keyakinan dalam beragama, penghargaan kendiri, masalah seksualiti, konflik dengan ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya. Keadaan ini menyebabkan remaja sering berada dalam keadaan tertekan. Bagi yang tidak mampu menanganinya dengan baik akan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah dengan mencari teman untuk mencari kebebasan dan keseronokan sendiri sehingga mendorong mereka terjebak dengan gejala dadah, seks bebas, lari dari rumah, melepak dan jenayah.

1. Pertumbuhan Fizikal

Malu dengan perubahan yang berlaku menyebabkan remaja cenderung untuk merasa rendah diri, mengasingkan diri dan lebih suka menyendiri. Contohnya kemunculan jerawat, perubahan bentuk badan dan sebagainya. Mereka juga mula membuat perbandingan di antara dirinya dengan sesiapa sahaja yang diingininya dan mengharapkan mempunyai fizikal seperti yang diingininya.

2. Ketidakstabilan Emosi

Remaja juga mengalami banyak masalah perubahan emosi, kebolehan kognitif, tanggapan terhadap diri sendiri, krisis identiti, konflik autonomi dan bersandar serta keraguan bagi memulakan perkara-perkara baru dalam kehidupan serta sering tidak dapat mengendalikan emosi dengan baik & rasional. Mereka sering mengalami perasaan marah, takut, gembira, risau, sedih, gelisah dengan pengalaman yang baru dilalui dalam hidup.

3. Krisis Autonomi & Pergantungan

Inginkan kebebasan tetapi masih terikat dengan ibu bapa/ penjaga dan tidak berkeupayaan. Pergantungan juga berlaku terhadap rakan untuk mendapat pengiktirafan, harga diri.

4. Krisis Identiti

Di dalam fasa ini remaja mula membentuk identiti diri. Pada fasa ini, sekiranya mereka berjaya menangani krisis tersebut dengan baik, maka mereka akan berupaya membentuk identiti diri dan personaliti yang berjaya. Sebaliknya, sekiranya mereka gagal menangani krisis pada fasa ini, maka mereka akan berdepan dengan kecelaruan dan konflik identiti diri. Di dalam proses mencari identiti ini, mereka mula mencari idola menyebabkan mereka mudah meniru perkara yang dikagumi seperti cara berfikir, berpakaian, bergaul, bercakap dan lain-lain. Pada fasa inilah berlakunya pertembungan di antara keinginan dan kebimbangan yang membuak-buak untuk menempuh ke alam dewasa. Tambahan pula, akses remaja bandar kepada media amatlah mudah. Media kini menjadi satu unsur proses sosialisasi remaja pada masa kini. Perkembangan di dalam bidang ICT negara yang pesat seperti kewujudan laman-laman sosial, siaran televisyen yang pelbagai menyebabkan sebahagian besar daripada waktu rehat remaja bandar dihabiskan dengan penggunaan media.

Sikap remaja yang menginginkan keseronokan. Ditambah lagi apabila kurang pengawasan dalam aktiviti mereka menyebabkan remaja lebih bebas dalam mengakses laman sesawang lucah dan sebagainya. Kematangan remaja juga masih kurang untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara menyebabkan mereka lebih terdedah kepada masalah salah laku seksual. Justeru, remaja perlu dididik untuk menanam kepercayaan terhadap diri dan orang lain, berautonomi dan berinisiatif, agar mereka mampu dan yakin menyelesaikan krisis identitinya secara positif

5. Krisis Keyakinan Beragama

Kebanyakan remaja yang bermasalah dari segi pegangan agama biasanya tidak yakin dengan adanya hukuman tuhan. Mereka akan menyalahkan tuhan apabila ditimpa sesuatu kesusahan dan akan keluar mencari jalan penyelesaian sendiri. Justeru, para ibu bapa diseru agar memberikan didikan agama yang sewajarnya dan memastikan penghayatan agama perlu diterapkan di dalam diri anak-anak. Agama boleh dijadikan pegangan moral dalam diri remaja agar mereka dapat berfikir sebelum melakukan sesuatu yang tidak bermoral.

6. Penghargaan Kendiri

Penghargaan kendiri ini adalah bagaimana remaja melihat diri sendiri. Apabila melihat diri secara positif remaja akan mempunyai penghargaan kendiri tinggi dan berkembang secara positif. Contohnya; melihat diri sebagai cantik, sopan, lemah, tidak berguna adalah berkaitan dengan penghargaan yang ada di dalam diri seorang remaja itu terhadap diri mereka sendiri.

7. Masalah Seksualiti

Perkembangan biologi dan psikologi mendorong kepada perkembangan seksual. Nafsu atau dorongan seksual perlu disalurkan dengan cara yang betul dan dapat diterima oleh agama dan masyarakat. Kegagalan remaja untuk mengawal masalah ini akan menyebabkan berlakunya pelbagai jenayah lain seperti pergaulan bebas yang mendorong kepada jenayah pembuangan bayi, lari dari rumah dan sebagainya.

 pergaulan bebas Pergaulan bebas di antara remaja lelaki dan perempuan yang mendorong kepada permasalahan jenayah seperti seks bebas yang mendorong kepada maslaah jenayah lain

8. Konflik dengan Ibu bapa dan Keluarga

Ibu bapa merupakan peneraju terpenting dalam sesebuah sistem keluarga. Kualiti pembangunan dan kesejahteraan hidup golongan remaja amat dipengaruhi oleh kualiti persekitaran di mana mereka dibesarkan.

Ekoran daripada pertumbuhan ekonomi yang drastik dan keperluan terhadap keperluan untuk memenuhi keperluan ekonomi keluarga  menyebabkan semakin ramai ibu bapa yang terpakasa bekerja. Kesibukan terhadap pekerjaan ini menyebabkan semakin ramai ibu bapa yang kurang menyedari fungsi mereka sebagai ibu-bapa dan gagal untuk memberi pengawasan moral kepada anak-anak. Kajian yang dijalankan oleh Selvaratnam, Noraini dan Norlaila (2010) mendapati kekurangan di dalam perhubungan ini telah memberikan kesan kepada jiwa remaja anak-anak. Tambahan pula adanya harapan dan matlamat atau peraturan ibu-bapa yang dirasakan bertentangan dengan nilai remaja menyebabkan mereka mula memberontak dan mencari kelompok yang dirasakan sesuai dengan jiwa mereka dan akhirnya terjebak dengan pergaulan bebas.

9. Pengaruh rakan sebaya

Remaja yang tidak mendapat perhatian dari rumah terutamanya daipada ibu bapa akan mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi ego dan keperluan tersebut. Mereka akan menggabungkan diri mereka membentuk satu kumpulan remaja. Mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Lebih mempercayai rakan daripada ahli keluarga sendiri.

Peranan Pihak Terlibat Untuk Mengatasi Masalah Pergaulan Bebas Remaja

perananpihakterlibat-pergaulanbebas copy

Masalah pergaulan bebas dalam kalangan remaja bandar yang kian meruncing ini perlu ditangani secara komprehensif dan holistik. Justeru, peranan semua pihak seperti keluarga, institusi pendidikan, peranan komuniti, peranan majikan, media massa dan peranan pelaksana undang-undang adalah amat diperlukan dalam usaha membendung pergaulan bebas remaja pada hari ini. Kesemua pihak ini harus mencegah gejala ini  bermula dengan pendidikan dan penghayatan kepada nilai-nilai agama, budaya dan moral.

Tips Menjadi Remaja Yang Berakhlak

tipsmenjadiremajaberakhlak copy

Rujukan

  1. Mohd Dahlan A. Malek & Ida Shafinaz Mohamed Kamil (2005). Jenayah dan Masalah Sosial di Kalangan Remaja. Cabaran dan Realiti Dunia Cyber. Universiti Malaysia Sabah: Tidak Diterbitkan  http://eprints.ums.edu.my
  2. Selvaratnam, D., Nor Aini & Norlaila. 2010. Warga emas di Malaysia: ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial. Bangi: Penerbit UKM.
  3. Santrock, (2005). Adolescence. Seventh edition. New York : Mc. Graw Hill
  4. Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan (2011). Faktor-faktor yang mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah sosial di sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal Of Education Psychology & Counselling: Vol 1 (115-140)
Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis : Wan Norizan binti Wan Othman
Akreditor : Hjh Hashimah binti Abd Razak

 

Artikel Berkaitan

Ujian Sitogenetik

Pengenalan Sitogenetik adalah bidang kajian kromosom. Dalam perubatan diagnostik, ujian

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,340

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia