A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Proses Permohonan Laporan Bedah...

Proses Permohonan Laporan Bedah Siasat

Laporan bedah siasat adalah laporan yang disediakan oleh Pakar Perubatan Forensik atau Pegawai Perubatan yang berdaftar dan berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia apabila selesai sesuatu bedah siasat dilakukan.

 

Pengenalan: Laporan Bedah Siasat

Laporan bedah siasat adalah laporan yang disediakan oleh Pakar Perubatan Forensik atau Pegawai Perubatan yang berdaftar dan berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia (Akta Fi 1951 Perintah Fi (PERUBATAN) 1982) apabila selesai sesuatu bedah siasat dilakukan.

Laporan bedah siasat mempunyai dua komponen asas yang utama iaitu penemuan yang diperoleh daripada bedah siasat (seperti ciri atau perubahan yang dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kemalangan, kecederaan, dan lain-lain) dan interpretasi berkenaan dengan sebab-sebab kematian.

Semua laporan bedah siasat mengikut format umum seperti yang terkandung dalam Pekeliling dan Garis Panduan Perkhidmatan Patologi Forensik, yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2002, di mana setiap laporan bedah siasat mempunyai maklumat-maklumat seperti dalam Jadual 1.

Format Umum Laporan Bedah Siasat

  1. Nombor bedah siasat.
  2. Nama, umur, bangsa, nombor dokumen pengenalan diri si mati.
  3. Nombor rujukan Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat (Polis 61).
  4. Nombor laporan dan Balai Polis.
  5. Tarikh, masa dan tempat bedah siasat dijalankan.
  6. Nama dan nombor kad pengenalan Pakar / Pegawai Perubatan yang menjalankan bedah siasat.
  7. Pengecaman mayat.
  8. Sejarah ringkas berkaitan si mati.
  9. Pakaian / barang kemas pada si mati.
  10. Pemeriksaan bahagian luaran tubuh si mati.
  11. Pemeriksaan bahagian dalaman tubuh si mati.
  12. Spesimen – spesimen yang diambil.
  13. Kesimpulan.
  14. Pendapat (Pakar sahaja).
  15. Sebab – sebab kematian.
  16. Tandatangan, tarikh dan cop jawatan Pakar / Pegawai Perubatan.

Jadual 1 : Maklumat – maklumat yang terdapat dalam laporan bedah siasat

Tempoh masa bagi penyediaan laporan bedah siasat adalah merujuk kepada Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 17/2008 – Garis Panduan Bedah Siasat Mayat di Hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah dikeluarkan oleh Unit Perkhidmatan Sokongan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2008.  Laporan bedah siasat hendaklah disediakan oleh Pakar Perubatan Forensik / Pegawai Perubatan yang menjalankan bedah siasat mayat dalam tempoh lapan (8) minggu setelah selesai bedah siasat dilakukan.

Laporan bedah siasat sangat penting untuk tujuan medikolegal. Sama seperti laporan perubatan, laporan bedah siasat adalah sulit dan hanya diberikan kepada waris terdekat dan pegawai penyiasat yang menguruskan kes tersebut sahaja. Walau bagaimanapun, dengan kebenaran secara bertulis daripada waris (written consent), laporan bedah siasat boleh digunakan oleh pihak ketiga seperti wakil agen insuran dan peguam. Laporan bedah siasat yang telah disiapkan dan telah ditandatangani oleh Pakar / Pegawai Perubatan, hendaklah disimpan di Jabatan Rekod Perubatan hospital, sehingga ianya dipohon oleh waris atau lain-lain pihak.

Kegunaan Laporan Bedah Siasat

  • Dalam mahkamah

    Laporan bedah siasat secara rutin digunakan sebagai keterangan dalam prosiding mahkamah jenayah. Biasanya laporan bedah siasat akan dirujuk oleh pendakwa raya untuk digunakan dalam pendakwaan di mahkamah. Maklumat yang terkandung dalam laporan bedah siasat  (seperti kecederaan pada si mati dan keputusan analisis toksikologi atau alkohol) beserta dengan keterangan daripada saksi pakar oleh Pakar / Pegawai Perubatan yang menjalankan bedah siasat akan digunakan untuk menguatkan lagi hujah-hujah dalam pendakwaan.

    Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada Kanun Prosedur Jenayah Seksyen 340 (1), jika Pegawai Perubatan yang menjalankan bedah siasat si mati itu mati atau tidak ada di Malaysia, adalah sah diterima apa-apa juga laporan Pegawai Perubatan yang dibuat di bawah peruntukan Kanun ini sebagai keterangan berkenaan dengan keadaan mayat itu apabila diperiksa oleh Pegawai Perubatan itu dan berkenaan sebab-sebab kematiannya.

  • Dalam penyiasatan

    Laporan bedah siasat biasanya dirujuk oleh pihak polis yang menjalankan penyiasatan ke atas sesuatu kes jenayah, contohnya seperti kes pembunuhan, luka akibat tembakan, rogol dan lain-lain. Merujuk kepada Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), laporan Pegawai Perubatan mengenai pemeriksaan bedah siasat mayat (di bawah subseksyen 331 (2)) boleh diterima menjadi keterangan dan menjadi keterangan prima facie tentang fakta yang disebut di dalamnya, di dalam mana-mana siasatan yang dibuat di bawah Bab XXXII (Siasatan Kematian). Melalui laporan bedah siasat tersebut, pihak polis boleh mendapat sumber maklumat mengenai sebab kematian dan kecederaan yang terdapat pada si mati, seterusnya menghubungkaitkan dengan senjata yang boleh menyebabkan kematian tersebut dan suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
     

  • Dalam tuntutan insuran

    Laporan bedah siasat juga diperlukan oleh syarikat-syarikat insuran bagi proses tuntutan insuran oleh waris si mati. Laporan bedah siasat diperlukan bagi meneliti kecederaan yang dialami oleh si mati dan sebab-sebab kematian si mati agar tidak bercanggah dengan tuntutan yang dibuat dan polisi yang ditetapkan oleh syarikat insurans. Butiran mengenai sebab-sebab kematian adalah penting kerana jika kematian adalah disebabkan oleh tindakan yang menyalahi undang-undang contohnya membunuh diri, tuntutan perlindungan insurans hayat tidak boleh dibuat. Selain itu, jika seseorang yang memandu di bawah pengaruh dadah / alkohol meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, maka tuntutan insuran tidak boleh dibuat oleh waris si mati.

Prosedur Permohonan Laporan Bedah Siasat

Permohonan Dari Waris untuk Suami / Isteri / Anak / Adik Beradik & Ibubapa

  1. Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan Borang KKM/LP/1/2008
  2. Salinan Kad Pengenalan si mati.
  3. Salinan Kad Pengenalan waris.
  4. Salinan Sijil Nikah (jika berkaitan).
  5. Salinan Sijil Kelahiran (jika berkaitan).
  6. Surat Akuan Sumpah (jika berkaitan).
  7. Salinan Permit Penguburan / Sijil Kematian.
  8. Bayaran (mengikut jenis permohonan).
  9. Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan sebagainya).
  10. Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan rawatan si mati.

Permohonan melalui Agen / Wakil (Insurans,Peguam, dan lain-lain)

  1. Permohonan secara bertulis ataupun menggunakan Borang KKM/LP/1/2008
  2. Surat keizinan ASAL waris (menyatakan memberi kuasa kepada nama Agen / Wakil untuk mendapatkan laporan).
  3. Bayaran (mengikut jenis permohonan).
  4. Borang berkaitan (Insurans, KWSP, Buruh 90, PERKESO dan sebagainya).
  5. Salinan Permit Penguburan.
Jadual 2 : Jenis-jenis dokumen yang diperlukan
  • Cara permohonan laporan bedah siasat
    • Permohonan laporan bedah siasat boleh dibuat melalui dua cara iaitu:
      • Secara pos; atau
      • Datang terus ke Jabatan Rekod Perubatan di Hospital-hospital KKM dengan menggunakan Borang KKM/LP/1/2008 (Lampiran 1) yang boleh didapati di Kaunter Jabatan Rekod Perubatan, di hospital-hospital KKM.
         
  • Individu yang boleh memohon laporan bedah siasat
    • Laporan bedah siasat hanya boleh dituntut oleh:
      • Waris yang terdekat (Contoh: Suami / Isteri / Anak / Adik Beradik / Ibubapa)
      • Agen / Wakil (Insurans / Peguam) dengan surat keizinan daripada waris terdekat
      • Polis Diraja Malaysia
      • Mahkamah
         
  • Borang / dokumen yang diperlukan untuk permohonan laporan bedah siasat
    • Dokumen yang diperlukan semasa permohonan laporan bedah siasat adalah mengikut kategori permohonan. Rujuk Jadual 2.
    • Pemohon hendaklah menyertakan maklumat lengkap serta mengemukakan dokumen berikut (mana yang berkenaan).
    • Cara mengisi Borang KKM/LP/1/2008 seperti di Lampiran 2.
    • Surat Keizinan : Permohonan laporan bedah siasat oleh pihak ketiga, syarat berikut perlu dipatuhi iaitu :-
      1. Surat keizinan ASAL yang ditandatangani oleh waris. Salinan Sijil Nikah / Sijil Kelahiran pemohon menunjukkan pertalian pesakit.
      2. Jika pesakit meninggal dunia, pengesahan waris yang sah dari segi undang-undang perlu menyertakan dokumen yang berkaitan sebagai bukti.  
      3. Bagi pesakit warganegara asing yang meninggal dunia, atau warisnya juga tidak dapat dihubungi, perlu disertakan dengan surat keizinan dari pihak Kedutaaan Negara berkenaan.
      4. Pengecualian Surat Keizinan : Permohonan dari agensi yang telah diberi kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk tujuan siasatan seperti
        • Polis Diraja Malaysia.
        • Mahkamah.
           
  • Bayaran / caj bagi permohonan laporan bedah siasat

    • Bayaran / caj yang dikenakan kepada pemohon untuk memohon laporan bedah siasat di Jabatan Rekod Perubatan di hospital-hospital KKM adalah sama dengan bayaran / caj bagi permohonan laporan perubatan, seperti yang ditetapkan dalam Perintah Fee (Perubatan) 1982 dan Perintah Fee (Perubatan) Pindaan 2003 – Bagi warganegara asing.
    • Caj bayaran untuk warga asing adalah dua kali ganda caj yang dikenakan ke atas warganegara.
    • Kadar bayaran adalah berbeza mengikut jenis laporan dan borang. Rujuk Jadual 3.

Jenis Laporan / Borang

Warganegara

Warga Asing

Laporan ringkas / pendapat disediakan oleh Pegawai Perubatan

RM 40.00

RM 120.00

Laporan ringkas / pendapat disediakan oleh Pakar

RM 80.00

RM 160.00

Laporan terperinci / pendapat lengkap disediakan oleh Pakar – mengikut kerumitan

RM1,000.00

RM 2,000.00

Laporan dipohon oleh Pihak Polis / Mahkamah

Percuma

Percuma

Laporan dipohon oleh Jabatan Kerajaan

Percuma

Percuma

Setiap satu borang insuran

RM 40.00

RM 80.00

Jadual 3 : Kadar bayaran bagi permohonan laporan bedah siasat

Tempoh Masa Bagi Penyediaan Laporan Bedah Siasat

  • Laporan bedah siasat hanya akan diproses setelah permohonan lengkap secara bertulis  dikemukakan beserta dengan dokumen yang diperlukan.
  • Sekiranya maklumat lengkap tidak diterima dalam tempoh dua bulan, permohonan akan dianggap batal.
  • Jika laporan bedah siasat masih diperlukan, proses permohonan baru perlu dibuat semula.
  • Tempoh masa bagi penyediaan laporan bedah siasat dikira dari tarikh permohonan yang lengkap diterima sehingga tarikh laporan bedah siasat siap.

Sebab-Sebab Kelewatan Dalam Proses Permohonan Laporan Bedah Siasat

  • Permohonan tidak lengkap daripada pemohon
  • Kelewatan dalam penghantaran dokumen permohonan kepada Pakar / Pegawai Perubatan yang berkaitan.
  • Kelewatan dalam penyediaan laporan oleh Pakar / Pegawai Perubatan (menunggu keputusan ujian-ujian makmal)

Proses Penyediaan Laporan Bedah Siasat (Rujuk Lampiran 3)

  1. Pendaftaran permohonan laporan bedah siasat
    • Semua permohonan mesti didaftarkan dan direkodkan di Jabatan Rekod Perubatan.
    • Semak permohonan sama ada maklumat lengkap atau tidak.
    • Surat Akuan Penerimaan Permohonan perlu dikeluarkan kepada pemohon (Rujuk Lampiran 4).
    • Rujuk ke Jabatan Perubatan Forensik untuk mendapatkan laporan bedah siasat.
       
  2. Urusan penyediaan laporan bedah siasat oleh Pakar / Pegawai Perubatan
    • Laporan bedah siasat hendaklah disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan merujuk kepada Surat Pekeliling Ketua Pengarah Bil.17/2008 – Garis Panduan Bedah Siasat Mayat di Hospital-hospital KKM.
    • Jika laporan telah siap, laporan tersebut akan dihantar ke Jabatan Rekod Perubatan.
    • Bagi kes yang rumit seperti kes pembunuhan atau kes yang memerlukan keputusan ujian-ujian makmal, laporan hendaklah disiapkan apabila keputusan ujian makmal diperolehi.
       
  3. Penyerahan laporan bedah siasat kepada pemohon
    • Laporan bedah siasat hanya dikeluarkan melalui Jabatan Rekod Perubatan.
    • Jabatan  Rekod Perubatan bertanggungjawab memaklumkan melalui telefon atau menghantar Notis Pemberitahuan Laporan Siap kepada pemohon (Rujuk Lampiran 5) (Sebarang komunikasi melalui telefon hendaklah didokumentasikan).
    • Pemohon yang ingin mengambil laporan siap perlu membawa Notis Pemberitahuan Laporan Siap / surat keizinan ASAL waris yang menyatakan memberi kuasa kepada nama agen / wakil untuk mendapatkan laporan.

 Rujukan

  1. Hanzlick, R. L. (2000). The Autopsy Lexicon: Suggested headings for the autopsy report. Archives of Pathology & Laboratory Medicine, 124 (4), 594-603.
  2. Jane, M. How to Access Coroner Reports. Retrieved from http://www.ehow.com/how_7243941_access-coroner-reports.html
  3. Koponen, M. A. (2012). The Autopsy Report. Retrieved from http://emedicine.medscape.com/article/1718019-overview
  4. Pekeliling dan Garispanduan Perkhidmatan Patologi Forensik 2002
  5. Pekeliling dan Garispanduan Perkhidmatan Perubatan Forensik 2004
  6. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Bil.17/2008 – Garispanduan Bedah Siasat Mayat di Hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia
  7. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 16/2010 – Garispanduan Penyediaan Laporan Perubatan Di Hospital-hospital &  Institusi Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia
  8. Thomas, R. Investigation of Insurance Death Claims. Retrieved from http://www.pimall.com/nais/n.dcrdt.html

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Nur Ayunni bt. Ab Rahman
Akreditor : Saravanakumar a/l Maniam
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Mitosis

Pengenalan Setiap sel dalam badan kita akan melalui satu siri

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,917

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia