A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Isu Seksualiti, Psikologi dan Emosi di kalangan Warga Emas

Penuaan merupakan satu tahap perubahan dalam kehidupan dan akan berlaku kepada manusia. Perubahan fizikal yang dapat dilihat semasa penuaan ialah kulit menjadi nipis, salur darah menjadi tebal, sakit sendi, kelenjar prostat membesar dan kurang hormon androgen bagi lelaki serta putus haid bagi wanita. Dari aspek seksualiti pula, Kajian oleh Masters & Johnson (1979), mendapati bahawa warga emas masih mempunyai minat dalam hubungan seks sehingga umur mereka meningkat kepada 70 hingga 80 tahun. Namun demikian, berlakunya penurunan dari segi kepuasan dalam hubungan seks seperti lambat mencapai ereksi bagi lelaki dan mengalami kurang cecair vagina bagi perempuan yang menyebabkan keinginan tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Selama ini, ramai beranggapan bahawa keperluan seksualiti di kalangan warga emas adalah tidak penting. Malah untuk membincangkan mengenai seksualiti juga di anggap sesuatu yang taboo dan memalukan oleh masyarakat. Hakikatnya, seks pada usia emas tidak hanya terbatas di ranjang. Kemesraan, belaian, jalan berpimpin tangan serta saling mencurahkan perasaan mesti masih boleh dinikmati oleh pasangan warga emas walaupun keinginan dan kepuasan seksual menurun.

Oleh itu, sebenarnya, warga emas masih boleh melakukan hubungan seksual bergantung kepada tahap kemampuan pasangan itu sendiri. Aspek seksualiti adalah antara keperluan kepada manusia dalam perhubungan perkahwinan. Jika dilihat kepada pemerhatian terhadap pasangan warga emas terutamanya dari Eropah, mereka menghabiskan usia tua melancong sambil mengembalikan kehangatan bercinta sebagai satu cara untuk memastikan rumahtangga yang dibina berkekalan. Jadi, seksualiti bukan semata hubungan seksual tetapi juga melibatkan aktiviti bersama yang dilakukan untuk mengekalkan kasih sayang dalam rumahtangga.

Mitos isu seksualiti di kalangan warga emas:

  • Masalah kesihatan, kecergasan dan menopause menyebabkan hubungan seksual di kalangan warga emas tidak boleh berlaku
  • Keinginan seksual menurun apabila seseorang memasuki usia 50 tahun
  • Seks perlu melibatkan tindakan hubungan intim semata

Implikasi masalah seksualiti kepada warga emas sekiranya tidak ditangani:

  • Perasaan rendah diri dan rasa diri tidak mampu memenuhi keperluan seksual pasangan
  • Boleh menyebabkan perasaan tertekan dan tidak gembira dalam kehidupan
  • Menganggu keharmonian rumahtangga sekiranya isu tidak dibincangkan dan tidak difahami oleh pasangan
  • Boleh menimbulkan perasaan kekosongan dan kesunyian serta mengasingkan diri daripada pasangan

Menangani Masalah Seksualiti Warga Emas

Masalah seksualiti yang dihadapi oleh warga emas juga perlu di ambil berat kerana melibatkan kehendak, keingin dan keperluan fisiologi manusia. Sekiranya anda atau pasangan anda mengalami masalah seksualiti, berikut adalah tindakan yang boleh membantu anda mengatasi masalah tersebut :

 

  • Bincang secara terbuka dengan pasangan mengenai masalah tersebut supaya pasangan anda memahami keadaan diri anda
  • Bantu pasangan anda mengenalpasti perubahan dalam hubungan seks seperti minat, ransangan atau perubahan kelakuan yang berlaku
  • Berikan sokongan emosi, motivasi dan kata-kata positif supaya pasangan anda tidak berasa malu, sedih, kecewa dan tertekan.
  • Jangan menyalahkan pasangan atas masalah yang dihadapi sebaliknya buat pasangan rasa berharga dan layani pasangan dengan baik
  • Jalani gaya hidup yang sihat dan luangkan lebih banyak masa melakukan aktiviti sihat bersama pasangan
  • Kekalkan hubungan kemesraan dan kasih sayang bersama pasangan seperti luahkan kasih sayang, berpegangan tangan dan meluangkan masa berdua-duaan
  • Berjumpa dengan doktor pakar atau ahli psikologi atau kaunseling bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling

Rujukan

  1. Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga. (2008). Panduan untuk Penjaga Warga Emas. Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. Age Page : Sexuality in Later Life, National Institute on Aging (July 2013) https://www.nia.nih.gov/health/publication/sexuality-later-life#emotions
  3. http://health.liputan6.com/read/2361297/5-mitos-kehidupan-seks-di-usia-senja
  4. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm
Semakan Akhir : 3 Ogos 2017
Penulis : Athirah binti Mustafar Kamar
Akreditor : Tn Hj Hairol Kamal bin Ab Rahman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,647

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia