A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Batu Karang Kelenjar Air Liur

Batu karang kelenjar air liur adalah sejenis formasi seperti batu yang terbentuk di dalam kelenjar air liur atau duktus kelenjar air liur.

Apakah itu batu karang kelenjar air liur?

Batu karang kelenjar air liur adalah sejenis formasi seperti batu yang terbentuk di dalam kelenjar air liur atau duktus kelenjar air liur. Ia terbentuk dalam pelbagai saiz dan bilangan.

Di manakah batu karang kelenjar air liur biasa terbentuk?

Batu karang kelenjar air liur biasanya terbentuk di dalam kelenjar air liur major dan duktus kelenjar air liur. Badan manusia mempunyai tiga pasang kelenjar air liur major, iaitu kelenjar air liur parotid, submandibular dan sublingual. Duktus kelenjar air liur pula adalah satu struktur berbentuk paip yang menghubungkan kelenjar air liur ke kaviti mulut. Ia membolehkan air liur yang terbentuk di dalam kelenjar air liur disalurkan ke dalm kaviti mulut. Bukaan duktus kelenjar air liur parotid di dalam kaviti mulut terletak pada bahagian permukaan dalam pipi, bertentangan dengan gigi geraham pertama manakala bukaan duktus kelenjar air liur submandibular dan sublingual pula terletak pada lantai mulut di belakang gigi hadapan bawah. Pembentukkan batu karang kelenjar air liur lebih kerap berlaku di kelenjar air liur submandibular dan duktusnya, diikuti oleh kelenjar air liur parotid dan sublingual.


Sumber: http://www.istanbulentcenter.com/y/Salivary-Glands-Problems-68.html

Apakah punca pembentukan batu karang kelenjar air liur?

Punca sebenar pembentukan kelenjar air liur belum dapat ditentukan. Walaupun kajian menunjukkan bahawa kandungan utama batu karang kelenjar air liur adalah kalsium, hubungan di antara paras kalsium di dalam badan manusia dan pembentukan batu karang tidak dapat ditentukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor yang menyebabkan air liur kurang dihasilkan atau meningkatkan kepekatan air liur telah dikenal pasti mempengaruhi pembentukan batu karang iaitu:

  • Pendehidrasi badan
  • Tabiat kurang makan yang menyebabkan air liur kurang dihasilkan
  • Ubat-ubatan yang mempengaruhi penghasilan air liur, contohnya ubat anti depresi

Tanda dan gejala

Tanda dan gejala kehadiran batu karang kelenjar air liur adalah seperti yang berikut :

  • Sakit dan kebengkakan
    • Dalam keadaan di mana tiada jangkitan kuman, sakit dan bengkak hanya akan berlaku semasa waktu makan. Keadaan ini dikenali sebagai meal time syndrome. Sakit dan bengkak biasanya akan hilang secara perlahan-lahan selepas tamat waktu makan.
    • Dalam keadaan di mana terdapat jangkitan kuman, sakit dan bengkak akan hadir sepanjang masa. Tanda-tanda lain jangkitan kuman adalah demam, kemerahan pada kulit, bau kurang menyenangkan di dalam mulut dan pengaliran keluar nanah melalui bukaan duktus.
  • Ketulan batu karang boleh dirasai di dalam mulut jika kedudukannya adalah hampir kepada bukaan duktus
  • Kurang atau ketiadaan pengaliran air liur dari kelenjar air liur yang terlibat
  • Dalam keadaan di mana jangkitan kuman kerap berlaku disebabkan oleh kehadiran batu karang, kelenjar air liur yang terlibat akan menjadi keras.

Penyiasatan

Berikut adalah jenis penyiasatan untuk membantu dalam diagnosis batu karang kelenjar air liur

  1. X-Ray

    Batu karang akan kelihatan radiolegap (berwarna putih) dalam X-ray. Antara X-ray yang biasa diambil adalah

    • Lower occlusal view
    • Orthopantomogram
    • Lateral oblique view

  2. Sialography
    • Satu tiub halus akan dimasukkan ke dalam duktus kelenjar air liur yang terlibat. Kemudian, sejenis media kontras akan disuntik ke dalam tiub tersebut diikuti oleh pengambilan X-ray. Kaedah ini membantu dalam mengenal pasti kedudukan batu karang di dalam kelenjar air liur dan duktus.
  3. Sialoendoscopy

    • Kaedah ini digunakan untuk diagnosis dan rawatan batu karang. Satu tiub halus dengan kamera kecil di hujungnya akan dimasukkan ke dalam duktus kelenjar air liur untuk mengenal pasti kedudukan batu karang.
  4. Ultrasound
  5. Computer tomography (CT) scan
  6. Magnetic Resonance Imaging (MRI)


Orthopantomogram menunjukkan kehadiran batu karang (anak panah)


Computer tomography (CT) scan menunjukkan kehadiran batu karang (anak panah)

Rawatan

Rawatan untuk pesakit dengan batu karang kelenjar air liur boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

Rawatan kecemasan

Pesakit batu karang kelenjar air liur mungkin akan hadir dengan jangkitan kuman di kelenjar air liur yang terlibat. Pesakit tersebut memerlukan rawatan serta merta. Kaedah rawatan bergantung kepada keterukan jangkitan kuman. Jangkitan kuman yang teruk memerlukan kemasukan ke dalam wad untuk ubat antibiotik , ubat tahan sakit dan penghidrasi. Pesakit dengan jangkitan kuman yang sederhana akan dirawat sebagai pesakit luar dan diberi ubat antibiotik dan tahan sakit.

Rawatan definitif

  • Batu karang yang bersaiz kecil boleh dialirkan keluar dengan meningkatkan penghasilan air liur. Salah satu makanan yang membantu dalam meningkatkan penghasilan air liur adalah limau. Pesakit juga akan dinasihatkan untuk minum banyak air.
  • Batu karang yang tidak boleh dialirkan keluar oleh air liur boleh dibuang dengan kaedah rawatan seperti yang berikut:
    • Batu karang yang terbentuk berdekatan dengan bukaan duktus di dalam mulut boleh diurut keluar dengan jari secara perlahan-lahan. Cara rawatan ini boleh dilakukan di bawah ubat bius setempat
    • Batu karang yang terbentuk berdekatan dengan bukaan duktus tetapi terlalu besar untuk diurut keluar dengan jari boleh dibuang dengan melakukan satu potongan kecil pada mukosa yang menutupi batu karang tersebut. Kaedah ini boleh dilakukan di bawah bius am atau bius setempat, bergantung kepada saiz dan kedudukan batu karang.
    • Kaedah sialoendoscopy juga boleh digunakan. Apabila kedudukan batu karang telah dikenalpasti, satu bakul kecil pada hujung tiub sialoendoscope akan digunakan untuk memerangkap dan menarik keluar batu karang tersebut. Kaedah ini boleh dilakukan di bawah bius am atau bius setempat, bergantung kepada saiz dan kedudukan batu karang.
    • Jangkitan kuman yang kerap berlaku akan menyebabkan kelenjar air liur yang terlibat menjadi rosak dan tidak berfungsi dengan normal. Dalam keadaan ini, pesakit akan dinasihatkan untuk membuang kelenjar air liur yang terlibat. Jenis rawatan ini akan dilakukan di bawah bius am.
    • Extracorporeal shock wave lithotripsy (ESWL) –
      Cara rawatan ini melibatkan penggunaan gelombang kejutan bertenaga tinggi yang akan ditujukan kepada batu karang agar ia dapat dipecahkan kepada serpihan-serpihan kecil. Serpihan-serpihan tersebut seterusnya akan dialirkan keluar oleh air liur.


Gambar menunjukkan kehadiran batu karang di dalam kelenjar air liur

Pencegahan

Punca sebenar pembentukan kelenjar air liur belum dapat ditentukan.

Tetapi beberapa langkah pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan risiko kejadian batu karang. Antaranya adalah, minum air secukupnya dan makan mengikut waktu.

Rujukan

  1. Malik, N. A. (2012). Textbook of Oral and Maxillofacial Surgery (3rd ed.). New Delhi: Jaypee
  2. Myers, E. N., & Ferris, R. L. (Eds.). (2007). Salivary Gland disorders. Pittsburgh, PA: Springer.

 

Semakan Akhir : 18 February 2017
Penulis / Penterjemah : Dr. Logesvari a/p Thangavalu
Akreditor : Dr. Mukhriz bin Hamdan

 

Artikel Berkaitan

Gigi Yang Tidak Boleh Diselamatkan

Terdapat keadaan di mana gigi rosak tidak dapat diperbaiki lagi dan di panggil sebagai “tidak boleh diselamatkan”. Gigi ini tidak dapat bertahan lama di dalam mulut dan tempoh hayatnya tidak dapat dijangkakan.

Lepuh & Ulser Mulut

Lepuh dan ulser mulut merupakan dua aduan utama yang sering berlaku di dalam mulut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,421

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia