A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Bolehkah Kanak-Kanak Memakai Kanta...

Bolehkah Kanak-Kanak Memakai Kanta Lekap

Pengenalan

Seringkali persoalan di atas menjadi dilema kepada ibubapa apabila anak-anak mereka disarankan menggunakan kanta lekap sebagai pembetulan optikal untuk masalah penglihatan yang dihadapi. Sebenarnya tiada had umur untuk mula memakai kanta lekap. Kanta lekap boleh dipasang pada sebarang usia asalkan parameter kornea itu boleh dipadankan dengan kelengkungan dan diameter kanta lekap. Kanta lekap boleh dipreskripsi seawal umur bayi atas sebab-sebab tertentu dan mata kanak-kanak boleh bertoleransi dengan baik apabila memakai kanta lekap.

Kanak-kanak yang mampu mengurus diri dan menjalankan tanggungjawab harian mereka dengan baik seperti menjaga kebersihan diri, tandas dan bilik merupakan calon yang sangat baik untuk memakai kanta lekap dan sebaliknya. Manakala kanak-kanak yang belum boleh mengurus diri sendiri, ibubapa atau penjagalah yang bertanggungjawab memakai dan membuka kanta lekap anak mereka beserta penjagaan yang lain. Walaubagaimana pun kebimbangan ibubapa terhadap komplikasi, jangkitan dan kesukaran kanak-kanak sekiranya memakai kanta lekap tidak dinafikan.

Beberapa kajian saintifik telah membuktikan pemakaian kanta lekap pada usia muda memberikan manfaat yang optimum kepada si pemakai sekiranya pemakai dan setiap individu terlibat di sekeliling mereka mengamalkan cara pemakaian dan penjagaan kanta lekap yang betul dan selamat spserti yang disarankan oleh pakar mata atau optometris. Kajian terkini yang melibatkan pemasangan kanta pakai buang pada kanak-kanak berumur 8 hingga 11 tahun mendapati, 90 peratus kanak-kanak tiada masalah memasang dan menanggalkan kanta sentuh mereka tanpa bantuan dari ibu bapa masing-masing. Kajian juga membuktikan bahawa insiden mendapat komplikasi hasil pemakaian kanta lekap adalah rendah dikalangan kanak-kanak berumur 8-12 tahun dan paling tinggi dikalangan pemakai berusia 18-25 tahun sebanyak 3.5 kali. Malahan kanak-kanak lebih muda lebih mudah mengikut arahan yang diberikan berbanding remaja dan orang dewasa. Kanak-kanak sangat jarang memakai kanta lekap melebihi masa ditetapkan atau menggunakan pencuci kanta lekap yang salah. Kanak-kanak juga punyai kualiti air mata yang lebih baik berbanding orang dewasa kerana kualiti airmata yang baik adalah sangat penting untuk pemakai kanta lekap.

Tahap penglihatan kanak-kanak dari lahir hingga 8 tahun adalah sangat penting untuk di betulkan sekiranya mempunyai tahap kerabunan yang tinggi kerana ianya akan memberi impak yang sangat besar apabila dewasa kelak. Ambliopia (mata malas) merupakan kesan utama kepada masalah rabun yang tidak dibetulkan di peringkat awal. Rujuk artikel mata malas (amblyopia). Kanta lekap merupakan alternative untuk membetulkan rabun tidak kira dewasa atau kanak-kanak.

Keadaan Yang Memerlukan Kanak-Kanak Memakai Kanta Lekap

Anisometropia adalah kuasa refraksi yang berbeza antara kedua-dua belah mata lebih daripada 2.00D. Individu yang mengalami masalah ini biasanya merasa tidak selesa menggunakan cermin mata disebabkan ketidakseimbangan pada penglihatan binokular. Penggunaan kanta lekap mampu menghilangkan kesan ketidakseimbangan tersebut dan memberi ketajaman penglihatan binocular yang lebih baik.

Aphakia ialah  mata yang tidak mempunyai kanta kristalin. Penyebab utama kebutaan di kalangan kanak-kanak adalah disebabkan katarak. Kanak-kanak yang mempunyai lahir dengan penyakit katarak ini biasanya akan menjalani pembedahan pembuangan kanta kristalin. Sekiranya atas sebab-sebab tertentu  kanta palsu intraokular tidak dimasukkan ke dalam mata sejurus selepas pembedahan, kanta lekap adalah pilihan utama untuk rehabilitasi penglihatan selepas pembedahan terutama untuk katarak unilateral. Kajian klinikal telah membuktikan bahawa tiada perbezaan yang signifikan pada tahap penglihatan kanak-kanak yang memakai kanta sentuh dan dengan mata yang dimasukkan kanta intraokular. Sekiranya cermin mata menjadi pilihan utama selepas pembedahan, anak anda mungkin kelihatan kurang menarik, pelik berbanding kanak-kanak lain dan kurang selesa kerana kanta cermin mata mereka tebal, berat dan membataskan medan penglihatan. Kebaikan menggunakan kanta lekap kepada kanak-kanak adalah ianya berupaya meningkatkan tahap keyakinan kanak-kanak terhadap diri dari segi fizikal dan lebih mudah bergaul dengan rakan-rakan sebaya.

Kanta Lekap Untuk Penggemar Sukan Lasak

Penggunaan cermin mata kepada pemain yang bermain sukan lasak adalah tidak digalakkan. Penggunaan kanta lekap lembut semasa bersukan selain dan alat perlindung mata yang dibenarkan adalah lebih praktikal dan selamat.  Antara kebaikan menggunakan kanta lekap semasa bersukan ialah:

  • Tiada halangan dalam medan penglihatan pemain oleh bingkai cermin mata, penglihatan sekeliling lebih luas.
  • Penggunaan cermin mata mudah mendapat kanta berkabus akibat perubahan cuaca dan persekitaran seperti hujan. Kadangkala boleh mengganggupenglihatan dan prestasi semasa bersukan.
  • Kurang risiko kecederaan mata.
  • Memberikan memberi penglihatan yang lebih jelas dan stabil terutama semasa memerlukan pergerakan yang pantas dan laju seperti berlari.
  • Meningkatkan keyakinan diri pemain dan lebih berdaya saing semasa bersukan.
  • Ada juga kanta lekap yang ditempah khas untuk pemain yang perlukan perlindungan daripada radiasi ultraviolet dari cahaya matahari seperti sukan padang.

Masalah kelengkungan kornea yang tidak sekata seperti keratokonus atau selepas menjalani pembedahan penggantian kornea mata  dan sebagainya akan menyumbang kepada kuasa astigmatisma yang sukar untuk dibetulkan dengan cermin mata lalu menyebabkan  penurunan tahap penglihatan dan silau. Jenis kanta lekap separa keras amat sesuai digunakan untuk masalah ini.

Kawalan Myopia

Miopia adalah  rabun yang menyebabkan pengidapnya tidak dapat melihat pada jarak jauh dengan jelas. Tahap kekaburan adalah bergantung pada kuasa mata yang dimiliki. Kanak-kanak yang mempunyai miopia diperingkat awal biasanya akan mengalami peningkatan kuasa mata  sehingga mencapai umur tertentu. Pelbagai kajian oleh penyelidik untuk mengawal kuasa mata ini  termasuklah penggunaan kanta ortokeratologi   untuk mengawal miopia. Kajian  yang dilakukan di Universiti Ohio dan Universiti Politeknik Hong Kong mendapati berlaku penurunan pada kuasa mata bagi pengidap miopia apabila menggunakan kanta orthokeratologi iaitu sejenis kanta lekap yang digunakan sewaktu tidur. Walaubagaimanapun, perkara ini masih memerlukan kajian yang lebih mendalam.

bolehkah-kanak2-memakai-kanta-lekap

Gambar 1:  Corak Pemasangan Kanta Orthokeratologi

Sumber : https://medium.com/mykidsvision/https-medium-com-nibuckman-magic-no-its-orthokeratology-australia-89c6070fed7d

Kosmetik

Kanak-kanak juga berpotensi mendapat keadaan seperti parut pada kornea, aniridia (tiada iris pada mata)  dan heterochromia (warna iris kedua-dua mata berbeza) yang menyebabkan ketidaksamaan secara fizikal pada kedua-dua mata. Ini boleh menjadikan kanak-kanak tersebut malu dan hilang keyakinan diri. Oleh yang demikian kanta lekap prostetik boleh digunakan untuk tujuan menutup kecacatan pada bahagian tersebut dan menjadi penampilan  diri lebih menarik lantas meningkatkan semula keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat.

bolehkah-kanak2-memakai-kanta-lekap2

Gambar 2: Parut Pada Mata Kanan

Pemilihan Kanta Lekap Yang Sesuai Untuk Anak Anda

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap dipasaran. Setiap kanta lekap ada keistimewaannya tersendiri. Persoalannya yang mana satu sesuai digunakan oleh  kanak-kanak?.  Secara asasnya, pemilihan kanta sentuh untuk kanak-kanak tidak banyak perbezaan dengan orang dewasa. Ia bergantung kepada tujuan pemakaian kanta lekap tersebut. Berbincanglah dengan optometris atau pengamal kanta lekap bertauliah untuk mendapatkan jenis kanta yang sesuai untuk dengan keperluan anak anda. Berikut merupakan jenis kanta yang biasa digunapakai oleh mengikut situasi.

Jenis Kanta

Ciri-Ciri Kanta  

Masalah Yang Sesuai

Kanta lekap lembut

 

  • Material dari silikon, hidrogel atau kombinasi
  • Material silikon punyai kadar penyerapan oksigen yang terbaik.
  • Kombinasi material silikon dan hidrogel memberikan kadar transmisi oksigen yang tinggi.
  • Boleh didapati dalam bentuk pakai buang yang mempunyai kelebihan dari segi  mudah diselenggara dan kurang  risiko  mendapat jangkitan  mata.
  • Material silikon lebih mahal berbanding hidrogel.
  • Aphakia
  • Anisometropia
  • Rabun
  • Sukan

 

Kanta lekap separa keras: Rigid gas-permeable lens (RGP)

  • Pemasangan kanta ini perlukan kepakaran oleh pengamal kanta lekap bertauliah.
  • Punyai kadar transmisi oksigen yang baik
  • Rabun
  • Anisometropia
  • Masalah pada kornea
  • Sukan

Scleral lenses/hybrid contact lens

 

  • Saiz kanta lebih besar berbanding semua kanta lekap yang lain. Sesuai untuk kes –kes kornea yang rumit.
  • Pemasangan perlukan kepakaran oleh pengamal kanta lekap bertauliah semasa pemasangan kanta lekap
  • Masalah kelengkungan  kornea yang tidak sekata.

Orthokeratology lens

 

  • Kanta direkabentuk khas  untuk mengurangkan kuasa mata myopia pada jangka masa tertentu dan dipakai semasa tidur. Masih perlukan lebih banyak kajian saintifik.
  • Pemasangan perlukan kepakaran oleh pengamal kanta lekap bertauliah semasa pemasangan kanta lekap
  • Mengawal kuasa mata miopia

Panduan Kepada Ibubapa Yang Mempunyai Anak-Anak Yang Memakai Kanta Lekap

Apabila anak anda dinasihatkan untuk memakai kanta lekap kebiasaanya oftalmologis optometris atau sudah mempertimbangkan kesan baik dan buruk hasil dari pemakaian tersebut. Ada ketikanya mereka tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan pemakaian kanta lekap tersebut sekiranya kanak-kanak tidak mematuhi tatacara pemakaian yang diberikan. Ibubapa memainkan peranan penting dalam kejayaan pemasangan kanta lekap kepada anak-anak mereka. Semasa pemakaian kanta lekap, panduan berikut perlu di ambil kira :

  1. Cubalah mencari maklumat dan dapatkan konsultasi yang betul dari doktor, optometris atau pengamal kanta lekap bertauliah berkenaan masalah mata anak.
  2. Perlengkapkanlah diri anda dengan sedikit ilmu dan panduan menggunakan kanta lekap dengan baik. Rujuk artikel pemakaian kanta lekap yang selamat.
  3. Ibubapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang menggunakan kanta lekap perlu komited dan bermotivasi yang tinggi kerana pemakaian kanta lekap kepada kanak-kanak melibatkan  masa, kos yang agak tinggi  di samping  memerlukan kerjasama dari pesakit.  Tanpa mengira peringkat umur kanak-kanak, pemakaian  kanta lekap buat pertama kali kepada mereka memerlukan pemantauan yang lebih dari ibubapa.
  4. Ambil tahu tentang masalah, sebarang perubahan yang berlaku pada mata anak anda setiap masa sebelum dan selepas pemakaian kanta lekap.
  5. Maklumkan kepada penjaga anak-anak anda seperti guru atau pembantu rumah tentang pemakaian kanta lekap pada anak anda dan langkah-langkah awal yang boleh dilakukan sekiranya berlaku kecemasan semasa ketiadaan Sebaik-baiknya apa yang anda tahu mereka juga harus tahu.
  6. Cubalah didik anak-anak supaya menjadi lebih berdisiplin untuk menguruskan kanta lekap mereka dengan baik.
  7. Ketahui samada anak anda sudah cukup matang untuk membezakan kebaikan hasil  dari pemakaian  kanta lekap dan cermin mata. Sekiranya dapat berbuat demikian, anak anda mungkin telah mampu menguruskan kanta lekap mereka dengan baik . Walaubagaimanapun, pemantauan ibubapa masih diperlukan. Rujuk artikel kanta sentuh untuk kanak-kanak.
  8. Cubalah mencari kenalan atau kumpulan sokongan di kalangan ibubapa yang bermasalah serupa dan berkongsi pengalaman. Percayalah, ia pasti memberikan anda perbezaan yang sangat besar disamping  dapat  meningkatkan motivasi  kepada anda.
  9. Patuhilah tarikh temujanji untuk rawatan susulan kanta lekap yang diberikan.

bolehkah-kanak2-memakai-kanta-lekap3

Gambar 3: Contoh Cara Memasang Kanta Lekap Kepada Bayi

Sumber : http://www.wrighteyecare.com/patient-education/cataracts/

Secara keseluruhan kejayaan pemakaian kanta lekap pada kanak-kanak untuk memberi tahap penglihatan yang terbaik kepada kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada kesungguhan ibubapa dan kerjasama berterusan dari optometris dan pengamal kanta lekap bertauliah yang lain. Risiko jangkitan boleh dielakkan dengan mengamalkan corak pemasangan kanta lekap  yang selamat. Kebanyakkan optometris dan pengamal professional kanta lekap melaporkan hasil yang sangat baik mengenai pemakaian kanta lekap dikalangan kanak-kanak.

Rujukan

  1. Robert H. Duckman (2006). Visual Development, Diagnosis, and Treatment of the Paediatric Patient. Published by ,F: Lippincott Williams &Wilkins, A Wolters Kluwer business .Peadiatric and Adolescent Contact Lens Correction ,Chapter 15 ( Page 260-277)
  2.  Nor Aini Hanafi(18 Jun 2014). Mata Malas (Ambliopia). Diambil 1 April 2015 dari http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/umum/optomeri/mata-malas-ambliopia
  3. Syuhairah bt Hamzah (20 Jun 2014). Siapa Yang Layak Memakai Kanta Lekap?. Diambil 1 April 2015 dari http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/umum/optomeri/siapa-yang-layak-memakai-kanta-lekap
  1. Azalia bt. Razali. (19 Mac 2014).Pemakaian Kanta Lekap yang Selamat. Diambil 1 April 2015 dari http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/pemakaian-kanta-lekap-yang-selamat
  1. Shah Farez Othman (26 November 2009) . Kanta Sentuh Untuk Kanak-kanak. Diambil 1 April 2015 dari http://myhealth.moh.gov.my/index.php/dewasa/gaya-hidup/penjagaan-mata
  2. http://www.aao.org/publications/eyenet/201203/pediatrics.cfm
  3. http://www.optometry.co.uk/uploads/articles/cet_2-2801-use_thsi_version%281%29.pdf
  4. Gambar 1 : http://www.gpspecialists.com/wp-content/uploads/2012/11/ortho-k2.jpg
  5. Gambar 2: http://www.adityajyoteyehospital.org/contact_lenses.aspx
  6. Gambar 3 : http://www.wrighteyecare.com/patient-education/cataracts/
Semakan Akhir : 17 Oktober 2016
Penulis : Pn. Halijahton Binti Abdol Rahim
Akreditor : Pn. Rosmawati Binti Uthman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,524

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia