A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Refluks Asid Dan Mulut Saya

Apabila seseorang mengalami regurgitasi asid, keadaan mulut boleh menjadi berasid disebabkan oleh jus gastrik yang terkeluar dari perut.

Adakah anda pernah mengalami gigi sensitif, terutamanya terhadap minuman sejuk?

Adakah anda merasakan gigi anda menjadi semakin pendek, kekuningan, atau bentuk gigi anda berubah bentuk?

Adakah anda kadang-kadang mengalami pedih ulu hati ?

Jika anda menjawab ya kepada semua soalan di atas, anda mungkin mengalami refluks asid yang boleh menjadi penyebab kepada perubahan pada gigi anda.

Menghairankan bagaimana refluks asid boleh menukar rupa bentuk gigi ?

Ya, sememangnya refluks asid boleh menyebabkan perubahan kepada gigi kita tetapi bagaimana?

Mari kita meneliti apa yang berlaku apabila seseorang mengalami refluks asid.

Apa itu refluks asid?

Perut kita dipenuhi dengan jus berasid iaitu atau jus gastrik yang membantu dalam proses penghadaman. Kandungan perut dihalang daripada kembali ke dalam esofagus oleh otot berbentuk seperti cincin yang dipanggil lower esophageal sphincter (LES). Dalam keadaan normal, otot ini mengendur untuk membolehkan makanan dari esofagus  masuk ke dalam perut dan mengecut untuk mengelakkan makanan dan jus gastrik daripada kembali semula ke dalam esofagus. Ini adalah salah satu mekanisme perlindungan badan semulajadi. Walau bagaimanapun, apabila otot ini menjadi lemah, jus berasid daripada perut dibenarkan mengalir kembali ke dalam esophagus- keadaan ini dipanggil refluks asid, refluks gastrik, regurgitasi asid atau gastroesophageal reflux disease (GERD).

Refluks asid boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:

  • Pedih ulu hati atau sakit dada yang kuat seperti serangan jantung, terutamanya selepas mengambil hidangan berat
  • Rasa masam di dalam mulut
  • Perubahan suara
  • Kesukaran untuk menelan.

 

Jadi, bagaimanakah ianya berkaitan dengan gigi kita?

Kita perlu terlebih dahulu memahami struktur gigi.

Gigi kita terdiri daripada enamel, dentin, simentum dan ruang pulpa yang mengandungi saraf-saraf  dan saluran-saluran darah halus. Lapisan luar gigi berfungsi untuk melindungi pulpa daripada kecederaan mekanikal, haba atau kimia. Apabila lapisan pelindung ini dimusnahkan, pulpa mengalami iritasi dan seterusnya boleh menyebabkan gigi sensitif atau sakit gigi yang teruk.

Apabila seseorang mengalami regurgitasi asid, keadaan mulut boleh menjadi  berasid disebabkan oleh jus gastrik yang terkeluar dari perut. Apabila mulut terdedah kepada persekitaran yang berasid, enamel dan dentin pada gigi boleh terlarut secara perlahan-lahan. Jika kejadian ini berlaku secara berulang kali untuk tempoh masa yang panjang, kecederaan permukaan gigi yang tidak berbalik berlaku. Keadaan ini dipanggil hakisan gigi. Hakisan gigi adalah kehilangan lapisan permukaan gigi yang disebabkan oleh pendedahan yang berlarutan atau berulangkali kepada persekitaran mulut yang berasid yang tidak melibatkan bakteria. Bagaimanapun, sesetengah orang mengalami kehilangan lapisan permukaan gigi disebabkan oleh gabungan beberapa faktor  iaitu faktor kimia dan faktor mekanikal seperti mengetam gigi dan memberus gigi terlalu kuat .

Apakah tanda-tanda yang perlu diperhatikan jika anda mengesyaki anda mengalami hakisan gigi?

Anda mungkin melihat perubahan-perubahan berikut pada gigi anda:

  • Gigi menjadi lebih pendek
  • Gigi menjadi kekuningan
  • Permukaan dalam atau permukaan atas menjadi berkilat dan licin
  • Permukaan atas gigi menjadi cekung
  • Tampalan kelihatan lebih tinggi daripada struktur gigi sekitarnya

Selain daripada hakisan gigi, terdapat juga gejala-gejala lain yang berkaitan dengan refluks asid yang jarang tetapi mungkin terjadi di dalam mulut termasuklah:

  • Berasa pedih di dalam mulut
  • Lidah terasa sensitif

Bagaimana mengurangkan risiko hakisan gigi sekiranya anda mengalami refluks asid?

Refluks asid adalah satu keadaan yang boleh dirawat manakala hakisan gigi yang disebabkan oleh refluks asid boleh dicegah. Adalah penting untuk anda mendapatkan nasihat doktor mengenai refluks asid kerana kecederaan anggota badan selain daripada struktur gigi mungkin berlaku pada masa yang sama. Jika gigi anda menunjukkan tanda-tanda hakisan gigi, anda perlu mendapatkan perundingan doktor gigi seawal mungkin supaya langkah-langkah pencegahan boleh diambil untuk mengelakkan kemusnahan gigi yang lebih teruk .

Rujukan

  1. Lazarchik D, Filler S. Effects of gastroesophageal reflux on the oral cavity. The American Journal of Medicine 1997;103(5):107S-13S.
  2. Amaechi BT, Higham SM. Dental erosion: possible approaches to prevention and control. Journal of Dentistry 2005;33(3):243-52.

 

Semakan Akhir : 28 September 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Eileen Yap Ai Ling
Akreditor : Dr. Siti Zaleha bt. Hamzah

Artikel Berkaitan

Penjagaan Luka Di Bahagian Muka

Kecederaan di muka sering berlaku di dalam setiap kemalangan seperti kemalangan jalan raya, serangan daripada manusia atau haiwan, kebakaran, letupan dan tembakan.

Fake Braces

Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,031

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia