A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Bagaimana Anak Anda Belajar...

Bagaimana Anak Anda Belajar Melihat

Pengenalan

Tahukah anda saiz bola mata bayi yang baru dilahirkan adalah 65% saiz bola mata orang dewasa. Bayi yang baru dilahirkan tidak dapat melihat dan memfokus dengan jelas seperti orang dewasa kerana sistem penglihatan mereka mengambil masa beberapa bulan lagi untuk berkembang sepenuhnya.

Penjagaan kesihatan semasa mengandung penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda bayi yang bakal dilahirkan agar sihat dan sempurna. Pengambilan alkohol, dadah, ubat-ubatan tertentu serta merokok adalah dilarang semasa mengandung kerana toksin di dalam bahan-bahan tersebut akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada bayi termasuk masalah penglihatan yang serius.

Proses Perkembangan Penglihatan

Berikut adalah tahap perkembangan penglihatan yang normal.

Berikan tempoh lebih kurang 8 minggu dari umur yang tertera untuk kanak-kanak mencapai sasaran perkembangan normal seperti dibawah:

UMUR

PERKEMBANGAN PENGLIHATAN YANG NORMAL

daripada lahir hingga 1 bulan

·       mata dan kepala berpaling ke arah cahaya

·       boleh mengikut pergerakan objek ke kiri dan kanan

·       kadangkala kelihatan mata juling masuk ke dalam atau keluar

·       mata masih belum memfokus kepada objek

2 – 3 bulan

·       pada usia 6 minggu, mata mula memfokus (menumpu) pada objek dan fiksasi lebih stabil

·       boleh mengikut pergerakan objek dengan lebih baik

·       reaksi terhadap senyuman

·       berminat dengan objek yang bergerak

4 – 6 bulan

·        mendekati dan mencapai objek objek yang tergantung

·        memerhati dan bermain dengan tangan sendiri pada usia 6 bulan

·        mengubah fiksasi dari satu objek ke objek yang lain

·        mempunyai medan penglihatan yang lebih luas

·        boleh mengenalpasti reaksi wajah

·        kedudukan mata yang lebih lurus dan bergerak bersama

7 – 9 bulan

·        boleh melihat butiran beras

·        berkebolehan menyentuh dan menggenggam objek

·        berminat dengan gambar

·        dapat mengenalpasti objek yang terlindung sebahagiannya

10 -12 bulan

·        berkebolehan melihat objek yang lebih kecil dan terperinci

·        boleh menunjukkan objek yang diminati

·        boleh melihat ke luar tingkap

·        dapat mengenalpasti objek/orang yang biasa dilihat dari jauh

·        mula bermain sorok-sorok/sembunyi-sembunyi

·        menconteng dengan pen atau pensil atau krayon

1 – 2 tahun

·        boleh memadankan objek dan meniru pergerakan

3 – 5 tahun

·       boleh membaca

Jadual 1: Perkembangan Penglihatan Kanak-Kanak Mengikut Umur

Faktor Mempengaruhi Kesempurnaan Penglihatan

Kesempurnaan penglihatan kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh;

  1. Anatomi atau struktur mata yang lengkap dan sihat
  2. Rangsangan yang diperolehi selepas dilahirkan dan sepanjang tempoh perkembangan penglihatan.

Ke Arah Mendapatkan Kesempurnaan Penglihatan

Penglihatan yang sempurna penting bagi memastikan anak-anak dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain. Walaupun dilahirkan sempurna, penglihatan bayi tidak akan berkembang sepenuhnya sekiranya tidak mendapat rangsangan yang sewajarnya pada peringkat awal, seperti:

1. Penjagaan kesihatan yang baik semasa mengandung (antenatal) menggalakkan perkembangan penglihatan janin di dalam kandungan.

2. Memberi rangsangan yang bersesuaian dengan umur anak:

a) Bayi Kurang 1 Bulan

  • Hiasi bilik bayi dengan warna yang terang contohnya mengecat dinding bilik dengan warna yang ceria dan guna perabot berwarna kontras.
  • Menggantung alat permainan yang pelbagai bentuk, warna serta saiz di katil bayi.
  • Pada peringkat umur ini, bayi masih tidak boleh memfokus dengan baik, ibubapa perlu berada di samping bayi bagi membantu merangsang penglihatan bayi.

b) Bayi 2 – 3 Bulan

  • Menambah dan mengubah kedudukan alat permainan di dalam bilik atau di katil. Ini merangsang bayi untuk menumpu pada pergerakan objek.
  • Eye contact memainkan peranan penting dalam perkembangan keseluruhan. Wujudkan eye contact semasa bersama bayi a
  • Banyakkan bercakap dan senyum pada bayi. Bayi akan bertindakbalas pada senyuman dan minat melihat pada pergerakan bibir ‘lip reading’.

3. Pada waktu malam, nyalakan lampu tidur bagi merangsang penglihatan bayi apabila dia terjaga dari tidur.

4. Dapatkan pemeriksaan berkala selepas kelahiran sehingga pra-sekolah di hospital/klinik kesihatan.

5. Memberi peluang kepada anak-anak meneroka alam sekitar dan objek di sekeliling seperti membawa ke pantai, bermain pasir pantai, melawat zoo dan sebagainya akan merangsang perkembangan penglihatan anak-anak.

1. Alat Mainan Pelbagai Warna                                          2. Buku Pelbagai Warna

 

3. Bermain Dengan Haiwan Peliharaan                        4. Aktiviti Basikal

Gambar 1: Alat Permainan Dan Buku Pelbagai Warna Yang Terang Serta Aktiviti Boleh Merangsang Perkembangan Penglihatan Anak-Anak

Amalan Baik Kepada Ibubapa/Penjaga

Ibubapa juga boleh membantu anak-anak mendapatkan kesempurnaan penglihatan dengan melakukan amalan yang baik seperti saranan dibawah.

  1. Bagi membantu merangsang koordinasi mata-tangan-badan anak anda, ibubapa boleh melakukan aktiviti bersama anak contohnya memberi galakan anak merangkak ke arah sesuatu objek/alat permainan yang disukainya dengan bersorak dan turut serta aktiviti berbasikal atau membaca buku.
  2. Ibubapa perlu memastikan anak-anak tidak mendapat rangsangan yang berlebihan atau yang tidak bersesuaian dengan umurnya. Contohnya ibubapa wajar menghadkan masa menonton televisyen, memastikan program televisyen yang bersesuaian serta menonton bersama-sama dengan anak.
  3. Selain daripada menonton televisyen atau penggunaan telefon pintar/tab, ibubapa digalakkan duduk bersama anak-anak sambil berbual-bual dengannya.
  4. Membaca buku dengan anak-anak.
  5. Mendedahkan anak dengan alat permainan yang bersesuaian dengan umur anak anda seperti soft toys, rattles, lego, play dough

Kepentingan

Penglihatan bukan sahaja membantu kanak-kanak mengenali persekitaran, tetapi juga sebagai kunci penting dalam perkembangan keseimbangan dan kemahiran motor. Masalah penglihatan yang tidak diatasi akan turut mengganggu perkembangan pembelajaran/akademik, sosial dan emosi kanak-kanak ini.

Kadangkala kanak-kanak sekolah tidak mengetahui mereka sedang menghadapi masalah penglihatan. Mereka mungkin beranggapan penglihatan mereka seperti kanak-kanak yang lain dan tidak memberitahu ibubapa atau guru.

Kanak-kanak yang tidak boleh melihat tulisan guru di papan hitam/papan putih akan mudah berputus asa, ketinggalan dan menyebabkan pencapaian akademik yang tidak cemerlang. Guru-guru pula mungkin menganggap bahawa kanak-kanak ini mempunyai masalah tingkah laku atau pembelajaran dan bukannya masalah penglihatan.

Dua faktor ini akan menyebabkan kegagalan menangani masalah sebenar dan seterusnya menyebabkan kanak-kanak ini ditempatkan/mengikuti program pembelajaran yang tidak bersesuaian dengan keperluan mereka. Dimana masalah ini tak sepatutnya berlaku jika masalah penglihatan ini dapat dikesan dan dirawat awal. Jadi adalah penting untuk ibubapa atau guru mengesan masalah sebegini diperingkat awal.

Tanda-Tanda Perkembangan Penglihatan Yang Tidak Normal Dan Memerlukan Pemeriksaan Awal

Kebanyakan masalah penglihatan seperti mata malas, juling dan katarak boleh diatasi jika dikesan dan rawat awal iaitu semasa sistem penglihatan masih belum berkembang sepenuhnya. Ibubapa/penjaga perlu mengetahui tahap perkembangan penglihatan yang normal (seperti dalam Jadual 1 di atas) supaya dapat membezakan sebarang tanda-tanda yang tidak normal pada anak anda.

Antara tanda-tanda amaran yang ditunjukkan oleh anak-anak yang mempunyai masalah penglihatan adalah;

  1. Penampilan
  • Mata yang tidak fokus
  • Mata yang bergerak-gerak/nystagmus
  • Tidak berkelip kepada cahaya yang terang
  • Mata juling ke dalam atau keluar
  • Mata hitam kelihatan berwarna putih
  1. Tingkah laku
  • Menyengetkan kepala
  • Mengecilkan mata
  • Mengelip mata secara berlebihan
  • Kerap menggosok mata
  • Menutup satu mata
  • Kerap terlanggar barang
  • Keliru dengan huruf-huruf
  • Menonton televisyen atau menbaca pada jarak yang terlalu dekat
  1. Aduan
  • Sering mengadu sakit kepala, pening atau muntah
  • Kabur penglihatan
  • Penglihatan berganda
  • Penglihatan jauh kabur selepas membuat kerja dekat
  • Terlalu sensitif kepada cahaya
  • Mata kerap gatal

Jika ibubapa/penjaga mendapati sebarang tanda-tanda di atas atau sebarang keraguan/kemusykilan berkaitan penglihatan anak-anak anda, sila berhubung dengan Klinik Mata di hospital yang berhampiran untuk mendapat pemeriksaan lanjut.

Rujukan

  1. http://www.allaboutvision.com/parents/infants.htm
  2. Manual on the management of children with visual imparment By Family Health Development Division, Ministry of Health, Malaysia 2003
  3. http://www.urbanchildinstitute.org/articles/research-to-policy/research/the-importance-of-stimulating-a-childs-vision
Semakan Akhir : 22 Jun 2017
Penulis : Pn. Haniza Binti Suboh
Akreditor : Pn. Noraini Binti Hanafi

Artikel Berkaitan

TEMUJANJI UNTUK PEMERIKSAAN RADIOLOGI

Temujanji pemeriksaan radiologi adalah satu proses di mana anda akan diberikan tarikh dan masa sebelum sesuatu pemeriksaan radiologi dilakukan agar setiap pemeriksaan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan teratur dengan mengisi dan menyerahkan Borang Permohonan Radiologi ke Jabatan Pengimejan Diagnostik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,580

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia