A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kesan Sampingan Rawatan
  8. /
  9. Radioterapi Otak: Kesan Sampingan...

Radioterapi Otak: Kesan Sampingan & Jagaan

Radioterapi otak mungkin diberi ke seluruh atau sebahagian otak bergantung kepada jumlah tisu otak yang memerlukan rawatan radiasi.

Radioterapi otak mungkin diberi ke seluruh atau sebahagian otak bergantung kepada jumlah tisu otak yang memerlukan rawatan radiasi. Tisu normal yang mungkin berada dalam kawasan rawatan adalah otak, akar rambut dan kulit.

 

Apakah Kesan-Kesan Sampingan Awal?

Kesan sampingan awal ialah perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Reaksi menjadi lebih teruk jika banyak tisu normal berada di dalam kawasan rawatan dan jika jumlah dos radiasi kepada tisu normal adalah lebih tinggi.

Beberapa kesan awal radioterapi otak yang mungkin berlaku dipaparkan dalam gambar rajah grafik.

 

Kelesuan

Seorang pesakit yang menerima radioterapi seluruh otak mungkin merasa amat letih, kurang tenaga untuk melakukan sebarang aktiviti dan hendak berehat kebanyakan masa. Untuk penerangan selanjutnya tentang kelesuan dan jagaan, sila rujuk kepada Kesan Sampingan Radioterapi/ Kesan Tidak Spesifik dan Spesifik / Kelesuan.

Sakit Kepala Dan Loya

Tisu otak menjadi bengkak apabila didedah kepada radiasi. Kebengkakan tisu (edema) ini boleh menaikkan tekanan dalam tengkorak dan menghasilkan simptom sakit kepala dan / atau merasa tidak sihat (loya). Reaksi ini mungkin berlaku selepas 1 hingga 2 minggu rawatan radiasi. Simptom ini boleh dikawal dengan ubat yang dipreskripsikan untuk mengurangkan kebengkakan tisu otak.

Reaksi Kulit

Kulit mungkin kelihatan gelap, gatal dan kering selepas 2 minggu rawatan radiasi. Sentiasa lindungi kulit kepala dengan memakai topi yang diperbuat daripada kain lembut atau menutup kepala dengan skaf. Untuk penerangan terperinci berkaitan jagaan kulit sila rujuk kepada Radioterapi: Reaksi Kulit & Jagaan.

Keguguran Rambut

Akar rambut sensitif kepada radiasi. Rambut mungkin mula gugur selepas 2 hingga 3 minggu rawatan radiasi. Reaksi ini boleh bersifat sementara atau kekal bergantung kepada jumlah kerosakan radiasi di akar rambut.

Jika sebahagian otak menerima radiasi, hanya rambut di kawasan rawatan akan gugur manakala semua rambut akan gugur untuk rawatan ke seluruh otak. Bagaimana pun, rambut tidak gugur serentak tetapi gugur sedikit demi sedikit di bahagian kepala yang berlainan.

Satu cara untuk menjadikan kesan ini kurang ketara ialah dengan menggunting rambut sangat pendek atau mencukur semua rambut sebelum prosedur perancangan dan rawatan bermula. Untuk keguguran rambut sementara, rambut baru mungkin tumbuh semula dalam masa 3 hingga 6 bulan selepas rawatan tamat. Warna dan ciri rambut baru mungkin berbeza daripada yang asal.

Jagaan Rambut Sebelum Keguguran

  • Guna berus atau sikat rambut yang lembut.
  • Bersih dan cuci rambut perlahan-lahan dengan air suam dan syampu bayi pada selang hari.
  • Kering rambut menggunakan kipas atau tuala lembut dengan perlahan-lahan.
  • Jangan guna pengering rambut.
  • Jangan guna pewarna, gel, krim atau penyembur rambut.
  • Jangan keritingkan atau meluruskan rambut.
  • Jangan guna pin sanggul, sepit atau penggulung rambut yang mungkin mencederakan kulit kepala.

Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?

Kesan sampingan lewat merupakan reaksi yang mungkin berlaku beberapa bulan atau bertahun selepas rawatan radiasi berhenti. Kesan lewat radioterapi otak yang mungkin berlaku ialah pengurangan penghasilan hormon, keguguran rambut kekal dan sindrom somnolence.

Jika kelenjar hormon berada dalam kawasan rawatan kemungkinan terdapat penurunan paras hormon yang mungkin memerlukan pengawasan tetap. Ubat boleh diberi untuk mengekalkan paras hormon normal. Sekiranya akar rambut termusnah sama sekali, kehilangan rambut akan kekal. Pilih dan pakai rambut palsu yang selesa dan tidak menyakitkan kulit kepala.

Jarang-jarang sekali seorang mungkin mengalami sindrom somnolence yang merupakan satu kumpulan simptom (grafik) berlaku 1 hingga 3 bulan selepas rawatan radiasi otak berhenti. Pesakitakan biasanya ingin berehat dan tidur sepanjang hari. Simptom mungkin bersifat sementara untuk beberapa minggu dan akan hilang sendiri.

Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, dengan mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal dalam kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan radiasi..

Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda dari pakar onkologi radiasi dan pegawai terapi sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.

Rujukan

  1. http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/treatmenttypes/radiation/understandingradiationtherapyaguideforpatientsandfamilies/understanding-radiation-therapy-radiation-to-certain-body-parts
  2. www.cancer.gov
  3. Gambar daripada www.ishrs.org
  4. Grafik daripada Cik Aisyah bt Zulkifli

 

Semakan Akhir : 26 Mei 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,099

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia