A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Dewasa ini perkembangan drastik teknologi tinggi dan urbanisasi yang pesat menuntut keperluan kehidupan manusia yang kritikal dari segi persediaan menghadapi pembaharuan dan juga asimilasi dalam tranformasi ke arah kehidupan yang lebih kompleks. Oleh yang demikian dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang pelbagai persoalan yang timbul bagi setiap manusia bagi memposisikan diri agar tidak ketinggalan dan menikmati pembangunan hasil daripada transformasi.

Dengan ini tuntutan transfomasi dalam diri secara khususnya dan negara amnya adalah sejajar dengan slogan transformasi yang dilaungkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia bukanlah sekadar tranformasi dalam aspek ekonomi melalui Model Ekonomi Baru (MBE) malah ianya mencakupi tranformasi dalam aspek kehidupan khusus kepada cara pemikiran, cara hidup dan pembangunan spiritual yang setara dengan pembangunan yang bersifat fizikal.

Lazimnya manusia memiliki sifat resah gelisah semulajadi dalam setiap aspek kehidupan dalam mengurus hidup yang bertumpu pada aspek berperibadi, berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara malah di peringkat globalisasi.“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”.[Al-Maarij:19].Dengan ini secara dalaman dan emosinya manusia itu berkecenderungan kepada sifat resah dan gelisah atau pun kebimbangan. Oleh yang demikan, jika sifat tersebut gagal dikawal dan diurus dengan baik ia akan memberi implikasi negatif yang mampu menghalang potensi seseorang itu untuk berkembang dengan baik mengikut keadaan semasa.

Justeru dalam suatu tempoh tertentu kebimbangan atau resah gelisah yang konsisten berpanjangan berisiko menganggu perkembangan diri seseorang maka ianya menjurus ke arah suatu maksud lain yang lebih dikenali sebagai “fobia”. Fobia juga dikategorikan sebagai penyakit mental dibawah kecelaruan kebimbangan. Fobia bukanlah kategori besar dalam penyakit mental tetapi ianya menarik dan mendapat perhatian.

Definisi

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke empat (2005), fobia boleh di definisikan sebagai ketakutan yang amat sangat kepada sesuatu. Fobia adalah sejenis penyakit mental yang berkaitan dengan psikologi. Fobia biasanya menzahirkan emosi takut yang melampau tanpa suatu sebab yang jelas dan tidak rasional. Lazimnya Fobia terbahagi kepada dua iaitu fobia umum (General /Social Phobia) dan fobia spesifik

  1. Fobia spesifik / khusus

    Fobia spesifik, sebelum ini disebut sebagai fobia biasa, ianya bermaksud ketakutan sesuatu objek atau sesuatu keadaan. Ramai orang mengalami ketakutan spesifik yang tidak rasional dan begitu ketara terhadap objek-objek tertentu atau keadaan. Beberapa contoh yang biasa adalah seperti ketakutan kepada haiwan (seperti anjing, ular,serangga, ulat, biawak dan lain-lain), situasi (memandu motor, kereta atau menaiki kenderaan awam, memandu melintas jambatan tinggi dan terowong serta tempat-tempat tertutup, gelap, menaiki eskalator, menaiki lif), persekitaran semula jadi (ketakutan pada bunyi guruh dan petir, tempat yang tinggidan air), suntikan dan kecederaan yang melibatkan pendarahan (ketakutan mengambil ujian dan dan jarum suntikan) dan lain-lain fobia spesifik (takut jatuh, bimbangkan suara yang kuat dan takut pada orang yang memakai kostum seperti badut). Ketakutan ini disertai dengan tindak balas fisiologi yang tinggi apabila individu berdepan dengan rangsangan yang menakutkan. Ketakutan dan tindak balas yang kurang menyenangkan membangkitkan kecenderungan yang kuat bagi melepaskan diri ataupun menjauhkan diri daripada suasana yang dianggap mengerikan itu. Fobia khusus selalunya bermula ketika zaman kanak-kanak. Walaubagaimanapun, ada kanak-kanak yang berjaya mengatasinya(Merkelbach et al., 1996).

  2. Fobia sosial

    Individu yang mengalami fobia sosial biasanya mempunyai ketakutan yang tinggi pada suasana sosial yang menyebabkan dia menjauhi orang ramai ataupun bersama dengan mereka dengan keadaan tertekan. Kecelaruan yangtimbul ini akibat perasaan melampau bahawa orang ramai akan menilainya secara negatif. Oleh itu individu itu individu tersebut akan memiliki perasaan sentiasa takut melakukan sesuatu perdebatan yang mungkin memalukannya. Dia juga merasa ada beribu-ribu mata memberikan tumpuan kepadanya. Dia selalu sensitif pada perawakan diri dan cara berinteraksi dengan orang lain dan selalu bimbang orang lain memberi penilaian negatif pada dirinya (Woody,1996). Individu yang mempunyai fobia sosial selalu memberi alasan menolak jemputan sosial. Fobia sosial boleh bermula daripada zaman kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami fobia sosial dilaporkan sebagai seorang yang pemalu (Steamberrger et al., 1995). Keceleraruan ini selalunya dihadapi oleh wanita berbanding lelaki adalah disebabkan tekanan sosial atau budaya yang kuat dikalangan wanita muda bagi memuaskan hati orang lain.

Penyebab / Punca

Faktor tingkah laku

  1. Pengalaman yang dipelajari akibat rangsangan lepas. Komponen ketakutan fobia diperolehi akibat pembelajaran dan pengalaman lepas yang menakutkan. Ini bermakna objek-objek persekitaran yang biasa dapat membangkitkan perasaan takut jika digabungkan dengan rangsangan yang tidak disukai. Seorang kanak-kanak yang takut pada salakan anjing boleh mengalami fobia pada anjing. Bukti-bukti menunjukkan kes fobia adalah membabitkan pengalaman awal yang tidak disukai dengan objek yang mendatang ketakutan.
  2. Kurangnya peluang bagi menghilangkan ketakutan juga menyebabkan kebimbangan akan berkekalan. Individu yang mengalami fobia menaiki tangga elektrik bergerak belajar menjauhi kebimbangan dengan mengambil alternatif menaiki tangga. Menjauhi rangsangan yang mendatangkan fobia walaupun mengurangkan kebimbangan sebenarnya memperkukuhkan secara negatif tingkah laku mengelak itu. Kos yang terpaksa ditanggung akibat menjauhi rangsangan fobia itu adalah individu itu tidak berpeluang menghilangkan kebimbangan melalui pendedahan secara berterusan pada rangsangan fobia yang tidak mendatangkan kesan yang tidak menyenangkan.

Faktor persekitaran & sosial

  1. Peristiwa traumatik. Contohnya suasana di medan peperangan ataupun keadaan persekitaran semasa seseorang itu dirogol atau dirompak. Pendedahan yang berterusan mengaktifkan tindakbalas termasuk ingatan atau imej mimpi berkaitan trauma, ataupun melawat tempat kejadian trauma. Beberapa kajian menunjukkan subjek yang mengalami kecelaruan tekanan pascatraumatik berkaitan peperangan menunjukkan tindak balas yang lebih besar apabila didedahkan kepada rakaman audio & visual yang memaparkan suasana peperangan.
  2. Pemerhatian pada perasaan takut orang lain. Ahli teori pembelajaran mendapati, pemerhatian berperanan menimbulkan ketakutan. Memerhatikan dan menerima maklumat negative sama ada melalui pendengaran ataupun pembacaan berkaitan sesuatu rangsangan yang menakutkan juga boleh menimbulkan fobia.
  3. Tuntutan baru yang mencabar dalam suasana yang baru. Menurut perspektif mazhab tingkahlaku, kebimbangan umum adalah hasil dari generalisasi rangsangan. Individu yang mengambil berat berkaitan kehidupan akan selalu berwaspada pada perubahan yang berlaku dalam hidupnya. Kebimbangan akan dihubungkan dengan kebanyakkkan persekitaran sosial dan suasana yang dialami oleh seseorang. Sesetengah ahli teori pembelajaran menganggap serangan panic muncul adalah akibat lintasan minda pada persekitaran sosial yang traumatik.
  4. Kekurangan sokongan sosial. Wood dan Rachman (1994) mencadangkan satu pandangan bagi memahami kebimbangan. Mereka berpendapat, individu yang mengalami kebimbangan umum melihat dunia sebagai suatu tempat yang mengancam keselamatannya dan melihat tempat yang menjamin keselamatan adalah terhad. Perasaan hilang sumber menjamin keselamatannya seperti pasangan yang sentiasa membantu, meningkatkan lagi kebimbangan dan mengundang perasaan bagi mencari sumber lain yang menjamin keselamatannya. Menjumpai sumber baru yang dapat menjamin keselamatannya, dapat menghilangkan kebimbangan buat sementara waktu sahaja.
  5. Faktor budaya yang mendorong kepada sosialisasi pasif atau peranan terlalu bergantung kepada orang lain. Sesetengah pengkaji mendapati, manusia boleh secara genetic bersedia memperoleh respons traumatik padarangsangan-rangsangan tertentu (McNally 1987). Dengan alasan ini, penjelasan ini dikenali sebagai pelaziman yang tersedia. Menurut pelaziman ini, manusia sejak daripada evolusi lagi secara genetik cenderung memperolehi ketakutan pada binatang seperti ular, ketinggian, ruang tertutup ataupun orang asing. Manusia yang tidak memiliki ketakutan ini secara genetik dan tidak bersedia memperoleh ketakutan ini tidak dapat meneruskan kelangsungan hidupnya.

Oleh itu, manusia boleh mewarisi fobia yang mempunyai nilai sebagai penyambung hayat pada masa lampau walaupun ia tidak lagi bernilai pada zaman sekarang. Apabila seseorang individu itu terasing dalam masyarakatyang ramai ahlinya bertindak balas secara negatif pada binatang yang kurang menyenangkan ini, maka secara kognitif dan budayanya dia bersedia memperoleh ketakutan tersebut. Kajian membuktikan kecelaruan mental selalu berlaku dalam kelompok keluarga yang pernah mengalami gangguan seperti ini. Melalui pembelajaran awal sejak kecil juga, kanak-kanak perempuan sudah biasa dengan norma masyarakat supaya berkelakuan mengikut peranan jantina yang pasif mendorongnya terlalu bergantung pada orang lain dan akan menyebabkan dia mengalami kebimbangan. Keadaan ini disokong melalui pemerhatiannya pada rakan-rakan sebayadengannya dan ini akan mengekalkan lagi kebimbangannya.

Faktor kognitif dan emosi

  1. Konflik psikologi yang tidak tidak selesai. Menurut perspektif psikodinamik, kecelaruan kebimbangan dilihat sebagai neurosis. Kebimbangan yang dialami dalam neurosis membayangkan satu perasaan yang tidak dapat diterima oleh minda sedar serta perasaan takut pada apa yang akan terjadi. Perasaan bimbang mewakili petanda bahaya bahawa isyarat mengancam sedang menghampiri paras kewaspadaan bagi mengatasi isyarat yang mengancam ini, ego cuba mengalihkan ikatan isyarat bahaya tadi melalui mekanisme bela diri (self defence mechanism). Fobia berkembang melalui penggunaan mekanisme bela diri iaitu projeksi pengalihan.
  2. Sensitiviti ketakutan yang tinggi pada isyarat mengancam diri pesakit adalah ciri teras kecelaruan kebimbangan. Individu yang mengalami fobia akan melihat bahaya pada suasana yang orang lain melihatnya sebagai selamat. Sensitiviti ketakutan yang tinggi pada ancaman selalunya menyebabkan persepsi pada bahaya luaran diperbesar-besarkan. Walaupun begitu, system amaran dalaman badan yang sensitif pada sebarang isyarat bahaya berfaedah untuk manusia bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.
  3. Penghargaan kendiri yang rendah. Tahap penghargaan kendiri yang rendah bagi menhadapan dengan ancaman selalunya meningkatkan lagi kebimbangan. Apabila individu merasa mampu melaksanakan sesuatu tugas, ia kurang merasa bimbang ataupun takut untuk melakukannya. Sementara itu, jika individu gagal menilai dengan sempurna, dia mungkin akan gagal mencari sumber personal yang dapat digunakan bagi mengatasi suasana tekanan.
  4. Pemikiran yang tidak rasional menjadi penyebab kepada kecelaruan jenis ini. Pesakit sebagai contoh mungkin akan mempunyai tanggapan bahawa apa yang orang lain akan fikirkan jika dia mengalami serangan panik secara tiba-tiba.
  5. Membuatkan jangkaan yang melampau pada ketakutan. Individu yang takutkan ular mungkin akan membayangkan pengalaman yang sangat menakutkan apabila berhadapan dengan ular, akan tetapi akhirnya mendapati ia tidaklah seteruk mana seperti yang dijangkakan.

Gejala/Simptom

Gejala-gejala fobia dilihat dari 3 aspek utama iaitu:

  1. Aspek biologi atau fisiologi, seperti peningkatan denyut nadi dan tekanan darah, tarikan nafas menjadi pendek dan cepat, berpeluh dingin, termasuk di telapak tangan, nafsu makan hilang, mual atau muntah, sering buang air kecil, sakit kepala, tidak dapat tidur, mengeluh dan gangguan pencernaan.
  2. Aspek intelektual atau kognitif seperti tidak mampu memberi tumpuan, penurunan perhatian dan keinginan, tidak bereaksi pada rangsangan, penurunan produktiviti, pelupa, orientasi lebih kepada masa lampau daripada masa kini atau masa hadapan.
  3. Aspek emosional dan tingkahlaku seperti penarikan diri, tertekan, mudah tersinggung, mudah menangis dan mudah marah.

Kesan/Komplikasi

Terdapat beberapa kesan keatas individu-indidu yang mengalami fobia iaitu seperti:

  1. Dalam jangka panjang mampu mempengaruhi personaliti seseorang itu menjadi introvert (anti sosial) dan kurang melakukan aktiviti yang difikirkan adalah berbahaya dan menyebabkan rasa takut yang boleh menganggu kehidupan hariannya. Menarik diri dari aktiviti sosial yang pada pandangan orang lain aktiviti tersebut tidak membahayakan seperti bersukan, dan menyertai aktiviti ekspedisi mendaki gunung.
  2. Sifat kebergantungan dan kurang berdikari yang sentiasa memharapkan ada individu lain yang membantunya jika terpaksa menghadapi situasi yang dianggap boleh memyebabkan dirinya kelihatan negatif dihadapan orang lain contohnya mengelak untuk diberi tugasan membaca Rukun Negara di dalam sesuatu perhimpunan yang melibatkan orang ramai. Tingkahlaku pergantungan berlebihan ini kerap berlaku dikalangan kanak-kanak berumur10 tahun ke bawah. Namun ianya mungkin berlarutan hingga remaja. Pada suatu ketika orang yang diharapkan tiada, individu ini akan merasa cemas, takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang dilakukannya.
  3. Berisiko untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah iaitu akan mengambil dadah secara berlebihan untuk menutup kelemahan diri yang disangka akan mengundang persepsi negatif dari orang lain lain contohnya untukmengelakkan rasa gementar dalam mengadakankan suatu persembahan secara solo atau bersosial dengan orang ramai bagi mengelakkan rasa kendiri yang rendah dan stress apabila terpaksa menghadapi situasi tersebut.
  4. Dari segi biologi dan fisiologinya imdividu yang mengalami fobia yang melampau berisiko mengidap penyakit darah tinggi, strok dan kerap alami ketegangan otot serta kerap menghidapi migrain. Justeru ianya mampu menganggu tahap kesihatan seseorang individu.
  5. Membataskan perkembangan bakat dan potensi insan untuk menjadi lebih berani untuk menghadapi sebarang konflik dan cabaran dalam kehidupan.

Rawatan

Fobia adalah masalah psikologi yang boleh dirawat dengan beberapa teknik atau terapi yang boleh laksanakan oleh Pakar Psikiatrik, Ahli Psikologi Klinikal, Pegawai Psikologi dan Kaunselor yang bertauliah dan terlatih. Beberapa terapi dan teknik yang didapati berkesan untuk digunakan adalah melalui teknik seperti Terapi Tingkahlaku Kognitif (CBT), Terapi pendedahan (Desensitization), perkhidmatan kaunseling melalui beberapa pendekatan seperti Terapi Realiti, Hipnoterapi dan juga Teknik Terapi Rasional Emotif. Terapi adalah pilihan utama, namun terdapat ubat-ubatan seperti anti anxieti yang dapat mengurangkan fobia. Tetapi perlu diingat ubat ini hanya diberi kepada yang sangat memerlukan dan memerlukan pemantauan oleh doktor perubatan psikiatrik kerana ia boleh menyebabkan ketagihan.

Pencegahan

Terdapat beberapa cara bagi mengelak serta mencegah fobia yang melampau iaitu seperi:

  1. Elakkan pemakanan yang menyebabkan gemuruh seperti kafien, kopi, coke dan lain-lain.
  2. Mengamalkan cara pemikiran yang positif. Pemikiran positif adalah kebolehan seseorang individu itu melihat situasi persekitarannya dari sudut yang positif walaupun nampaknya negatif.
  3. Sentiasa bersedia menghadapi keadaan yang mungkin akan mewujudkan rasa cemas. Cubalah menyedari dan berwaspada pada situasi serta orang-orang yang berpotensi menimbulkan saat kecemasan.
  4. Teknik pernafasan yang teratur iaitu tarik nafas dalam-dalam, tahan, kawal nafas dan fokuskan fikiran pada proses menarik dan mengeluarkan nafas. Bayangkan bahawa seolah-olah sedang mengatasi rasa cemas dengan helaan nafas yang panjang.
  5. Ketawa dan bersukan. Tiada yang membantah apabila dikatakan banyak ketawa itu menyihatkan. Dengan cara ini dapat mengelakkan emosi negatif. Bersukan dalam masa 20 ke 30 minit turut mampu menghilangkan rasa cemas.
  6. Tidur yang cukup. Sekiranya kerap letih cuba tidur untuk dapatkan rehat.
  7. Usir kebimbangan yang berlebihan, jika berasa cemas untuk bercakap dikhalayak ramai, cuba lakukan aktiviti-aktiviti bersama keluarga bagi mengembalikan ketenangan
  8. Tuliskan dan coretkan rasa ketakutan diatas kertas. Cara ini dapat mengurangkan rasa emosi ketakutan yang berlebihan dan rasa sesak didada.
  9. Sentiasa berdoa agar dijauhkan dari rasa gementar dan ketakutan yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Rujukan

  1. Anxiety & Panic Disorders Health Center diambil pada 17, April 2014 from http://webmd.com/abxiety-panic/specific-phobias
  2. Apa itu Fobia? Jenis ? Boleh dirawat? (2010) diambil pada 17 April 2014 from http://geniuskidscentre.blogspot.com/2010/02/apa-itu-fobia-jenis-boleh-dirawat.html
  3. Definisi tentang Phobia (‘Ketakutan yang dimiliki oleh seseorang”) (2012) diambil pada 17 April 2014 from http://mochamadsubaru19.blogspot.com/2012/06/definisi-phobia-ketakutan-yang.html
  4. Dr. Salmi (2008, April 18). Fahami Psikologi & Psikiatri diambil pada April 17, 2014, from http://drsalmi.blogspot.com/2008/04/phobia-fobia-fobia-boleh-dibahagikan.html
  5. Hidayatul Akmal Ahmad (2014, April 16). Fobia boleh dirawat from http://www.hmetro.com.my/articles/Fobiapenyakitbolehdirawat/MA/Article
  6. Sharifudin Ismail, Azizi Yahya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad (2005) Punca dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Malaysia: PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.
  7. Specific phobia diambil pada 17 April 2014 from http://en.m,wikipedia.org/wiki/Specific_phobia
  8. Terapi Phobia. Bebaskan Diri Anda dari Phobia Yang Menganggu (2012) diambil pada April 17, 2014 from http://terapiphobia.wordpress.com/2012/07/10/definisi-phobia/

 

Semakan Akhir : 9 Januari 2017
Penulis : En. Hairulnizam Bin Abdullah
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

Ijazah Vs Surat Nikah

Mungkin ramai yang tidak menyedari kahwin awal mampu memelihara maruah wanita serta keluarganya dari fitnah dan zina.

Keterampilan Diri

Apakah maksud keterampilan diri? Keterampilan diri adalah cara kita melihat

Cinta Dan Remaja

Bukalah mata, bangkitkanlah kesedaran jiwa.
Cinta itu mungkin, sedang mati itu pasti menjemput kita.
Allah tidak bertanya kita berjaya berkahwin dengan orang kita cinta atau tidak, tetapi Allah akan bertanya bahawa umur kita, di mana telah kita usahakan atasnya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,402

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia