A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bolehkah Kanak-Kanak Memakai Gigi Palsu?

Ya, kanak-kanak boleh memakai gigi palsu

Antara sebab kehilangan gigi di kalangan kanak-kanak

Gigi susu kanak-kanak akan tertanggal melalui proses semulajadi. Gigi susu mulai longgar dan tanggal untuk diganti dengan gigi kekal

‘Hypodontia’ adalah keadaan di mana gigi susu atau kekal tidak tumbuh disebabkan kegagalan pembentukan gigi-gigi tersebut di dalam gusi

Kanak-kanak juga boleh kehilangan gigi disebabkan kecederaan ketika terjatuh, kemalangan jalanraya atau kecederaan ketika bersukan

Mereka juga boleh kehilangan gigi kerana kerosakan gigi yang menyebabkan jangkitan dan gigi tersebut terpaksa dicabut

057
Kehilangan gigi akibat kecederaan sukan

Apakah gigi palsu?

Gigi palsu adalah gigi buatan untuk mengganti gigi yang tiada dan tisu persekitarannya.

Gigi palsu secara amnya terbahagi kepada gigi palsu separa dan gigi palsu penuh.

Kebiasaannya kanak-kanak yang kehilangan gigi akan diberi gigi palsu separa untuk mengisi ruang gigi yang hilang.

Gigi palsu separa terdiri daripada gigi plastik yang dilekatkan pada tapak plastik berwarna merah jambu atau sewarna gusi dan dilengkapi klip pendakap besi.

 Gigi palsu separa boleh dipasang ke dalam mulut kanak-kanak sepertimana  orang dewasa.

042
Gigi palsu separa dipakai oleh kanak-kanak

Tujuan

  • Memperbaiki rupa dan fungsi dengan menggantikan gigi yang hilang
  • Mengekalkan ruang antara gigi bersebelahan yang sedang tumbuh ke dalam mulut
  • Menjadi pengganti gigi yang hilang,sementara menunggu tulang rahang kanak-kanak  matang sepenuhnya pada umur 18 tahun ke atas bagi pemasangan jambatan gigi kekal atau implan

Bahan-bahan

Gigi palsu dan tapak diperbuat dari plastik (akrilik)
Klip pendakap gigi besi diperbuat daripada wayar keluli nirkarat

Prosedur

  1. Acuan gigi diambil menggunakan bahan acuan dipanggil alginat. Alginat diperbuat daripada rumpai laut yang juga digunakan sebagai pemekat makanan
  2. Rekod gigitan kanak-kanak diambil dengan  menggigit sekeping  lilin lembut
  3. Bentuk dan pilihan warna gigi akan dipilih mengikut kesesuaian kanak-kanak tersebut
  4. Acuan gigi akan dihantar ke makmal pergigian
  5. Gigi palsu akan dihasilkan di makmal pergigian di dalam masa satu minggu

Perkara yang perlu diambil perhatian

  • Pada mulanya kanak-kanak akan merasa tidak selesa dengan gigi palsu yang baru. Ini adalah normal dan kanak-kanak akan belajar untuk membiasakan diri
  • Memasang dan menanggalkan gigi palsu memerlukan sedikit latihan
  • Sekiranya gigi palsu memberi tekanan kepada sebahagian kawasan gusi ianya boleh menyebabkan kesakitan.  Doktor Pergigian akan membuat sedikit pengubahsuaian gigi palsu tersebut untuk menjadikan kanak-kanak lebih selesa
  • Gigi palsu sepatutnya mudah dipasang di dalam mulut. Elakkan menggigit gigi palsu ketika memasangnya kerana ia boleh membengkokkan klip pendakap atau mematahkan tapak akrilik

Penjagaan gigi palsu

  • Bersihkan gigi palsu di dalam bekas yang berisi air atau sinki berisi air atau dialas dengan tuala yang dilipat untuk mengelakkan gigi palsu terpatah sekiranya terjatuh
  • Elakkan menggunakan ubat gigi kerana ianya mengandungi bahan penghakis yang boleh mencalarkan permukaan gigi palsu tersebut
  • Doktor Pergigian akan mencadangkan pembersih gigi palsu yang bersesuaian
  • Bersihkan gigi palsu setiap hari selepas setiap kali makan, menggunakan berus gigi lembut untuk menanggalkan cebisan makanan dan plak. Ini akan mengelakkan gigi palsu daripada berubah warna
  • Bilas dengan air yang mengalir
  • Gigi palsu seharusnya dipakai setiap masa kecuali ketika pembersihannya. Kegagalan pemakaiannya akan menyebabkan gigi bersebelahan ruang kosong  bergerak perlahan-lahan menutup ruang tersebut dan menyebabkan pemakaian gigi palsu menjadi sulit

Pengubahsuaian

  • Pengubahsuaian gigi palsu adalah perlu berikutan  perjalanan masa untuk pertumbuhan gigi kekal yang baru boleh mengubah padanan gigi palsu tersebut
  • Doktor Pergigian akan mengetatkan klip penyangkut yang longgar atau mengambil acuan baru bila perlu

Rujukan

  1. www.mouthhealthy.org/en/az-topics/d/dentures-partial
  2. www.healthcentre.org.uk/dentistry/dentures-children.html
  3. Kidshealth.org/kid/grownup/getting_older/dentures.html
  4. www.toothclub.gov.hk/en/pnc/en_pnc_2_1_7_5.html

 

Semakan Akhir : 3 Jun 2014
Penulis : Dr. Mimi Syazleen bt. Abdul Rahman
Akreditor : Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus

 

Artikel Berkaitan

Restorasi Gigi Yang Telah Dirawat Akar

Gigi yang telah menjalani rawatan kanal akar mengalami kehilangan sebahagian struktur gigi dan perubahan dalam karakter fizikalnya seperti pengurangan modulus kenyalnya, yang kerapkali mengakibatkan peningkatan kerentanannya terhadap fraktur, berbanding dengan gigi vital yang tidak mempunyai sebarang restorasi.

Bagaimana Menjaga Prostesis Korona & Jambatan Anda

Korona adalah sejenis restorasi/prostesis pergigian yang menyarung atau mengelilingi gigi atau implan pergigian; menyerupai saiz dan bentuk asal gigi atau direka bentuk mengikut saiz, bentuk dan warna yang dikehendaki/dipilih.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,100

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia