A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Peringkat Kemahiran Pendengaran

Peringkat Kemahiran Pendengaran

Kanak-kanak normal dan bermasalah pendengaran akan melalui peringkat kemahiran pendengaran yang sama.

Pendengaran merupakan salah satu kaedah pembelajaran di awal usia (Zigmond & Cicci, 1968). Kanak-kanak normal dan kanak-kanak yang bermasalah pendengaran akan melalui peringkat kemahiran pendengaran yang sama.

Walau bagaimanapun, oleh kanak-kanak yang bermasalah pendengaran perlu melalui proses pemasangan alat bantu dengar yang optimum serta pemakaian yang konsisten sebelum mereka mula mempelajari kemahiran untuk mendengar. Input auditori dan kemahiran mendengar yang baik sangat penting bagi kanak-kanak semasa proses pemerolehan bahasa.

Oleh itu, memahami perkembangan berperingkat kemahiran pendengaran adalah sangat penting untuk membolehkan ibu bapa dan guru menentukan tahap penguasaan semasa kanak-kanak terlibat. Ia juga penting untuk membantu merancang langkah lanjutan menguasai peringkat kemahiran mendengar yang seterusnya.

Peringkat Satu : Pengesanan Bunyi

Peringkat kemahiran pertama adalah kemahiran pengesanan bunyi atau “detection”. Ia merupakan satu peringkat kemahiran di mana bayi atau kanak-kanak mampu menentukan kehadiran atau ketakhadiran bunyi di persekitaran mereka. Melalui kemahiran ini, kanak-kanak belajar untuk memberi perhatian atau tindakbalas kepada bunyi yang didengari.

Kemahiran pengesanan bunyi berlaku apabila kehadiran bunyi disedari secara spontan. Biasanya bayi atau kanak-kanak akan memberi tindakbalas dengan menunjukkan reaksi terkejut atau tersentak, mencelik atau mengerdip mata,memberhentikan aktiviti yang sedang dilakukan, senyap secara tiba-tiba, dan ada juga yang akan mula mengeluarkan bunyi-bunyian (vocalizing).

Kanak-kanak mencelikkan mata apabila mengesan kehadiran bunyi
Sumber:www.robinbest.com)

Peringkat Dua : Pembezaan Bunyi

Peringkat kemahiran kedua adalah kemahiran pembezaan bunyi atau “discrimination”. Kemahiran pembezaan adalah keupayaan seseorang bayi atau kanak-kanak untuk mengesan perbezaan antara 2 atau lebih, bunyi yang berbeza. Mereka belajar untuk menilai perbezaan antara bunyi dan memberi tindakbalas yang berbeza terhadap bunyi yang berlainan.

Pada awalnya, bayi dan kanak-kanak akan menunjukkan keupayaan untuk membezakan bunyi-bunyi suprasegmental terlebih dahulu iaitu membezakan kelantangan, tempo, kenyaringan dan intonasi bunyi pertuturan yang didengari (Hull, 2001). Contohnya, kanak-kanak akan menunjukkan reaksi yang berlainan pada suara ibunya berbanding suara orang lain. Kemahiran ini juga ditunjukkan apabila mereka berupaya untuk memberi reaksi yang berbeza pada nada pertuturan yang berbeza seperti gembira atau marah. Pada peringkat pembezaan juga bayi dan kanak-kanak mula mempelajari bahawa sesuatu objek, individu, dan situasi yang berbeza boleh diwakili dengan bunyi yang berlainan.

Kanak-kanak mencari arah datang bunyi dengan kemahiran pembezaan.
(Sumber:www.robinbest.com)

Peringkat Tiga : Pengenalpastian Bunyi

Peringkat ketiga adalah kemahiran pengenalpastian bunyi atau “identification”. Kemahiran ini memerlukan kanak-kanak untuk mengulang, menunjuk, mengambil, menulis atau melukis objek yang didengari. Ia memerlukan ingatan namun tidak memerlukan pemahaman kanak-kanak terhadap bunyi yang didengari. Contohnya,kanak-kanak boleh membezakan bunyi lembu “moo-o-o” dan bunyi kucing “meow” dengan mudah disebabkan salah satu bunyi tersebut adalah bunyi yang panjang manakala satu lagi bunyinya lebih pendek. Bagi kanak-kanak yang menunjukkan kemahiran pengenalpastian yang lebih baik mereka akan berupaya menunjuk gambar haiwan yang betul, sepadan dengan bunyi yang didengari.

Kanak-kanak menoleh secara spesifik dan mengenalpasti arah sumber bunyi dan objek yang didengari.
(Sumber:www.robinbest.com)

Peringkat Empat : Pemahaman Bunyi

Peringkat keempat dan terakhir dalam peringkat kemahiran mendengar adalah kemahiran pemahaman bunyi atau “comprehension”. Pemahaman terhadap isyarat bunyi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak samaada dari bunyi linguistik atau bukan linguistik di persekitaran mereka merupakan kemahiran yang paling rumit dalam perkembangan pendengaran. Ia merupakan keupayaan untuk memahami maksud pertuturan yang didengari dengan menjawab soalan, mengikut arahan atau mengambil bahagian di dalam perbualan. Keupayaan kanak-kanak untuk menunjukkan pemahaman mereka biasanya bergantung kepada pengetahuan mereka terhadap sesuatu bahasa tersebut (Erber, 1982).

Kanak-kanak pada peringkat pemahaman mula memahami pertuturan ringkas dalam rutin harian seperti “Jom”, “Bye-bye”, “Salam”. Mereka turut boleh memahami arahan mudah seperti “Bagi pada mama”, “Tolong tutup pintu” dan “Ambil kasut adik”. Manakala bagi kanak-kanak yang lebih besar pula, mereka berupaya untuk mengikut 2 arahan seperti “Tanggal kasut dan tutup pintu”.

Kanak-kanak pada awalnya akan menunjukkan reaksi melalui tingkahlaku untuk menunjukkan pemahaman mereka terhadap rangsangan bunyi pertuturan yang didengari. Contohnya, apabila si ibu berkata “Jom balik”dengan nada yang tinggi, kanak-kanak tersebut akan berhenti dari melakukan aktiviti, menoleh pada ibu dan bertindak menghampiri atau mengekori ibunya. Kanak-kanak tersebut menunjuk kemahiran pengesanan apabila beliau mengesan kehadiran bunyi dan berhenti dari melakukan aktiviti.

Pada peringkat pembezaan, kanak-kanak ini dapat membezakan nada berlainan dari ibu berbanding perbualannya sebelum ini dan kemahiran pengenalpastiannya menyebabkan kanak-kanak itu menoleh atau memandang ke arah ibunya sebagai sumber bunyi. Akhirnya kanak-kanak tersebut menunjukkan kemahiran pemahaman apabila beliau memahami pertuturan tersebut sebagai arahan untuk pulang dan beliau bertindak menghampiri ibunya.

Peringkat kemahiran mendengar bermula dengan kemahiran untuk mengesan kehadiran bunyi dan berakhir dengan kemahiran memahami bunyi pertuturan. Alat bantu dengar mampu membantu keupayaan pendengaran kanak-kanak namun kemahiran untuk mendengar adalah satu perilaku yang mesti dipelajari (Hull, 2001).

Rujukan

  1. Erber, N.P. (1982). Auditory Training. Washington, DC: Alexander Graham Bell Association for the Deaf.
  2. Hull, R.H. (2001). Aural Rehabilitation: Serving Children and Adults (4thed.). Singular Publishing Group.
  3. Zigmond, N.K. & Cicci, R. (1968). Auditory Learning: Dimensions in Early Learning Series. Dimensions Publishing Company.
Semakan Akhir : 4 Ogos 2017
Penulis : Norfadillah bt. Nordin
Akreditor : Khadijah Azura bt. Salim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,272

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia