A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Emosi Individu Yang Kehilangan...

Emosi Individu Yang Kehilangan Pekerjaan

Pengenalan

Pernahkah anda terfikir sekiranya anda kehilangan pekerjaan? Semestinya kehilangan pekerjaan merupakan sesuatu yang tidak dijangka. Melainkan seseorang itu telah bersedia untuk berhenti kerja. Selain berniaga, bekerja makan gaji juga merupakan sumber rezeki. Tidak kiralah seseorang itu bekerja disektor awam mahupun swasta. Apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku seperti hilang pekerjaan akan menyebabkan berlakunya tekanan.

Seseorang yang mengalami perubahan yang mengejut iaitu hilang pekerjaan boleh menyebabkan individu tersebut hilang akal, diserang sakit jantung atau ia bertindak hingga merosakkan diri sendiri. Perubahan mengejut sangat membahayakan dan mempunyai tahap tekanan yang tinggi. Kita mengalami pelbagai tekanan kerana tidak sunyi daripada ujian hidup. Oleh yang demikian, kita harus bijak mencari strategi supaya dapat mengatasi tekanan dengan segera. Kebijaksanaan mengatasi tekanan dapat menghindarkan diri daripada terjejas mental dan fizikal.

Mengikut kajian Dr. Thomas Holmes dari University of Washington mengenai kesan fizikal dan mental terhadap kesan perubahan seseorang mengatakan:

“Empat daripada lima orang yang mengalami perubahan mendadak dalam hidup mereka dalam masa setahun, dijangka mendapat penyakit teruk, dalam masa dua tahun ke hadapan.” (Zuraidah Abdul Rahman, 1995)

Definisi Pekerjaan

Berdasarkan Tesaurus Bahasa Melayu (1994), pekerjaan bermaksud perbuatan, kewajipan, tugas. Manakala menurut Kamus Melayu Global (1997), pekerjaan adalah sesuatu yang dilakukan berterusan dari sehari ke sehari untuk keperluan hidup, usaha atau kegiatan untuk mendapatkan wang, pencarian.

Faktor Penyebab

Pemberhentian pekerja bermaksud penamatan kontrak perkhidmatan akibat keadaan berlebihan pekerja yang boleh timbul daripada beberapa sebab seperti penutupan syarikat, penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi, pengambilalihan syarikat, kegawatan ekonomi dan lain-lain.

Selain itu, faktor penyebab diberhentikan kerja juga adalah seperti masalah disiplin, kerap ponteng kerja, tidak mematuhi arahan, penganiayaan emosi dan sebagainya.

Sistem Sokongan Emosi

Jika seseorang berada dalam keadaan tertekan akibat kehilangan punca pendapatan, semestinya memerlukan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada orang yang bermakna dalam hidupnya. Ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara adalah individu yang mempunyai pertalian darah yang rapat. Perhubungan kasih sayang yang erat boleh memberi kekuatan jiwa kepada orang yang menghadapi tekanan misalnya, sokongan dan kesetiaan daripada suami dan isteri, kekasih, anak-anak atau sahabat karib.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dapat meringankan beban tekanan yang dipikul dengan cara berbincang, menjadikan mereka tempat mengadu hal, rela memberi bantuan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit. Setiap individu harus belajar membina sistem sokongan ini dan memupuk perhubungan tersebut dengan baik kerana sokongan mereka amat diperlukan ketika menghadapi masalah hidup.

Walau bagaimanapun, dalam membina sistem sokongan yang terdiri daripada rakan-rakan, kita haruslah berhati-hati memilih rakan yang boleh dipercayai. Ketika menghadapi tekanan, jauhkan diri daripada membina perhubungan yang merosakkan terutama dari segi pemilihan rakan. Rakan-rakan yang suka mengkritik, mencari salah dan yang mengongkong tidak akan membantu jika kita dalam ketegangan. Mereka akan menambahkan lagi tekanan yang sedia ada. Apabila menghadapi tekanan, elakkan diri daripada mencurahkan perasaan kepada mereka.

Bertafakur

Untuk bertafakur mencari ketenangan jiwa, seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi, fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup, melainkan sentiasa mengingati kuasa Tuhan, tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Dengan berbuat demikian, badan menggalakkan endorfin, iaitu sejenis cecair dalam badan dan otak, untuk memperbaiki kerosakan badan akibat tekanan. Cara ini boleh membantu untuk bebas daripada tekanan buat sementara waktu dan memberi peluang kepada tubuh badan untuk berehat (Zuraidah Abdul Rahman, 1995).

Ibadah Dan Proses Pembentukan Personaliti Yang Baik

Ibadat merupakan satu jalan ke arah kebahagiaan. Ibadat mempunyai hubungan yang rapat dengan beberapa aspek seperti akhlak, rumah tangga, ekonomi, politik dan semua aspek praktis dalam kehidupan seseorang. Seseorang yang menghadapi tekanan dalam hidup khususnya ketika berhadapan dengan masalah sangat memerlukan kekuatan dalaman dalam diri. Pegangan dan amalan kepada sesuatu agama boleh membantu individu berhadapan dengan tekanan. Melalui pengamalan agama yang baik dapat memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan Tuhan.

Sabar

Sabar bermakna ketabahan individu menempuh segala kesusahan. Dalam konteks agama, sabar bermakna menerima ujian Tuhan dalam perjuangan memperolehi keredhaan-Nya (Fariza Md Sham, Salasiah Hanin Hamjah & Mohd Jurairi Sharifudin, 2013).

Melalui sifat sabar, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sabar juga dapat membentuk peribadi seseorang untuk sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang berlaku keatasnya dengan menanamkan sifat positif dalam diri. Mempercayai bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya dan menganggap bahawa rezeki ada di mana-mana.

Kesimpulan

Hilang pekerjaan sangat memberi kesan emosi yang mendalam dalam diri individu itu. Ini kerana, semestinya dia perlu menyara diri dan kehidupannya melalui hasil pendapatan yang tetap. Namun demikian, kehilangan pekerjaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dijangka. Dalam menghadapi situasi tersebut, ketahanan emosi memainkan peranan yang penting untuk mengembalikan keyakinan seseorang dalam menghadapi tekanan yang dihadapinya.

Ringkasnya, apabila diberhentikan kerja, usah terlalu berasa kecewa dan putus asa. Sentiasa berfikiran positif, jadikan ia sebagai titik permulaan bagi memulakan kehidupan baru yang lebih baik. Rezeki ada dimana-mana, yang penting ialah seseorang itu haruslah sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik demi meneruskan kelangsungan hidup.

Rujukan

  1. Fariza Md Sham, Salasiah Hanim Hamjah & Mohd Jurairi Sharifudin. 2013. Personaliti dari Perspektif al-Ghazali. Selangor : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  2. Zuraidah binti Abdul Rahman. 1995. Kaunseling Dalam Pengurusan. Selangor: Times Subang.

Artikel Berkaitan

PEMERIKSAAN X-RAY BONE AGE

Pemeriksaan X-ray Bone Age adalah salah satu kajian yang dilakukan untuk mengkaji umur tulang bagi membantu doktor menganggar kematangan sistem rangka atau tulang kanak-kanak. Pemeriksaan ini biasanya dilakukan dengan mengambil X-ray disebelah kiri pergelangan tangan, tangan dan jari.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,657

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia