A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penyakit Biasa
  6. /
  7. Keadaan Kulit
  8. /
  9. Senile Purpura di kalangan...

Senile Purpura di kalangan Warga Emas

Saluran darah juga rapuh dan mudah terganggu, menyebabkan lebam yang dipanggil "Senile Purpura"

Pengenalan

  • Kulit sentiasa membaharui sel-selnya. Sel-sel baru yang terbentuk pada lapisan bawah kulit itu perlahan-lahan bergerak ke atas. Ketika sel baru timbul ke permukaan kulit, sel-sel kulit di atasnya akan mati dan dibuang setiap hari.
  • Dengan proses penuaan, proses pembaharuan sel juga menjadi perlahan. Lapisan “sel mati” kekal lebih lama di permukaan kulit menyebabkan kulit kelihatan kusam. Kulit ini juga akan berasa kasar dan kelihatan bersisik.
  • Kolagen yang merupakan struktur sokongan kulit dan keanjalan kulit menurun dengan peningkatan umur. Kulit menjadi kendur dan kedutan muncul.
  • Bagaimana kulit anda mengalami proses penuaan sepanjang hayat ini dipengaruhi oleh beberapa perkara termasuk pemakanan, pendedahan kepada matahari, gaya hidup, faktor-faktor genetik dan tabiat peribadi, contohnya merokok. Kegemukan juga merupakan salah satu faktor.
  • Kulit orang yang berumur adalah nipis dan mudah cedera. Saluran darah juga rapuh dan mudah terganggu, menyebabkan lebam yang dipanggil “Senile Purpura”.
  • “Senile purpura” biasanya kelihatan pada lengan, tangan dan bahagian bawah kaki. Ianya tidak menunjukkan tanda-tanda kekurangan vitamin atau gangguan pendarahan. Kulit wargaemas juga akan sembuh lebih perlahan selepas berlaku kecederaan.
  • Namun begitu, “Senile purpura” juga boleh disebabkan oleh penggunaan ubat pencair darah secara berlebihan, seperti aspirin dan steroid.
  • Ia diburukkan lagi oleh pelbagai keadaan lain, termasuk diabetes mellitus ( kencing manis) dan penyakit-penyakit vaskular.

Gejala dan tanda

  • “Senile purpura” atau lebam, merupakan tanda di kulit berwarna merah keunguan gelap yang pudar secara beransur-ansur, sering meninggalkan kesan berwarna kuning atau coklat. Ia mungkin hilang sepenuhnya atau kekal selama-lamanya.
  • Lebam itu muncul biasanya pada lengan dan bahagian atas tangan, sering kali tanpa apa-apa trauma atau kecederaan.

Komplikasi

  • Senile Purpura biasanya tidak berbahaya dan tidak mempunyai komplikasi yang serius
  • Walau bagaimanapun, anda perlulah menjalani pemeriksaan untuk memastikan tidak berlaku masalah seperti thrombocytopenia (kekurangan platelet), skurvi (kurang vitamin C) dan penyakit tisu penghubung (connective tissue).
  • Pesakit yang menggunakan ubat perlulah mendapatkan nasihat daripada doktor untuk menilai ubat-ubatan mereka.

Rawatan

  • Tiada rawatan khas untuk “senile purpura” melainkan jika ia disebabkan oleh ubat-ubatan tertentu, dan ianya perlu diubah.
  • Penjelasan dan kaunseling boleh menjadi rawatan yang terbaik untuk “senile purpura”.
  • Walaupun ia tidak semestinya akan mengurangkan kesan lebam, penjagaan kulit yang lebih rapi boleh meningkatkan keselesaan. Pelembapan yang berterusan boleh membantu individu untuk mengelakkan kulit kering, tegang dan lain-lain ketidak selesaan pada kulit.
  • Apabila menggunakan pelembap dan produk penjagaan kulit yang lain, pesakit dengan “senile purpura” harus berhati-hati kerana mereka mungkin secara tidak sengaja menyebabkan lebam yang baru timbul.

Pencegahan

  • Warga emas memerlukan penjagaan kulit yang khusus kerana kulit mereka lebih nipis dan kering. Perhatian mesti diambil untuk mencegah kulit daripada menjadi terlalu kering.
  • Elakkan mandi air panas dan kurangkan kekerapan mandi.
  • Elakkan penggunaan sabun atau gunakan sabun yang lembut.
  • Krim pelembap perlulah disapu pada kulit selepas mandi.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sanidah binti Md. Ali
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,195

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia