A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keperluan Kesihatan Mental Dalam Kalangan Ibu Bapa

Menjadi ibu bapa merupakan satu rahmat. Bukan semua individu berpeluang untuk menjadi ibu bapa. Tugas ibu bapa bukanlah satu tugas yang mudah. Menjadi ibu bapa melibatkan seseorang itu untuk mengambil satu peranan yang baru di dalam kehidupan. Ia adalah salah satu daripada perubahan hidup yang paling penting dihadapi oleh seorang dewasa.

Proses melahirkan anak merupakan satu peristiwa gembira, namun ia juga turut mendatangkan kebimbangan, cabaran dan stres. Ibu bapa perlu membuat persediaan untuk menghadapi perubahan serta cabaran dari segi mental dan emosi selepas kelahiran anak. Ini adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan kedua ibu bapa dan anak terjaga dengan baik.

Kenapa Kesihatan Mental Perlu bagi Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu perkembangan kesihatan anak-anak.Oleh itu, keperluan kesihatan mental ibu bapa perlu dipenuhi untuk membolehkan mereka berfungi sepenuhnya sebagai ibu bapa.

Sekiranya keperluan kesihatan mental ibu bapa tidak dipenuhi, ia akan mendatangkan kesan negatif bukan sahaja terhadap ibu-bapa, malahan terhadap anak-anak.Salah satu keperluan asas yang boleh terjejas adalah ikatan atau hubungan antara ibu bapa dan anak. Anak- anak perlu mempunyai ikatan yang baik dengan ibu-bapa mereka. Kurangnya ikatan terutama terhadap ibu serta pengalaman negatif pada awal usia boleh menjejaskan kesihatan sosial, emosi seta perkembangan anak-anak.

Fakta dan Statistik

Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ” Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif and mampu menyumbang kepada masyarakat”.

Oleh itu, keperluan kesihatan mental untuk ibu bapa adalah keperluan setiap ibu bapa yang perlu dipenuhi bagi membolehkan mereka berfungsi secara optimum dan menghdapai cabaran harian dalam membesarkan anak-anak.

Kajian menunjukkan bahawa beberapa faktor risiko seperti penggunaan dadah dan alkohol, keadaan kesihatan mental dan pendedahan kepada penderaan rumah tangga boleh mempengaruhi kemampuan ibu bapa untuk membantu perkembangan anak-anak.Ia juga boleh menyumbang kepada masalah tingkah laku di kalangan anak-anak seawal usia 3 tahun. Mereka didapati mempunyai risiko antara 2 hingga 3 kali lebih tinggi untuk masalah seperti:

  • Perlakuan aggresif
  • Gemuruh dan kemurungan
  • Hiperaktif

Nicholson, Biebel, Katz-Levy & Williams ( 2004) mendapati bahawa lebih dari 2/3 daripada orang dewasa yang mengalami penyakit mental adalah tediri daripada ibu bapa(3).Anak kepada pesakit mental adalah dikaitkan dengan masalah seperti berikut:

  • Kadar penyakit mental yang lebih tinggi (30- 50 % anak kepada pesakit mental mempunyai diagnosis psikiatri, berbanding 20 % di kalangan populasi ) (Hammen,2003)
  • Kadar yang lebih tinggi dalam kesukaran mengendalikan emosi,masalah dalam perhubungan dan perkembangan yang terjejas.
  • Teori kemurungan oleh Brown, Harris & Peto (1973),,menyatakan bahawa wanita yang mempunyai lebih dari 3 anak berusia kurang dari 14 tahun serta fakto risiko yang lain seperti kematian ibu pada waktu kecil, tidak bekerja serta mempunyai pasangan yang tidak memberikan sokongan yang baik adalah beisiko untuk mendapat kemurungan.

Tanda dan Gejala

Sekiranya keperluan kesihatan mental yang tidak dipenuhi, gejala-gejala seperti berikut boleh berlaku:

  • Fisiologikal-boleh di manifestasikan dalam bentuk sakit kepala,sakit otot serta memburukkan keadaan penyakit fizikal yang sedia ada.
  • Tingkah laku-boleh dimanifestasikan sebagai cepat marah,agresif dan penurunan prestasi kerja.
  • Psikologi-boleh dimanisfestasikan sebagai kemurungan, gemuruh dan ketidak stabilan emosi.

Komplikasi

 

Rawatan

Penyakit mental boleh diubati melalui pelbagai cara iaitu melalui rawatan ubatan, kaunselling, terapi cara kerja, rehabilatasi serta kombinasi rawatan tersebut.

Apa yang perlu ibu bapa lakukan

Terdapat beberapa cara yang dapat membantu dalam menjalankan peranan sebagai ibu-bapa:

  • Perlu bersedia sepenuhnya untuk peranan baru sebagai ibu bapa.Senantiasa berfikiran positif.Ini kerana kebimbangan dalam menjalankan tugas ibu bapa ini akan mempengaruhi bagaimana anda menangani masalah anak-anak.Anak –anak perlu merasai kesabaran serta keyakinan ibu bapa.Untuk itu, ibu bapa perlu muhasabah diri dan mengembangkan kebolehan dalam mengendali diri sendiri.
  • Dapatkan bahan bacaan yang berkaitan mengenai keibu-bapaan atau bagaimana mengendalikan anak yang baru lahir.
  • Belajar tentang perkembanga normal anak-anak supaya anda mempunyai pandangan yang realistik dalam perkembangan/tumbesaran anak-anak.
  • Jangan tumpukan kepada hal yang negatif.Cari perkara positif yang dilakukan oleh anda atau anak anda untuk dihargai setiap hari.
  • Menghadiri kursus atau bengkel keibu-bapaan.
  • Belajar dari pengalaman lalu.Fikirkan tentang apa yang anda lalui sewaktu kecil serta apa yang anda harap ibu bapa anda dapat perbaiki sewaktu membesarkan anda
  • Tingkatkan kemahiran serta amalan yang dapat membantu interaksi dengan anak-anak seperti bermain muzik, bernyanyi kecil,atau bercakap dengan anak-anak anda.Komunikasi adalah penting dalam setiap hubungan.
  • Sentiasa jalinkan hubungan yang baik dengan pasangan anda.Persekitaran yang harmoni dapat membantu dalam perkembangan anak-anak.Pasangan yang senantiasa memberikan sokongan dapat mengurangkan beban dalam menjaga anak-anak.
  • Dapatkan maklumat dari pengalaman orang lain.Tingkatkan hubungan sosial yang dapat membantu kita seperti ibu-bapa, saudara serta rakan. Kenal pasti siapa di antara mereka yang dapat memmberikan bantuan serta nasihat ketika perlu.
  • Elakkan dari mengambil alkohol dan dadah.Cuba dapatkan bantuan sekiranya anda mengalami ketagihan.
  • Rancang kewangan dengan baik.Bincang dengan pasangan mengenai tabung pendidikan anak-anak. Perlu letakkan keutamaan dan keperluan dalam memudahkan perancangan.

Jika anda disyaki mempunyai penyakit mental, apa yang perlu anda buat?

  • Dapatkan bantuan perubatan
  • Doktor boleh membantu dalam menstabilkan penyakit anda dan memastikan bahawa anda mampu menjaga anak-anak sepenuhnya.

Jika anda mengenali seseorang yang mempunyai penyakit mental, anda boleh lakukan perkara berikut:

  • Bantu dalam menjaga anak-anak mereka ketika mereka menghadapi waktu yang sukar.
  • Bercakap/berbincang dengan anak mereka mengenai kebimbangan dan kekeliruan mereka berkaitan penyakit ibu-bapa
  • Bantu ibu bapa tersebut untuk mendapatkan rangkaian sosial dan individu yang dapat dihubungi ketika kecemasan.

 

Semakan Akhir : 5 Ogos 2013
Penulis : Dr. Firdaus Abd Ghani

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,352

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia